Tuesday, October 13, 2009

Tamatnya peperiksaan PMR...


.
Hari ini adalah hari terakhir peperiksaan PMR. Bagi kebanyakan calon, hanya ada satu ’paper’ sahaja hari ini iaitu kertas KHB, manakala bagi calon kelas aliran agama (KAA) ada pula tambahan satu kertas lagi iaitu kertas Bahasa Arab Komunikasi.

Begitulah masa berlalu amat pantas. Dulu dibuat ’count down’ tarikh peperiksaan PMR, sekarang tarikh itu dah pun lepas......

Pada saya ada beberapa fakta menarik mengenai peperiksaan PMR tahun ini.
Pertamanya, buat julung-julung kali jadual waktu PMR dijalankan dalam dua minggu. Sebelum ini biasanya peperiksaan PMR dijalankan 5 hari juga tetapi dalam seminggu sahaja iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat. Namun kali ini ia dijalankan mulai hari Rabu hingga Jumaat dan kemudian di sambung pada minggu berikutnya iaitu pada hari Isnin dan Selasa.

Kedua, calon-calon PMR tahun ini dibekalkan dengan ’mask’ atau topeng muka dan mulut pada setiap hari. Bererti sepanjang peperiksaan PMR ini, setiap calon mendapat 5 keping ’mask’ bagi tujuan mengelak wabak H1N1. Saya tak ada maklumat berapa kos yang kerajaan keluarkan untuk membekalkan ’mask’ ini, tetapi dengan andaian bilangan calon seramai setengah juta orang dan harga satu ’mask’ katakan 50 sen, bererti sejumlah 1.25 juta ringgit dibelanjakan untuk tujuan ini di seluruh negara kita.

Ketiga, terdapat 2 orang calon di sekolah saya yang menjalani peperiksaan di luar dewan peperiksaan. Seorang di hospital Kuala Kangsar dan seorang lagi di bilik khas yang disediakan untuknya kerana tidak calon ini tidak mampu menaiki tangga untuk ke dewan peperiksaan di tingkat atas. Kedua-dua calon ini mendapat kemalangan jalanraya semasa hari raya aidilfitri tempoh hari.


Selepas ini tumpuan akan dibuat untuk mengurus dan menjalankan ’Program Selepas PMR’. Pihak sekolah telah merancang dan menyusun jadual aktiviti bagi mengisi masa selama lebih 5 minggu sebelum bercuti akhir tahun. Dari pengalaman yang lepas-lepas, untuk menjayakan program selepas PMR ini amat mencabar. Ini kerana bukan mudah untuk mendisiplinkan pelajar tingkatan 3 yang telah ’merdeka’ ini.

Kehadiran pelajar ke sekolah menjadi masalah. Kalau mereka tak hadir ke sekolah, tentulah kerja mudah, tetapi yang jadi masalah, mereka hadir tetapi tak mahu mengikut aktiviti yang disusun. Apatah lagi untuk pengajaran dan pembelajaran atau mendengar ceramah motivasi dan sebagainya. Ibubapa di rumah juga sebenarnya tak mahu anak mereka duduk di rumah. Mereka akan suruh anak itu ke sekolah.... Walau apa pun, inilah tugas kita sebagai pendidik, mesti dilaksanakan juga...

Pendidik yang berwibawa akan menjalankan tugas ini dengan penuh tanggungjawab macam mendidik anak-anak sendiri. Adakah kita mahu anak-anak kita juga dibiarkan oleh guru-gurunya? Mereka datang ke sekolah tetapi tiada ’pengisian’! Jika kita tak mahu, ayuh, kita laksanakan tugas kita seperti biasa, sebagai pembina negara bangsa!

.

1 comment:

  1. kalau mak bapak kata deme dah habis sekolah..tak apa..tapi kalau sekolah dah menghabiskan deme.....cikgu2 kena tengok..apa yang tak kena..

    ReplyDelete