Sunday, October 18, 2009

Sepuluh Ribu Serba Satu






Hari Sabtu semalam saya sekeluarga ke rumah kakak ipar saya di Rawang Selangor. Kami ke sana kerana jemputan menghadiri majlis pertunangan anak perempuannya yang bernama Nurul Ain. Kami bertolak dari rumah selepas solat subuh, bersarapan di R&R Tapah dan sampai kira-kira jam 10.30 pagi.

Selepas jamuan makan tengahari bersama-sama para jemputan lain, rombongan meminang dari Jasin Melaka pun sampai. Bilangan yang datang agak ramai juga, maklumlah rombongan mereka turut disertai oleh kaum keluarga yang tinggal di Kuala Lumpur. Kebetulan pula semalam hari cuti umum iaitu hari Deepavali.

Nak ceritakan di sini, buat pertama kali dalam sejarah hidup saya, saya ” dilantik dan disahkan” terus menjadi jurucakap atau pemudahcara di dalam sesuatu majlis pertunangan. Walau pun pada mulanya saya menolak, namun desakan dari keluarga di sini meminta saya menjadi wakil keluarga perempuan, membuatkan saya terpaksa menjawat ”jawatan” tersebut. Sesuatu tugas yang baru namun terpaksa saya cuba....

Menjalankan tugas sebagai pemudahcara dan wakil keluarga perempuan rasanya bukanlah susah sangat. Cuma pada mulanya saya risau kalau-kalau rombongan dari Melaka ini bercakap dan berdialog dengan menjual pantun secara spontan, maklumlah orang negeri dondang sayang tu memang hebat berpantun. Namun nasib baik tiada serangkap pantun pun yang di”urusniaga”kan pada majlis itu.

Setelah mempersilakan ketua rombongan dari Melaka itu menyampaikan hasrat kehadiran mereka, barulah saya dapat tahu tujuan mereka ada ”dua dalam satu”. Pertama merisik dan kedua meminang. Saya pun meminta majlis itu dijalankan satu per satu. Macam hakim di mahkamah pulak!! Ringkaskan cerita, akhirnya dua bentuk cincin dalam dua bekas berasingan diserahkan kepada keluarga perempuan. Satu cincin merisik dan satu cincin bertunang.

Kemudian saya sebagai mewakili keluarga perempuan menjelaskan bahawa pihak kami mahu wang belanja perkahwinan (belanja hangus) adalah sebanyak Sepuluh Ribu Serba Satu. Mahar kahwinnya mengikut kaedah negeri Selangor lah iaitu sebanyak RM80.00. Rupa-rupanya pihak keluarga lelaki terus menerima sepuluh ribu itu tanpa bantahan. Cuma mereka bertanya maksud ”serba satu” itu mengikut adat orang Selangor. Saya pun mempersilakan biras saya iaitu suami kepada kakak ipar saya untuk menjelaskannya. Katanya serba satu itu ialah ”sepasang pakaian orang berdiri” ditambah dengan sebentuk cincin!

Nak tahu apa jadi selepas itu? Emak kepada budak lelaki yang meminang itu tiba-tiba bersuara.. ”Saya tak bersetuju” katanya. ”Saya tak mahu beri cincin lagi, saya nak tukar dengan kalung emas!” Tiba-tiba semua orang ketawa dan majlis jadi hingar bingar. Saya yang tadi agak terkejut dengan bantahan itu juga suka bebeno mendengarnya. Maklumlah buat apa cincin banyak-banyak... Lebih baik rantai, harganya pun mungkin ”4 digit”

Lepas itu majlis menentukan tarikh perkahwinan pun dijalankan. Kemudian tarikh menghantar wang belanja. Akhir sekali saya membangkitkan apa akan berlaku jika terjadi mungkir janji antara kedua-dua pihak. Satu kata sepakat nampaknya termeterai antara mereka. Masing-masing tidak akan menuntut sebarang pemberian yang telah disampaikan.

Selepas bacaan doa selamat, selesailah majlis pertunangan itu. Saya lihat majlis itu berakhir begitu ceria dan semua orang bergembira. Keluarga dari Jasin Melaka pun puas hati, dan keluarga saya di Rawang sini pun tak tekilan apa-apa. Saya tak pasti samada peranan ”pemudahcara” hari itu cemerlang atau kerana masing-masing nak makan segera kerana perut dah lapar.....

.

4 comments:

  1. Elok sangat le tu. Sekarang ni tolong orang dulu. Rasanya tak lama lagi, giliran Hj le pulak nak kahwinkan anak...

    ReplyDelete
  2. Tang pemudah cara awok tak ponah le, tapi lawan pemudahcara tu ade tekene sekali. jadi wakil meminang sebab yang dilantik awe, ade keuzoran, awok balun aje le.

    ReplyDelete
  3. hhee.....zaman ni ade pantun2 lagik tak....2 3 kucing berlari...sila sambung cikgu...

    ReplyDelete