Tuesday, October 20, 2009

Memartabatkan BM Memperkukuhkan BI (MBMMBI)

Hari ini saya membaca berita dasar PPSMI akan diganti dengan dasar baru iaitu MBMMBI. Berikut ialah berita dari Dewan Rakyat pada hari ini mengenai hal tersebut:-

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited tidak akan kembali kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) kerana dasar baru iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah selaras dengan keperluan negara untuk martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ke arah usaha itu, kementerian tidak lagi menoleh ke belakang meskipun terdapat rayuan dan desakan supaya PPSMI diteruskan, namun kerajaan tidak mampu memenuhi permintaan semua pihak.

"Sebaliknya pandangan yang disuarakan diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan dasar (MBMMBI) berkenaan," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Nor Othman (BN - Hulu Terengganu) yang ingin tahu apakah jaminan kerajaan untuk memastikan dasar baru tidak berubah kepada dasar lama.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata bagi mengelakkan timbulnya permasalahan kepada dasar MBMMBI sepertimana yang terjadi kepada PPSMI, kementerian menetapkan tahun 2012 sebagai tahun pelaksanaan selepas segala persiapan disediakan.

"Tujuan kita untuk dilaksanakan pada 2012 ialah untuk membuat persiapan penting kerana pengalaman waktu kita melaksanakan PPSMI dulu, tempoh untuk pihak kementerian buat persiapan ialah enam bulan. Oleh sebab itulah pelbagai masalah timbul antaranya menyediakan sejumlah guru yang mencukupi.

"Untuk tujuan kita ini pun... sebagai contoh, daripada keperluan tenaga pengajar, kita perlu sediakan kirakira 13,000 orang guru tambahan untuk melengkapkan kesemua sekolah-sekolah.
"Kedua untuk memantapkan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kita memerlukan ramai guru yang pakar dan mahir dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Muhyiddin, yang juga Anggota Parlimen Pagoh, berkata ke arah persiapan bagi dasar baru itu, kementerian merancang untuk mengambil 1,000 guru Bahasa Inggeris baru mulai tahun depan.

Menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKRGombak) yang ingin tahu sama ada ketegasan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menolak cadangan kerajaan untuk membatalkan PPSMI memberi kesan kepada pentadbiran negara, Muhyiddin berkata walaupun kenyataan Tun Dr Mahathir tegas tapi tidak bermaksud menyuruh kerajaan berpatah balik.

"Dia (Dr Mahathir) faham. Ini satu keputusan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan dia penyokong BN dan Umno... nampak dia tidak beri kenyataan keras seolah-olah kita kena patah balik kerana saya telah nyatakan ini bukan sahaja soal bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris bagaimana? Saya minat Bahasa Inggeris, Dr Mahathir pun minat Bahasa Inggeris. Jadi ia mesti diperkukuhkan," katanya. BERNAMA

.

No comments:

Post a Comment