Tuesday, June 29, 2010

Di Madinah....

Semasa di Madinah, kami ditempatkan di Hotel Manazili Madinah. Jarak hotel ini dari pagar masjid Nabawi tidak sampai 100 meter. Ianya teletak di sebelah kiri belakang masjid dan berhampiran hotel Oberoi Madinah yang besar itu.

Sesungguhnya, keadaan di dalam masjid Nabawi pada masa ini tidak banyak berubah berbanding semasa saya datang pada tahun 2003 dulu. Kalau ada pun mungkin saya tidak perasan. Tetapi di luar bangunan masjid, memang amat banyak perubahan. Sekarang ini seluruh dataran luar masjid didirikan “payung-payung gergasi”. Pada malam hari, payung-payung ini menguncup dan kelihatan seperti tiang-tiang menara sahaja, manakala pada siang hari, payung-payung ini mengembang dan dapat menutupi dataran luar masjid dari cuaca panas terik. Dengan itu para pengunjung dapat berehat sepanjang masa di dataran ini. Namun jika bilangan pengunjung terlalu ramai, kawasan dataran di luar masjid juga menjadi tempat solat...

Gambar yang pertama ini ialah gambar grafik yang saya scan dari buku yang saya beli sewaktu ziarah dan umrah kali ini. Lihatlah betapa besarnya masjid Nabawi. Di kawasan masjid inilah suatu masa dulu pernah menjadi tempat di mana Nabi SAW mengembangkan agama Islam. Di dalam masjid inilah letaknya makam RasulUllah SAW, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khattab. Di sinilah juga letaknya Raudhah atau ’taman syurga’ seperti yang dinyatakan dalam hadis RasulUllah SAW. Difahamkan Raudhah ini adalah tempat yang setiap doa akan di maqbulkan oleh Allah SWT.
Setiap pengunjung yang ke tanah suci, tidak dapat tidak mestilah mengadakan ziarah RasulUllah SAW ke masjid ini. Begitu juga pengunjung-pengunjung akan berebut untuk memasuki Raudhah dan berdoa di kawasan itu...

Gambar ini ialah pemandangan luar masjid pada malam hari. Kelihatan payung-payung dikuncupkan dan hanya kelihatan seperti tiang menara sahaja.


Gambar ini pula pemandangan luar masjid pada siang hari. Payung-payung dikembangkan bagi melindungi dataran dari terik cahaya matahari.

Salah satu kelebihan solat di Masjidin Nabawi ini ialah sebagaimana maksud Hadis RasulUllah SAW, bermaksud, ”Solat di dalam masjid ini mempunyai seribu kelebihan berbanding solat di masjid lain kecuali Masjidil Haram”. Alangkah beruntungnya mereka yang sering bersolat di masjid ini. Alangkah beruntungnya penduduk-penduduk bandar Madinah al Munauwarah ini. Masya-Allah!

Pernyataan Hadis tersebut ada di paparkan di salah satu papan tanda di dalam masjid ini... (klik 2 kali untuk lebih jelas...)

Di luar masjid pula hotel-hotel besar tumbuh bagaikan cendawan. Semua hotel-hotel kecil berhampiran masjid yang saya lihat semasa ke sini dulu sudah tidak ada lagi. Semuanya telah digantikan dengan hotel-hotel besar yang serba mewah. Dengan adanya hotel-hotel begini, mudah-mudahan akan lebih ramai umat manusia dari seluruh dunia akan datang menziarahi baginda RasulUllah SAW dan masjidnya.

Gambar menunjukkan sebahagian hotel mewah di sekeliling masjid. Di tingkat bawah hotel-hotel ini biasanya akan ada shopping complex. Di situlah para pengunjung akan berbelanja membeli segala buah tangan dan hadiah kenangan untuk di bawa balik….

Antara orang Kuala Kangsar yang berkunjung ke Masjid Nabawi itu.... Eh mana cikgu Zuhairi Manong? oh .. Dia yang ambik gambo.....Masya-Allah !!

.

Tuesday, June 22, 2010

Masalah Visa…



Suatu hari di Taneem, Makkah, ketika mengambil miqat umrah, saya berjumpa ustaz Radzi Petah, pengetua SABK Yahyawiyah Padang Rengas. Dia bertanya khabar saya, cikgu ke orang Kuala Kangsar yang terlewat ke Tanah Suci kerana masalah visa baru-baru ini? Saya terus jawab, ya. Dia bertanya saya lagi berapa orang yang pergi bersama, saya jawab, 13 orang, 5 daripadanya cikgu yang lain tu isteri dan anak-anak cikgu…

Itulah ceritanya…..Walau apa pun, jika Allah telah ”mengatur” kita akan sampai ke dua tanah suci itu, tiada siapa yang dapat menghalang. Yang berlaku itu semuanya merupakan “ujian-ujian” yang menguji ketabahan dan keikhlasan kita.

Pengajaran pertama yang saya dapati, jika kita sudah ada duit, sudah berhajat sangat, sudah daftar dengan syarikat pengurusan umrah, sudah booking tiket kapalterbang, sebenarnya jika tak ada visa oleh kedutaan Arab Saudi, kita masih tak boleh pergi. Itulah yang berlaku kepada kami dan khabarnya kepada beribu orang Malaysia yang lain yang terlalu ramai nak mengerjakan umrah sempena cuti penggal persekolahan. Kedutaan Arab Saudi tak dapat memproses visa dalam masa yang dijanjikan kerana terlalu ramai sangat permohonan visa tersebut.

Memang kami dijadualkan berlepas pada hari Jumaat 4 Jun. Pada hari Khamis syarikat pengurusan Umrah telah menghubungi menyatakan visa masih belum dapat. Jadi penerbangan esok ditangguhkan. Ringkaskan cerita syarikat pengurusan umrah meminta kami ke KLIA pada hari Ahad 6 Jun. Namun kami hanya dapat berlepas ke Jeddah pada hari Isnin esoknya atas alasan tiada tiket kapalterbang lagi. Walau bagaimana pun, kami di bawa berehat dan bermalam, di sebuah hotel berdekatan KLIA. Malam itu saya berbual dengan pengurus syarikat umrah, dikenali dengan nama Tn. Hj. Hashim, saya sangat simpati dengan syarikat beliau yang kerugian puluhan ribu ringgit harga tiket kapalterbang yang sudah di’booking’ terpaksa dilepaskan akibat masalah visa di kedutaan Arab Saudi, walaupun permohonan visa itu telah dihantar hampir sebulan awal…

Kumpulan pakej umrah yang dianjurkan oleh syarikat itu untuk kami hanya seramai 34 orang semuanya. Kami berlepas ke Tanah Suci dengan penerbangan Oman Air, atau dalam bahasa Arabnya “Thironi Ommani”. Kami transit di Mascat International Airport selama beberapa jam. Kapalterbang itu jenis Airbus A330. Setiap tempat duduk ada monitor tersendiri. Para penumpang boleh melihat sendiri grafik jarak dan masa perjalanan. Penumpang juga boleh akses entertainment, movie dan game. Yang bangganya dalam banyak-banyak movie pelbagai negara itu, ada pula movie “Senario” Wau, dalam kapalterbang Arab ada filem senario!!
…..

Rupanya dalam kapalterbang itu bukan group kami sahaja. Ada dua pakej umrah lagi dari negara kita yang sama penerbangannya. Satu dari Kedah dan satu lagi dari KL. Sesampai sahaja di Mascat, kami berehat. Dan apabila masuk waktu asar, kami ke surau untuk solat jamak taakhir zohor dan asar. Tadi dalam penerbangan, saya solat secara “hormat waktu” sahaja.

Sewaktu nak solat tu, beberapa orang rakan meminta saya menjadi imam solat jamak qasar tersebut. Saya pun ke depan le… Nak tahu apa jadi, selepas solat tersebut, saya toleh belakang, saya lihat para jemaah menjadi ramai hampir memenuhi surau airport itu. Saya lihat orang arab pun ramai termasuk pekerja-pekerja airpot… Selepas berdoa saya pun keluar surau. . Dalam hati, aku jadi imam kat negara Oman! Negara Arab!.... MasyaAllah!!!

..

Wednesday, June 2, 2010

Lambaian Tanah Suci...






Insya-Allah berangkat pada 4 Jun 2010 dan balik pada 18 Jun 2010... Mohon doakan kesejahteraan kami anak beranak. Terima kasih...

.

Tuesday, June 1, 2010

Genap 30 tahun

Esok tanggal 2 Jun 2010. Tarikh 2 Jun sebenarnya suatu tarikh yang amat bererti dalam hidup saya. Ini kerana pada 2 Jun 1980, saya memulakan kerjaya sebagai seorang guru atau pendidik. Saya dilantik dan ditempatkan sebagai seorang guru sekolah kerajaan adalah pada tarikh tersebut. Dengan ini esok genaplah 30 tahun perkhidmatan saya sebagai seorang pegawai perkhidmatan pendidikan.

Mengenang kembali tempoh 30 tahun tersebut pelbagai perkara telah saya lalui. Walaupun berkhidmat hanya di 3 buah sekolah menengah sahaja dalam tempoh itu, namun saya telah melalui beberapa skim berkhidmatan. Bermula daripada skim pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) kategori C2 kemudian berpindah ke PPP kategori T1. Masa itu kalau tak silap nama skim gajinya ialah Skim Gaji Jawatankuasa Kabinet Pegawai Sektor Awam. Selepas 4 tahun di skim tersebut, saya melanjutkan pelajaran semula dan apabila tamat iaitu pada tahun 1986 saya memasuki skim pegawai perkhidmatan pendidikan kategori D1.

Apabila skim perkhidmatan kerajaan berubah mengikut Sistem Saraan Baru (SSB) , nama skim tersebut ditukar kepada skim perkhidmatan pendidikan siswazah gred DG3. Dan pada tahun 2002, apabila Sistem Saraan Malaysia (SSM) bermula saya memasuki skim pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah gred DG41. Tidak lama kemudian gred DG44 (KUP) dan sekarang gred DG48 (KUP).

Itu cerita nama skim perkhidmatan. Kalau nak cerita fasal nilai gaji antara dulu dengan sekarang pun boleh. Semasa mula-mula mengajar di kategori C2 gaji seorang guru di kategori tersebut adalah RM370.00 sahaja. Oleh kerana saya di kategori T1, gajinya adalah RM725.00. Saya masih ingat selepas 4 bulan pertama mengajar saya mendapat tonggakan gaji dan wang itu digunakan membeli sebuah motosikal suzuki baru secara tunai berharga RM2300.00.

Apabila saya di skim DG3, gaji permulaan seorang guru berijazah cuma RM1060.00 sahaja. Berbanding sekarang seorang guru lepasan universiti gaji permulaan sahaja telah melebihi RM1900.00. Itulah beza antara gaji dulu dengan sekarang. Tetapi kos sara hidup dulu dengan sekarang pun jauh berbeza. Dalam tahun 80 han dulu, harga sebuah kereta paling rendah seperti toyota corolla 1.3cc cuma dalam lingkungan RM22K sahaja. Sekarang proton saga (II) 1.3 cc pun sudah RM40K harganya. Kereta-kereta jenama yang lain jangan ceritalah harganya.

Saya tak berminat lagi menyebut hal-hal skim dan gaji seperti di atas. Memanglah berbeza antara dulu dengan sekarang. Dulu lain sekarang lain! Sempena genap perkhidmatan 30 tahun ini, saya nak mengingati apakah sumbangan saya terhadap negara amnya dan terhadap anak-anak didik khasnya.

Ada orang kata, jika nak menilai sendiri kejayaan kita, mungkin kita boleh membilang kejayaan anak-anak didik kita. Jika betul begitu, ada antara murid-murid saya yang telah berjaya menjadi ahli profesional seperti doktor, jurutera, peguam, guru dan sebagainya. Saya boleh senaraikan nama-nama mereka setakat yang saya tahu, tetapi biarlah dulu....takut nanti ada bekas murid yang tak disebut atau tersilap sebut. Malahan ada juga seorang murid saya yang menjadi YB dan mendapat gelaran Dato’.

Itu yang berjaya menjadi ahli-ahli profesional, yang jadi ”orang biasa-biasa” ini lagi ramai. Kalau dalam setahun saya mengajar purata 3 kelas sahaja atau 100 orang, maka dalam tempoh 30 tahun, bilangan murid saya sudah menjangkau 3000 orang. Harap-harap kesemua murid-murid yang saya pernah mengajar mereka menjadi orang atau warga negara yang baik. Kalau yang Islam tu menjadi orang Islam yang beriman dan yang bukan Islam pula menjadi warga yang baik dan patuh kepada undang-undang negara. Tetapi stakat yang saya tahu, saya tidak pernah mendengar ada bekas anak murid saya yang ditangkap dan dipenjarakan kerana kesalahan jenayah atau menagih dadah!! Mungkin itu juga satu kejayaan seorang guru...

Diharapkan sempena ulangtahun ke-30 perkhidmatan saya ini, saya menjadi orang yang lebih matang, berkhidmat dengan penuh dedikasi, lebih tekun, penyabar dan ikhlas kerana Allah SWT. Saya hendak menjadi orang yang berguna kepada orang lain, bukan menjadi pembuat masalah kepada orang lain. Sebaik-baik manusia ialah manusia yang berguna kepada orang lain. Semakin berpengalaman kita dalam bidang pendidikan ini, semakin berkesanlah segala kerja buat kita dalam mendidik anak bangsa... Ibarat sebiji kelapa tua, isinya boleh dibuat minyak, tempurungnya boleh dibuat andang, sabutnya boleh dibuat kusyen dan jika dibuat benih, ia boleh tumbuh dengan suburnya. Pendik kata semuanya berguna dan berkualiti!

Satu perkara yang saya berpegang apabila masuk ke kelas-kelas, ialah mengajar murid-murid dengan bersungguh-sungguh sehingga mereka faham. Saya sentiasa ingat jika saya mengajar anak orang dengan sungguh-sungguh, orang lain akan mengajar anak saya pula dengan sungguh-sungguh.... Jika saya hendak anak saya berjaya, begitu juga orang lain hendakkan anaknya berjaya...

Di bawah ialah gambar kenangan semasa saya menjadi guru kelas pada tahun 1981... Itulah kali pertama menjadi guru tingkatan. Dapat pulak semua murid-murid 'jantan'. tingkatan berapa saya dah tak perasan, mungkin tingkatan tiga..... Gambar ini saya ambil dari album lama.. zaman tu tak ada lagi kamera digital, semua guna 'kodak'. Filem Kodak!... Double klik pada gambar untuk lihat dengan jelas muka guru kelas itu... janganle ketawe....!