Esok tanggal 2 Jun 2010. Tarikh 2 Jun sebenarnya suatu tarikh yang amat bererti dalam hidup saya. Ini kerana pada 2 Jun 1980, saya memulakan kerjaya sebagai seorang guru atau pendidik. Saya dilantik dan ditempatkan sebagai seorang guru sekolah kerajaan adalah pada tarikh tersebut. Dengan ini esok genaplah 30 tahun perkhidmatan saya sebagai seorang pegawai perkhidmatan pendidikan.
Mengenang kembali tempoh 30 tahun tersebut pelbagai perkara telah saya lalui. Walaupun berkhidmat hanya di 3 buah sekolah menengah sahaja dalam tempoh itu, namun saya telah melalui beberapa skim berkhidmatan. Bermula daripada skim pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) kategori C2 kemudian berpindah ke PPP kategori T1. Masa itu kalau tak silap nama skim gajinya ialah Skim Gaji Jawatankuasa Kabinet Pegawai Sektor Awam. Selepas 4 tahun di skim tersebut, saya melanjutkan pelajaran semula dan apabila tamat iaitu pada tahun 1986 saya memasuki skim pegawai perkhidmatan pendidikan kategori D1.
Apabila skim perkhidmatan kerajaan berubah mengikut Sistem Saraan Baru (SSB) , nama skim tersebut ditukar kepada skim perkhidmatan pendidikan siswazah gred DG3. Dan pada tahun 2002, apabila Sistem Saraan Malaysia (SSM) bermula saya memasuki skim pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah gred DG41. Tidak lama kemudian gred DG44 (KUP) dan sekarang gred DG48 (KUP).
Itu cerita nama skim perkhidmatan. Kalau nak cerita fasal nilai gaji antara dulu dengan sekarang pun boleh. Semasa mula-mula mengajar di kategori C2 gaji seorang guru di kategori tersebut adalah RM370.00 sahaja. Oleh kerana saya di kategori T1, gajinya adalah RM725.00. Saya masih ingat selepas 4 bulan pertama mengajar saya mendapat tonggakan gaji dan wang itu digunakan membeli sebuah motosikal suzuki baru secara tunai berharga RM2300.00.
Apabila saya di skim DG3, gaji permulaan seorang guru berijazah cuma RM1060.00 sahaja. Berbanding sekarang seorang guru lepasan universiti gaji permulaan sahaja telah melebihi RM1900.00. Itulah beza antara gaji dulu dengan sekarang. Tetapi kos sara hidup dulu dengan sekarang pun jauh berbeza. Dalam tahun 80 han dulu, harga sebuah kereta paling rendah seperti toyota corolla 1.3cc cuma dalam lingkungan RM22K sahaja. Sekarang proton saga (II) 1.3 cc pun sudah RM40K harganya. Kereta-kereta jenama yang lain jangan ceritalah harganya.
Saya tak berminat lagi menyebut hal-hal skim dan gaji seperti di atas. Memanglah berbeza antara dulu dengan sekarang. Dulu lain sekarang lain! Sempena genap perkhidmatan 30 tahun ini, saya nak mengingati apakah sumbangan saya terhadap negara amnya dan terhadap anak-anak didik khasnya.
Ada orang kata, jika nak menilai sendiri kejayaan kita, mungkin kita boleh membilang kejayaan anak-anak didik kita. Jika betul begitu, ada antara murid-murid saya yang telah berjaya menjadi ahli profesional seperti doktor, jurutera, peguam, guru dan sebagainya. Saya boleh senaraikan nama-nama mereka setakat yang saya tahu, tetapi biarlah dulu....takut nanti ada bekas murid yang tak disebut atau tersilap sebut. Malahan ada juga seorang murid saya yang menjadi YB dan mendapat gelaran Dato’.
Itu yang berjaya menjadi ahli-ahli profesional, yang jadi ”orang biasa-biasa” ini lagi ramai. Kalau dalam setahun saya mengajar purata 3 kelas sahaja atau 100 orang, maka dalam tempoh 30 tahun, bilangan murid saya sudah menjangkau 3000 orang. Harap-harap kesemua murid-murid yang saya pernah mengajar mereka menjadi orang atau warga negara yang baik. Kalau yang Islam tu menjadi orang Islam yang beriman dan yang bukan Islam pula menjadi warga yang baik dan patuh kepada undang-undang negara. Tetapi stakat yang saya tahu, saya tidak pernah mendengar ada bekas anak murid saya yang ditangkap dan dipenjarakan kerana kesalahan jenayah atau menagih dadah!! Mungkin itu juga satu kejayaan seorang guru...
Diharapkan sempena ulangtahun ke-30 perkhidmatan saya ini, saya menjadi orang yang lebih matang, berkhidmat dengan penuh dedikasi, lebih tekun, penyabar dan ikhlas kerana Allah SWT. Saya hendak menjadi orang yang berguna kepada orang lain, bukan menjadi pembuat masalah kepada orang lain. Sebaik-baik manusia ialah manusia yang berguna kepada orang lain. Semakin berpengalaman kita dalam bidang pendidikan ini, semakin berkesanlah segala kerja buat kita dalam mendidik anak bangsa... Ibarat sebiji kelapa tua, isinya boleh dibuat minyak, tempurungnya boleh dibuat andang, sabutnya boleh dibuat kusyen dan jika dibuat benih, ia boleh tumbuh dengan suburnya. Pendik kata semuanya berguna dan berkualiti!
Satu perkara yang saya berpegang apabila masuk ke kelas-kelas, ialah mengajar murid-murid dengan bersungguh-sungguh sehingga mereka faham. Saya sentiasa ingat jika saya mengajar anak orang dengan sungguh-sungguh, orang lain akan mengajar anak saya pula dengan sungguh-sungguh.... Jika saya hendak anak saya berjaya, begitu juga orang lain hendakkan anaknya berjaya...
Di bawah ialah gambar kenangan semasa saya menjadi guru kelas pada tahun 1981... Itulah kali pertama menjadi guru tingkatan. Dapat pulak semua murid-murid 'jantan'. tingkatan berapa saya dah tak perasan, mungkin tingkatan tiga..... Gambar ini saya ambil dari album lama.. zaman tu tak ada lagi kamera digital, semua guna 'kodak'. Filem Kodak!... Double klik pada gambar untuk lihat dengan jelas muka guru kelas itu... janganle ketawe....!
Tuesday, June 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment