Monday, May 30, 2011

Majlis Persaraan Tn Hj Zakaria Hussin

.
Hari Jumaat 27 Mei sekali lagi saya ke SMKSTA. Kali ini kerana mendapat jemputan meraikan majlis persaraan Tn Hj Zakaria b Hj Hussin, seorang guru di sekolah ini. Berikut saya muatkan gambar-gambar kenangan sekitar majlis yang begitu ‘cantik’ disusun oleh pihak sekolah untuk meraikan seorang rakan yang akan bersara… ( Catatan: Bukan semua guru berpeluang diraikan majlis persaraannya… )






Mula-mula jamuan makan....






Saya duduk di meja utama...






Selepas jamuan, semua guru bergerak ke dewan sekolah di mana para pelajar telah sedia menunggu..




Menyaksikan pertunjukkan multimedia Tn Hj Zakaria yang dibuat begitu menarik... tahniah kepada Razif and Halim Production...



Tn Hj Zakaria memberi ucapan dan menerima hadiah daripada Tn Pengetua...




Eh, ni kenapa? Guru dah bertukar pun ada hadiah pada hari itu...



Upacara memotong kek hari jadi ke-58... Kelihatan Tn Hj Zakaria bersama-sama isterinya... Dah nak pencen ni macam-macam mereka raikan Pak Ya...



"Clock out' yang terakhir... setelah bertugas di sekolah ini selama 29 tahun 6 bulan... berkhidmat di bawah pentadbiran 10 orang pengetua...



Diiringi keluar oleh murid-murid dan rakan-rakan guru..



Menerima tabik hormat dari pasukan beruniform sekolah buat kali terakhir.



bye..bye..!


Dihantar balik ke rumah dengan menaiki kereta Toyota Camry... (Macam guru JUSA yang ada driver pulak!)




Sunday, May 29, 2011

Kisah pasukan pendayung

.
Semasa mesyuarat guru kali terakhir yang saya hadiri di SMKSTA saya ada menunjukkan power point Pasukan Pendayung Malaysia yang berentap dengan Pasukan Pendayung Jepun. Ringkas ceritanya, pada tahun pertama, pasukan Malaysia kalah 1 km di belakang pasukan Jepun. Selepas dibuat post mortem didapati pasukan Jepun mempunyai seorang ketua dan 7 pendayung. Manakala pasukan Malaysia mempunyai 7 orang ketua dan seorang pendayung. (Kenapa contohnya pasukan Malaysia dan Jepun, saya kurang pasti…)







Kemudian pasukan Malaysia memperbaiki struktur pasukannya dengan melantik beberapa pengurus, beberapa penyelia dan beberapa ketua tetapi masih mengekalkan seorang pendayung. Dalam pertandingan pada tahun berikutnya, pasukan Malaysia kalah 2 km di belakang pasukan Jepun. Moral dari cerita ini ialah dalam sesuatu pasukan, memadailah seorang sahaja ketua, yang lain adalah pekerja-pekerja yang memainkan peranan masing-masing.







Selepas sahaja saya tamat memberi ucapan akhir di mesyuarat guru itu, tn pengetua mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saya di atas ucapan dan 'motivasi' yang disampaikan itu. Di hari berikutnya tn pengetua sekali lagi mengucapkan terima kasih. Katanya, dia tak boleh menerangkan perkara itu kepada guru-guru kerana risau nanti semacam satu arahan pula. Jadi sangat baguslah orang no. 2 yang memberi nasihat begitu. Sememangnyalah dalam sesuatu organisasi seperti di sekolah, tn pengetua adalah boss dan semua guru tidak dapat tidak mesti mengikut kata-katanya. Jika keadaan ini berlaku, barulah organisasi itu berjalan lancar dan kejayaan akan dicapai.

Sebaliknya jika banyak sangat ‘ketua’ dalam sesuatu organisasi, arahan-arahan mungkin akan bercanggahan satu sama lain, maka orang bawahan yang bekerja itu jadi tak ketahuan. Yang mana satu nak diikut… Itulah sebabnya pasukan Malaysia tu kalah 2 km berbanding 1 km pada tahun sebelumnya. Pendekatan ini jugalah yang saya amalkan sepanjang 14 tahun sebagai orang no. 2 di SMKSTA dan bertugas dengan 7 orang pengetua. Tak kiralah siapa pengetuanya, saya akan menjadi pengikut tanpa banyak soal. Lainlah kalau arahannya hal-hal yang bertentangan dengan agama, nescaya saya tak akan ikut….

Apabila saya di sekolah baru, di dalam ucapan pengenalan saya di perjumpaan dengan guru-guru dan staf sekolah, saya sekali lagi menegaskan bahawa di sekolah, bosnya adalah tn pengetua. Semua kita mesti mematuhi arahan dan peraturan yang dibuat oleh beliau. Saya juga menceritakan analogi ‘kisah pasukan pendayung’ itu tetapi tidak dengan power point, kerana LCD projector tidak disediakan pada masa itu. Kata saya, jika tn pengetua tak ada, barulah PK 1 yang menjadi’ ketua’. Dan jika PK1 juga tiada, maka orang yang dalam heiraki berikutnya iaitu PKHem yang menjadi ‘ketua’. Jangan ada banyak orang yang ‘berkuasa’ di sesabuah sekolah sehingga menyebabkan perbezaan pendapat yang boleh dikesan oleh anak-anak pelajar dan ibubapa mereka.






Selepas saya menegaskan perkara di atas, saya dapati tn pengetua saya yang baru itu juga amat seronok. Semasa saya ke kantin bersama-sama beliau selepas itu, beliau telah membayar harga makanan saya. Pada keesokan harinyanya pula, beliau telah membawa saya melawat blok-blok asrama putera dan puteri bersama-sama dengan warden-warden asrama. Dalam lawatan itu saya rasa macam jadi ’menteri’ pula, apabila saya diterangkan semua perkara tentang asrama oleh warden-warden. Rombongan lawatan itu juga memasuki hingga ke bilik-bilik air asrama untuk melihat sendiri kemudahan tempat penginapan para pelajar yang hampir 600 orang ramainya.

Semoga kami guru-guru sekolah ini akan menjadi ‘pasukan pendayung ' yang terbaik’ dalam mendidik anak-anak pelajar. Saya juga berdoa saya dapat membantu meningkatkan prestasi sekolah dalam apa juga bidang khususnya dalam bidang akademik…Amin!

Saturday, May 28, 2011

Hari Terakhir di SMKSTA

.
Pagi Isnin 23 Mei 2011 satu perhimpunan khas diadakan di dewan sekolah. Peperiksaan pertengahan tahun ting. 4 dan 5 yang masih belum selesai disusun semula jadualnya bagi memberi laluan majlis khas itu diadakan. Majlis apa pulak tu?




Pn Noriani bt Ariffin, PK Hem menerangkan tujuan majlis itu diadakan.




Barisan guru-guru mendengar dengan begitu teliti…

Para pelajar juga kena dengar walaupun ada yang masih nak membaca ‘last minute’

Kemudian saya dipanggil menyampaikan ucapan buat kali terakhir…

Pantang diberi peluang, saya pun menghujjah satu persatu, di majlis perpisahan penolong kanan pentadbiran yang diadakan setelah lebih 14 tahun memegang jawatan itu dan setelah bertugas lebih 16 tahun di sekolah ini… Segala cerita suka dan (tak ada duka) nak disampaikan dalam masa itu…



16 tahun bukan jangkamasa yang pendek ye? … budak-budak form 5 tu baby lagi, budak-budak form 4 pulak masih atas langit…

Lepas saya berucap panjang, bangkit pula Miss Lata ini, memanggil saya keluar sekali lagi kerana guru-guru nak sampaikan sesuatu…


Mula-mula Guru Kanan Votek, En. Mat Khaili …



Lepas tu Guru Kanan Sains, En Ramli Sharif…




Kemudian Guru Kanan Kemanusiaan, Pn. Nurul Uyun…




Yang ni PK Hem, Pn. Noriani mewakili G7




Yang ni KP Pendidikan Islam, Pn Suriawati.... mak oi !




Kepada semua, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan hadiah kenangan yang disampaikan. Jutaan terima kasih di atas segala kerjasama yang diberikan semasa saya menjalankan tugas di sekolah ini. Saya juga memohon sebeliun kemaafan di atas segala kesalahan dan kekasaran yang saya lakukan yang telah menyinggung perasaan kawan-kawan semua…

Bintang barat terbit petang,
Bintang timur terbit pagi,
Jika tidak melarat panjang,
Ada umur ketemu lagi…

.

Sunday, May 22, 2011

Majlis Jamuan Makan Malam Alumni


Majlis Jamuan Makan Malam “Nostalgia Kenangan Lalu” anjuran kelab alumni SMKSTA Manong telah diadakan pada 21 Mei mulai jam 8.00 malam di dewan besar sekolah ini. Majlis ini juga dinamakan Majlis Makan Malam Noltalgia Bersama Bekas Guru-guru.

Program yang menghimpunkan semula semua bekas guru-guru dan murid-murid SMSTA bertujuan semata-mata untuk memberi satu penghargaan dan anugerah kepada semua bekas guru-guru yang pernah mendidik murid-murid di sekolah ini. Program Majlis Makan Malam ini dirasmikan oleh Ybhg. Tan Seri Dato’ Abdul Syukor b Hj Abdullah, Mantan KPPM yang juga mantan pengetua SMKSTA yang ke-2.

Ramai bekas guru-guru yang telah hadir di majlis ini. Di antaranya ialah Tn Hj Ahmad Arbi Hamzah (mantan Timbalan Pengarah JPN Perak) dan isterinya Pn Hjh Hasnah, Cikgu Ali Akbar, Cikgu Khalid Nordin, cikgu Azlan, cikgu Abdul Fatah, cikgu Mokhtaruddin, cikgu Sazali, ustaz Khairani dan lain-lain. Bekas-bekas pengetua yang hadir pula ialah Dr Abdul Syukor (pengetua ke-2), Tn Hj Azidin (pengetua ke-3), Tn Hj Mohd Isa (pengetua ke-9) dan Pn Hjh Norliah (pengetua ke-11). Saya sebenarnya mengenali ramai bekas guru-guru di tahun 70-han dan 80-han di sekolah ini semasa saya menjalani Latihan Mengajar di sini pada tahun 1979 yang lalu.

Cikgu-cikgu angkatan tahun 90-han yang hadir antaranya cikgu Hj Osman, Pn. Norhayani (cikgu Wok), Pn Salmah, Ustaz Md. Radzi, cikgu Kamaruddin, cikgu Azhar, cikgu Azmi dan lain-lain yang tak dapat saya sebutkan namanya.

Suasana di dewan besar yang dipenuhi dengan tetamu dari kalangan bekas guru dan bekas murid itu sangat meriah, mesra dan penuh silatur rahim kerana maklumlah kawan-kawan lama dapat berjumpa semula setelah berpisah 20 atau 30 tahun. Begitu juga kelihatan ramai bekas murid bersalam dan berpelukan dengan bekas guru-guru mereka sambil bertanya khabar dan mengucapkan terima kasih di atas jasa-jasa dan pengorbanan guru. Semoga hubungan ukhuwah seperti ini diteruskan pada masa-masa akan datang….






Ketibaan Dr Syukor disambut oleh rakan-rakan lama.





Tn Hj Ahmad Arbi Hamzah, 13 tahun mengajar di SMKSTA





Tn Hj Marazlen (PPD K.Kangsar) bekas murid, tak dapat menyembunyikan perasaan terharu berjumpa bekas guru dan rakan-rakan. Merakamkan kenangan dengan mengambil gambar...





Ucapan-ucapan di majlis perasmian....





Majlis dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu hindustan oleh "Mohamad Rafi Malaysia"





Yang ni...., dua orang bekas Penolong Kanan Pentadbiran SMKSTA....(ape senyum-senyum!)



Sabarlah cikgu

2011/05/21

TPM janji usul kenaikan gred guru akan diselesaikan

BALING: Keluhan kira-kira 400,000 guru yang mendakwa tercicir daripada kenaikan gred atau pangkat bermula 1 Januari tahun depan seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak, Isnin lalu, sememangnya dalam perhatian Kementerian Pelajaran untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta mereka bersabar kerana beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerima aduan, SMS dan tuntutan beberapa kesatuan guru yang mahukan kerajaan memberi perhatian terhadap perkara itu. “Saya akan teruskan usaha berbincang dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah JPA yang akan memutuskan cara untuk me-menuhi tuntutan berkenaan.

“Kita kena ambil kira keupayaan kerajaan kerana dalam keadaan sekarang kita nak jimat perbelanjaan, nak kurangkan defisit negara... dan kalau kita buat keputusan kena ambil kira keupayaan kerajaan menampung kos tambahan disebabkan kenaikan gaji dan elaun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik, di sini, semalam.

Beliau berkata, guru terbabit tidak perlu bimbang kerana kerajaan masih mempunyai masa enam bulan lagi untuk meneliti perkara itu sebelum ia berkuat kuasa Januari tahun depan.

Sebelum ini, beberapa kesatuan dalam perkhidmatan perguruan menyatakan kekecewaan mereka kerana enam tuntutan mereka tidak diberi perhatian, termasuk kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid (SKM).
Selain itu, mereka menuntut kerajaan mewujudkan jawatan baru gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilaksanakan.

Mereka juga berharap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid, khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah diberi perhatian.

Muhyiddin berkata: "Kita masih ada masa enam bulan dan dalam tempoh itu kita tidak tahu apa akan berlaku... apa ada dalam fikiran Perdana Menteri pun saya tidak tahu tetapi yakin beliau tahu situasi perkhidmatan awam dan kos hidup yang tinggi.

"Bersabarlah... kerana bila Perdana Menteri umum tarikh kuat kuasa 1 Januari 2012, kita ada masa dan saya harap bila sampai Januari nanti dia (Perdana Menteri) akan tokok sikitlah."

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran diarah mengkaji insentif dan pengiktirafan kepada guru yang menjadi pengurus pasukan dan pegawai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bagi menghargai sumbangan mereka dalam meningkatkan prestasi serta pencapaian atlet dan sukan di sekolah.

Beliau berkata pengiktirafan kepada guru terbabit adalah sama seperti yang diberi kepada atlet yang cemerlang dalam bidang sukan.

“Guru terbabit juga perlu diberi pendedahan supaya kewujudan mereka sebagai pegawai kejohanan diterima di persada antarabangsa.

"Atlet yang berjaya dan mempunyai potensi tinggi dalam bidang sukan tertentu harus dilatih secara intensif sebelum menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa.

“Begitu juga dengan pegawai kejohanan, pendedahan harus diberi kepada mereka supaya kewujudan pegawai kejohanan ini diterima di peringkat antarabangsa seperti atlet," katanya ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang MSSM Ke-53 2011 di Stadium Perak di sini, malam tadi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tuesday, May 17, 2011

“Durian Runtuh” Untuk Guru Januari Depan

.
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Jan depan, dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.

Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di sini, beliau berkata kerajaan telah memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru.

Pelancaran sambutan Hari Guru bertema "Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara" itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.

Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Najib berkata sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan berkenaan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya berdasarkan tempoh perkhidmatan perlu diberi nafas baru.

"Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun," kata Perdana Menteri.
Katanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

Kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya, katanya.
Beliau berkata pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, Najib berkata laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

"Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya sambil menambah bahawa mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.
Namun guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan, katanya.

Beliau berkata kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.
Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, katanya.

Beliau berkata manakala semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan.
Najib berkata semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

"Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru," katanya. - BERNAMA

.

Lirik lagu tema hari guru

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA


BERSATU KITA MENUJU PARADIGMA YANG BAHARU
SATU TEKAD DAN HARAPAN MENYAHUT CABARAN DUNIA
PENDIDIK BERKUALITI DEMI MENCAPAI VISI
DENGAN AZAM YANG MURNI MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI

GURU MENDIDIK INSAN DENGAN SETULUS HATI
MEMBIMBING GENERASI MASA DEPAN
GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
MENJAYAKAN HASRAT YANG MURNI SATU MALAYSIA

PENDIDIK BERINOVASI MENGHASILKAN KREATIVITI
BERSEDIA HADAPI CABARAN
ARUS TANPA SEMPADAN

PENDIDIK YANG BERKUALITI
MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI
MENGIMBANGKAN ROHANI
JATI DIRI DAN JASMANI

GURU MENDIDIK INSAN DENGAN SETULUS HATI
MEMBIMBING GENERASI MASA DEPAN
GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
MENJAYAKAN HASRAT YANG MURNI SATU MALAYSIA
SATU MALAYSIA… SATU MALAYSIA

LAGU & LIRIK : ROSMAN ADAM

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah

.





Selamat Hari Guru, Terima kasih cikgu!





Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara





Kami Guru Malaysia, Berikrar dan berjanji....





Mendidik dan Memimpin, Putera puteri negara kita....





Mendengar perutusan Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran




Majlis yang sungguh ceria dan harmoni...



Jamuan khas sempena Hari Guru




Sukaneka guru - murid





Jamuan di setiap kelas, para guru dirai'kan betul-betul pada hari ini...





Pertandingan 'rekacipta' pakaian dari kertas.





Persembahan dikir barat oleh pengawas sekolah, memang mengusik... aje nya kome!






Menyaksikan persembahan di majlis penutup...Selamat Hari Guru, Terima kasih cikgu!


.