Saturday, December 26, 2009

Tiada straight 'A's

Keputusan PMR 2009 telah pun diumumkan pada hari Khamis yang lepas. Pencapaian sekolah saya walaupun meningkat 2.36 peratus berbanding tahun 2008, tetapi tidak ada apa yang nak dibanggakan sangat. Pada tahun 2008 pencapaian PMR sekolah ini cuma 49.11 peratus tetapi pada tahun 2009 ia meningkat kepada 51.47 peratus. Seramai 70 daripada 136 orang calon telah lulus sekurang-kurangnya D semua mata pelajaran, berbanding tahun lepas seramai 83 daripada 169 calon yang lulus.

Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan, lazimnya orang ramai dan masyarakat akan bertanya kepada pihak sekolah, berapa orang calon yang dapat “straight ‘A’s”? Begitu jugalah sekolah-sekolah di ‘kelas-kelas’kan mengikut pencapaian pelajar dapat “straight ‘A’s”. Sekolah berasrama penuh juga di’banding-banding’kan mengikut berapa ramai pelajar yang dapat “straight ‘A’s”. Tajuk akhbar pada hari Jumaat sehari selepas keputusan PMR diumumkan juga memberitakan lebih 28 ribu calon dapat “straight ‘A’s”…. Betulkah ukuran kejayaan sesebuah sekolah diukur dari bilangan pelajar yang dapat “straight ‘A’s”?

Pada hari keputusan PMR diumumkan, Yang Di Pertua PIBG sekolah saya juga menalefon saya bertanyakan, berapa orang pelajar dapat “straight ‘A’s”..

Satu lagi, saya perhatikan kadang-kadang masyarakat juga berbangga dengan pencapaian 8A dan 9A sahaja. Bagi calon yang ambil 7 matapelajaran sahaja, walaupun dapat “straight ‘A’s” itu pun dikira amat baik juga… Tetapi bagi calon yang dapat 8A1B sebab mengambil 9 mata pelajaran, itu tidak baik sangat. Soalnya, mana lebih baik, 8A dengan 8A1B?? Atau mana lebih baik 7A dengan 7A1B?? Oh... asal ada B sahaja, itu tidak dikira baik agaknya?

Ini, apa hal yang membanding-bandingkan “straight ‘A’s” dengan bukan “straight ‘A’s” ini?

Ya lah... sekolah saya tahun ini tidak ada seorang calon pun yang dapat “straight ‘A’s”.. Tahun lepas ada juga 2 orang calon yang dapat “straight ‘A’s”. Pelajar terbaik sekolah ini cuma memperolehi pencapaian pencapaian 8A1B sahaja. Pelajar ini bernama Syarifah Sakinah bt. Syed Alwi dari kelas 3KAA. Sekalung tahniah saya ucapkan. Saya juga kenal pelajar ini dan keluarganya. Pelajar ini adalah anak yatim yang kematian ibunya sejak dia kecil lagi. Beliau adik beradik tinggal dengan opahnya sahaja. Penghargaan dan tahniah juga kepada guru-gurunya yang bersungguh-sungguh mendidik dan mengajar sehingga beliau mencapai kejayaan sedemikian.

Apakah pencapaian Syarifah Sakinah ini tak cemerlang kerana tidak “straight ‘A’s”. Apakah pencapaian beliau iaitu 8A1B itu tidak lebih baik daripada pencapaian budak MCKK yang dapat 8A sahaja??

Kepada semua guru tingkatan 1, 2 dan 3 yang telah mengajar dan mendidik calon-calon PMR tahun ini, setinggi-tinggi syabas dan tahniah kerana telah menjalankan tugas sebaik mungkin. Tingkatkan keazaman sempena tahun baru 2010 ini untuk bekerja lebih kuat agar calon PMR tahun depan memperolehi kejayaan lebih baik. Mari kita bersedia menerima pelbagai program yang bakal diatur oleh pihak pentadbir sekolah bagi memajukan anak-anak didik kita...

Allah SWT meletakkan ’ukuran’Nya ke atas kesungguhan usaha sesaorang. Bukannya ke atas pencapaian hasil dari usaha itu. Pencapaian itu adalah hak Allah. Allah yang menentukan segala-galanya. Allah berhak nak memberi kejayaan atau sebaliknya.

Ingatlah cerita seekor burung kecil yang berulang-ulang kali mengangkut sedikit air dalam mulutnya bagi memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim oleh Zamrut. Adakah api itu akan padam? Apabila rakan-rakan burungnya mentertawaakan dia kerana usahanya itu, burung itu berkata, ”Aku telah berusaha sekuat upaya ku, jika Allah tanya, aku akan jawab aku telah melakukan mengikut kemampuanku, urusan samada api itu padam atau tidak, itu urusan Allah”

Begitulah juga, kita mesti berusaha sekuat kemampuan kita untuk mendidik anak-anak murid kita. Sesukar manapun usaha itu, tugas kita mesti dilaksanakan. Nanti kalau di tanya Allah, dapatlah kita menjawab, kita telah bersungguh-sungguh melaksanakannya, urusan samada murid itu berjaya atau tidak, itu Allah yang menentukannya...

Lagipun orang lain juga tahu, murid kita bukan murid sekolah asrama penuh yang terpilih, murid kita murid luar bandar, murid yang sekolah menengah mereka adalah sekolah harian biasa. Mereka murid yang sudah tak cemerlang di UPSRnya dulu, dan dah tak diterima di sekolah-sekolah lain....hanya di sekolah ini sahaja! Hanya di sekolah inilah sekolah mereka. Sekolah menengah kesayangan mereka dan orang-orang daerah ini.

Dan, kalau mereka pulak tiada, kita nak mengajar di mana? Bukankah kerana adanya mereka, kita dapat bekerja, dapat memberi sumbangan dan dapat mencari rezeki???? Dan kepada para pelajar, keputusan peperiksaan bukanlah segala-galanya.... Anda masih ada ada banyak peluang dan laluan yang lain....

Kelihatan suasana hari keputusan PMR diumumkan.

Syarifah Sakinah tak dapat menahan air mata ”kegumbiraan”

.

Thursday, December 24, 2009

PMR: 28,188 Pelajar Peroleh Semua A


PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar memperolehi A bagi semua mata pelajaran dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini berbanding 26,378 bagi tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pencapaian cemerlang itu dengan A bagi setiap mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.41 peratus.

Menurutnya, seramai 281,781 calon PMR pada tahun ini memperolehi sekurang-kurangnya gred D bagi semua mata pelajaran berbanding 278,767 calon pada tahun lalu.
"Seramai 397 calon mendapat E untuk semua mata pelajaran berbanding 440 calon pada tahun lalu. Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR 2009 dalam 16 mata pelajaran adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Nilai Gred Purata Nasional (GPN) pula meningkat dari 2.83 pada tahun 2008 kepada 2.78 (2009) tahun ini. Nilai GPN yang lebih kecil adalah lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan PMR 2009 di bilik mesyuarat Kementerian Pelajaran, hari ini.

Calon-calon PMR diukur daripada empat indikator iaitu, pencapaian cemerlang (semua A), pencapaian yang baik (minimum D), pencapaian sangat lemah (semua E) dan pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional(GPN).

Sementara itu, Alimuddin memberitahu, jurang perbezaan pencapaian antara calon bandar dan luar bandar pada keseluruhannya semakin rapat.
Jelasnya, nilai GPN calon bandar meningkat dari 2.72 kepada 2.68 manakala calon luar bandar dari 3.02 kepada 2.97.

"Bilangan calon bandar yang mendapat semua A meningkat daripada 7.86 peratus kepada 8.31 peratus manakala calon luar bandar meningkat dari 2.75 peratus kepada 3.09 peratus," ujarnya.
Bagi calon istimewa yang mengalami rabun serta pendengaran pula, Alimuddin berkata, seramai tujuh calon mendapat semua A.

Berhubung dari segi prestasi mata pelajaran, beliau menjelaskan kesemua mata pelajaran menunjukkan sama ada tiada perubahan atau meningkat sedikit kecuali mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi.

"Diukur dari Gred Purata Mata Pelajaran, Bahasa Melayu menurun dari 2.40 kepada 2.42, Bahasa Inggeris turun dari 3.21 kepada 3.25 dan Bahasa Punjabi turun dari 1.70 kepada 2.02," katanya.

Dalam pada itu, Alimuddin memberitahu, seramai 12 calon Sekolah Seni Malaysia memperolehi gred A bagi semua mata pelajaran teras yang diduduki dalam PMR tahun ini.
Kementerian Pelajaran buat julung kali memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Kesenian dalam PMR tahun ini.
Calon yang mengambil mata pelajaran tersebut mulai tingkatan satu pada tahun 2007 belajar di Sekolah Seni Johor Bahru dan Sekolah Seni Kuching.
Empat bidang kesenian yang ditawarkan ialah Tari, Muzik, Teater dan Seni Visual.
"Bidang teater menunjukkan pencapaian tertinggi dari segi peratusan bilangan memperoleh Band 4 (tertinggi), diikuti Muzik, Seni Visual dan Tari," katanya.

Sejumlah 475,182 calon yang menduduki PMR tahun ini. Daripada jumlah itu, 442,611 (93.1 peratus) adalah calon daripada sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.
Manakala 4,150 pelajar (0.9 peratus) adalah calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 13,234 (2.8 peratus) calon sekolah swasta, 13,561 calon sekolah agama tadbiran kerajaan negeri (2.9 peratus), 1,288 calon (0.2 peratus) sekolah agama rakyat dan 333 calon (0.1 peratus) persendirian.
Berita daripada mstar 24 Disember 2009
.

Tuesday, December 22, 2009

Kenduri kahwin di mana-mana...


Musim cuti sekolah ini dikatakan juga musim kenduri kahwin. Lihat sahajalah pada pada hari Sabtu dan Ahad baru-baru ini, terlalu banyak jemputan untuk menghadiri kenduri kahwin. Saya sendiri menerima hingga sepuluh jemputan kenduri kahwin pada 19 dan 20 Disember. Tentulah saya tidak dapat menghadiri kesemuanya. Mohon maaflah kepada kawan-kawan dan saudara mara yang menjemput tetapi saya tidak dapat hadir itu. Almaklum sahajalah...


Apabila bertemu keadaan di mana terdapat banyak jemputan, saya akan membuat pilihan untuk menghadiri jemputan saudara mara yang rapat atau jemputan jiran-jiran terdekat sahaja.


Tetapi apabila difikir-fikirkan, cuti sekolah ini panjang masanya, iaitu selama 6 minggu. Ada tujuh hari pula dalam seminggu. Yang peliknya orang kenduri kahwin ni nak buat pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Itu yang saya tak berapa nak faham. Kalaulah dibuat pada hari Isnin, Selasa atau Rabu, tentu orang ramai akan datang dan tak berbelah bahagi. Perbelanjaan makan tengahari pun dapat dijimatkan, tak begitu?


Lihatlah seorang anak jiran saya di'tabal sebagai raja sehari' dan sedang diarak dengan paluan kompang... Eh, eh, background itu macam pernah tengok, tetapi di mana ya?


Program Bicara Ilmu



Pada hari Sabtu 19 Disember yang lepas, di kampung saya diadakan Program Bicara Ilmu sempena majlis Konvensyen Modal Insan peringkat luar bandar Negeri Perak bagi tahun 2009.
Majlis yang dianjurkan oleh FELCRA dan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah itu diadakan di Masjid Sultan Yusuf Kampung Jeliang dengan kerjasama pegawai-pegawai FELCRA gugusan Keledang-Sayong dan ahli-ahli jawatankuasa Masjid.

Program Bicara Ilmu yang bermula jam 4.00 hingga 7.00 petang itu disampaikan oleh Prof. Dato’ Abu Bakar bin Mohd. Diah, Timbalan Naib Canselor Universiti Teknikal Melaka. Tajuk yang dibicarakan ialah ”Rumah Tangga Bahagia, Keluarga Sejahtera”

Saya hadir ke program tersebut dengan membawa isteri dan 3 orang anak saya yang sedang bercuti di kampung. Banyak perkara yang kami dapat di majlis yang padat dengan ilmu dan pengetahuan itu. Antaranya peranan ahli keluarga, kemahiran-kemahiran yang perlu untuk mencapai keluarga bahagia dan sebagainya.

Sayangnya, majlis yang begini berfaedah tidak dihadiri oleh ramai orang. Saya tak pasti bilangan kehadiran yang tepat, tetapi sasaran pihak penganjur hendakkan 300 orang hadir memang tidak tercapai. Sedangkan makluman dan pemberitahuan telah diwar-warkan melalui kain-kain rentang dan siaran radio Perak FM. Bila saya risik dan bertanya, jawapan lazim yang diberikan ialah sibuk kerana pergi kenduri kahwin... Pukul 4.00 petang kenduri kahwin apa?


Saturday, December 19, 2009

Salam Maal Hijrah 1431




Saya menyambut detik tahun baru 1431 pada petang Khamis lalu hanya di dalam kereta sahaja kerana saya di dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Manong. Apabila tiba saat hampir waktu Maghrib, saya, isteri dan anak-anak meng'amin' kan doa akhir tahun dan doa awal tahun yang dibacakan oleh ustaz di 'siaran langsung dari Masjid Alam Shah Kelang di radio Selangor FM. Kemudian kami berhenti di R&R Rawang untuk sembahyang Maghrib dan Isyak secara Jamak Qasar.

Diharapkan sempena tahun hijrah yang baru, kita akan dapat melaksanakan tugas sebagai 'khalifah Allah' dengan lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya.

Kepada semua pembaca blog ini saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 1431 Hijriah. Didoakan semua kita akan sentiasa mendapat kesejahteraan dan dapat menjalankan tugas dan peranan masing-masing dengan lebih cemerlang... Amin!



Majlis Graduasi SBPI

Pada hari Khamis 17 Disember 2009 saya menghadiri Majlis Graduasi SBPI Rawang di Hotel De Palma, Ampang. Majlis bagi meraikan pelajar-pelajar tingkatan 5 yang telah menamatkan peperiksaan SPM pada 16 Disember itu dikenali juga sebagai Majlis Sireh Pulang Ke Gagang. Simbolik majlis yang diadakan itu ialah pihak pentadbiran sekolah ingin menyerahkan kembali anak-anak yang telah mereka didik selama 5 tahun kepada ibubapa penjaga masing-masing.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas jasa baik pihak sekolah berkenaan yang mendidik dan memberi pelajaran kepada anak saya Mohamad Rusydi selama beliau belajar di sekolah berkenaan. Masa selama 5 tahun dirasakan singkat sahaja apabila anak-anak itu selesai belajar. Batch pelajar tingkatan 5 itu mendatar sebagai pelajar sekolah berasrama penuh pada 5 Januari 2005. Itulah sebabnya batch itu digelar batch 05-09.

Selama 5 tahun saya berulang alik ke sekolah berkenaan kerana menghantar, mengambil dan menziarahi anak saya di asrama di Bandar Tasik Puteri, Rawang itu, saya menyaksikan banyak perubahan dan kelainan program-program pendidikan yang disusun dan dilaksanakan di sekolah berasrama penuh berbanding program pendidikan di sekolah harian biasa. Mungkin disebabkan program sedemikian pencapaian sekolah-sekolah berasrama penuh lebih baik dari sekolah-sekolah lain. Diharap Mohamad Rusydi dan rakan-rakannya akan memperolehi kegemilangan di dalam keputusan peperiksaan SPM yang bakal keluar pada bulan Mac 2010 nanti...


Kelihatan seronoknya para 'graduan' sebaik selesai majlis penyampaian sijil graduasi.


Sebahagian ibu bapa dan hadirin yang menghadiri majlis di hotel itu.

Sunday, December 13, 2009

Kereta lama nombor plat baru...

Hari Selasa lepas, saya mengambil kereta Honda Accord yang saya beli dari sebuah kedai kereta terpakai di Ipoh. Saya telah berurusan dengan kedai tersebut sejak 23 November 2009 lagi. Buat pertama kalinya saya memandu kereta itu dalam perjalanan balik dari Ipoh, hujan turun dengan lebatnya. Sesampai di rumah, habis 'kilat' kereta itu yang dipolish oleh pihak kedai tersebut.

Tercapailah hasrat saya untuk memiliki kereta 'hampir mewah' itu, walaupun ianya hanya sebuah kereta second-hand. Maka berhutanglah lagi saya... kali ini dengan Public Islamic Bank. Pembelian secara sewa beli dengan kaedah i-AlTab berlandaskan prinsip al-ijarah Thumma al-bai itu adalah selama 5 tahun.

Walaupun kereta itu second-hond, bagi orang yang tak perasan, mereka akan kata saya membeli kereta baru kerana nombor platnya baru. Memang senggaja saya menukarkan nombor platnya kepada nombor baru, kerana kereta itu pada saya adalah tersangat baru. Tak mampu nak beli model yang baru, jadi saya beli model lama tetapi gunakan nombor plat baru pun jadilah...

Ada kawan-kawan yang bertanya saya bagaimana nak daftar kereta lama dengan nombor plat yang baru. Ha.. itu, kena lah menuntut 'ilmu' dulu... tanyalah JPJ!

Lihatlah meter perjalanan kereta itu semasa saya mula membelinya , baru 34 ribu km sahaja walaupun umurnya dah 3 tahun 7 bulan.


Oh.. tak nampak ke? Maafle memang disenggajakan..., Kereta saya itu berwarna hitam, pekat, berkilat ... ambil gambar di waktu malam gelap pulak! .... he he...

Thursday, December 10, 2009

Tidak, saya tidak demam..!

Sudah lebih seminggu saya tidak membuat sebarang 'post' baru kepada blog saya ini. Rupa-rupanya sudah ada kawan-kawan yang bertanya kenapa dengan 'cikgu zuhairi manong'? Dia demam ke? atau dia dah lupa password ke?

Terima kasihlah di atas 'peduli' kawan-kawan. Ini menunjukkan kawan-kawan membuka blog saya kalau pun tidak menjadi 'peminat' kepada blog ini. Ewah!

Sebenarnya saya tidak demam dan tidak juga lupa password blog ini. Cuma selama seminggu ini saya tidak berada di 'kawasan' kerana menghadiri satu 'kursus' di Kelang Selangor. 'Kursus' ini memerlukan tumpuan yang amat tinggi terhadap tugasan yang nak dibuat. Jadi saya tidak bawa laptop saya ke sana, maka tak dapatlah nak update blog ini...

Ok, lihatlah fenomina sungai Kelang yang 'tepu' ini walaupun dihiasi di kiri kanannya dengan bangunan-bangunan yang cantik!


Monday, November 30, 2009

Lebuhraya sesak

Hari Ahad semalam saya ke Kuala Lumpur kerana menghantar anak-anak saya balik ke asrama dan kolej masing-masing setelah bercuti hari raya aidil adha. Memang kami bertolak awal pagi kerana, pertama saya sudah menjangkakan kesesakan di lebuhraya, dan kedua saya nak cepat kerana nak balik semula ke rumah pada hari yang sama.

Di sebelah petang hingga malam, iaitu di dalam perjalanan balik ke rumah, saya menyaksikan kesesakan yang amat sangat di lebuhraya PLUS, terutama dari Slim River ke Gopeng. Deretan kereta bersesak-sesak menuju ke selatan, tetapi jalan ke utara, lancar seperti biasa. Saya nampak di R&R Ulu Bernam dan Tapah, kereta dah tak boleh nak masuk...

Saya terfikir, kenapalah orang-orang KL ini tak mahu balik awal-awal pagi seperti saya pagi tadi, jalan masih lancar dan tiada masalah. Kenapa mereka menunggu untuk balik di sebelah petang? Mungkin tak puas lagi berhari raya aidiladha atau mungkin tengah berkorban lagi ?

Saya keluar melalui tol Gopeng untuk ke Batu Gajah, Parit dan terus balik ke Manong. Sepanjang jalan yang saya lalui juga sesak mungkin kerana pemandu-pemandu ke KL dan ke selatan ini menggunakan jalan alternatif tetapi masih sesak juga..

Itulah negara kita. Fenomina balik ke kampung menjadi suatu kemestian apabila ada hariraya walaupun tiada cuti panjang. Moralnya, 1. Kebanyakan penduduk negara kita mempunyai kenderaan sendiri sebab itu mereka tak mahu menaiki kenderaan awam seperti bas dan keretapi. 2. Sikap tak merancang waktu perjalanan seperti ini boleh menyebabkan kesesakan dan menyusahkan diri sendiri. Tak tahulah pukul berapa baru mereka sampai KL?



Gambar kesesakan ini saya ambil dalam satu laman web, tetapi bukan kesesakan
pada hari semalam....

.

Saturday, November 28, 2009

13 ekor tetapi orang punya..

Selama dua hari berturut-turut, saya bersama-sama penduduk kampung, membantu menguruskan ibadat korban kepunyaan peserta-peserta dari kampong saya dan sekitarnya. Pada hari yang Jumaat sebanyak 4 ekor lembu dikorbankan di masjid Sultan Yusuf Kampung Jeliang. Manakala pada hari Sabtu pula sebanyak 13 ekor lembu dikorbankan di Pusat Pengajian Pondok Ar Ridzuan Jalan Badak.



Apa yang menyedihkan saya, saya sendiri tak dapat menyertai ibadat korban itu. Asyik sibuk dengan hal-hal lain, saya tak sempat mendaftar untuk menyertai korban pada tahun ini. Apabila sudah last-minute, pihak urusetia tak dapat menerimanya lagi. Bila saya mendengar ceramah agama mengenai fadhilat korban di radio Perak FM, terasa sangat ruginya apabila kita tidak berkorban kerana ia adalah satu ibadat sunat muakkad yakni yang sangat-sangat di tuntut oleh agama kita..

Islam mensyariatkan ibadah korban itu sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah korban juga adalah sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah di atas segala nikmat dan rezeki yang telah diberikan-Nya.




Antara hikmat dari pensyariatan ibadah korban itu pula ialah :

1. Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s. sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibasy. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya maksudnya :"Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya".

2. Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

3. Memupuk sikap pemeduliaan dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

4. Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah SWT.

Memandangkan ibadah korban itu mempunyai hikmah dan kelebihan yang amat banyak, maka sudah sewajarnyalah kita merebut peluang ini dengan melakukan korban pada hari raya aidil adha . Sama-samalah kita berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dapat melakukan ibadah korban pada masa depan....

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidil Adha


Esok adalah hari raya aidiladha. Entah macam mana bagi kita di negeri Perak ini, sambutan hariraya ini tidak semeriah hari raya puasa. Berbeza dengan negeri-negeri pantai timur di mana sambutan hariraya ini lebih meriah. Malam ini kita disunatkan bertakbir sebanyak-banyaknya sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat Tuhan yang kita terima selama ini. Takbir ini boleh dilakukan selama 4 hari iaitu sehingga selesai hari-hari tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah.


Di sini saya sertakan cerita sejarah besar dan agung iaitu kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail yang diperintah Allah melakukan pengorbanan yang sangat hebat. Tidak ada manusia lain yang mampu melakukan sebagaimana Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Cerita ini saya petik dari laman web Wikipedia untuk kita baca dan ambil pengajaran. Kisah ini jugalah permulaan ibadat korban yang dilakukan oleh orang-orang Islam sehingga pada hari ini...

Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim. Ia duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat yang ia hadapi.

Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyampung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan qurban dan harus direnggut nyawa oleh tangan si ayah sendiri.

Namun ia sebagai seorang Nabi, pesuruh Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam bertaat kepada Allah, menjalankan segala perintah-Nya dan menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Ia harus melaksanakan perintah Allah yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat pelaksanaan perintah itu.

Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya". Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Nabi Ismail puteranya sebagai qurban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya. Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah perintahkan.

Nabi Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata kepada ayahnya:
"Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, Kedua, agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya,

Ketiga, tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar menringankan penderitaan dan rasa pedihku, Keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."
Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata: "Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah".

Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain.

Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Nabi Ismail dan penyembelihan di lakukan . Akan tetapi apa daya, parang yang sudah demikian tajamnya itu ternyata menjadi tumpul dileher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah perkorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan perkorbanan puteranya. untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahwa parang itu tidak lut memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:" Wahai ayahku!


Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku. "Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.

Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan".


Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap kali hari raya aidil adha di seluruh pelosok dunia.
.

Tuesday, November 24, 2009

Tuntutan untuk berkorban...

.Dua hari lagi umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidil adha. Bagi umat Islam yang menunaikan fardhu haji di Makkah, esok sudah tentulah mereka berangkat ke Padang Arafah untuk berukuf. Lusa mereka akan ke Musdalifah dan seterusnya akan bermalam di Mina untuk melontar di Jamrah-jamrah selama 4 hari. Masa-masa inilah kemuncak menunaikan ibadat fardhu haji.

Bagi orang Islam yang lain, kita dituntut melaksanakan ibadat korban iaitu menyembelih binatang ternakan kerana patuh dan taat kepada perintah Allah.

Berikut beberapa ingatan untuk kita bersama di dalam melaksanakan ibadat korban ini:

1. Waktu perlaksanaan ibadah korban.

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat hari raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat hari raya Aidiladha. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.

Sabda Rasulullah s.a.w:Maksudnya:"Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1961


2. Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan.

Kita hendaklah pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.

Sabda Rasulullah s.a.w:Maksudnya:"Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, 2420.

3. Tidak menggunting rambut dan memotong kuku.

Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w:Maksudnya:"Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.

4. Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian.

Jabir r.a berkata:Maksudnya:"Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1318.


5. Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya.

Seseorang dibenarkan berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian dari tujuh bahagian itu.

Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Abu Ayyub menjawab:Maksudnya:"Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1425.

6. Ibadah korban dilaksanakan di musolla.

“Mengerjakan solat Hari Raya di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi s.a.w. keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya.

”Oleh itu disunnahkan melaksanakan ibadah korban di tanah lapang yang digunakan untuk mengerjakan solat Aidiladha (musolla) demi memperlihatkan syiar Islam.Menurut Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:Maksudnya:"Sudah menjadi kebiasaan baginda menyembelih dan berkorban di musolla." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5552.

7. Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban.

Sunnah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.Anas r.a berkata:Maksudnya:"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.

8. Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah.

Hendaklah menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta. Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر).

Anas r.a berkata:Maksudnya:"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama ALLAH dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.

9. Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan.

Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mensedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.

Sabda Nabi s.a.w:Maksudnya:"Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu)." - Hadis riwayat al-Muslim di dalam Sahih al-Muslim, hadis no: 1971.


10. Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban.

Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.Ali r.a berkata:Maksudnya:"Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1317.

Semoga kita menjadi orang ikhlas dalam melakukan ibadat korban ini....

Kereta 'Second-hand'



Jika tak ada duit yang banyak, tak usahlah membeli kereta baru... buat apa berhutang banyak, nanti tak sanggup membayarnya. Memadailah membeli kereta second-hand...


Berikut dinyatakan tip membeli kereta second-hand yang saya dapat di dalam satu web side :...

Badan kereta yang cantik dan cat berkilat tidak semestinya kereta terpakai yang ingin anda beli itu dalam keadaan baik terutama bahagian enjin. Langkah pertama buka penutup depan untuk melihat enjinnya. Enjin kereta itu sepatutnya bersih, tetapi tidak semestinya sampai berkilat.


Kemudian duduk di tempat duduk kereta itu dan cuba rasakan keselesaannya. Kereta yang anda pilih mestilah sesuai dan selesa untuk anda. Steringnya mestilah hanya dapat digerakkan dalam jarak dua inci pada keadaan biasa dan tidak ada sebarang bunyi apabila memusingkannya. Periksa penyelaras tempat duduk, kunci pintu, penaik cermin tingkap, hon, lampu, lampu isyarat, radio dan semua kelengkapan yang ada. Sesetengahnya mungkin tidak penting, tetapi ia mungkin dapat menunjukkan kepada anda bagaimana kereta itu dijaga. ·

Selepas itu hidupkan enjin. Ia sepatutnya hidup dengan cepat dan kemudian beransur-ansur perlahan. Biarkan selama satu atau dua saat sebelum anda menekan pedal minyak. Lihat asap yang keluar di belakang. Asap biru bermakna enjin dioverhaul sepenuhnya. Jika asap hitam bermakna karburatornya tidak sesuai.Asap putih tidak menandakan kecacatan apa-apa jika enjin dalam keadaan sejuk, tetapi jika enjin telah panas ini bermakna kepala gasket bocor. Ini memerlukan perbelanjaan yang besar. Oleh itu jangan beli kereta itu.


Enjin yang kuat bergegar juga menunjukkan kereta itu tidak begitu baik untuk dibeli. Setelah enjin dipanaskan, matikan sekejap dan cuba anda sapu jari anda ke dalam ekzos (pastikan ekzos itu tidak panas). Keladaknya sepatutnya berwarna kelabu keputih-putihan. Jika ia berwarna hitam atau berminyak, ketepikan saja kereta itu. Hidupkan enjin semula dan periksa minyak di dalam transmision automatik. Ia mestilah bersih tanpa ada bau terbakar. ·

Jurujual mungkin cuba meyakinkan anda bahawa membuat uji pandu dalam jarak yang dekat seperti di sekitar sebuah bangunan sudah memadai. Ini tidak benar. Nyatakan kepadanya anda mahu membuat ujian jalan raya terhadap kereta itu. Jika jurujual itu tidak begitu berminat. Cari saja kereta di tempat lain. Jalan yang anda rancang untuk dilalui mestilah termasuk jalan kering, jalan yang lengang, jalan berbukit, jalan tidak rata dan ruang letak kereta yang kosong. Semua meter pengukur mestilah berfungsi dengan baik terutama meter tekanan minyak dan suhu enjin. Jika tidak jangan beli kereta itu.


Pandulah ke jalan raya yang lengang dan tingkatkan kelajuan hingga 56 kmj, tranmision automatiknya mestilah bertukar tanpa sebarang bunyi atau tersentak-sentak. Jika kereta itu mempunyai sistem penukaran tangan, ia sepatutnya tidak melekat-lekat atau berkertak. Perlahankan kereta itu hingga 10 kmj dengan mengenakan brek secara perlahan-lahan. Pastikan tidak ada sebarang bunyi. Kereta itu juga mestilah menjadi perlahan dalam keadaan lurus, tanpa terpusing ke kanan atau ke kiri. ·

Tingkatkan kelajuan hingga 25 - 30 kmj kemudian tekan brek secara mengejut (pastikan tiada kereta lain dibelakang anda). Kereta itu mestilah berhenti dengan cepat tanpa terpusing. Di dalam ruang letak kereta yang kosong dan rata, tekan brek hingga kereta itu betul-betul berhenti. Tukar kepada gear undur dan undur pada kelajuan 6 kmj. Kemudian tekan brek hingga berhenti, tukar kepada gear depan dan seterusnya. Lakukan ini empat atau lima kali untuk menguji transmision. Semua penukaran mestilah lancar tanpa ada sebarang bunyi.


Pandu dalam corak nombor 8 untuk menguji tindak balas stering. Jika stering agak liat, ia mungkin berpunca daripada linkage atau sistem gantungan depan. Jangan beli kereta itu kecuali anda diberi jaminan bahawa masalah itu akan dibaiki. Masih di dalam ruang letak kereta yang kosong. Tingkatkan kelajuan hingga kira-kira 30kmj dan lepaskan tangan dari stering selama beberapa saat. Kereta itu mestilah bergerak lurus dan tidak terbabas. Kemudian tekan brek perlahan-lahan tanpa memegang stering. Kereta itu juga mesti berhenti dalam keadaan lurus. Jika ia terpusing, nyatalah kereta ini ada masalah. Pastikan anda diberi jaminan bahawa masalah itu akan dibaiki.·

Kemudian pandu kereta itu di jalan tidak rata yang anda pilih. Jangan beli kereta yang terlalu kuat bergegar atau melambung-lambung. Kereta itu mungkin mempunyai penyerap hentak spring atau bahagian-bahagian sistem gantungan yang rosak. Ketika mendaki bukit. Tingkatkan kelajuan sehingga kira-kira 60 kmj. Kereta itu mestilah tidak tersangkut-sangkut. Jika hal ini berlaku, ini bermakna kereta itu mempunyai transmission yang rosak.


Turun hingga ke pertengahan bukit, tukar kepada gear bebas dan pasang brek tangan. Kereta mestilah tetap apabila anda melepaskan kaki anda daripada pedal brek.Setelah itu balik ke jalan raya biasa, hentikan kereta anda perhatikan ke belakang sebelum meneruskan perjalanan semula dan tingkatkan kelajuan hingga kira-kira 80kmj. Peningkatan kelajuan mestilah lancar dan pastikan tiada asap keluar di belakang dan tidak ada sebarang bunyi yang menunjukkan enjin tidak begitu baik. Jika pecutan (peningkatan kelajuan) mengambil masa lebih 15 saat, ini bermakna enjin tidak begitu baik dan mungkin memerlukan pembaikan dengan perbelanjaan yang mahal. ·

Kembali semula ke ruang letak kereta. Setelah memasuki ruang letak kereta, biarkan enjin selama beberapa minit. Kemudian perhatikan ke bawah kereta sama ada terdapat titisan minyak atau tidak. Angkat penutup enjin dan periksa enjin sekali lagi untuk melihat sebarang kebocoran. Suruh jurujual memandu kereta tersebut melintasi ruang-ruang itu dan kemudian berpatah balik ke arah anda.


Perhatikan sebarang keganjilan yang kelihatan pada kereta itu, sama ada bunyinya atau kawalannya. Ada baiknya anda membawa kereta itu kepada seorang mekanik. Bawalah kereta itu ke stesen servis. Mekanik itu mungkin dapat meneliti beberapa kerosakan yang anda sendiri tidak nampak serta memastikan sama ada kerosakan yang anda kesan itu benar-benar serius atau tidak.Mereka juga boleh membuat ujian tekanan terhadap enjin untuk memeriksa ring atau injap. Sebelum anda membuat pilihan periksa dulu geran kereta itu atau dokumen-dokumen lain. Nombor enjin dan lain-lain mestilah betul. Jangan sampai anda terbeli kereta curi.

Friday, November 20, 2009

Selamat Bercuti 44 hari

Hari ini kami mengadakan perhimpunan khas sempena hari terakhir persekolahan sesi tahun 2009. Perhimpunan di dataran perhimpunan itu bermula jam 7.30 pagi dengan dihadiri oleh semua guru dan pelajar tingkatan 1 hingga 4. Pelajar tingkatan 5 tidak hadir sebab mereka telah pun memulakan peperiksaan SPM mereka sejak hari Rabu yang lepas.

Secara kebetulan, tuan pengetua tidak hadir ke sekolah pada hari ini kerana menghadiri satu mesyuarat lain di luar sekolah. Oleh itu saya diminta untuk memberikan ucap utama di majlis ini. Setelah selesai upacara nyanyian lagu kebangsaan dan lagu negeri Perak, guru bertugas memberi ucapan diikuti dengan pengumuman dari beberapa orang guru lain. Kemudian diadakan majlis penyampaian hadiah untuk beberapa acara yang telah dijalankan sepanjang minggu.

Di dalam ucap utama yang saya sampaikan, saya menasihati para pelajar menggunakan masa cuti sekolah yang panjang nanti dengan aktiviti yang berfaedah. Cuti akhir tahun kali ini adalah mulai 21 November 2009 hingga 3 Januari 2009 iaitu selama 6 minggu atau lebih tepat lagi selama 44 hari. Saya menyatakan kepada mereka, sebenarnya ramai ibubapa atau penjaga sekarang berasa ’susah hati’ apabila anak-anak remaja mereka bercuti dan tidak ke sekolah. Ini kerana anak-anak remaja mereka mungkin boleh melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan sukar dikawal. Sebaliknya jika anak-anak mereka ke sekolah, mereka lebih yakin anak-anak mereka akan selamat dan melakukan proses pembelajaran yang sepatutnya.

Saya juga memberi tip bagaimana para pelajar dapat ’menyejukkan hati’ ibubapa mereka supaya mereka sentiasa merasa senang apabila berdamping dengan anak-anak remajanya.
(i) Hendaklah selalu membaca atau belajar sendiri semasa cuti sekolah ini. Antara bahan yang boleh dibaca seperti buku-buku teks yang telahpun diberikan kepada setiap orang pelajar atau bahan bacaan lain yang berfaedah.
(ii) Menolong ibu membuat kerja rumah seperti membersihkan rumah, menolong membasuh pakaian dan pinggan mangkuk.
(iii) Menolong ibu bapa mencari rezeki seperti menoreh getah, berkebun atau berniaga. Tetapi saya mengingatkan para belajar supaya tidak ’memegang’ wang yang banyak. Ini kerana akan menurunkan semangat ingin belajar lagi sebab sudah terbiasa mempunyai wang yang banyak. Jika ada diberi oleh ibu bapa, simpanlah di dalam bank.
(iv) Sentiasa mendirikan solat 5 waktu. Ibu bapa mana yang tak sejuk hatinya melihat anak-anaknya menunaikan perintah agama itu.
(v) Sentiasa mendoakan kesejahteraan diri dan ibu bapa.
(vi) Membuat projek ringkas seperti berkebun sayur dan sebagainya di dalam tempoh masa cuti ini.
(vii) Akhir sekali jangan bergaul dengan rakan-rakan yang nakal kerana dibimbangi akan terjerumus melakukan aktiviti yang tidak baik.

Di akhir ucapan saya, saya mengucapkan penghargaan dan terimakasih kepada 2 orang guru yang dapat bertukar mulai 1 Disember 2009 ini. Seorang bertukar ke Ipoh dan seorang lagi bertukar ke Taiping.
.

Kelihatan guru yang dapat bertukar memberikan ucapan kepada semua guru dan pelajar.
.

Senarai Semak Akhir Tahun

Pada hari-hari terakhir sebelum sekolah hendak ditutup kerana cuti akhir tahun ini, guru-guru dikehendaki menyelasaikan tugas-tugas mereka dengan sempurna. Satu instrument yang mudah untuk mengukur pelaksanaan tugas ini ialah senarai semak akhir tahun.

Sebagai contoh, guru-guru ketua panitia mestilah melengkapkan fail panitia masing-masing. Semua fail mestilah kemaskini dan mengandungi semua butiran yang sepatutnya. Setiap panitia mestilah telah mengadakan sekurang-kurangnya 4 kali mesyuarat panitia. Oleh itu mestilah ada 4 minit mesyuarat di dalam failnya. Begitu juga mereka mestilah menyediakan bajet perbelanjaan panitia pada tahun hadapan. Oleh itu mereka mestilah mendapatkan jumlah peruntukan yang bakal diperolehi dan senarai perbelanjaan yang hendak dibeli untuk tahun hadapan.

Demikian juga sebagai guru tingkatan, senarai semak tugas mereka seperti buku jadual kedatangan ditutup dengan sempurna. Semua butiran dilengkapkan, semua kutipan yuran diselenggara dengan betul dan sebagainya. Begitu juga guru-guru tingkatan mesti memastikan bilik-bilik darjah di dalam keadaan yang bersih dan susun atur perabutnya kemas serta tidak berselerakan.

Walaupun semua tugas-tugas di dalam beberapa hari ini sangat banyak, tetapi semua guru mesti melaksanakan dengan sebaiknya. Kita hendak sekolah di dalam keadaan yang teratur dan maklumat-maklumat murid, peperiksaan dan sebagainya dapat disimpan kemas dan boleh dikeluarkan apabila diminta oleh pelanggan kita.

Bagi saya, memang sehari dua ini agak sibuk memeriksa, menyemak dan memastikan tugas-tugas di atas telah disempurnakan oleh guru-guru lain. Diharap semua guru dapat menyepurnakan tugas masing-masing ikut senarai semak yang diberikan agar mereka tidaklah pula dipanggil ke sekolah semasa cuti semata-mata untuk menyiapkan tugas yang belum selesai.

Akhirnya selamat bercuti dan selamat berehat dari hadir ke sekolah. InsyaAllah datang semula untuk mesyuarat guru kali pertama tahun 2010 nanti.

Suasana bilik darjah seperti ini dapat dilupakan buat sementara semasa musim cuti ini....

Wednesday, November 18, 2009

Hias kereta...

Ramai kawan-kawan bertanya saya, bila nak berkereta baru? Bukan kawan-kawan di sekolah sahaja, malah kawan-kawan di kampung, di masjid dan sebagainya. Saya sering katakan kepada mereka, kereta saya masih baru lagi, tidak pernah rosak serius, malah kereta saya besar, boleh membawa ramai orang, anak lima orang boleh muat, boleh angkut banyak barang...., bawa kelapa sawit pun boleh! ....

"Biarlah mereka berkereta baru, mereka banyak duit, tak banyak tanggungan", kata saya bila diusik oleh kawan-kawan.

Saya katakan juga, saya sekarang sedang fikir nak hias sahaja kereta itu. Cuma nak pilih corak yang mana satu? Boleh tolong beri idea!

Sama ada yang ini,




Atau yang ini?


Tuesday, November 17, 2009

Tip Malam Peperiksaan..

Esok peperiksaan SPM akan bermula. Saya mendoakan semua calon peperiksaan SMKSTA akan memperolehi kejayaan cemerlang. Berikut saya catatkan beberapa tip yang perlu dilakukan oleh sesaorang calon menjelang hari peperiksaan mereka.

(i) Dapatkan tidur yang mencukupi pada malam peperiksaan. Tidur tidak kurang 6-7 jam agar mudah untuk bangun solat subuh.

(ii) Sediakan alat tulis yang diperlukan ketika peperiksaan.

(iii) Pastikan anda tahu subjek yang akan diambil, waktu dan tempat peperiksaan mengikut jadual yang disediakan.

(iv) Berusaha untuk bersarapan pagi dan menikmatinya dengan tenang.

(v) Sewaktu dalam perjalanan ke dewan peperiksaan, jangan cuba berbincang dengan rakan-rakan tentang tahap ulangkaji mereka.

(vi) Bertawakal kepada Allah s.w.t dan yakin dengan diri anda.

(vii) Duduk di tempat anda. Cubalah berfikiran positif dan optimis. Ucaplah bismillah dan diikuti oleh doa.

(viii) Sewaktu mendapat kertas jawapan, pastikan setiap maklumat peribadi ditulis dengan jelas di tempat yang sepatutnya.

(ix) Setelah menerima kertas soalan, sila pastikan bilangan kertas soalan dengan tepat dan peruntukkan masa yang sesuai untuk menjawabnya.

(x) Serahkan kertas jawapan kepada pengawas peperiksaan setelah segalanya selesai disemak.

Jamuan Akhir Tahun



Pada hari ini diadakan Majlis Jamuan Akhir Tahun Kelab Staf sekolah saya. Majlis yang penuh meriah dan warna warni itu dihadiri hampir kesemua ahli-ahli Kalab Staf.

Sebelum menikmati jamuan makan, beberapa 'orang besar' kelab staf menyampaikan ucapan. Kemudian diikuti dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan antara staf yang diadakan. Antaranya pertandingan badminton, pingpong dan sofbol.




Selepas menikmati juadah special sempena jamuan itu, keputusan peraduan "teka bilangan kacang hijau" diumumkan. Tak sangka betul kacang hijau di dalam botol sebesar itu bilangannya melebihi 4000 biji. Saya ingat paling tinggi 1000 biji sahaja. Bagitulah banyaknya rezeki yang Allah beri kepada kita, makan bubur kacang sepiring aje entah berapa ratus biji kacangnya...
Apa pun tahniah lah kepada cikgu yang berjaya meneka hampir tepat tu... Satu lagi, tahniah juga kepada AJK kelab staf yang berjaya menganjurkan majlis secantik itu!!




Program Sihat dan Cergas

Hari ini di sekolah saya diadakan Program Sihat dan Cergas anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling. Program ini disasarkan kepada 50 orang pelajar yang didapati pernah melakukan kesalahan merokok. Program sehari suntuk di dewan blok F ini mendapat kerjasama dari Jabatan Kesihatan Daerah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Antara objektif program ini ialah para peserta akan
(i) meningkatkan pengetahuan mengenai bahaya rokok .
(ii) membina kemahiran diri dalam pencegahan rokok.
(iii)mengenalpasti potensi diri masing-masing dalam menghadapi masa depan yang mencabar
(iv) membina jatidiri berasaskan kesepaduan komponen jasmani, emosi, rohani dan intelek.


Sewaktu majlis penutup, saya mewakili tuan pengetua menyampaikan sedikit ucapan. Selain mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai agensi

berkaitan yang membantu menjayakan program ini, saya juga menasihatkan para peserta agar mengambil pangajaran dari ceramah dan gambar-gambar slaid yang disampaikan semasa program ini diadakan.

”Cubalah berfikir secara positif apabila melihat gambar-gambar pada kotak rokok apabila kamu hendak merokok. Bayangkan organ dalam badan kamu seperti paru-paru dan jantung yang rosak dan tak berfungsi apabila kamu merokok...”, Semoga terbukalah hati anak-anak bangsa ini meninggalkan tabiaat merokok!

Saturday, November 14, 2009

Air zam zam




.


MEKAH: Jemaah haji yang mengunjungi Masjidil Haram untuk mengerjakan umrah, solat berjemaah atau ibadah lain tidak perlu bimbang sekiranya merasa haus.
Ini kerana di setiap sudut Masjidil Haram air zam zam mudah diperoleh, lengkap dengan gelas pakai buang...hanya picit punat bekas takungan air atau pili lalu airpun terpancut keluar dan segala-galanya percuma. Di tempat tawaf, tempat sa'i, di halaman masjid air yang berkhasiat ini sentiasa tersedia.


Ketika pulang dari Masjidil Haram, banyak jemaah terlebih dahulu mengisi botol airnya dengan air zam zam lalu dijinjing untuk di bawa ke tempat penginapan masing-masing. Memang menjimatkan kerana mereka tidak perlu membazir membeli air mineral yang harganya di tanah suci ialah 2SR bagi botol kecil dan 4SR bagi botol besar.


Jemaah dari segenap penjuru dunia yang dianggar dua juta orang juga akan diberi lima liter air zam zam ketika pulang ke tanah air masing-masing.


Pengarah pengagihan air zamzam di Masjidil Haram Aifan Al-Juaid baru-baru ini berkata penggunaan harian air zam zam secara purata ialah 100 meter padu pada hari biasa dan jumlah itu berganda kepada 200 meter padu pada Jumaat, manakala pada bulan Ramadan dan musim Haji, ia meningkat kepada lebih 1,000 meter padu.


Al-Juaid berkata jemaah boleh meminum air zam zam di 90 tempat air itu ditempatkan dengan 1,100 paip di dalam masjid dan di 43 kawasan dengan 100 paip di perkarangan masjid. BERNAMA

Majlis Konvokesyen Tadika Islam Perak

.
Hari ini saya menghadiri Majlis Konvokesyen Tadika Islam Perak Daerah Kuala Kangsar bertempat di Perak Riverside Resort. Majlis yang bermula jam 9.00 pagi itu menggabungkan konvokesyen bagi 5 buah Tadika Islam Perak (TIP) yang terdapat di daerah Kuala Kangsar ini. Tadika-tadika itu ialah TIP Kuala Kangsar, TIP Kota Lama Kiri, TIP RPA 4, TIP Sungai Siput(U) dan TIP Kampung Jeliang Manong.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh A.F. Ustaz Kamal Ezzat b. Ahmed, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Kuala Kangsar. Di majlis ini, saya selaku Pengerusi JK TIP Jeliang telah dipilih untuk menyampaikan ucapan aluan bagi mewakili pengerusi kelima-lima TIP ini.

Di dalam ucapan saya, saya menyeru para ibu bapa menitik beratkan pendidikan khususnya pendidikan agama untuk anak-anak semenjak mereka masih lagi kecil. Betapa sibuknya kita menjalankan tugas seharian, tanggungjawab mendidik anak-anak jangan sesekali diabaikan. Jika kita membiarkan anak-anak tanpa didikan agama yang kuat, anak-anak itu akan terbiar dibawa oleh arus yang menyimpang jauh dari tuntutan hidup sebagai umat Islam.


Saya mengiringi Tuan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah KK menyampaikan hadiah dan sijil kepada semua ’graduan’.

Lihatlah betapa hebatnya anak-anak tadika ini membuat persembahan


Ada persembahan nasyid, nyanyian, lakunan dan sebagainya. Sungguh mengasyikkan!


....... Bertuahnya, anak siapa ni?



Friday, November 13, 2009

Pengalaman Salih Al Maizi

Berikut saya ‘panjangkan’ suatu cerita yang saya baca dari blog isuhangat.net berkait dengan tazkirah Jumaat bertajuk Hadiah Malam Jumaat.

Pada suatu malam bertepatan malam Jumaat Salih Al Maizi pergi ke masjid jamik untuk mengerjakan solat subuh.

Kebiasaannya ia berangkat awal sebelum masuk waktu subuh dan melalui sebuah pekuburan. Di situ Salih duduk sekejap sambil membaca apa-apa yang boleh mendatangkan pahala bagi ahli kubur memandangkan waktu subuh masih lama lagi. Tiba-tiba dia tertidur dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing.

Mereka duduk dalam kumpulan-kumpulan sambil berbual-bual sesama mereka. Al Mazy ternampak seorang pemuda ahli kubur memakai baju kotor serta tidak berkumpul dengan ahli-ahli kubur yang lain. Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah murung, gelisah kerana sedih.

Tidak berapa lama kemudian datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutup dengan saputangan, seolah-olah seperti cahaya yang gemerlapan. Malaikat mendatangi para ahli kubur dengan membawa talam-talam itu, tiap seorang mengambil satu talam dan dibawanya masuk ke dalam kuburnya. Semua ahli kubur mendapat satu talam seorang sehingga tinggallah si pemuda yang kelihatan sedih itu seorang diri tidak mendapat apa-apa. Dengan perasaan yang sedih dan duka dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya.

Tapi sebelum dia masuk Al Maizy yang bermimpi segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya. “Wahai hamba Allah ! Aku lihat engkau terlalu sedih mengapa ?” tanya Salih Al Maizy. “Wahai Salih, adakah engkau lihat talam-talam yang dibawa masuk oleh malaikat sebentar tadi ?” tanya pemuda itu.“Ya aku melihatnya. Tapi apa benda di dalam talam-talam itu ?” tanya AlMaizy lagi.

Si pemuda menerangkan bahwa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang sudah mati yang terdiri dari pahala sedekah, bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang setiap malam Jumaat atau pada hari Jumaat. Si pemuda kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar. Katanya dia ada seorang ibu yang masih hidup di alam dunia bahkan telah berkahwin dengan suami baru. Akibatnya dia lupa untuk bersedekah untuk anaknya yang sudah meninggal dunia sehingga tidak ada lagi orang yang mengingati si pemuda. Maka sedihlah si pemuda setiap malam dan hari Jumaat apabila melihat orang-orang lain menerima hadiah sedangkan dia seorang tidak menerimanya.

Al-Maizy sangat kasihan mendengarkan cerita si pemuda, lalu ia bertanya nama dan alamat ibunya ia dapat menyampaikan keadaan anaknya. Si pemuda menerangkan sifat-sifat ibunya. Kemudian Al Maizy terjaga.

Pada sebelah paginya Al Maizy terus pergi mencari alamat ibu pemuda tersebut.Setelah mencari ke sana ke mari beliaupun berjumpa ibu si pemuda tersebut lantas menceritakan perihal mimpinya. Ibunya menangis mendengar keterangan Al Mazy mengenai nasib anaknya yang merana di alam barzah. Kemudian ia berkata: "Wahai salih ! Memang betul dia adalah anakku. Dialah belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku. Dia membesar dengan minum susu dari dadaku dan ribaanku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya.”

Al Maizy turut sedih melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis penuh penyesalan kerna tidak ingat untuk mendoakan anaknya selama ini. “Kalau begitu saya mohon minta diri dahulu.” Kata Al maizy lalu bangun meninggalkan wanita tersebut. Tatkala dia cuba untuk melangkah si ibu menahannya agar jangan pulang dahulu. Dia masuk ke dalam biliknya lalu keluar dengan membawa wang sebanyak seribu dirham.

“Wahai Salih, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku, cahaya mataku. Insya Allah aku tidak akan melupakannya untuk berdoa dan bersedekah untukya selama aku masih hidup.” Salih Al Maizy mengambil wang itu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak sesenpun dari seribu dirham itu yang tinggal. Dilakukannya semua itu sebagai memenuhi amanah yang diberi kepadanya oleh ibu pemuda tersebut.

Pada suatu malam Jumaat di belakang selepas itu, Al Maizy berangkat ke masjid jamik untuk solat jamaah. Dalam perjalanan sebagaimana biasa ia singgah di perkuburan. Di situlah ia terlena sekejap dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing-masing. Si pemuda yang dulunya kelihatan sedih seorang diri kini keluar bersama-sama dengan memakai pakaian putih yang cantik serta mukanya kelihatan sangat gumbira. Pemuda tersebut mendekati Salih Al Maizy seraya berkata :

“Wahai tuan Salih, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu.” “Hadiah dari ibuku telah ku terima pada hari Jumaat.” katanya lagi.

“Eh, Engkau boleh mengetahui hari Jumaat ?” tanya Al Maizy. “Ya, Tahu.” “Apa tandanya ?” “Jika burung-burung di udara berkicau dan berkata “Selamat, selamat pada hari yang baik ini, yakni hari Jumaat.”

Salih Al Maizy terjaga dari tidurnya. Ia cuba mengingati mimpinya dan merasa gumbira kerana si pemuda telah mendapat rahmat dari Allah disebabkan sedekah dan doa dari ibunya.

Wallahualam

Ustaz juara pertandingan pingpong


.

Pertandingan akhir kejohanan pingpong antara staf yang disambung petang tadi menemukan dua orang ustaz muda, seorang dari Kedah dan seorang dari Kelantan. Setelah melalui kemenangan-kemenangan di peringkat kumpulan, kedua-dua mereka terus menang bergaya di peringkat suku akhir dan separuh akhir. Seorang demi seorang guru ditumpaskan oleh mereka termasuklah orang yang menulis blog ini yang tewas di peringkat suku akhir(ewah!!)

Di peringkat akhir, kedua-duanya bermain penuh dengan semangat kesukanan dan disaksikan oleh guru-guru lain. Pertandingan sangat sengit. Penuh dramatik. Sokongan padu dari penyokong-penyokong kedua-dua negeri itu memeriahkan suasana dataran blok G. Nasib baik tak ada yang melempar botol air mineral atau membakar kerusi stadium!

Nak tahu kesudahannya, tanyalah siapa yang hadir tadi.

Okey, okey... saya akan beritahu.. Keputusannya ustaz dari Kedah menang dengan ‘rubber-game’. Tahniah diucapkan!


Semua dah siap!


.

Pelbagai program dan aktiviti telah dilalui. Bermula dari program motivasi, teknik belajar sehinggalah ke teknik menjawab soalan peperiksaan. Beranika soalan latihtubi telah dijawab. Baik soalan-soalan objektif mahupun soalan subjektif. Pelbagai jenis peperiksaan telah juga telah dimasuki, dari ujian-ujian selaras, peperiksaan pertengahan tahun, ujian pra percubaan, peperiksaan percubaan dan kemudian peperiksaan pasca percubaan. Akhir sekali, agenda “pecutan akhir” juga telah selesai. Itulah pelajar tingkatan 5 tahun ini. Semuanya telah selesai dan kini mereka siap sedia untuk menduduki peperiksaan bertulis pada minggu depan.

Hari ini dewan peperiksaan pula disusun atur. Kesemua calon sudah ‘mencuba duduk’ dan merasai ’medan’ perjuangan mereka mulai 18 November ini. Kerusi meja disusun begitu kemas sekali. Bilik peperiksaan kelihatan begitu ’ekslusif’; jauh dari bunyi deruan kenderaan. Cuma sesekali kedengaran bunyi kicauan unggas dari banjaran hutan berhampiran. Amat sesuai untuk menenangkan fikiran dan menjawab soalan-soalan.

Semoga mereka mendapat kejayaan yang cemerlang. Kami guru-guru tumpang berbangga jika mereka berjaya nanti.....

Thursday, November 12, 2009

Gunung batu berwajah 'manusia'

Di antara keunikan gambar-gambar gunung batu berikut ialah ianya menyerupai muka manusia. Itulah 'incredible faces in the rock'! Katakan "subhanaLlah!"






Sekolah Berprestasi Tinggi Tanda Aras Kecemerlangan Pendidikan

Berita mengenai pendidikan hari ini...
JITRA, 12 Nov (Bernama) -- Matlamat utama Kementerian Pelajaran ialah untuk menjadikan sekolah berprestasi tinggi sebagai tanda aras kecemerlangan bagi dicontohi sekolah lain terutama sekolah kebangsaan.Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata memandangkan status berprestasi tinggi akan diberikan kepada sekolah yang mencapai atau melebihi tanda aras itu, kerajaan berharap lebih banyak sekolah berusaha meningkatkan kualiti dan menjadi pilihan utama semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam pendidikan, kerajaan meletakkan sasaran untuk mewujudkan 100 sekolah berprestasi tinggi menjelang 2012."Status itu akan diberi kepada sekolah terbaik yang mempunyai identiti unik yang membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan."Sekolah-sekolah ini akan mempunyai budaya kerja yang kuat dan cemerlang dan melahirkan modal insan yang dinamik untuk pembangunan negara," katanya ketika berucap pada penutup persidangan mengenai Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, di sini Khamis.

Muhyiddin berkata dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah, adalah penting untuk melahirkan pemimpin yang berprestasi tinggi di kalangan pemimpin sekolah."Guru Besar, pengetua dan pasukan kepimpinan sekolah mesti dinamik, tekun, berdisiplin, pakar dalam bidang mereka dan berorientasikan hasil."Dalam membina kecemerlangan, pemimpin sekolah mesti mengenalpasti secara spesifik cabaran yang perlu ditangani, mempunyai fokus yang jelas mengenai hasil dan prestasi yang ingin dicapai dan mengamalkan secara berterusan budaya ingin cemerlang," katanya.

Beliau berkata mereka perlu mempunyai sikap sanggup menerima cabaran dan sentiasa berusaha mencari idea dan amalan baru dalam meningkatkan kualiti pengurusan sekolah dan pembelajaran.Muhyiddin berkata tanpa pemimpin yang mempunyai prestasi tinggi, pelajar tidak akan cemerlang dan kualiti sekolah akan menurun.-- BERNAMA

Wednesday, November 11, 2009

Hari Anugerah Kokurikulum 2009



Hari ini diadakan Majlis Hari Anugerah Kokurikulum Peringkat Sekolah saya bagi tahun 2009. Majlis yang diadakan bagi tujuan menghargai pencapaian para pelajar di dalam aktiviti kokurikulum itu dirasmikan oleh Tn Hj Shamsuddin b Md Zainal Abidin sebagai wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Kangsar.

Oleh kerana hari hujan pada sebelah pagi, majlis itu tertangguh kira-kira 1 jam. Namun apabila majlis bermula, ia berjalan lancar dan agak meriah juga. Turut hadir ialah YDP PIBG, timbalannya, AJK PIBG serta juga ibubapa yang anak-anak mereka menerima penghargaan pada majlis itu.

Majlis dimulai dengan pemeriksaan perbarisan unit-unit uniform oleh tetamu kehormat. Kemudian diikuti dengan ucapan aluan oleh Tn Pengetua dan selepas itu ucapan perasmian oleh wakil PPD berkenaan. Sewaktu majlis berhenti rehat, diadakan persembahan pertolongan cemas oleh unit PBSM sekolah. Persembahan itu agak menarik juga. Tahniah kepada para pelajar yang berjaya membuat para penonton ‘terpukau’ walaupun masa berlatih mereka adalah terhad kerana peperiksaan akhir tahun.

Pertunjukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap "mangsa kemalangan"

Oleh kerana bilangan para pelajar yang menerima anugerah dan sijil agak ramai, majlis menjemput beberapa orang sebagai penyampai hadiah. Diantaranya Wakil PPD, Tn Pengetua, YDP PIBG dan saya sendiri………………
.

Tuesday, November 10, 2009

Dialog Nabi dengan Syaitan

Di dalam perhimpunan rasmi mingguan semalam, tuan pengetua ada mencerita mengenai dialog antara Nabi Muhammad SAW dengan syaitan laknatuLlah. Malam tadi saya membaca di laman-laman Islam dan mendapat banyak maklumat dan pengajaran lagi dari dialog yang dikatakan itu.

Telah diceritakan, bahawa Allah SWT telah menyuruh syaitan datang kepada Nabi Muhammad SAW supaya menjawab segala sesuatu yang baginda tanyakan kepadanya. Pada suatu hari, syaitan datang kepada baginda dengan menyerupai seorang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat.
Bertanya Rasulullah SAW: “Siapakah engkau ini?” Orang tua itu menjawab: “Aku adalah iblis.” Rasulullah SAW bertanya: “Apa maksudmu datang kemari?” Orang tua itu menjawab: “Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepadaku supaya datang kepadamu dan menjawab segala apa yang engkau tanyakan kepadaku.”
Nabi SAW lalu bertanya: “Hai Iblis, berapa banyakkah musuhmu dari umatku?” Iblis menjawab: “Lima belas:
1. Engkau sendiri hai Muhammad.
2. Imam/pemimpin yang adil.
3. Orang kaya yang tawaduk (merendah diri).
4. Pedagang yang jujur.
5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
6. Orang mukmin yang memberi nasihat.
7. Orang yang mukmin yang berkasih sayang.
8. Orang yang tetap/cepat- cepat bertaubat.
9. Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
10. Orang mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
11. Orang mukmin yang banyak bersedekah/dermawan .
12. Orang mukmin yang baik budi pekertinya.
13. Orang mukmin yang bermanfaat kepada orang lain.
14. Orang yang menghafal Al-Quran serta selalu membacanya.
15. Orang yang berdiri mengerjakan solat di waktu malam sedang orang lain tidur.”

Kemudian, Rasulullah SAW bertanya lagi kepada Iblis: “Berapa banyakkah temanmu dari umatku?”
Iblis menjawab: “Sepuluh orang:
1. Hakim yang zalim/tidak adil.
2. Orang kaya yang sombong.
3. Pedagang yang khianat.
4. Orang yang pemabuk/peminum arak.
5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan.
6. Pemilik harta riba’.
7. Pemakan harta anak yatim.
8. Orang yang selalu lengah dalam solat/sering meninggalkan solat.
9. Orang yang enggan memberikan zakat/kedekut.
10. Orang yang panjang angan-angan/ mengkhayal.
Mereka semua itu adalah sahabat handai dan teman-temanku yang akrab setia.”

Dari dialog Nabi SAW dengan iblis di atas, kita tahu antara orang yang menjadi teman Iblis dan orang menjadi musuh iblis. Dari itu hendaklah kita selalu berhati-hati, jangan sampai kita menjadi kawan iblis, kerana siapa yang menjadi kawan iblis bererti menjadi musuh Allah. Demikian sebaliknya, sesiapa yang menjadi musuh iblis bererti menjadi kawan/kekasih Allah. Kerana itu, jadilah kita sebagai musuh iblis.
*Di petik daripada www.darulbayan.com

Sunday, November 8, 2009

Kejohanan pingpong antara staf

Pagi ini saya menyertai kejohanan pingpong terbuka antara guru dan staf sekolah. Ramai juga guru lelaki dan staf swasta yang menyertainya. Walaupun tujuan pertandingan ini diadakan hanya untuk mengeratkan silaturrahim sesama sendiri dan melegakan fikiran setelah penat bertugas sepanjang minggu, namun kesungguhan guru-guru dan staf bermain amat dibanggakan.

Pemain-pemain dibahagikan kepada dua kumpulan secara undian. Pertandingan peringkat awal dijalankan secara liga manakala peringkat suku akhir dan separuh akhir dijalankan secara 'kalah keluar'. Siapa yang muncul juara dan memenangi hadiah 'kereta persona' itu pun, saya tak pasti, sebab saya balik awal, letih bebeno...

Saya yang bermain dalam kumpulan A dapat juga menunjukkan 'bakat terpendam' dengan dua kemenangan 'bergaya' dan hanya dua kekalahan 'tipis' (ewah !) Yang seronoknya 2 orang cikgu yang kalah dengan saya tu berkata yang dia senggaja buat-buat kalah, takut nanti saya balas dendam, bagi banyak 'jadual relief' kepada dia........