Saturday, November 28, 2009

13 ekor tetapi orang punya..

Selama dua hari berturut-turut, saya bersama-sama penduduk kampung, membantu menguruskan ibadat korban kepunyaan peserta-peserta dari kampong saya dan sekitarnya. Pada hari yang Jumaat sebanyak 4 ekor lembu dikorbankan di masjid Sultan Yusuf Kampung Jeliang. Manakala pada hari Sabtu pula sebanyak 13 ekor lembu dikorbankan di Pusat Pengajian Pondok Ar Ridzuan Jalan Badak.



Apa yang menyedihkan saya, saya sendiri tak dapat menyertai ibadat korban itu. Asyik sibuk dengan hal-hal lain, saya tak sempat mendaftar untuk menyertai korban pada tahun ini. Apabila sudah last-minute, pihak urusetia tak dapat menerimanya lagi. Bila saya mendengar ceramah agama mengenai fadhilat korban di radio Perak FM, terasa sangat ruginya apabila kita tidak berkorban kerana ia adalah satu ibadat sunat muakkad yakni yang sangat-sangat di tuntut oleh agama kita..

Islam mensyariatkan ibadah korban itu sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah korban juga adalah sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah di atas segala nikmat dan rezeki yang telah diberikan-Nya.




Antara hikmat dari pensyariatan ibadah korban itu pula ialah :

1. Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s. sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibasy. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya maksudnya :"Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya".

2. Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

3. Memupuk sikap pemeduliaan dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

4. Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah SWT.

Memandangkan ibadah korban itu mempunyai hikmah dan kelebihan yang amat banyak, maka sudah sewajarnyalah kita merebut peluang ini dengan melakukan korban pada hari raya aidil adha . Sama-samalah kita berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dapat melakukan ibadah korban pada masa depan....

No comments:

Post a Comment