Thursday, November 5, 2009

Lampu Pecah



Baru semalam saya ‘post’kan satu cerita tentang vandalism di sekolah saya. Hari ini saya ‘post’kan satu berita lagi berkaitan ‘vandalism’ yang betul-betul terjadi kepada saya. Saya rasa bukan ‘vandalism’ lah sebaliknya satu perbuatan khianat dan jahat yang dilakukan oleh orang yang tak bertanggungjawab terhadap diri saya. Vandalism ialah perbuatan merosakkan harta awam, tetapi jika merosakkan harta orang persendirian itu lebih tepat lagi suatu perbuatan khianat atau jenayah…

Pagi tadi kira-kira jam 5.50 pagi ketika saya nak membuka pintu pagar untuk keluar solat subuh di surau, saya dapati dua biji lampu pada tiang pagar kediaman saya telah dipecahkan oleh sesaorang. Kejadian mungkin berlaku antara jam 12.00 malam hingga 5.50 pagi, kerana sebelum tidur jam 12.00 tengah malam, saya pasti kedua-dua lampu tersebut masih di dalam keadaan baik.


Kejadian memecahkan lampu ini sebenarnya adalah kali kedua berlaku. Kali pertama pada tahun 2008 yang lalu di mana sebiji lampu pagar ini di ketuk sehingga pecah dipercayai dengan batu besar oleh sesorang yang tak diketahui juga pada malam hari. Setelah ditukar dengan lampu lain, kejadian yang sama berlaku lagi malam tadi. Pada kali ini, saya dapati cara memecahkan lampu-lampu itu dengan cara memukulnya secara kuat dengan kayu atau objek keras yang lain.


Selepas solat subuh, saya termenung dan berfikir apakah salah saya sehingga ada orang yang begitu khianat dan sanggup melakukan perbuatan tersebut. Saya cuba mengingat kalau-kalau saya ada menyakiti sesorang yang mungkin beliau melakukan balas dendam kepada saya. Saya juga cuba memikirkan sesiapa yang mungkin melakukan perbuatan tersebut, tetapi saya tak dapat mengagaknya. Saya serahkan kepada Allah SWT untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang yang membuat pekerjaan tersebut.

Semasa sarapan pagi di kantin hari ini, beberapa orang kawan menasihati saya supaya melaporkan kejadian itu ke balai polis. Kata mereka dengan berbuat begitu, sekurang-kurangnya pihak polis mungkin akan kerap membuat pemantauan di kawasan rumah kediaman kita.

Saya berharap dan berdoa, perbuatan memecahkan lampu ini tidak dilakukan oleh anak-anak murid saya. Walaupun mungkin saya ada memarahi atau mendenda mereka, tetapi tidak pernah terlintas di hati saya menganggap mereka jahat sebaliknya tindakan ini sebagai mendidik dan memberi pengajaran kepada mereka. Saya selalu berdoa agar semua anak-anak murid ini menjadi orang yang baik, soleh dan menjadi warga negara yang berjasa suatu hari ini.

Seperkara lagi, saya terfikir bagaimana orang yang melakukan jenayah ini berhadapan dengan Allah SWT di akhirat nanti. Di mana mereka hendak mencari saya untuk memohon maaf. Di mana pula mereka nak cari kedai lampu untuk menggantikan kedua-dua lampu yang mereka pecahkan itu. Jika ada kedai lampunya, di mana mereka nak cari duit untuk membelinya….
Semoga mereka yang melakukannya ini segera memohon maaf dan bertaubat…………


.

2 comments: