Saturday, March 26, 2011

Berita Hojita di dalam myMetro

.
Petang semalam, sewaktu hadir jamuan mesyuarat agung PIBG saya bertanya Hojita apakah hadiah yang diterimanya dari Menteri Besar. Beliau menyatakan sebuah computer riba. Saya tanya di mana majlis itu diadakan. Katanya di hotel Ipoh Park Royal.

Hari ini saya cuba mencari berita berkaitan Kejayaan Hojita itu di internet. Akhirnya saya menjumpa berita bertajuk Harungi Perjalanan 2 jam dalam myMetro online. Saya percaya berita ini juga mungkin ada dalam akhbar Berita Harian atau Harian Metro pada hari ini..

Berikut saya copykan berita itu untuk tatapan kita semua.

Harungi Perjalanan 2 jam

IPOH: “Saya mengambil masa dua jam setiap hari dengan berjalan kaki, menaiki van dan bot untuk sampai ke sekolah. Namun ia menjadi pembakar semangat untuk lebih fokus dan berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Hojita Itam,18, pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan 8A dan 2B dalam SPM diumumkan, baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin, Manong, Kuala Kangsar, itu tidak menjadikan kekurangan serta kemiskinan dihadapinya sebagai halangan mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM.

Hojita yang berasal dari Kampung Ulu Bekor berkata, setiap hari dia menaiki van dari rumahnya ke tebing Sungai Manong, sebelum menaiki bot menyusuri sungai berkenaan satu jam dan berjalan kaki 30 minit ke sekolah. Dia berkata, biarpun sekolahnya ada menyediakan asrama, dia tetap memilih berulang alik ke sekolah kerana mahu lebih dekat dengan ibu bapanya.

“Keluarga, guru dan rakan sekolah banyak memberi dorongan kepada saya untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran sekali gus berjaya memperoleh keputusan cemerlang ini.
“Selain memberi fokus seratus peratus di dalam kelas, saya juga belajar secara berkumpulan bersama rakan sekelas dan membuat ulang kaji bersistematik ketika berada di rumah,” katanya ketika ditemui pada majlis Seminar Memperkasakan Batin Orang Asli Perak, semalam.

Pada majlis itu, Hojita bersama bapanya, Itam Chu, 46, diraikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut berbangga dengan kejayaan pelajar itu.
Terdahulu, Zambry menghadiahkan Hojita sebuah komputer riba selain sumbangan wang tunai dan sijil penghargaan atas kejayaannya itu.

Hojita memperoleh keputusan A dalam subjek Matematik Tambahan, Matematik, Fizik, English for Science and Technology (EST), Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Moral dan Fizik manakala, B bagi subjek Biologi dan Kimia.


Kalau nak baca sendiri sendiri berita itu, klik alamat ini.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Harungiperjalanan2jam/Article/index_html


Nota:
Kepada anak-anak murid saya yang perjalanan ke sekolah cuma mengambil masa 20 minit ini bagaimana? Apa alasan nak bagi kalau tak cemerlang dalam SPM nanti?

.

Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-36

.
Sekarang ini musim Persatuan Ibubapa dan Guru-guru (PIBG) bermesyuarat agung. Mengikut peraturan PIBG semua PIBG mesti menyelesaikan mesyuarat agungnya selewat-lewatnya pada 31 Mac pada setiap tahun. Sebab itu setiap hari pada minggu-minggu akhir bulan Mac ini ada saja PIBG sekolah yang mengadakan mesyuarat agungnya.

Petang semalam, 25 Mac 2011, PIBG sekolah saya telah mengadakan mesyuarat agungnya yang ke-36 mulai jam 3.00 petang bertempat di dewan besar sekolah. Mesyuarat dirasmikan oleh YB Dato Ramly Zahari, Adun Manong. Lebih 250 orang ibubapa dan guru-guru hadir ke mesyuarat ini. Di dalam mesyuarat ini banyak perbincangan yang positif telah dibuat ke arah meningkatkan kebajikan dan pencapaian para pelajar sekolah ini.

Di dalam ucapan Dato’ Ramly, beliau telah memaklumkan pelajar cemerlang SPM sekolah ini, Hojita binti Itam telah disahkan sebagai pelajar orang asli sekolah harian yang terbaik di negeri Perak. Dimaklumkan juga, Hojita telah menerima hadiah pelajar terbaik itu di dalam satu majlis di Ipoh yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak pada pagi tadi.



Sebahagian ahli-ahli PIBG yang hadir…



YB Dato’ Ramly menyampaikan ucapan perasmian.



Hojita binti Itam menerima hadiah daripada YB Dato’ Ramly.



Barisan ahli jawatan kusa PIBG begitu serius mengendalikan mesyuarat...



Ibubapa dan guru-guru menunggu mesyuarat sampai habis, tahu sebab apa?
Ha... sebab ada banyak hadiah cabutan bertuah....tenguk ni ha...ta ta pi saya tak bertuah juga...

.

Wednesday, March 23, 2011

Keputusan SPM 2010 membanggakan…

.
Keputusan SPM 2010 sekolah saya yang diumumkan pada hari ini agak membanggakan warga sekolah. Walaupun keputusan itu taklah seberapa cemerlang dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang terkenal, namun bagi kami di luar bandar ini yang telah melaksanakan pelbagai program akademik untuk membantu calon-calon, keputusan itu amat memuaskan hati.

Peratus keseluruhan (berdasarkan kelulusan BM) adalah 97.3 peratus berbanding 94.2 peratus pada tahun 2009. Lebih mengembirakan lagi 58 orang calon mendapat A dalam BM. Cuma 4 orang pelajar sahaja yang gagal BM dari sejumlah 150 calon yang mengambil peperiksaan tersebut. Sebenanya daripada 4 orang pelajar itu, 3 orang daripadanya telah berhenti sekolah dan hanya datang mengambil peperiksaan sahaja. Jika mereka tidak hadir menduduki peperiksaan, tentulah peratus lulus sekolah ini lebih tinggi.

Dari segi GPS pula, sekolah mencapai 5.77 berbanding 6.15 pada tahun 2009. Ini juga satu pencapaian yang seingat saya, kami tak pernah mencapainya sebelum ini. Mengikut ranking sekolah pula, sekolah ini adalah di kedudukan 12 daripada 22 buah sekolah di daerah Kuala Kangsar.

2 orang pelajar kami nobatkan sebagai pelajar terbaik dan dianugerahkan sijil penghargaan pada majlis ringkas yang dibuat sebelum keputusan rasmi diedarkan kepada semua calon-calon. Pelajar tersebut ialah Hojita bt Itam yang mendapat 8A2B dan Muhamad Aizat b. Abdul Razak yang mendapat 7A1B2C. Untuk makluman, Hojita ialah pelajar orang asli iaitu anak kepada Tok Batin Kampung Hulu Bekor, Manong.

Pada tengah hari tadi, sekumpulan 4 orang pelajar 5 Sains 2 tahun 2010 menjemput saya ke kantin. Mereka mengatakan cikgu mesti datang kerana kami nak belanja cikgu makan. Saya tanya kenapa. Mereka mengatakan mereka memperolehi A dalam Matematik yang saya mengajar mereka. Sebaik sampai di kantin, mereka minta saya order apa saja. Lantas saya kata, saya mahu ’chicken chop’ … tapi bila order, malang sekali , mak cik kantin tak buat ‘chicken chop’ pulak hari ini…..

Saya mengucapkan sebeliun terima kasih dan tahniah kepada semua warga sekolah yang menyumbang di atas kejayaan ini. Betullah apa yang saya selalu katakan kepada pelajar-pelajar, kejayaan anda adalah kejayaan warga sekolah. Semua warga sekolah gembira dan puas hati pada hari ini. Semasa contact time sebelah petang, tuan pengetua pula belanja makan mee goreng kepada semua guru. ish, ish, ishhh!

Hojita menerima sijil penghargaan dari pengetua

Muhamad Aizat juga menerima sijil penghargaan

Mengambil keputusan dari guru tingkatan

Suspen menerima slip keputusan...

Terima kasih cikgu, terima kasih cikgu.... syukur!

Menerima ucapan tahniah dari cikgu Tn Hj Rahimi

.

9,239 calon SPM peroleh semua A

.
Seramai 9,239 calon berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berbanding 7,987 calon pada 2009 iaitu peningkatan seramai 1,252 calon.

Keputusan itu adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud semasa mengumumkan analisis keputusan SPM di Putrajaya hari ini. Beliau berkata seramai 363 calon berjaya mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 214 calon pada 2009 dan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua pelajaran juga meningkat iaitu daripada 60,114 calon kepada 68,114.

"Bilangan calon yang memperoleh pencapaian semua A, meningkat bagi calon yang mengambil sembilan dan sepuluh mata pelajaran sementara pencapaian calon yang mendapat semua A bagi yang mengambil 11 dan 12 mata pelajaran adalah menurun," katanya.Katanya bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G bagi semua mata pelajaran pula katanya, menunjukkan penurunan seramai 104 calon iaitu seramai 2,773 pada tahun lepas berbanding 2,877 pada 2009.

"Jadi calon yang mendapat gred Cemerlang Tertinggi adalah masih terlalu sedikit berbanding bilangan calon yang gagal semua mata pelajaran iaitu 2,773 calon," katanya.Abd Ghafar berkata pencapaian calon sekolah swasta dan calon sekolah tajaan agensi selain kementerian, seramai 40 calon berjaya memperoleh gred cemerlang semua mata pelajaran berbanding 41 calon pada 2009.

Bagi calon yang berkeperluan khas pula, 319 calon berjaya mendapat sijil SPM dan daripada jumlah itu tujuh calon mendapat keputusan semua A bagi semua mata pelajaran yang diduduki.Mengenai pencapaian mata pelajaran pula 55 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus untuk gred cemerlang, 39 lagi stabil dan sembilan menurun.

Bagi gred kepujian (B+,B,C+,C) sebanyak 18 mata pelajaran meningkat, 43 stabil manakala 42 menurun dan kategori lulus pula (D dan E) sebanyak lima mata pelajaran adalah stabil dan 31 lagi menurun melebihi tiga peratus.Abd Ghafar berkata bagi kategori gagal (G) enam mata pelajaran menunjukkan penurunan, 93 stabil dan empat meningkat.

Mengenai pencapaian sekolah pula, sebahagian besar sekolah dirumuskan berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan, hanya sebilangan kecil iaitu 66 sekolah memperoleh pencapaian berpotensi.Beliau berkata pencapaian calon mengikut lokasi turut meningkat dan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan sebanyak 0.18 Gred Purata Nasional (GPN).

"Pencapaian calon luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains adalah lebih baik daripada pencapaian di bandar sementara jurang prestasi dalam Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral masih perlu dipertingkatkan," katanya.--Bernama

.

Sunday, March 20, 2011

Selamat Datang Tn Pengetua Yang Baru.

.
Pada hari Khamis 17 Mac yang lepas, Tn Hj Shamsuddin bin Md Zainal Abidin telah melapor diri ke sekolah sebagai tn pengetua yang baru. Beliau sebelum ini merupakan Penolong PPD (Pengurusan Akademik) di PPD Kuala Kangsar.

Sebagai seorang pegawai yang begitu lama bertugas di PPD, (16 tahun), kehadiran beliau ke sekolah tentunya akan membawa banyak idea, teori dan wawasan untuk di praktikkan di sekolah ini. Pengalaman bekerja sebagai pegawai yang dikhaskan untuk pengurusan akademik di peringkat daerah, tentulah boleh beliau gunakan untuk mengurus dan mentadbir sebuah sekolah luar bandar seperti sekolah ini.

Kalau boleh diibaratkan, seorang pegawai pertanian yang sebelum ini bekerja di pejabat, yang kerjanya memberi nasihat kepada petani-petani bagaimana harus menanam, membaja dan menuai hasil tanaman, sekarang diarahkan turun sendiri ke sawah pula untuk menanam, membaja dan menuai hasil tanaman, maka sudah barang tentu sentuhannya akan menghasilkan hasil tanaman yang meningkat berlipat ganda...... Semoga beliau dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang dengan ’team’ yang ada di sekolah ini.

Tn Hj Shamsuddin merupakan pengetua saya yang ke-7 sejak saya bertugas di sekolah ini. Dulu kami sama-sama Guru Kanan Pentadbiran (sekolah gred B). Beliau di SMK Tun Perak dan saya di sini. Mulai sekarang saya berharap saya tidak tersasul memanggil namanya sebagai ”Din” kerana dulu memang saya memanggil namanya begitu....
.

Thursday, March 17, 2011

2 orang guru bertukar sekolah

.
Semasa cuti pertengahan penggal satu ini, saya dan guru-guru lain sekolah saya dikejutkan dengan pertukaran dua orang rakan kami ke sekolah-sekolah lain di daerah Kuala Kangsar. Memang bilangan guru sekolah ini melebihi bilangan perjawatan guru yang ditetapkan, namun saya tidak menyangka 2 orang guru itu pula yang ditukarkan. Pada perkiraan saya guru lain yang akan ditukarkan bagi memenuhi keperluan sekolah lain yang masih belum mencukupi bilangan gurunya.

2 orang guru itu ialah Pn Rudina Hayati binti Kamaruddin yang merupakan ketua panitia PSK dan Guru Jadual Waktu Sekolah. Manakala seorang lagi ialah En Azhar b Mahamod yang merupakan guru matematik berpengalaman dan sedang mengajar matematik di tingkatan 3.

Pada saya kedua-dua orang guru ini merupakan ‘orang penting’ dan dalam pengurusan akademik sekolah. Seorang itu memang ‘orang kuat’ saya kerana beliau merupakan guru dalam membuat jadual waktu di sekolah. Tahun ini sahaja telah ada tiga kali rombakan jadual waktu, dan beliaulah orang yang membantu saya menyusun jadual waktu tersebut.

Seorang lagi pula merupakan guru matematik yang berpengalaman dan diberi kepercayaan mengajar pelajar tingkatan tiga yang akan menghadapi PMR tahun ini. Beliau telah banyak merancang dan melaksanakan aktiviti sokongan mata pelajaran matematik bagi menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan. Contohnya dalam cuti penggal ini beliau mengadakan kelas tambahan kepada peljar tingkatan 3. Apabila beliau mendapat tahu yang beliau ditukarkan beliau tak sempat memberitahu pelajarnya bahawa kelasnya dibatalkan, menyebabkan ramai pelajar hadir dan menunggu kehadiran beliau di kelas.

Sebagai penolong kanan pentadbiran di sekolah, saya dikatakan ‘panglima perang’ dalam pengurusan akademik. Sebagai panglima perang, saya merancang strategi, program dan aktiviti serta melantik dan menentukan guru yang akan mengajar di satu-satu kelas, Sudah tentu bagi kelas-kelas peperiksaan awam saya meletakkan guru yang saya fikir mampu melaksanakan tugas ‘barisan hadapan’ tersebut. Tetapi apabila di pertengahan jalan, orang barisan hadapan ini diperintah keluar oleh orang yang lebih berkuasa, nampaknya saya kena memikirkan siapakah yang akan mengambil tempatnya. Sudah tentu akan ada sedikit gangguan pada mulanya, namun diharapkan penggantinya nanti akan dapat mengikut semula rentak di pertengahan jalan ini.

Saya sedar, Kita hanya boleh merancang, Allah jua merancang, Namun tentulah perancangan Allah yang lebih baik, Wallahu aklam.
.

Sunday, March 13, 2011

Kem Pengakap

.
Pada hari Sabtu dan Ahad kelmarin, pasukan pengakap sekolah saya telah mengadakan ‘latihan’ di Kem Lubuk Klawo, di hulu sungai Jeliang Manong dekat sini. Seramai 33 orang peserta kesemuanya lelaki telah mengambil bahagian dalam kem dua hari itu. Antara aktiviti yang dijalankan mendirikan khemah, membuat gajet, ‘jungle tracking’ dan sebagainya.

Saya telah ‘menjenguk’ ke kem tersebut dan melihat aktiviti yang dijalankan. Seramai 7 hingga 8 guru telah hadir sama bagi menunjukajar serta membimbing para peserta menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang. Kesemua para peserta kelihatan sangat seronok dan teruja berkhemah di kem di dalam kawasan Hutan Simpanan Bubu itu….




Kem Lubuk Klawo



Menebang buluh untuk membuat 'khemah tambahan'




Kumpulan ini menyediakan lubang sampah




Kumpulan ini mencari kayu utuk membuat gajet


Menjamu selera selepas penat menjalankan aktiviti




Sedapnya berkelah begini…



Sebahagian guru yang hadir ke perkhemahan pengakap itu.

.

SPM results out on March 23

.
KUALA LUMPUR: The Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) examination results will be out on March 23.

Education director-general Datuk Abdul Ghafar Mahmud confirmed the date yesterday with the News Straits Times.

Between Nov 23 and Dec 20 last year, some 467,970 candidates sat the SPM examination at 3,594 centres nationwide.

There has been much speculation on various online channels such as blogs and social networking sites about the date the results will be released.

.

Puisi buat pengetua

Puisi berikut hasil ciptaan Pn Hjh Zainab Zabidin (KP Bahasa Melayu) dan telah dibacakan oleh Pn Sakina Bibi Mohd Sharif (GK Bahasa) di majlis perpisahan Tn Hj Mohd Kamil pada hari Jumaat lepas.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku.

Berdiri melihat denai-denai kenangan,
Berbunga mesra dalam jambangan ingatan,
Barangkali terdengar nanti,
Suara bisikan melankolia,
Ucap salam anak-anak remaja,
Tegur sapa, senyum tawa, rakan sekerja.

Tiba waktunya untuk menyusun jemari,
Membuang segala kerikil bersalut di hati,
Yang terkhilaf dimaafi,
Yang sesal diinsafi,
Yang lebih dibahagi,
Yang kurang dilengkapi,
Agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang yang bercanggah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Pasti tersisa kenangan yang terindah,
Berhias luka titik berdarah,
Kesementaraan waktu mengutus seribu rindu,
Selamanya pun bergelar guru

Selamat tinggal suara-suara ceria,
Padang perhimpunan dan dewan perkasa
Bilik darjah dan anak-anak keletah
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas
Bilik guru dan timbunan buku
Ruang kantin tempat mesra terjalin

Selamat tinggal seribu kerenah,
Datang dan pergi pelbagai wajah
Bercampur gembira bersisip gundah
Bergema didikan beralas madah
Selamat tinggal sebuat tempat bernama sekolah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu
Di sini kami pasti merindu
Hakikat seorang individu
Bernama pengetua
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu.

Selamat tinggal dalam doa berkat
Senyumlah seindah suria
Setelah mencurahkan segala-galanya
Pasti beroleh keredaanNya

Bak air yang mengalir
Sampai di sini kenangan indah pasti terukir!

Majlis Perpisahan Tn. Pengetua

.
Walaupun telah lebih dua minggu saya mendengar ‘cakap-cakap’ tn. pengetua saya, Tn Hj Mohd Kamil akan ditukarkan dan kami akan mendapat pengetua yang baru, namun pihak sekolah hanya menerima surat pertukaran tersebut pada hari Khamis 10 Mac yang lepas. Itu pun surat yang dibawa sendiri oleh tn. pengetua sebaik sahaja balik dari menghadiri taklimat khas pertukaran itu di JPN Perak.

Dengan itu sahlah yang beliau akan bertukar jawatan dari seorang pengetua ke jawatan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Sektor Pengurusan Kemanusiaan, JPN Perak, Ipoh. Tarikh kuat kuasa pertukaran ialah pada 1 Mac 2011. Memandangkan sekolah akan bercuti pertengahan penggal satu selama seminggu, saya terus mendapatkan kepastian beliau, bilakah tarikh akhir beliau bertugas di sekolah ini.

Setelah itu saya berbincang dengan PK-PK dan GK-GK yang lain agar kita mengadakan majlis perpisahan tn pengetua sebelum sekolah bercuti. Saya telah meminta guru bertugas mingguan mengadakan perhimpunan khas pada hari Jumaat. Secara kebetulan pula dewan besar tidak boleh digunakan kerana syilingnya sedang dibaiki, maka majlis terpaksalah diadakan di dataran kejat sahaja.

Saya meminta seorang GK menyampaikan ucapan bagi mewakili guru-guru dan meminta ketua pelajar menyampaikan ucapan bagi mewakili para pelajar. Saya juga telah meminta pelajar kelas tingkatan 5 Sains 1 menyampaikan satu persembahan di dalam majlis itu nanti.

Alhamdulillah, majlis yang dirancang pada petang Khamis itu telah dapat dilaksanakan dengan jayanya pada perhimpunan khas pagi hari Jumaat. Saya memohon maaf bagi pihak warga sekolah kerana majlis perpisahan yang ringkas dan tak dibuat secara 'penuh persediaan' kerana kesuntukan masa. Walau apa pun, jasa pengetua kepada sekolah ini sangatlah banyak dan akan dikenang sampai bila-bila.... Sebillion terima kasih kami ucapkan..


Tn pengetua menyampaikan ucapan terakhir kepada para pelajar dan guru-guru

Pelajar 5S1 membuat persembahan



Pengetua menyaksikan persembahan




Pengerusi Kelab Staf menyampaikan hadiah kenangan




Dikerumuni oleh para pelajar yang ingin bersalaman selepas tamat majlis

.

Saturday, March 12, 2011

Jepun dilanda tsunami


Jepun hari ini dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi empat meter yang menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa.Laporan menyebut, malapetaka itu disahkan mengorbankan sekurang-kurangnya 88 nyawa.

Polis pula menyatakan antara 200 hingga 300 mayat telah dijumpai di bandar Sendai yang terletak di bahagian timur laut Jepun.

Kawasan dalam negeri Miyagi itu terletak paling hampir dengan pusat gempa.
Selain itu, seramai 349 orang lagi dilaporkan hilang akibat bencana tersebut.

Jumlah berkenaan dijangka akan terus meningkat berdasarkan skala gempa dan tsunami yang terbentuk kali ini.

Bencana berkenaan merupakan yang paling buruk melanda Jepun dalam tempoh lebih 100 tahun. Jumlah kerosakan sedang dinilai dan tiada maklumat lengkap mengenai kecederaan dan kematian yang diperolehi setakat ini.
.


Friday, March 11, 2011

Keputusan SPM Belum Keluar, Dah bergaji RM1200

.
Seorang pelajar sekolah saya, Mohamad Ridzuan bin Ismail Rathzi, 17 tahun, yang sedang menunggu keputusan SPM telah pun mendapat pekerjaan dengan bergaji RM1200.00 sebulan.Pelajar berkenaan adalah pelajar MPV dari kelas 5 Katering dan Penyajian tahun 2010.

Hari Rabu 9 Mac 2011 yang lepas, pelajar ini hadir ke sekolah berjumpa guru-guru dan menceritakan yang beliau telah bekerja sejak 2 bulan yang lepas di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Beliau menyatakan yang dia balik kerana bercuti selama 3 hari.

Saya telah memanggil pelajar tersebut dan menemuduga bagi mendengar sendiri cerita daripadanya. Untuk makluman, pelajar ini merupakan satu-satunya pelajar lelaki yang mengambil kursus Katering dan Penyajian pada tahun lepas, pelajar-pelajar yang lain semuanya pelajar perempuan. Memang beliau merupakan pelajar yang kuat semangat dan sebab itu mampu ‘berseorangan’ di kelasnya selama 2 tahun di tingkatan 4 dan tingkatan 5. Beliau menyimpan cita-cita menjadi seorang ‘chef’ pada masa depan.

Saya menanyakan bagaimana beliau mendapat pekerjaan di hotel The Royale Bintang Damansara itu. Beliau menceritakan semasa menghadiri temuduga beliau tidak membawa sebarang sijil kerana sijil SPM memang belum keluar dan sijil MPV pun masih belum dapat. Namun beliau menceritakan kepada pegawai penemuduga yang beliau telah belajar Katering dan Penyajian di tingkatan 4 dan 5 serta telah menghabiskan 11 module yang disyaratkan.

Mohamad Ridzuan kemudian diminta membuat beberapa jenis masakan dan ‘dessert’. Menggunakan pengalamannya semasa belajar dan minatnya yang mendalam dalam bidang katering dan penyajian, beliau telah berjaya mempersembahkan masakannya serta ‘dessert’ yang menarik hati penemuduga. Dari situlah Mohamad Ridzuan telah diterima bekerja di hotel berkenaan dengan gaji bulanan yang dinyatakan di atas. Jawatan yang disandangnya itu dipanggil ‘steward’

Hotel yang terletak di Mutiara Damansara itu adalah hotel 4 bintang. Hotel itu menyediakan hostel untuk pekerja-pekerjanya. Mohamad Ridzuan menginap dihostel ini dengan bayaran sewa RM80.00 sebulan.


Mohamad Ridzuan ketika saya temubual. Dah bergaya dia sekarang ni.


Nota:

(i) Tahniah diucapkan kepada Mohamad Ridzuan.
(ii) Walaupun tidak cemerlang dalam akademik, namun kemahiran yang dipelajari dalam kelas MPV telah membantu beliau mendapatkan pekerjaan.
(iii) Semoga Mohamad Ridzuan berjaya di dalam kerjayanya.
(iv) Kisah kejayaan Mohamad Ridzuan harus dicontohi oleh pelajar Katering Penyajian yang lain.

Tuesday, March 8, 2011

Ibubapa hadapi tindakan jika pelajar buat salah

.
Kuala Lumpur 8 Mac 2011- Ibu bapa yang anak mereka melakukan kesalahan trafik ketika ke sekolah bakal menghadapi tindakan undang-undang, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki lesen, tidak memakai topi keledar dan cukai jalan tamat tempoh."Ini merupakan antara usaha bagi menurunkan kadar jenayah melibatkan pelajar sekolah selain membentuk jati diri mereka agar lebih berdisiplin,” katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan dengan Pengarah Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur, Mohd Adenan Deraman di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, tindakan akan dikenakan mengikut kesalahan yang dilakukan dan perkara ini akan dilaksanakan dalam satu tempoh yang akan ditetapkan pada bulan ini.

Katanya tindakan ini merupakan kerjasama pelbagai pihak dalam membentuk sahsiah pelajar yang bebas daripada kesalahan trafik, jenayah jalanan dan samseng sekolah.- Bernama




Nota:


Jika tindakan ini dilaksanakan di Manong ni, mungkinlah tidak ramai pelajar yang bermotosikal sendiri ke sekolah lagi. Sekarang ini semakin ramai pelajar termasuk yang perempuan datang ke sekolah dengan motosikal. Anehnya kebanyakan mereka meletak motosikal tersebut di luar kawasan sekolah dan tidak membawa masuk ke kawasan sekolah. Hanya beberapa orang sahaja yang 'berani' meletak motosikal mereka di tempat letak basikal di dalam kawasan sekolah.

Pihak sekolah telah menetapkan sesaorang pelajar yang bermotosikal mestilah mempunyai stiker khas untuk memasuki kawasan sekolah. Dan untuk mendapatkan stiker, mereka mestilah mendaftar dan menunjukkan lessen memandu dan roadtax motosikalnya.


Jadi apabila semakin banyak motosikal ‘parking’ di belakang kedai berhampiran sekolah seperti ini, beberapa persoalan timbul. Pertama, budak-budak ini dibenarkan oleh ibubapa mereka bermotosikal ke sekolah walaupun ‘tak cukup syarat’ menjadi penunggang motosikal. Kedua, ibubapa dan pelajar ini mungkin menghadapi risiko keselamatan motosikal mereka bila ianya di ‘parking’ di luar kawasan sekolah.

Pernah di dalam mesyuarat PIBG, ada ibubapa mengesyorkan pihak sekolah menyediakan tempat letak motosikal di kawasan sekolah. Lalu pihak sekolah menjawab, memang terdapat tempat letak basikal dan motosikal untuk pelajar disediakan di kawasan sekolah. Cuma mereka mesti mempunyai stiker untuk masuk. Untuk dapat stiker mereka mesti ‘cukup syaratnya’.

Ha, jadi bila tak berani bawa masuk motosikal tu, maknanya mestilah ada kesalahan. Maka eloklah tindakan pihak berwajib sebagaimana laporan itu. Mungkin selepas itu, ibubapa tak beri anak bermotosikal sendiri lagi. Atau mereka akan pastikan anak-anaknya mempunyai lessen dan motosikalnya ber’roadtax’. Biar budak-budak ni tahu, undang-undang tetap undang-undang...

Paling penting keselamatan mereka... Kalau dah jadi sesuatu kemalangan nanti, siapa yang susah? Mereka dan keluarga mereka!..
.

Sunday, March 6, 2011

Pintu masuk ke sekolah akan berwajah baru



Pintu masuk ke sesabuah negara samada di sempadan-sempadan negara atau pun di lapangan terbang antarabangsanya merupakan imej pertama yang akan dilihat oleh orang luar apabila memasuki negara itu. Pintu masuk ke sesuatu bangunan pejabat, jabatan dan sebagainya juga akan merupakan gambaran pertama oleh orang lain mengenai pejabat dan jabatan berkenaan. Demikian juga jika kita pergi ke rumah sesaorang, jika rumahnya berpagar dan mempunyai pintu masuk yang kemas dan laman yang ceria, tentulah kita dapat membayangkan bahawa di bahagian dalam rumah juga tentu kemas dan tidak berselerak.

Ringkasnya, pintu masuk yang cantik dan canggih akan memberi imej yang tinggi kepada negara, negeri, jabatan, pejabat dan tuan rumah tersebut. Begitulah juga sesabuah sekolah, jika dari luar pagar lagi sudah kelihatan cantik dan canggih, tentulah kita akan membayangkan keseluruhan kepimpinan, guru-guru dan pelajar-pelajarnya mempunyai standard yang tinggi dan telah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Bukan apa, nak maklumkan kepada ‘kome’ semua, yang sekolah kita akan mendapat pintu pagar yang baru. Pintu pagarnya jenis sliding, ada tembok untuk label nama sekolah dan siap dengan ruang kotak untuk tanaman bunga hiasan. Pihak JKR telah memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan pintu pagar baru itu dah bermula 1 Mac lepas.

Selain daripada itu, pihak JKR juga akan mengganti pagar di depan blok F hingga ke sempadan masjid dengan pagar besi yang cantik macam pagar pejabat penghulu seberang jalan tu… Begitu juga di tebing sebelah dewan besar akan dipasang penghadang besi sehinggalah ke anjung dewan. Ini adalah untuk keselamatan orang ramai di depan dewan.

Dengan adanya pintu pagar yang baru nanti, tentulah sekolah ini akan berwajah baru. Dari jalan besar kita akan masuk ke kompleks SMKSTA melalui pintu yang canggih dengan dikawal oleh pengawal keselamatan. Sesiapa yang nak bergambar di depan tembok nama sekolah itu juga boleh berbuat demikian sebagai kenang-kenangan di SMKSTA. Sekarang ni untuk bergambar tak cantiklah sebab pintu masuknya tidak ada tertulis nama sekolah. Semoga pintu pagar yang baru akan menyuntik semangat budak-budak sekolah ini untuk hadir ke sekolah kerana keindahannya dan tidak lagi ‘ponteng sekolah’ kerana pintu pagar sekolah yang tak cantik.

Apapun jika imej di pintu masuk sekolah telah ditingkatkan, imej pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum juga mesti ditingkatkan. Jika tidak, tidak ada makna juga pintu pagar cantik, pencapaian masih serupa. Macam ‘tak ngomben aje’!
.

Saturday, March 5, 2011

Ceramah Maulidur Rasul Di Masjid Jeliang

Majlis Ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul Masjid Sultan Yusuf Kampung Jeliang telah dijalankan pada 4 Mac 2011 bersamaan 30 Rabiul awal 1432H. Lebih 400 orang telah hadir di masjid dan perkarangan masjid tersebut mulai solat Maghrib hinggalah pukul 11.00 malam.

Penceramah yang diundang ialah Ustaz Ahmad Razlan bin Mohd Tahir, Imam 1, Masjid Ridwaniah Kuala Kangsar. Banyak ilmu dan pengajaran yang berguna telah disampaikan dalam ceramahnya untuk diamalkan oleh kita semua. Antara yang menyentuh perasaan saya apabila beliau menghuraikan akhlak Nabi SAW yang harus kita contohi. Pertama, Nabi itu sangat pemurah orangnya, suka bersedekah dan tak pernah ada orang yang meminta yang Nabi tak beri. Beliau menceritakan beberapa kisah yang berlaku antara Nabi dengan sahabat-sahabatnya.

Kedua, Nabi itu sangat pemaaf orangnya. Banyak diceritakan kisah Nabi memaafkan sahabat dan musuh-musuhnya, walaupun kalau ikut kita, kezaliman yang dilakukan mereka kepada Nabi itu tak boleh dimaafkan.

Ketiga, sifat Nabi sangat tawadhuk dan suka merendah diri. Nabi tidak sombong atau ego walaupun baginda adalah Penghulu Sekelian Anbiya dan pemimpin negara Madinah pada masa itu.

Kesimpulannya, isi ceramah ustaz berkenaan sangat mengusik jiwa jika kita menghayatinya betul-betul. Semoga kita akan mengikuti perangai dan akhlak-akhlak Nabi sebagaimana yang diceritakan.

Gotong royong menyiang daging lembu untuk dijadikan lauk semasa jamuan.

Menyediakan bahan-bahan untuk memasak di dapur masjid

Yang ini gotong royong mendirikan khemah di luar masjid

Majlis bermula selepas solat Maghrib, dipengerusikan oleh Ustaz Hj Zahawir

Bacaan selawat ke atas Junjungan Nabi SAW oleh semua para hadirin

Pengerusi JK Sambutan Maulidur Rasul mengalu-ngalukan kehadiran para tetamu dan mengucapkan penghargaan serta terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan program kali ini....

Majlis penyampaian "hadiah kenangan maulidurrasul" kepada anak-anak qariah Jeliang yang cemerlang dalam peperiksaan awam. Kali ini UPKK 3 orang, UPSR 4 orang dan PMR 1 orang.

Ustaz muda yang dijemput telah memukau dan menarik perhatian para hadirin dengan "ceramah maulidur rasul" yang berkesan pada orang yang mendengarnya.

Sebahagian hadirin yang berada di bahagian dalam masjid. Ramai lagi tetamu di bahagian belakang dan di luar masjid (dikhemah-khemah yang disediakan)....

Refleksi:

Sebaik selesai ceramah, saya dan JK Qariah yang lain mengiringi ustaz penceramah ke bilik jamuan di bangunan sebelah masjid. Seorang Siak membisikkan kepada saya, "Nasi Bungkus tak cukup! (untuk diedarkan kepada semua hadirin) Sebaik sahaja ustaz penceramah balik, seorang lagi JK memberi tahu saya "Nasi bungkus tak cukup, bla, bla, blaa....

(1) Tujuan utama kita datang malam ini kerana "jemputan ceramah maulud" bukannya kerana "jamuan mulut"

(ii) Baru sebentar dalam ceramah, ustaz tu menerangkan akhlak Rasulullah yang sangat pemaaf, maka eloklah maafkan kami..., jangan ini pula yang jadi isu!!