.
Petang semalam, sewaktu hadir jamuan mesyuarat agung PIBG saya bertanya Hojita apakah hadiah yang diterimanya dari Menteri Besar. Beliau menyatakan sebuah computer riba. Saya tanya di mana majlis itu diadakan. Katanya di hotel Ipoh Park Royal.
Hari ini saya cuba mencari berita berkaitan Kejayaan Hojita itu di internet. Akhirnya saya menjumpa berita bertajuk Harungi Perjalanan 2 jam dalam myMetro online. Saya percaya berita ini juga mungkin ada dalam akhbar Berita Harian atau Harian Metro pada hari ini..
Berikut saya copykan berita itu untuk tatapan kita semua.
Harungi Perjalanan 2 jam
IPOH: “Saya mengambil masa dua jam setiap hari dengan berjalan kaki, menaiki van dan bot untuk sampai ke sekolah. Namun ia menjadi pembakar semangat untuk lebih fokus dan berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Hojita Itam,18, pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan 8A dan 2B dalam SPM diumumkan, baru-baru ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin, Manong, Kuala Kangsar, itu tidak menjadikan kekurangan serta kemiskinan dihadapinya sebagai halangan mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM.
Hojita yang berasal dari Kampung Ulu Bekor berkata, setiap hari dia menaiki van dari rumahnya ke tebing Sungai Manong, sebelum menaiki bot menyusuri sungai berkenaan satu jam dan berjalan kaki 30 minit ke sekolah. Dia berkata, biarpun sekolahnya ada menyediakan asrama, dia tetap memilih berulang alik ke sekolah kerana mahu lebih dekat dengan ibu bapanya.
“Keluarga, guru dan rakan sekolah banyak memberi dorongan kepada saya untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran sekali gus berjaya memperoleh keputusan cemerlang ini.
“Selain memberi fokus seratus peratus di dalam kelas, saya juga belajar secara berkumpulan bersama rakan sekelas dan membuat ulang kaji bersistematik ketika berada di rumah,” katanya ketika ditemui pada majlis Seminar Memperkasakan Batin Orang Asli Perak, semalam.
Pada majlis itu, Hojita bersama bapanya, Itam Chu, 46, diraikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut berbangga dengan kejayaan pelajar itu.
Terdahulu, Zambry menghadiahkan Hojita sebuah komputer riba selain sumbangan wang tunai dan sijil penghargaan atas kejayaannya itu.
Hojita memperoleh keputusan A dalam subjek Matematik Tambahan, Matematik, Fizik, English for Science and Technology (EST), Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Moral dan Fizik manakala, B bagi subjek Biologi dan Kimia.
Kalau nak baca sendiri sendiri berita itu, klik alamat ini.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Harungiperjalanan2jam/Article/index_html
Nota:
Kepada anak-anak murid saya yang perjalanan ke sekolah cuma mengambil masa 20 minit ini bagaimana? Apa alasan nak bagi kalau tak cemerlang dalam SPM nanti?
.
Saturday, March 26, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment