Saturday, April 30, 2011

Tuan Rumah Pesta Pantun Peringkat Daerah

Tok Mudim mengandam misai,
Dang Anum pandai menari,
Pertandingan Pantun telah selesai,
Manong tempatnya indah berseri.

Tun Mutakhir memang terkenal,
Pembantu setia paduka sultan,
Suku Akhir terus ke final,
Hari Khamis 28 haribulan,

Putera raja gagah perkasa,
Pandai bersilat bermain senjata,
Cikgu Manong memang berjasa,
Bekerja keras jawatan pengelola.

Hang Tuah pergi ke Bentan,
Laksamana Melaka banyak berjasa,
22 sekolah mengambil bahagian,
Menjunjung tinggi budaya bangsa,

Laksamana Jebat garang orangnya,
Ditakuti kesturi, Likiu dan Lekir,
Pasukan SMKSTA apa kurangnya,
Menang sehingga ke separuh akhir.





‘Tanglong 1 Malaysia’ MSSM

Pada 20 hingga 24 Mei akan datang, Warga Pendidikan Negeri Perak akan menjadi tuan rumah Acara Balapan dan Padang MSSM peringat Kebangsaan. Acara Sukan yang bertemakan Mendulang Emas Meraih Kecemerlangan itu akan diadakan di Stadium Perak, Ipoh.

Semasa acara itu nanti, warga pendidikan di Perak ini akan mencatat satu rekod didalam Malaysian Book of Record sebagai acara yang menyediakan ‘tanglong’ 1-Malaysia paling banyak. Dijangka 10,000 ‘tanglong’ 1 Malayisa akan dipasang di stadium itu nanti.

Sehubungan dengan itu, setiap sekolah di negeri ini diminta menyediakan ‘tanglong’ secara sendiri dan dikumpulkan untuk acara itu nanti. Sekolah saya telah pun siap meyediakan 29 unit ‘tanglong’ yang diusahakan oleh 29 pelajar tingkatan 3C di bawah bimbingan Ketua Panitia KHB dan Ketua Panitia PSV. Tahniah dan penghargaan diucapkan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar berkenaan.





Ha...dah siap untuk dihantar ke PPD....



Taklimat PK di Kelang



Pada 25 hingga 27 April, saya menghadiri Taklimat Pengurusan Dan Pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kepada PK(Pentadbiran) SM Negeri Perak di Kelang Selangor. Taklimat dianjurkan oleh Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan JPN Perak. Seramai lebih 240 PK hadir yang terdiri dari PK sekolah-sekolah menengah seluruh negeri Perak termasuk MRSM.

Dalam taklimat 3 hari 2 malam itu banyak maklumat yang saya terima yang disampaikan oleh penceramah-penceramahnya seperti Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Ketua Sektor SPPP dan penceramah subjek-subjek berkaitan.

Satu perkara yang saya nak kongsikan dengan rakan-rakan semua, bahawa JPN Perak sekarang ini sangat serius hendak meningkatkan pencapaian calon-calon peperiksaan awam (UPSR, PMR, SPM) bagi negeri ini. Kita juga hendak memperbaiki kedudukan ranking pencapaian peperiksaan itu berbanding negeri-negeri lain di seluruh Malaysia dari kedudukan 5 terkebawah sekarang ini kepada kedudukan 5 teratas pada tahun ini.

Berikut ialah ranking pencapaian Negeri Perak dalam peperiksaan PMR dan SPM yang dapat saya catatkan daripada Analisis yang disampaikan oleh Tn KS SPPP di taklimat tersebut.

PMR berdasarkan kuantiti (Peratus lulus)
2006 (9) , 2007 (11) , 2008 (12), 2009 (13) dan 2010 (13)

PMR berdasarkan GPMP
2006 (11), 2007 (12), 2008 (12), 2009 (12) dan 2010 (11)

SPM berdasarkan kuantiti (Peratus lulus)
2006 (14) , 2007 (14) , 2008 (16), 2009 (16) dan 2010 (16)

SPM berdasarkan GPMP
2006 (11) , 2007 (10) , 2008 (15), 2009 (13) dan 2010 (12)

Selaras dengan usaha itu, JPN telah menetapkan sasaran pencapaian (ETR) yang nak dicapai secara detail agar warga pendidik menghayati dan berusaha mencapainya. Sebagai contoh sasaran peratus lulus SPM tahun ini mestilah mencapai lebih 96 peratus (berbanding 87 peratus sekarang ini) bagi merealisasikan kedudukan 5 teratas itu…

Kesimpulannya, marilah kita menzahirkan iltizam dan bekerja kuat mendidik anak-anak murid kita pada tahun ini di samping berdoa semoga sasaran yang dibuat itu akan tercapai. Amin!

Kem Pengawas 2011

.
Kem Pengawas ialah satu pogram berupa kursus kepimpinan kepada pengawas-pengawas sekolah saya. Kalau masih ingat, pada tahun lepas, Kem Pengawasnya telah diadakan di Cameron Hihgland, namun pada tahun kali ini, ianya diadakan di dalam kawasan sekolah sahaja.

Program sehari suntuk itu telah dijalankan pada hari Sabtu 23 April lepas dengan kesemua 55 orang pengawas mengambil bahagian. Guru-guru Lembaga Disiplin menjadi urusetia dan fasilitator kem ini serta dibantu oleh beberapa guru lain termasuk guru praktikal. Berbekalkan semangat, pengetahuan dan pengalaman yang disampaikan di dalam kursus ini, diharap pengawas-pengawas sekolah dapat menjalankan tugas-tugas mereka dengan penuh dedikasi .

Di majlis penutup kursus tersebut, saya berpeluang menyampaikan nasihat agar pengawas-pengawas menjaga imej dan nama baik sekolah. Kita tidak mahu nama baik sekolah dicemar oleh segelintir para pelajar yang akan membusukkan keseluruhan warga sekolah.

Pengawas merupakan ‘mata’ bagi guru-guru dan pentadbir sekolah. Di samping melatih diri menjadi pemimpin masa depan, para pengawas sebenarnya diiktiraf sebagai kumpulan pelajar yang cemerlang sahsiah mereka mengikut pemerhatian guru-guru. Pencapaian serta khidmat bakti mereka ini akan dicatatkan di sijil-sijil penghargaan dan sijil berhenti sekolah. Bukankah ini satu pengiktirafan yang tinggi semasa alam persekolahan dan sebahagian dari sejarah hidup sesaorang pengawas…..


















Tuesday, April 26, 2011

2 email dari London

Baru-baru ini saya menerima 2 email dari sesaorang. Selepas membaca email yang pertama, saya membalas email tersebut dengan menulis sedikit gambaran tentang keadaan Pekan Manong dan warganya sekarang ini. Tidak lama kemudian saya menerima pula email kedua dari orang tersebut.
Bersama-sama ini saya copykan kedua-dua email itu. Tujuan saya memaparkan email ini supaya mungkin sesiapa yang mengenali sahabat ini akan memberi respond dan kita dapat menghubungkan silaturahim antara satu sama lain.


Email pertama (16 April 2011)

Assalamualaikum.

Apakhabar?

Saya ingin perkenalkan diri saya. Nama saya Dollah, saya pernah tinggal di Pekan Manong sekitar tahun 1965 hingga 1990. Pada awal tahun 1991 saya telah berpindah ke Taiping. Rumah di Taiping masih ada lagi. Alamat di pekan Manong ialah No 10 Jalan Besar Manong. Kini dah tiada. Rumah kedai lama depan Balai Polis itulah tempat saya tinggal. Saya pernah belajar ugama dan mebaca AlQuran dengan arwah Pak Lebai Ali belakang wakaf Madrasah Manong depan Pejabat Pos Manong.

Kini saya dah menetap di London hampir 10 tahun. Kalau saya pulang melawat Manong tak ramai orang kenali saya kecuali orang orang lama yang pernah bergaul dengan saya.

Saya ingin nak sembang dengan anda kalau anda tidak keberatan. Sila kirim nombor talifon.
Kini saya dah macam "lost contact" dengan warga anak watan Manong.

Terima kasih



Email Kedua (22 April 2011)

Terima kasih kerana membalas email saya serta memberi sedikit gambaran tentang Manong. Insyallah saya akan mengunjungi Manong pada suatu hari nanti.

Pada suatu ketika dulu, Saya dapat menikmati kuih muih kampong serta nasi lemak bungkus dengan daun pisang yang dibuat oleh isteri Pak Hassan belakang pekan Manong, memang terangkat. Selepas saya pindah, saya boleh kata memang tiada yang sehebat. Pernah saya ke Batu Kurau, kuih bengkang ubi kayu tulen boleh tahan tapi nasi lemak tolak tepi tak sedap.

Begitu juga dengan buah durian dari Kampung Pecah Batu milik aruah Pak Hassan Jalan Badak Jeliang. Manakala buah petai dibawa oleh abang Jun (nama gelaran) juga dari kawasan air terjun Kampung Pecah Batu. Dia ini akan pilih buah petai yang paling bagus baru bawa keluar untuk dijual. Beliau tak layan jualan borong dan suka jual sendiri. Beliau beri peluang pelanggan pilih sendiri buah petai baru buat ikatan.

Cendol dan Laksa Manong bersebelahan dengan Pejabat Pos adalah satu lagi kepuasan
menjamu selera.

Pisang Emas dan Pisang Berangan satu lagi hasil tempatan yang saya tak dapat lupa keenakan rasanya. Sini London, astaghfirullah pisang mentah tak cukup masak kulit masih hijau itulah pisang yang terdapat. Pisang ini dari benua Amerika Selatan.

Makanan di Kotaraya Paris khusus di kawasan bernama La Chapelle jauh lebih sedap dari makanan di Bandaraya London.

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada anda untuk info tentang Manong.

Bye
Dollah
London

Mesyuarat JK Pemuafakatan Sekolah

.
Jawatankuasa Pemuafakatan Sekolah yang menggabungkan pihak pentdbiran sekolah dengan komuniti adalah sangat wajar berfungsi sebagai satu platform kerjasama yang berkesan. Antara isu yang boleh dibincang dan diselesaikan secara bersama ialah isu disiplin, kebajikan dan masalah social di kalangan pelajar.

Bertempat di bilik gerakan sekolah saya pada petang hari Khamis minggu lepas telah diadakan mesyuarat Jawatankuasa pemuafakatan tersebut buat pertama kalinya untuk tahun ini. Kami telah menjemput ketua-ketua jabatan sekitar Manong seperti Penghulu, Polis, Klinik Kesihatan, PIBG serta ketua-ketua kampong yang mana terdapat pelajar-pelajarnya belajar di sekolah ini.

Banyak perkara dibincangkan di mesyurat kali pertama tersebut, antaranya tujuan majlis itu diadakan bagi membantu memerhati dan mengawal disiplin pelajar di luar kawasan sekolah pada masa P&P sepatutnya berjalan. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tn Pengetua dan dihadiri oleh semua PK, Guru Kaunselor dan 5 orang ketua kampong.



Dari Kanan ketua-ketua Kampung Jeliang, Ara Panjang, Lempor Hilir, Changkat Manong dan Lempor Hulu.

Saturday, April 16, 2011

Muka Surat 9 Dewan Siswa April 2011

.
Sesiapa yang membaca Majalah Dewan Siswa Keluaran Bulan April 2011 akan menjumpai artikel bertajuk "Kokurikulum Pelengkap Kejayaan". Mari lihat petikan di bahagian akhir artikel itu dari dekat.


Artikel penuhnya di muka surat 9 adalah seperti di bawah. (Klik 2 Kali untuk lebih jelas).




Thursday, April 14, 2011

"Helicopter View"

Helicopter view, ialah satu istilah yang sering digunakan di dalam bidang pengurusan. Maksud helicopter view ini adalah bagaimana kita melihat suatu perkara dari sisi yang lebih general, seperti kita melihat dari atas helikopter.

Konsep ini dipakai agar kita melihat sebuah permasalahan secara sistematik. Karena suatu masalah di sesuatu bahagian, boleh jadi berhubungan dengan bahagian yang lain, yang mungkin dapat diketahui jika kita melihat secara general. Dengan helicopter view ini kita dapat tahu dengan lebih baik mengenai langkah apa yang sebaiknya dilakukan dalam menyelesaikan suatu masalah atau ketika membuat perancangan tertentu.


Di sekolah, pihak pentadbir dan pengurusan selalu bertindak terhadap sesuatu perkara setelah membuat pemerhatian dan kajian secara helicopter view. Contohnya, dalam mengatur dan membuat agihan tugas-tugas guru, banyak perkara yang dipertimbangkan yang mengambil kira semua aspek yang menyeluruh dan bukan dari aspek yang hanya menguntungkan satu-satu pihak yang kecil sahaja. Bagitu juga dalam menyusun program-program sekolah, banyak aspek yang mesti diutamakan bagi mencapai visi dan misi sesabuah sekolah berbanding aspek yang remeh-temeh mengikut pandangan pentadbir tersebut.


Sekarang ini, kalau kita menghadiri taklimat-taklimat dengan pegawai-pegawai atasan kita, samada di JPN atau PPD, banyak kali kita akan mendengar istilah helicopter view ini. Ada juga orang lain cuba mengubahnya sebagai ‘bird view’ atau ‘eagle view’, tetapi helicopter view lebih disukai untuk digunakan.


Tetapi gambar yang paparkan di bawah ini, memang dari “helicopter view”. Terima kasih kepada orang Manong atas helicopter yang berlegar-legar di ruang udara dekat sekolah ini tempoh hari. Tak lama selepas itu gambar ini keluar dalam face book Persatuan Anak Manong (PAM). Saya mohon izin untuk memaparkan gambar ini dalam blog saya. Walaupun sudah berbelas tahun saya keluar masuk kawasan sekolah ini, sehari entah berapa kali, saya hanya melihat secara ‘side view’ sahaja, tetapi inilah kali pertama saya melihatnya secara "helicopter view"…. Memang cantik, memang indah! Terima kasih…


.


Wednesday, April 13, 2011

Pintu Masuk Sekolah yang baru…

Bulan lepas saya ada menulis 'pintu masuk sekolah ini akan berwajah baru'. Alhamdulillah setelah sebulan berlalu, pintu masuk yang dimaksudkan itu telah pun siap. Bukan setakat itu sahaja, beberapa kerja penyelenggaraan lain seperti pagar di depan blok F, pondok jaga dan beberapa penyelenggaraan dewan besar telah juga siap sepenuhnya. Kini sekolah saya telah bertambah cantik lebih-lebih lagi apabila dipandang melalui pintu utama.

Terima kasih kepada pihak JKR yang memperuntukkan kerja-kerja penyelenggaraan ini. Sesungguhnya panorama yang indah ini telah dapat meningkatkan imej sekolah. Diharap selepas ini pencapaian sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum juga akan dapat ditingkatkan dari setahun ke setahun....








Sunday, April 10, 2011

Bengkel Kemahiran Belajar T1 dan T2

.

Bengkel tersebut telah diadakan pada hari Sabtu 9 April yang lalu di dewan sekolah. Semua pelajar tingkatan 1 dan 2 diwajibkan menghadiri program ini. Ia bertujuan memberi pendedahan teknik-teknik belajar terutama membuat peta minda. Program bermula seawal 7.30 pagi dan tamat pada jam 430 petang.

Pada pengamatan saya, program ini berjaya mencapai objektifnya. Para pelajar semuanya bergembira menjalankan aktiviti yang dirancang oleh guru-guru dan dibantu oleh fasilitator (pelajar ting. 4 dan 5) yang dilantik. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang menjayakan program ini. Semoga usaha murni ini akan membantu kejayaan sekolah sesuaikan dengan visi kita “melonjakkan kecemerlangan SMKSTA”



Para pelajar duduk dalam kumpulan..



Berbincang bagaimana membina peta pinda untuk topik yang diberi...




aktiviti yang serius...



kumpulan ini di luar dewan....



Cikgu-cikgu membimbing mata pelajaran masing-masing...




Sebahagian guru yang hadir membantu perbengkelan...


.

Saturday, April 2, 2011

Program Bicara Waris

Sebagai salah satu program dalam pelan tindakan sekolah pada tahun ini, Program Bicara Waris ini telah selamat diadakan pada hari Jumaat 1 April 2011. Di dalam program ini pihak sekolah telah menjemput ibubapa kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 untuk hadir bagi slot ‘parenting’ yang dikendalikan oleh Dr. Dzulkifli bin Bistaman. Alhamdulillah mengikut catatan kehadiran ibubapa, seramai 89 orang ibubapa telah hadir. Kesemua ibubapa yang hadir ini telah duduk bersebelahan dengan anak masing-masing sepanjang majlis itu berlangsung.

Di antara objektif program ini diadakan ialah untuk meningkatkan hubungan dua hala antara ibubapa dan guru-guru bagi tujuan menaikkan pencapaian akademik pelajar. Selain dari itu program ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada pelajar betapa seriusnya pihak waris dan pihak sekolah ingin melihat mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM serta mempunyai masa depan yang cerah.

Program bermula dengan ucapan aluan pengerusi majlis, bacaan doa dan juga ucapan daripada tuan pengetua sekolah. Selepas itu barulah ceramah Dr Dzulkifli Bistaman selama kira-kira 2 jam lamanya. Sebaik tamat slot Dr Dzul, para pelajar menunjukkan borang target peperiksaan awam mereka kepada ibubapa masing-masing untuk ditandatangani. Kemudian dijalankan lafaz ikrar oleh para pelajar yang diikuti pula dengan kesemua ibubapa menyematkan ‘tag akurjanji’ kepada anak masing-masing. Suasana agak terharu juga melihatkan ibubapa memeluk dan mencium anak masing-masing selepas mereka menyematkan tag akurjanji tersebut. Kepada anak-anak pula, ambillah detik ini sebagai peringatan kepada diri masing-masing supaya terus serius dalam mengulangkaji pelajaran agar mendapat kejayaan yang cemerlang.

Sesungguhnya program bicara waris pada hari ini pada pengamatan saya adalah berjaya walaupun cuma satu pertiga ibubapa yang dijemput dapat hadir. Rata-rata kesemua ibubapa yang hadir sangat terhibur dengan penyampaian Dr Dzul yang telah memberi banyak panduan secara Islamik bagaimana mendidik anak-anak khasnya para remaja masa kini.

Semasa menyambut kehadiran ibubapa sebelum majlis bermula, saya bersalam dengan seorang bapa pelajar. Saya mengucapkan terima kasih kerana kesanggupannya meluangkan masa hadir ke majlis anjuran sekolah itu. Beliau lantas menyatakan yang dia tidak dapat berada lama dalam majlis ini kerana ada urusan penting yang lain. Beliau datang itu pun kerana didesak oleh anaknya agar datang juga ke sekolah. Semasa ceramah Dr Dzul itu, saya sesekali memerhatikan bapa pelajar tersebut. Saya nampak dia begitu bersemangat dan teruja dengan ceramah itu. Saya kemudian perhatikan bapa pelajar ini tak jadi balik awal dan menunggu sehingga tamat majlis. Haa tu laa…., bukan kah pihak sekolah dah bawakan motivator yang ternama untuk kita semua???



ibu bapa mendaftar sebaik sampai ke dewan




Ibubapa duduk di sebelah anak masing-masing...



Yang ini mana bapak kome? kome tak sampaikan surat jemputan ke?



Yang ni mana anak nya? ...opp, cikgu-cikgu rupanya...




Dr Dzul berintraksi dengan seorang pelajar




Dr Dzul berintraksi dengan seorang bapa...




Ha peluk kuat-kuat emak tu....



banyak ilmu yang di pelajari di dalam majlis pada hari tu...

















Friday, April 1, 2011

Hi-tea Penolong-penolong Kanan

.

Pada petang hari Rabu 30 Mac 2011, saya menghadiri satu majlis ‘hi-tea’ di Perak Riverside Resort, Kuala Kangsar. Majlis itu ialah majlis di mana penolong-penolong kanan Sekolah Menengah Daerah Kuala Kangsar meraikan seorang rakan mereka yang bersara wajib baru-baru ini. Penolong kanan yang bersara itu ialah Cik Hjh Fatimah bt Meor Amaludin, PK SMK Toh Muda Abdul Aziz.

Seramai 17 orang Penolong Kanan telah hadir di majlis yang bermula jam 4.00 petang itu. Dalam ucapan Cik Hjh Fatimah, beliau mengucapkan terima kasih kerana kesudian PK-PK mengadakan majlis untuk meraikannya. Beliau juga menasihati rakan-rakan PK untuk terus bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi meninggikan pencapaian anak-anak didik dan juga imej perkhidmatan pendidikan di daerah Kuala Kangsar.

Cik Hjh Fatimah menyampaikan ucapan kepada kawan-kawan PK



En. Nazri, En. Abd Rahim, Tn Hj. Osman dan En Ahmad Zabidi



En. Ahmad Zabidi, Tn. Hj. Kamaruzzaman dan saya.



En Tung Yew Wai, En. Nazri dan En. Abd. Rahim



Pn. Hjh Paridah, Pn. Rahaipah, Pn. Hjh. Zuliha dan En. Suntharalingam



Cik Hjh Fatimah menerima cenderamata sumbangan PK-PK daripada Pn Hjh Norlayani.


Harungi perjalanan 2 jam

.



klik 2 kali untuk lebih jelas...
.