Friday, November 20, 2009

Selamat Bercuti 44 hari

Hari ini kami mengadakan perhimpunan khas sempena hari terakhir persekolahan sesi tahun 2009. Perhimpunan di dataran perhimpunan itu bermula jam 7.30 pagi dengan dihadiri oleh semua guru dan pelajar tingkatan 1 hingga 4. Pelajar tingkatan 5 tidak hadir sebab mereka telah pun memulakan peperiksaan SPM mereka sejak hari Rabu yang lepas.

Secara kebetulan, tuan pengetua tidak hadir ke sekolah pada hari ini kerana menghadiri satu mesyuarat lain di luar sekolah. Oleh itu saya diminta untuk memberikan ucap utama di majlis ini. Setelah selesai upacara nyanyian lagu kebangsaan dan lagu negeri Perak, guru bertugas memberi ucapan diikuti dengan pengumuman dari beberapa orang guru lain. Kemudian diadakan majlis penyampaian hadiah untuk beberapa acara yang telah dijalankan sepanjang minggu.

Di dalam ucap utama yang saya sampaikan, saya menasihati para pelajar menggunakan masa cuti sekolah yang panjang nanti dengan aktiviti yang berfaedah. Cuti akhir tahun kali ini adalah mulai 21 November 2009 hingga 3 Januari 2009 iaitu selama 6 minggu atau lebih tepat lagi selama 44 hari. Saya menyatakan kepada mereka, sebenarnya ramai ibubapa atau penjaga sekarang berasa ’susah hati’ apabila anak-anak remaja mereka bercuti dan tidak ke sekolah. Ini kerana anak-anak remaja mereka mungkin boleh melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan sukar dikawal. Sebaliknya jika anak-anak mereka ke sekolah, mereka lebih yakin anak-anak mereka akan selamat dan melakukan proses pembelajaran yang sepatutnya.

Saya juga memberi tip bagaimana para pelajar dapat ’menyejukkan hati’ ibubapa mereka supaya mereka sentiasa merasa senang apabila berdamping dengan anak-anak remajanya.
(i) Hendaklah selalu membaca atau belajar sendiri semasa cuti sekolah ini. Antara bahan yang boleh dibaca seperti buku-buku teks yang telahpun diberikan kepada setiap orang pelajar atau bahan bacaan lain yang berfaedah.
(ii) Menolong ibu membuat kerja rumah seperti membersihkan rumah, menolong membasuh pakaian dan pinggan mangkuk.
(iii) Menolong ibu bapa mencari rezeki seperti menoreh getah, berkebun atau berniaga. Tetapi saya mengingatkan para belajar supaya tidak ’memegang’ wang yang banyak. Ini kerana akan menurunkan semangat ingin belajar lagi sebab sudah terbiasa mempunyai wang yang banyak. Jika ada diberi oleh ibu bapa, simpanlah di dalam bank.
(iv) Sentiasa mendirikan solat 5 waktu. Ibu bapa mana yang tak sejuk hatinya melihat anak-anaknya menunaikan perintah agama itu.
(v) Sentiasa mendoakan kesejahteraan diri dan ibu bapa.
(vi) Membuat projek ringkas seperti berkebun sayur dan sebagainya di dalam tempoh masa cuti ini.
(vii) Akhir sekali jangan bergaul dengan rakan-rakan yang nakal kerana dibimbangi akan terjerumus melakukan aktiviti yang tidak baik.

Di akhir ucapan saya, saya mengucapkan penghargaan dan terimakasih kepada 2 orang guru yang dapat bertukar mulai 1 Disember 2009 ini. Seorang bertukar ke Ipoh dan seorang lagi bertukar ke Taiping.
.

Kelihatan guru yang dapat bertukar memberikan ucapan kepada semua guru dan pelajar.
.

1 comment:

  1. yaho00 sampai suda semenanjung.....alhamdulillah...dapat beraye di kg bersame keluarga dan rakan taulan

    ReplyDelete