Sunday, May 29, 2011

Kisah pasukan pendayung

.
Semasa mesyuarat guru kali terakhir yang saya hadiri di SMKSTA saya ada menunjukkan power point Pasukan Pendayung Malaysia yang berentap dengan Pasukan Pendayung Jepun. Ringkas ceritanya, pada tahun pertama, pasukan Malaysia kalah 1 km di belakang pasukan Jepun. Selepas dibuat post mortem didapati pasukan Jepun mempunyai seorang ketua dan 7 pendayung. Manakala pasukan Malaysia mempunyai 7 orang ketua dan seorang pendayung. (Kenapa contohnya pasukan Malaysia dan Jepun, saya kurang pasti…)







Kemudian pasukan Malaysia memperbaiki struktur pasukannya dengan melantik beberapa pengurus, beberapa penyelia dan beberapa ketua tetapi masih mengekalkan seorang pendayung. Dalam pertandingan pada tahun berikutnya, pasukan Malaysia kalah 2 km di belakang pasukan Jepun. Moral dari cerita ini ialah dalam sesuatu pasukan, memadailah seorang sahaja ketua, yang lain adalah pekerja-pekerja yang memainkan peranan masing-masing.







Selepas sahaja saya tamat memberi ucapan akhir di mesyuarat guru itu, tn pengetua mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saya di atas ucapan dan 'motivasi' yang disampaikan itu. Di hari berikutnya tn pengetua sekali lagi mengucapkan terima kasih. Katanya, dia tak boleh menerangkan perkara itu kepada guru-guru kerana risau nanti semacam satu arahan pula. Jadi sangat baguslah orang no. 2 yang memberi nasihat begitu. Sememangnyalah dalam sesuatu organisasi seperti di sekolah, tn pengetua adalah boss dan semua guru tidak dapat tidak mesti mengikut kata-katanya. Jika keadaan ini berlaku, barulah organisasi itu berjalan lancar dan kejayaan akan dicapai.

Sebaliknya jika banyak sangat ‘ketua’ dalam sesuatu organisasi, arahan-arahan mungkin akan bercanggahan satu sama lain, maka orang bawahan yang bekerja itu jadi tak ketahuan. Yang mana satu nak diikut… Itulah sebabnya pasukan Malaysia tu kalah 2 km berbanding 1 km pada tahun sebelumnya. Pendekatan ini jugalah yang saya amalkan sepanjang 14 tahun sebagai orang no. 2 di SMKSTA dan bertugas dengan 7 orang pengetua. Tak kiralah siapa pengetuanya, saya akan menjadi pengikut tanpa banyak soal. Lainlah kalau arahannya hal-hal yang bertentangan dengan agama, nescaya saya tak akan ikut….

Apabila saya di sekolah baru, di dalam ucapan pengenalan saya di perjumpaan dengan guru-guru dan staf sekolah, saya sekali lagi menegaskan bahawa di sekolah, bosnya adalah tn pengetua. Semua kita mesti mematuhi arahan dan peraturan yang dibuat oleh beliau. Saya juga menceritakan analogi ‘kisah pasukan pendayung’ itu tetapi tidak dengan power point, kerana LCD projector tidak disediakan pada masa itu. Kata saya, jika tn pengetua tak ada, barulah PK 1 yang menjadi’ ketua’. Dan jika PK1 juga tiada, maka orang yang dalam heiraki berikutnya iaitu PKHem yang menjadi ‘ketua’. Jangan ada banyak orang yang ‘berkuasa’ di sesabuah sekolah sehingga menyebabkan perbezaan pendapat yang boleh dikesan oleh anak-anak pelajar dan ibubapa mereka.






Selepas saya menegaskan perkara di atas, saya dapati tn pengetua saya yang baru itu juga amat seronok. Semasa saya ke kantin bersama-sama beliau selepas itu, beliau telah membayar harga makanan saya. Pada keesokan harinyanya pula, beliau telah membawa saya melawat blok-blok asrama putera dan puteri bersama-sama dengan warden-warden asrama. Dalam lawatan itu saya rasa macam jadi ’menteri’ pula, apabila saya diterangkan semua perkara tentang asrama oleh warden-warden. Rombongan lawatan itu juga memasuki hingga ke bilik-bilik air asrama untuk melihat sendiri kemudahan tempat penginapan para pelajar yang hampir 600 orang ramainya.

Semoga kami guru-guru sekolah ini akan menjadi ‘pasukan pendayung ' yang terbaik’ dalam mendidik anak-anak pelajar. Saya juga berdoa saya dapat membantu meningkatkan prestasi sekolah dalam apa juga bidang khususnya dalam bidang akademik…Amin!

No comments:

Post a Comment