.
Merujuk kepada surat Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia, KP(BPI) 5206/3/9.9 . Jld.6(67) bertarikh 22 April 2011, di antara pengisian Sambutan Hari Guru tahun ini ialah Bacaan Khutbah Jumaat serentak di masjid-masjid seluruh Negara mengenai menghargai jasa guru pada solat Jumaat 13 Mei 2011.
Berikut saya ‘copy’kan sebahagian teks khutbah yang ditelah dibaca oleh para khatib ketika solat Jumaat pada hari semalam.
Sidang Jumaat sekalian,
Dalam hidup kita ini, sama ada kita orang biasa, orang luar biasa, orang miskin, orang sederhana atau orang berada mesti ada sekurang-kurangnya dua insan yang sangat berjasa dan banyak berkorban kepada kita. Pertama ialah ibu dan ayah yang telah melahirkan kita ke dunia ini. Adapun yang kedua ialah guru-guru yang banyak mendidik dan mengajar kita.
Saudara-saudaraku kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita cuba mengingat kembali jasa dan pengorbanan guru-guru yang pernah mendidik kita. Barangkali ada di antara guru kita yang sudah meninggal dunia, mungkin juga ada di kalangan mereka yang masih hidup, lalu kita masih lagi berpeluang untuk bertemu dengan mereka.
Seorang guru banyak menabur jasa. Mereka telah mengajar kita membaca, mengira dan menulis. Merekalah yang dahulu mengajar kita mengenal A, B, C, alif, ba, ta serta mengajar kita mengira 1, 2, 3, tambah,tolak,darab serta bahagi. Selain itu, mereka jugalah mengajar kita menulis. Daripada seorang yang buta huruf dan tidak tahu membaca, kini kita mampu mengenal huruf, membaca dengan baik. Di samping mengajar ilmu-ilmu yang disebutkan, guru juga yang telah mengajar kita pelbagai ilmu yang lain semasa di dalam bilik darjah.
Saudara-saudaraku yang mudah-mudahan dikasihi Allah,
Setiap tahun, 16hb Mei diumumkan sebagai Hari Guru. Tarikh 16hb Mei ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak.
Sempena dengan tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan”, mimbar Jumaat mengajak kita untuk sama-sama mengingat kembali, menghargai guru dan jasa-jasa mereka. Tentunya agak sukar bagi seorang guru mampu mengingati murid-muridnya yang ramai, tetapi adalah tidak wajar jika seseorang murid itu untuk tidak mengenali serta mengingati guru yang pernah mengajarnya.
Apakah yang sewajarnya untuk kita lakukan buat guru-guru kita?
Kita wajar merendahkan diri dengan mengucapkan terima kasih kepada insan yang sangat berjasa ini. Mungkin kita tidak sedar, pada hari ini, kejayaan yang kita kecapi ini adalah diinspirasikan oleh doa berkekalan, yang tidak pernah putus diucapkan oleh bekas guru-guru kita selepas solat mereka. Itulah salah satu punca berkatnya kehidupan kita sekeluarga kini.
Sama ada guru itu masih hidup atau sudah kembali ke rahmatullah, doakanlah kesejahteraan mereka, sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Sekali dia menjadi guru kita, selama-lamanya dia adalah guru kita.
Sidang Jumaat sekalian,
Hari ini kita mendengar pelbagai tohmahan dan kritikan yang dilemparkan buat guru. Guru-guru dipertikai, diperlekeh dan direndah-rendahkan martabat mereka. Kita mendengar seorang guru yang ingin disaman oleh ibu bapa, dimaki hamun oleh orang lain dan sebagainya.
Apakah akan terjadi seandainya fenomena dan gejala ini terus menerus berlaku?
Wajarkah seseorang itu merendah-rendahkan martabat seorang guru, menghina, melontarkan kata-kata cercaan kepada gurunya atau guru-guru anak-anaknya. Adakah pangkat atau wang ringgit yang ada mengharuskan untuk kita menghina orang lain apatah seorang guru.
لَيْسَ المْؤمِنُ بِالطَّعَانِ وَلا اللِّعَانِ وَلا الفَاحِشَ وَلا البَذِئ
Maksudnya: Bukanlah daripada orang beriman yang sempurna imannya orang yang suka mengecam, suka melaknat, yang suka bercakap kufur dan yang suka mencarut.
(Riwayat at-Tirmidzi)
Saudara-saudara sidang Jumaat sekalian,
Tugas mendidik anak-anak menjadi manusia yang bertakwa adalah tugas yang amat sukar. Sewajarnya semua pihak bersatu hati, berkerjasama dan tidak saling salah menyalahi orang atau pihak lain dalam mendidik anak-anak menjadi insan berguna.
Kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu-bapa serta ahli masyarakat seharusnya turut memainkan peranan sewajarnya. Tugas ibu bapa adalah untuk mengukuhkan penerapan nilai murni melalui amalan seharian di rumah.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan anak itu beragama Yahudi, atau Nasrani atau Majusi (Riwayat al-Bukhari)
Islam menggariskan beberapa adab terhadap guru. Antaranya:
1- Sentiasa mengharapkan keredaan daripada guru supaya ilmu yang diajarnya diberkati.
2- Meminta pandangan guru terhadap sesuatu perkara yang akan dilakukan.
3- Sentiasa mengenang budi dan jasa guru yang telah mendidiknya.
Saudara-saudaraku sekalian.
Barangkali kita berasa kecewa seandainya kita melakukan sesuatu kebaikan kepada seseorang, akan tetapi tiba-tiba orang tersebut tidak menghargai sumbangan kita. Malah mencemuh atau melupakan kebaikan kita tersebut. Kita bukanlah ingin sedikit kebaikan yang kita lakukan itu untuk disebut-sebut atau dikenang-kenang.
Begitulah seandainya kita tidak menghargai, menghormati mereka yang telah member sumbangan dalam hidup kita. Guru-guru tidak sama sekali menagih ucapan terima kasih dan sanjungan dari anak-anak murid mereka. Lihatlah bagaimana Imam Malik bin Anas sangat menghormati gurunya yang bernama Nafi’. Beliau sanggup menunggu gurunya sekian lama di hadapan pintu rumah gurunya, semata-mata untuk bertanyakan soalan kepada gurunya.
Agama mengajar kita untuk mengenang kepada mereka yang banyak berbudi pada kita.
Mari kita menyoroti seketika sirah Rasulullah saw. Baginda begitu sedih dan hiba tatkala bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia. Kerana dua insan ini begitu banyak membuat jasa dan membantu baginda saw. Apatah lagi di saat baginda memerlukan bantuan dan sokongan jitu.
Abu Taliblah yang telah mengambil amanah memelihara nabi selepas ibu dan datuknya meninggal dunia. Beliau menjaga nabi dengan penuh kasih sayang bahkan telah membelanya. Begitu juga Khadijah yang telah membelanjakan hartanya untuk membantu perjuangan dakwah nabi saw.
Sekali lagi, mimbar hari ini menyeru untuk kita sama-sama mengingati jasa guru kita. Untuk ibu dan ayah, didiklah anak-anak kita agar menghormati guru-guru yang banyak memberi jasa pada mereka. Kita sendiri perlu menjadi contoh dan teladan untuk sentiasa mengingati insan-insan penting yang pernah menabur jasa dalam kita.
Akhir sekali, sempena hari guru pada tahun ini, marilah kita sama-sama melakukan sesuatu sebagai bukti kita menghargai jasa guru-guru kita, atau guru-guru anak kita.
Antara yang boleh kita lakukan ialah:
1. Mencari guru-guru kita untuk kita mengucapkan terima kasih dan memberi hadiah sebagai tanda kasih sayang yang berpanjangan.
2. Seandainya kita mengetahui ada di antara guru-guru kita yang sakit atau telah uzur, maka ziarahilah mereka.
3. Jika kita mengetahui ada di kalangan guru-guru kita telah kembali ke rahmatullah, maka hadiahkan al-fatihah dan mohonlah keampunan untuk mereka. Mudah-mudahan roh mereka akan ditempatkan bersama orang yang soleh.
4. Jika ada kesempatan mari kita kunjungi sekolah lama kita, di mana di situlah tempat kita menimba ilmu dahulu. Ringan-ringankanlah tangan untuk menghulurkan sumbangan, sama ada berupa material ataupun kepakaran.
5. Sebagai ibu dan bapa, maka marilah kita membantu sekolah anak-anak kita dengan bergiat aktif dalam PIBG sebagai tanda kita bersama dengan guru anak-anak kita membentuk generasi yang beriman dan bertaqwa.
Marilah kita melakukan muafakat antara masyarakat dan para guru, berkongsi keberkatan dan kebaikan sebagaimana sabda Rasulullah saw:
اَلعَالِمُ وَالمُتَعَلِّمُ شَرِيكَانِ فِى الخيَرِ وَلاَ خَيرَ فِى سَائِر النَّاسِ. (رواه ابن ماجه)
Guru dan murid kedua-duanya berkongsi kebaikan, dan tidak ada lagi kebaikan pada sekalian manusia selain mereka. (HR Ibnu Majah)
.
Saturday, May 14, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment