Sunday, May 30, 2010

Hanya 39 orang…


Pagi Sabtu semalam di sekolah saya diadakan program “Tazkiayatun Nafs” atau lebih mudah difahami sebagai program Motivasi Keibubapaan. Pihak sekolah memanggil penceramah terkenal iaitu Ustaz Abdullah Khari b Hj Harun dari negeri Kedah. Telah lama pihak sekolah mem’booking’ penceramah berkenaan kerana jadualnya yang padat.

Program diadakan di dewan baru yang canggih dengan sistem audio dan visualnya. Memang sesiapa yang hadir pada pagi semalam dapat menikmati satu persembahan ceramah yang sangat ‘first class’ kerana ustaz ini menggunakan semua bentuk audio dan visual yang ada. Selain pertunjukkan ‘nota power point’nya di slaid, beliau juga memasukkan pelbagai video clip dan ustaz ini juga sangat sedap menyanyikan lagu-lagu “nasyid kontemporari”.
Antara vedio clip yang ditunjukkan, kasih seorang ibu, mat rempit yang mati sia-sia, gambar kemalangan nampak tulang kaki tersembul, hukuman rotan di penjara dan pelbagai lagi.

Kebijaksanaan beliau menggunakan alat teknologi dan bersyarah dengan dengan diselangselikan mengaji ayat-ayat al Quran secara bertaranum, menyebabkan ada orang memanggilnya ustaz laptop. Namun tidak hairanlah kerana ustaz berkenaan sebenarnya guru fizik, lulusan engineering malah pernah menjadi engineer.

Pelajar-pelajar yang hadir agak ramai juga walaupun tak kesemuanya hadir. Saya pun tak pasti bilangan tepat yang hadir, tetapi rasanya jika bilangan pelajar seramai itu berjaya ‘menyerap’ kandungan ilmu yang disampaikan pada hari tersebut, maka budaya sekolah kami akan berubah 180o. Dari pelajar yang malas kepada pelajar yang “TEKUN”, dari pelajar yang tak menghormati ibubapa dan guru kepada pelajar yang “solleh dan sejuk mata memandang” serta dari pencapaian NKRA sekolah 1381 kepada NKRA bawah 300….

Tetapi yang menyedihkan saya ialah kehadiran ibubapa penjaga. Di dalam pendaftaran, hanya 39 orang ibubapa penjaga sahaja yang hadir. Sedangkan semua maklumat dan surat jemputan program telah disampaikan kepada mereka melalui anak-anak masing-masing. Saya mohon maaflah, kalau-kalau pihak sekolah tersilap pilih hari, kerana mengadakannya pada tengah-tengah cuti, atau semua mereka hari itu mengambil kesempatan menoreh getah kerana cuaca elok kering, atau banyak komitmen lain daripada menyertai majlis ilmu bersama-sama bebudak sekolah seperti ini...

Sepanjang 2 setengah jam program berjalan, saya duduk di ruang yang dikhaskan kepada kaum bapa. Saya melihat kesemua yang hadir sangat berpuas hati dengan cara pencapaian ustaz berkenaan. Di ketika penceramah meminta anak-anak pelajar berjumpa dan memeluk ibubapa masing-masing, mereka juga memeluk anaknya, mungkin buat pertama kali sesudah anaknya itu besar panjang! Saya pandang tak pandang sahaja kaum bapa yang tak dapat menahan air mata semasa slot itu. Manakan tidaknya saya juga sebak menahan air mata, namun dalam hati saya bersyukur kerana mungkin itu tanda hati-hati kami yang hadir itu boleh di’lembutkan’ dan tidak sekeras batu lagi...

Selepas tamat majlis, beberapa orang bapa dan penjaga bertanya saya, berapa bayaran pihak sekolah menjemput penceramah berkenaan? Saya pun memberitahunya... Kata mereka, ”itu bukan harga untuk isi yang disampaikan” maksudnya, kalau lebih dari harga itu pun tak apa, budak-budak banyak insaf, katanya. (Budak-budak juga... bapa budak tak nak insaf ke, dalam hati saya).

Walau apa pun, terima kasih dan penghargaan kepada ustaz penceramah, terima kasih kepada penganjur bersama majlis, iaitu PIBG, Panitia Pendidikan Islam, Panitia Sivik dan Kewarganegaraan serta Unit Bimbingan dan Kaunseling. Tahniah kepada ibubapa yang hadir. Tahniah juga kepada para pelajar yang hadir (termasuk pelajar bukan Islam juga). Sepatah kata tuan pengetua, ”semoga Tuhan melembutkan hati-hati kita”. Kepada pihak penganjur, jangan putus asa, ingat kisah Nabi Noh alaihis salam, walaupun berdakwah 950 tahun, yang menerima risalahnya cuma +/- 50 orang sahaja. Namun usaha seperti ini mesti diteruskan juga. Allah tidak melihat hasilnya, tetapi melihat apa yang kita lakukan!

No comments:

Post a Comment