Dua hari lepas, seorang jiran saya telah kembali ke rahmatuLlah. Jiran saya itu adalah seorang perempuan yang meninggal dunia kerana sakit tua. Namanya Puan Takyah binti Bedah. Umurnya 97 tahun. Semasa hayatnya, kami di kampung ini memanggil beliau dengan panggilan ”opan”. Opan ini lebih tua dari opah. Beberapa bulan lepas, saya dengan kawan-kawan sekampung mengira-ngira bahawa opan Takyah ini adalah merupakan orang tertua di kampung saya yang masih hidup.
Menurut anak lelakinya, En Mohd Zabidi, di dalam IC, opan Takyah ini dilahirkan pada tahun 1913. Pernah sekali baru-baru ini, sewaktu beliau sakit di hospital Kuala Kangsar, semasa nak membayar bil hospital, anaknya itu bergurau dengan kakitangan kewangan hospital, meminta bayaran secara percuma, kerana ibunya itu bukan lagi warga emas, tetapi ”warga platinum!”
Selain merupakan ”pemergian orang tertua” di kampung saya, kematian opan Takyah ini juga melakar sejarah tersendiri. Ini kerana kubur opan Takyah ini dikorek dengan menggunakan jentera ”back ho”. Seingat saya, inilah kali pertama tanah perkuburan di Jeliang ini dikorek dengan jentera. Sebelum ini, biasanya kubur dikorek dengan cangkul, cebak dan lain-lain secara bergotong royong. Memang ada kumpulan pengorek tanah perkuburan sukarela di kampung ini yang terdiri daripada pemuda-pemuda dan orang-orang yang berpengalaman. Difahamkan, anak-anak opan ini tak dapat ”mencari” penduduk kampung yang biasa mengorek liang kubur. Orang-orang itu telah keluar bekerja pagi-pagi lagi. Jadi mahu tak mahu, mereka memakat tuan punya back ho-lah.
Walau apa pun, semangat gotong royong yang menjadi amalan penduduk kampung ini sejak dahulu kala lagi diharap akan berkekalan. Jangan lah pula selepas ini, tak mahu lagi bergotong royong mengorek liang kubur, lantaran adanya kemudahan jentera. Bukankah banyak pahala dan pertolongan yang dapat kita berikan kepada arwah sebagai sumbangan terakhir kita kepadanya..... Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh opan Takyah... WalLahu Aklam...
Sunday, May 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment