Tuesday, October 6, 2009

Selamat Berjuang....


Sebagai seorang guru, saya berminat mencatatkan hal-hal pendidikan di dalam blog saya yang tak sepertinya ini. Kali ini saya nak sambung mengenai teknik-teknik menghadapi peperiksaan. Kebetulan esok akan bermulanya peperiksaan PMR untuk tahun ini.
Sepatutnya pelajar-pelajar sudah pakar dalam hal ini, kerana kekerapan mereka mengambil peperiksaan semenjak kecil lagi. Namun begitu, para melajar mungkin lupa ataupun tidak tahu teknik-teknik yang dapat membantu kecekapan mereka di dalam peperiksaan tersebut.
Berikut beberapa panduan dan teknik yang dapat mengurangkan ketegangan menghadapi peperiksaan.

(A) PERSIAPAN PADA SEBELUM MALAM PEPERIKSAAN

(i) Terdapat pelajar-pelajar suka belajar hingga larut malam terutama sekali pada malam sebelum peperiksaan. Amalan begini sepatutnya ditinggalkan. Sebaliknya pelajar-pelajar cuba berehat dan tidur awal bagi membolehkan mereka berasa tenang dan bertenaga semasa menghadapi peperiksaan pada keesokannya harinya.
(ii) Tanamkan azam dan semangat untuk berjaya. Ini dapat diperkuatkan sekiranya pelajar-pelajar telah mematuhi strategi belajar yang bermula pada awal tahun lagi. Letakkan kata-kata semangat di dinding dengan tulisan seperti ‘Aku Boleh Berjaya! atau ‘You Can Do It’.
(iii) Jangan sesekali menggunakan dadah perangsang seperti Amfetamin atau ‘Pep Pills’ yang senang disalahgunakan oleh pelajar semasa hendak mengambil peperiksaan.
(iv) Kumpulkan semua barang yang perlu dibawa ke dewan peperiksaan seperti beberapa batang pensil, pen, pemadam, pembaris dan sebgainya. Begitu juga jangan lupa kad pengenalan dan slip kemasukan peperiksaan.

(B) PERSIAPAN PADA PAGI HARI PEPERIKSAAN

(i) Pastikan pelajar-pelajar makan sarapan yang mencukupi kerana mereka memerlukan tenaga mental dan fizikal sepanjang hari.
(ii) Sekiranya pelajar-pelajar perlu pengangkutan untuk ke dewan peperiksaan, anggarkan masa yang diperlukan, supaya mereka tidak terlewat.
(iii) Apabila sampai ke dewan peperiksaan kita akan lihat keadaan-keadaan seperti adanya pelajar yang masih sedang menyemak nota, ada yang sedang berbincang dan ada yang bergelak ketawa antara mereka. Ada baiknya para pelajar tidak melakukan demikian. Ini untuk mengelakkan mereka merasa panik. Misalnya, apabila berbual mungkin mereka mendapati bahawa mereka terlupa belajar sesuatu dan ini akan menakutkan mereka. Kalau perlu dan kalau ada masa, belek sahaja nota-nota supaya segala yang dipelajari segar dalam ingatan.
(iv) Apabila dipanggil masuk ke dalam dewan peperiksaan, berjalanlah dengan langkah yang tenang serta bersopan. Ada baiknya pelajar-pelajar membaca di dalam hati masing-masing ayat-ayat atau doa-doa tertentukan agar mereka mendapat ketenangan semasa menjawab soalan-soalan nanti.

Sekian, semoga pelajar-pelajar tingkatan 3 dapat menjawab dengan betul, tepat dan memperolehi kejayaan yang cemerlang !!!
.

No comments:

Post a Comment