Sunday, October 11, 2009

Amalan menuding jari....








Sekarang ini musim hujan. Setiap hari hujan. Kadang-kadang hujan itu agak lebat dan turun dalam masa yang lama. Didoakan semoga negara kita tidak pula ditimpa bala bencana seperti banjir besar atau gempabumi seperti di negara jiran.
Bila tiba musim hujan, ada le pelajar lelaki datang ke sekolah berselipar seperti dalam gambar di atas. Jangan ditanya kenapa, kerana jawapannya standard sahaja iaitu ’kasut basah’. Yang peliknya, hanya kasut pelajar lelaki sahaja yang basah, kasut pelajar perempuan tidak pula basah, sebab pelajar perempuan tidak pula berselipar ke sekolah!!!
Puaslah cikgu-cikgu memarahi, menasihat dan memberi amaran agar jangan lagi mengulangi memakai selipar. Namun mereka akan mengulanginya lagi jika hujan berlaku. Bagi mereka berselipar ke sekolah lebih baik daripada ponteng sekolah...

Bila sebut fasal hujan, ada perumpamaan dalam Bahasa Melayu kita yang ditujukan kepada orang yang suka menuding jari untuk menyalahkan orang lain di atas kesilapan dan kelemahan diri sendiri. Perumpamaan itu ialah ”TIDAK BAWA PAYUNG, SALAHKAN HUJAN”

Perumpamaan menyalahkan hujan ini, boleh dikembangkan juga dengan contoh-contoh lain yang setara ertinya, seperti:

(i) Terjatuh kerana terlanggar tunggul lalu memaki hamun tunggul tersebut kerana berada di tengah jalan.
(ii) Terlewat bangun pagi dan terlepas bas ke sekolah lalu menyaalahkan pihak televisyen kerana menayangkan perlawanan bola sepak pada lewat malam.
(iii) Dirotan kerana merokok di sekolah lalu menyalahkan pekedai runcit kerana menjual rokok
(iv) Gagal Matematik lalu mengamuk pada kawan sebelah kerana tidak membenarkan meniru.
(v) Kalah dalam perlawanan badminton lalu menyalahkan syarikat pembuat raket badminton kerana produk tidak berkualiti.

Kesimpulannya, amalan menuding jari kepada orang lain bagi menutup kelemahan diri sendiri adalah amalan yang tidak sesuai lagi di zaman ” pencapaian diutamakan” ini. Samalah juga dengan alasan pelajar berselipar di atas yang memberi alasan ’kasut basah’ sudah tidak sesuai lagi di zaman serba maju sekarang kerana sekarang bukannya zaman 60 han atau 70 han. Banyak cara boleh mengeringkan kasut jika betul kasut sekolah hanya sepasang...
Semoga episod ’bangau oh bangau’ yang sering menyalahkan orang lain tidak menjadi amalan kita...
Sama-sama kita fikir-fikirkan ....

.

1 comment:

  1. ITU SUDAH JADI LUMRAH MANUSIA YG SERING MENYEMBUNYIKAN KELEMAHAN DIRI..MUHASABAHLAH..

    ReplyDelete