Kalau difikir-fikirkan usaha membenteras gejala merokok ini bukanlah usaha yang mudah. Ia memerlukan komitmen semua pihak dari ibubapa hinggalah ke pihak pemerintah sesebuah negara.Di negara kita walaupun berbagai usaha dilakukan pihak berwajib bagi menangani tabiaat merokok, namun ia tidak mendatangkan hasil. Orang merokok masih tidak berhenti dan bilangan perokok makin bertambah. Di sekolah-sekolah usaha membenteras tabiaat merokok sangat jelas hukumannya, berperingkat-peringkat, namun masih ramai pelajar yang merokok.
Di peringkat kementerian kesihatan pula, usaha mengiklankan betapa menderitanya perokok-perokok dan ditayangkan di TV juga tidak nampak kesannya. Usaha menghapuskan iklan rokok pun kita kena berfikir banyak kali, sebab pendapatan dari iklan rokok yang tinggi. Begitu juga nak memberhentikan tanaman tembakau juga tidak serius, sebab jualan hasil tembakau adalah lumayan, cepat dan menguntungkan di banding tanaman lain.
Saya pernah membaca satu artikel bagaimana negara Jepun berjaya memberhentikan tabiaat merokok di kalangan rakyat negaranya.
Pada tahun lepas iaitu tahun 2008, pemerintah Jepun mengeluarkan kad “Taspo”, iaitu ”surat izin merokok”, dengan tujuan remaja di bawah umur 20 tahun tidak boleh merokok. Masing-masing perokok wajib terdaftar sebagai perokok dan wajib memiliki kad tersebut. Kad Taspo ini sangat ”sakti”. Mesin penjual rokok atau kedai-kedai lain tidak akan menjual rokoknya kepada yang tidak memiliki kad ini. Kad ini juga akan mengesan prestasi penggunaan rokok per bulan dalam hitungan grafik, yang berhubungan dengan kesihatan dan sebagainya.
Perokok-perokok di Jepun diklasifikasikan dari tingkat 1 sehingga 10. Klasifikasi tingkat 10 adalah yang paling berat dan tinggi kadar tar dan nikotinnya. Apabila perokok telah dapat mengurangkan ketagihan, ia akan dilabelkan klasifikasi 9, 8, 7, dan seterusnya., Akhirnya klasifikasi tingkat-1, iaitu ketagihan rokok yang paling ringan. Kalau sudah terbiasa menghisap rokok klasifikasi-1, tidak merokok sama sekali pun boleh.
Pemerintah Jepun juga menyediakan tempat-tempat merokok hampir di pusat-pusat bandar. Merokok sambil berjalan di jalan-jalan awam pula boleh didenda 5000 yen bersamaan RM200 di tempat itu serta merta. Dibandingkan dengan negara kita, walaupun ada peraturan melarang merokok di tempat awam, namun tidak berkuatkuasa. Malahan di masjid yang merupakan tempat ibadah juga perbuatan merokok tak dapat dihentikan. Saya fikir kalau ditegur ahli jamaah yang merokok di masjid selepas waktu maghrib menanti waktu Isyak itu, haruslah esoknya mereka tak datang langsung....
Semoga anak-anak dan generasi baru di negara kita akan dapat berfikir akan baik buruknya tabiat merokok. Selain merokok membahayakan kesihatan, ia juga menghabiskan wang ringgit yang sepatutnya digunakan untuk hal-hal yang berfaedah.....
.
No comments:
Post a Comment