Saturday, October 31, 2009

Jangan Berbohong



Ada satu pantun lama. Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri...Pantun ini memberi banyak pengajaran. Sesaorang yang berbohong akan terus berbohong dan akhirnya oleh kerana ’kesedapannya’ berbohong itu, ia tidak akan takut melakukan kesalahan yang lebih besar lagi seperti mencuri...

Memang sejak kecil, kita sering diajar bahawa bohong adalah perbuatan yang tidak baik atau dalam istilah yang paling mudah difahami, “bohong itu jahat”. Namun dalam kehidupan seharian, terutamanya bagi orang dewasa, bohong kadangkala menjadi suatu perkara yang biasa yang tidak dapat dielakkan. Namun, betulkah kita memang tidak dapat mengelak daripada berbohong?Mengapa berbohong?

Jawapan yang paling tepat, kerana mahu menyelamatkan diri sendiri daripada sesuatu keadaan! Yang biasa berlaku, kita tersepit dalam sesuatu situasi dan situasi itu berlaku kerana kelalaian atau kesalahan sendiri. Sekiranya kesulitan itu berlaku kerana kesilapan orang lain, tentulah kita tidak berbohong kerana kita dapat mencari pihak lain untuk diletakkan kesalahan itu.Tetapi sebaliknya apabila kesalahan itu berpunca daripada kita sendiri, maka kita terpaksa mereka-reka alasan supaya kita tidka dipersalahkan. Apabila terlalu bijak mereka-reka alasan, maka terjadilah pembohongan.

Bohong bermaksud memberitahu susuatu yang tidak benar dan kita tahu bahawa hal itu tidak benar. Atau dengan kata lain, berdusta. Dari sudut pandangan Islam, sudah tentu hukumnya haram. Jika kita memberitahu orang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu bahawa hal itu tidak benar, perbuatan itu bukanlah bohong namanya.Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Saya dengar Rasulullah SAW bersabda, “Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak..” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berpesan kepadanya, “Hanya dengan satu perkara: ‘Laa Takzib! (Jangan berbohong!).’

Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu. “Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum,” fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.”







.

No comments:

Post a Comment