Saturday, October 31, 2009

Lambaian Kaabah




Sekarang ini sudah masuk musim haji. Setiap hari sekurang-kurangnya 3 buah kapalterbang berlepas dari negara kita menuju ke tanah suci di negara Arab Saudi itu. Ibadah haji adalah WAJIB bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan memenuhi syarat-syarat tertentu.

Menunaikan ibadat haji di sana merupakan medan penuh ujian dalam mematuhi rukun dan syarat wajib haji. Ia bukan perjalanan yang mudah bagi sesaorang muslim kerana mereka akan membawa bersamanya segala beban pengalaman hidup sama ada hidupnya dihabiskan dengan dosa dan culas kemudian hendak memburu pahala sama ada wajib atau sunat. Jika seruan haji disambut hanya kerana ikut-ikutan maka ibadah yang dilakukan hanya separuh hati dan haji mabrur yang menjadi cita-cita semua bakal haji dan hajah akan hanya akan menjadi ‘haji sangkut’ sahaja.

Bagi setiap bakal haji yang bersiap sedia menyambut panggilan haji selain mempersiapkan diri dengan segala bacaan dalam rukun haji kita harus ‘membersihkan’ diri daripada segala dosa dan memohon ampun dan maaf daripada semua pihak terutama yang terasa hati atau tersinggung oleh perbuatan dan lisan kita. Pendik kata semasa nak turun rumah nanti, bayangkan itu adalah turun yang terakhir dan tak balik-balik lagi…

Bagi kita di negara ini patut bersyukur kerana agensi yang bertanggungjawab menguruskan pemergian kita iaitu Tabung Haji memberikan kursus haji secara intensif kepada semua bakal haji. Sebab itu jamaah haji dari negara kita dapat mengerjakan ibadat itu dengan teratur dan berdisiplin.

Oleh sebab adanya ‘kouta’ yang ditetapkan oleh negara-negara Islam agar bilangan jamaah haji pada setiap tahun tidak terlalu ramai, maka tidaklah dapat sesaorang hendak pergi sesuka hati. Mereka terpaksa mendaftar dan mengikut giliran kerana kouta negara kita hanya 26,000 orang sahaja iaitu 0.1 peratus dari bilangan penduduk negara ini. Seorang kawan saya dari kampong saya yang dapat ke Makkah baru-baru ini memberi tahu saya, dia telah mendaftar untuk menunaikan ibadat haji ini sejak tahun 2000 lagi. Maknanya selepas 9 tahun baru tiba gilirannya untuk pergi. Memang pun, jika kita mendaftar untuk pergi ibadat haji di Tabung Haji sekarang, kita akan diberitahu nombor giliran yang bermula dengan nombor 2023 iaitu tahun kemungkinan kita dapat pergi.

Jadi sukalah saya nasihatkan kepada kawan-kawan yang belum pergi dan nak ke Makkah eloklah mendaftar segera dan jangan tunggu duit cukup baru nak mendaftar. Walaupun pendaftaran bermula nombor 2023, tetapi jika diizinkan Allah, sesaorang itu akan dapat juga pergi lebih awal. Berdoalah sahaja, nescaya Allah memberi jalan untuk kita… Insya-Allah kita akan menjadi muslim yang dapat melengkapkan rukun Islam kelimanya.... Amin!!



.

No comments:

Post a Comment