Hari ini dah masuk hari pertama bulan Zulkaedah. Bulan Syawal dah berlalu. Dengan tamatnya bulan Syawal, maka selesailah masa untuk mengadakan rumah terbuka aidilfitri, sesuatu yang hampir menjadi budaya orang melayu di negara ini. Selagi tak habis bulan Syawal, menganggap hari raya puasa belum selesai.... ada sahaja yang mengadakan rumah terbuka. Sambutan Hari Raya Puasa diadakan selama sebulan!
Pada saya, nak mengadakan rumah terbuka bukanlah satu kesalahan. Malah mungkin mendapat pahala kerana menjamu tetamu dengan makanan yang lazat secara percuma. Di samping itu dapat mengeratkan silatur rahim dan berkenal-kenalan sesama rakan dan taulan. Tetapi kalau mengadakannya dengan tujuan yang lain seperti menunjuk-nunjuk, bermegah-megah dan mencari nama, itu bukanlah yang afdhal bahkan tidak mengikut amalan orang-orang yang beriman. Kalau tidak mengikut amalan orang yang beriman, maknanya mengikut amalan siapa?...
Sekarang, bila dah berakhir bulan syawal ini, saya rasa aman sedikit kerana dapat mengelak daripada jemputan yang bertimpa-timpa menghadiri rumah terbuka lebih-lebih lagi pada hari Sabtu dan Ahad. Kalau tak pergi menerima jemputan nanti kecil hati pula kawan-kawan. Nak pergi, kita banyak tugasan yang nak dibuat. Walau apa pun, semoga-moga amalan yang kita lakukan akan diterima Allah sebagai amalan yang solleh dan bukan yang sia-sia.
Saya membaca di buku-buku agama, kelebihan bulan Zulkaedah ini. Sebenarnya tiada amalan yang khusus di bulan ini. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah. Haji tamattuk juga dimulakan di bulan Zulkaedah.
Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram, maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini. Eratkan silaturrahim bagi yang bermusuh, damaikanlah bagi yang berdendam dan berlapanglah bagi yang renggang, InsyaAllah hidup penuh berkat dan aman damai serta selamat di dunia dan di akhirat........
No comments:
Post a Comment