Tuesday, October 6, 2009
Betulkah kita menang?
Hari ini diadakan Sambutan Hari Raya peringkat kelab staf sekolah saya. Majlis yang bermula jam 2.15 petang dikira agak meriah juga. Dengan dihadiri oleh semua guru, kakitangan sekolah dan kakitangan swasta, majlis berlangsung dengan begitu sempurna. Pelbagai jenis juadah hari raya disajikan. Ini termasuklah lemang, rendang, nasi impit, satay, laksam, bubur dan sebagainya. Saya sendiri makan agak banyak, maklumlah memang dikosongkan perut sejak dari pagi...
Demikianlah, ’budaya’ kita orang melayu di negara ini. Walaupun kita dah masuk minggu ketiga bulan Syawal, namun sambutan hari raya diteruskan. Di mana-mana sahaja kita lihat sambutan hari raya atau rumah terbuka ini diadakan. Ia dianjurkan oleh berbagai persatuan, kelab-kelab, majlis daerah, parti-parti politik, mahupun peringkat kerajaan-kerajaan negeri. Menghadiri majlis seumpama itu memanglah menyeronokkan, apalagi dapat makan secara percuma dan berjumpa dengan sahabat-sahabat handai.
Kadang-kadang terfikir di kepala saya, apakah ini satu tuntutan di dalam agama kita? Atau kita mengadakan ’hari terbuka’ ini suatu amalan yang menyimpang dari tuntutan agama. Marilah kita fikirkan bersama-sama.
Secara mudah, aidil fitri ialah hari perayaan kemenangan umat Islam. Umat Islam telah bersusah payah menunaikan ibadah puasa sebulan di bulan Ramadhan. Semasa berpuasa, umat Islam dilarang sama sekali berbuat perkara kejahatan zahir dan batin. Tujuannya supaya pahala puasa dapat diterima secara total dari ALLah Taala tanpa dicacatkan oleh dosa berbuat kejahatan zahir dan batin. Dalam masa yang sama umat Islam sangat-sangat dikehendaki memperbanyakkan amal sunat di samping memperbaiki amal wajib.
Jika logik ini dituruti, orang yang telah keluar dari ’sekolah’ Ramadhan ini adalah orang yang telah bersih dirinya. Orang yang bersih zahir dan batin adalah umpama anak kecik yang baru lahir ke dunia. Anak kecil adalah fitrah yakni bersifat suci bersih dari segala bentuk dosa.
Maka merayakan hari raya aidil fitri bermaksud merayakan kemenangan dalam perjuangan mensucikan diri zahir dan batin semasa berpuasa dalam bulan Ramadhan, Dengan lain perkataan mereka ini telah mencapai darjat Taqwa kepada Allah SWT hasil daripada amalan di bulan Ramadhan itu. Taqwa adalah menuruti perintah Allah secara zahir dan batin, dan menjauhi laranganNya juga zahir dan batin. Maka hendaklah kesucian ini dijaga terus menerus walaupun Ramadhan telah berlalu.
Dalam masa merayakan kemenangan ini, kita hendaklah berjaga-jaga supaya kesucian itu tidak ternoda. Kemungkinan, noda pertama ialah kegembiraan menyambut hari raya tersebut berhari-hari sehingga menyebabkan kita membazir. Kita makan semahunya seperti membalas dendam tidak makan dan minun di siang hari selama tiga puluh hari dulu. Ertinya perut yang telah dilatih menahan lapar itu kita isi semula dengan nafsu makan tanpa batasan. Nafsu ammarah yang telah kita singkirkan melalui amalan berlapar itu kita jemput kembali memenuhi perut.
Mungkinkah kita melihat semula sejarah para sahabat Nabi SAW di zaman silam, bagaimana mereka menyambut hari raya puasa ini. Betulkah sambutannya selama SEBULAN? Betulkah kita dah menang? Iaitu menang melawan hawa nafsu dan menang meningkatkan ketaqwaan?
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment