Saturday, October 31, 2009

Masya-Allah...!


MOSCOW - Majlis Mufti Rusia kelmarin sebulat suara menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di wilayah Dagestan, selatan Rusia merupakan amaran tuhan kepada semua penduduk Islam di Rusia dan Dagestan.

Menurut kenyataan majlis itu, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.


Menurut beberapa laporan, ibu bapa Ali yang tinggal di bandar Kizlyar di wilayah Dagestan dan kalangan imam tempatan mendakwa ayat suci al-Quran itu muncul pada hari Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baru.Salah satu ayat itu bermaksud: "Allah ialah Pencipta segala yang ada.".

Apabila ayat suci seterusnya muncul, Ali tidak dapat tidur sepanjang malam dan mengalami demam dengan kepanasan badannya tidak dapat dikurangkan walaupun dengan menggunakan ubat-ubatan kuat.Semasa dia dilahirkan, Ali didapati menghidap penyakit jantung dan berkaitan dengan otak tetapi dia sembuh sepenuhnya selepas ayat al-Quran mula muncul pada tubuhnya. - Agensi


Nota: SubhanAllah...

Jangan Berbohong



Ada satu pantun lama. Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri...Pantun ini memberi banyak pengajaran. Sesaorang yang berbohong akan terus berbohong dan akhirnya oleh kerana ’kesedapannya’ berbohong itu, ia tidak akan takut melakukan kesalahan yang lebih besar lagi seperti mencuri...

Memang sejak kecil, kita sering diajar bahawa bohong adalah perbuatan yang tidak baik atau dalam istilah yang paling mudah difahami, “bohong itu jahat”. Namun dalam kehidupan seharian, terutamanya bagi orang dewasa, bohong kadangkala menjadi suatu perkara yang biasa yang tidak dapat dielakkan. Namun, betulkah kita memang tidak dapat mengelak daripada berbohong?Mengapa berbohong?

Jawapan yang paling tepat, kerana mahu menyelamatkan diri sendiri daripada sesuatu keadaan! Yang biasa berlaku, kita tersepit dalam sesuatu situasi dan situasi itu berlaku kerana kelalaian atau kesalahan sendiri. Sekiranya kesulitan itu berlaku kerana kesilapan orang lain, tentulah kita tidak berbohong kerana kita dapat mencari pihak lain untuk diletakkan kesalahan itu.Tetapi sebaliknya apabila kesalahan itu berpunca daripada kita sendiri, maka kita terpaksa mereka-reka alasan supaya kita tidka dipersalahkan. Apabila terlalu bijak mereka-reka alasan, maka terjadilah pembohongan.

Bohong bermaksud memberitahu susuatu yang tidak benar dan kita tahu bahawa hal itu tidak benar. Atau dengan kata lain, berdusta. Dari sudut pandangan Islam, sudah tentu hukumnya haram. Jika kita memberitahu orang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu bahawa hal itu tidak benar, perbuatan itu bukanlah bohong namanya.Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Saya dengar Rasulullah SAW bersabda, “Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak..” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berpesan kepadanya, “Hanya dengan satu perkara: ‘Laa Takzib! (Jangan berbohong!).’

Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu. “Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum,” fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.”







.

Lambaian Kaabah




Sekarang ini sudah masuk musim haji. Setiap hari sekurang-kurangnya 3 buah kapalterbang berlepas dari negara kita menuju ke tanah suci di negara Arab Saudi itu. Ibadah haji adalah WAJIB bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan memenuhi syarat-syarat tertentu.

Menunaikan ibadat haji di sana merupakan medan penuh ujian dalam mematuhi rukun dan syarat wajib haji. Ia bukan perjalanan yang mudah bagi sesaorang muslim kerana mereka akan membawa bersamanya segala beban pengalaman hidup sama ada hidupnya dihabiskan dengan dosa dan culas kemudian hendak memburu pahala sama ada wajib atau sunat. Jika seruan haji disambut hanya kerana ikut-ikutan maka ibadah yang dilakukan hanya separuh hati dan haji mabrur yang menjadi cita-cita semua bakal haji dan hajah akan hanya akan menjadi ‘haji sangkut’ sahaja.

Bagi setiap bakal haji yang bersiap sedia menyambut panggilan haji selain mempersiapkan diri dengan segala bacaan dalam rukun haji kita harus ‘membersihkan’ diri daripada segala dosa dan memohon ampun dan maaf daripada semua pihak terutama yang terasa hati atau tersinggung oleh perbuatan dan lisan kita. Pendik kata semasa nak turun rumah nanti, bayangkan itu adalah turun yang terakhir dan tak balik-balik lagi…

Bagi kita di negara ini patut bersyukur kerana agensi yang bertanggungjawab menguruskan pemergian kita iaitu Tabung Haji memberikan kursus haji secara intensif kepada semua bakal haji. Sebab itu jamaah haji dari negara kita dapat mengerjakan ibadat itu dengan teratur dan berdisiplin.

Oleh sebab adanya ‘kouta’ yang ditetapkan oleh negara-negara Islam agar bilangan jamaah haji pada setiap tahun tidak terlalu ramai, maka tidaklah dapat sesaorang hendak pergi sesuka hati. Mereka terpaksa mendaftar dan mengikut giliran kerana kouta negara kita hanya 26,000 orang sahaja iaitu 0.1 peratus dari bilangan penduduk negara ini. Seorang kawan saya dari kampong saya yang dapat ke Makkah baru-baru ini memberi tahu saya, dia telah mendaftar untuk menunaikan ibadat haji ini sejak tahun 2000 lagi. Maknanya selepas 9 tahun baru tiba gilirannya untuk pergi. Memang pun, jika kita mendaftar untuk pergi ibadat haji di Tabung Haji sekarang, kita akan diberitahu nombor giliran yang bermula dengan nombor 2023 iaitu tahun kemungkinan kita dapat pergi.

Jadi sukalah saya nasihatkan kepada kawan-kawan yang belum pergi dan nak ke Makkah eloklah mendaftar segera dan jangan tunggu duit cukup baru nak mendaftar. Walaupun pendaftaran bermula nombor 2023, tetapi jika diizinkan Allah, sesaorang itu akan dapat juga pergi lebih awal. Berdoalah sahaja, nescaya Allah memberi jalan untuk kita… Insya-Allah kita akan menjadi muslim yang dapat melengkapkan rukun Islam kelimanya.... Amin!!



.

Friday, October 30, 2009

Tulisan Allah pada ikan toman


SEORANG peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria, 53, tidak sangka ikan toman bunga yang dipelihara lebih setahun lalu ada tulisan kalimah Allah di kedua-dua belah badannya.

Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, beliau menyedari mengenai perkara itu apabila diberitahu oleh imam rancangan tanah berkenaan, Nordin Ariffin, yang mengunjungi rumahnya ternampak tulisan itu.

"Saya pada mulanya tidak percaya ada tulisan kalimah Allah tetapi selepas saya amati ikan yang saya pelihara di dalam akuarium itu, ternyata ia adalah benar.

"Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu dan saya tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada peneroka menawarkan harga RM300," katanya.

Mustapha berkata dia memperolehi ikan toman itu daripada rakannya di Kampung Rasa, Pasir Puteh, selepas rakannya memancing di sungai kampung terbabit.

Beliau berkata semasa membawa balik ikan toman itu lebih setahun lalu saiznya lebih kecil dalam sekitar setengah kilogram sahaja tetapi sekarang bertambah besar hingga mencapai lebih satu kilogram.

"Memang pada mulanya saya tidak berniat untuk memelihara lebih lama kerana sebelum ini saya pernah memelihara ikan jenis serupa dan menjualnya kepada orang lain," katanya.
Namun, tambah beliau kali ini dia akan terus menjaga dengan baik ikan toman berkenaan yang semakin bercahaya dan semakin ramai peneroka rancangan tanah terbabit datang melihatnya setiap hari.

"Menjadi hobi saya memelihara ikan dalam akuarium sejak usia remaja lagi tetapi ini adalah pertama kali ikan yang saya pelihara ditemui ada tulisan kalimah Allah.

"Ikan toman ini lebih bercahaya pada waktu malam hingga tulisan kalimah jelas kelihatan," katanya. BERNAMA

Bacalah al Quran walaupun tak faham makna...


Berikut saya catatkan satu cerita pengajaran yang saya dapatkan dari tulisan Wan Sanusi Wan Ali. Mari kita renungkan…..


Terdapat seorang lelaki tua yang tinggal di sebuah ladang di Kentucky, US dengan cucunya.Setiap pagi, Si Datuk akan membaca Al-Quran di ruang dapur. Si cucu yang melihat, juga meniru perbuatan datuknya itu.


Satu hari si cucu bertanya kepada datuknya, “Atuk, saya baca Quran ini tapi tak fahamlah maksudnya. Kalau faham pun saya akan lupa bila tutup Al-Quran. Jadi apa gunanya kita baca Al-Quran ini?”


Si datuk lalu berpaling sebentar dan mendapatkan sebuah bakul yang kotor kerana diisi arang sebelumnya.“Nah, kau pergi sungai, bawak air dalam bakul ni” .


Si cucu pun bergegas ke sungai yang berhampiran dengan rumah mereka di ladang. Apabila pulang, tiada lagi air yang tinggal.“Kau lambat sangat, cuba lari laju-laju sikit”. Si cucu pun berlari ke sungai dan apabila tiba di hadapan datuknya, tiada juga air yang tinggal.“Tak boleh lah atuk”. Cuba sekali lagi.


Kali ini datuknya melihat dari pintu.. Si cucu pun, cepat-cepat ke sungai dan berlari membawa bakul untuk tunjuk kepada datuknya. “Nampak tak atuk? Tak boleh lah”.“Tak ada gunaya” bentak si cucu.


Si datuk pun berkata, “Jadi kau rasa tak bergunalah? Cuba kau tengok bakul tu”.Seperti baru tersedar, si cucu baru perasan yang bakul yang kotor tadi, kini sudah bersih.Terus si datuk menyambung, “Macam itu lah dengan membaca Al-Quran, walaupun tidak memahami maksudnya, tetapi ia tetap membersihkan si pembacanya. Itu semua dengan kehendak Allah. Kerja Allah”


Moralnya: Bacalah Al-Quran walau tak tau maknanya... kerana ia kalam Allah yg boleh membersihkan hati kita. Wallahua'lam.

.

Sebab Tersenyum..

Diceritakan seorang pegawai polis masuk ke bilik mayat sebuah hospital untuk menyiasat punca kematian tiga orang lelaki. Selepas memeriksa mayat-mayat itu, dia bertanya kepada penjaga bilik berkenaan.

Polis : Mengapa ketiga-tiga mayat tersenyum?
Penjaga : Lelaki pertama ini sedang bersanding, tiba-tiba dia diserang strok lalu mati.

Polis : Yang ini?
Penjaga : Lelaki kedua ini, khabarnya menang loteri. Kerana terlalu gembira dia kena
serangan sakit jantung lalu mati.

Polis : Yang ini pula?
Penjaga : Lelaki ini kena sambar petir.

Polis : Hah! Kenapa disambar petir pun tersenyum?
Penjaga : Masa tu dia ingat orang sedang ambil gambarnya...!!!

.

Thursday, October 29, 2009

Keputusan PTK...




Hari Isnin yang lepas keputusan peperiksaan PTK diumumkan. Peperiksaan yang diduduki oleh guru-guru pada cuti bulan Ogos yang lepas itu agak menggembirakan juga. Ini kerana tidak ada seorang guru pun di sekolah ini yang gagal. Walaupun hanya seorang gred 41 yang mencapai keputusan aras IV namun yang lain telah lulus dengan pencapaian aras III. Guru yang lulus aras IV akan memperolehi tangga gaji P2 yang lebih tinggi dari gaji asal P1. Tahniahlah diucapkan.

Nampaknya walaupun tidak ada kursus untuk guru-guru 41 dan 44, dan mereka terus menduduki ujian, namun susah juga untuk mendapat pencapai IV – IV. Saya diberitahu oleh seorang rakan di KK bahawa tidak ada guru gred 44 dalam daerah ini yang dapat keputusan IV-IV. Betul ke tidak saya tak pasti. Walaupun begitu bagi yang tak berjaya, mereka boleh menduduki lagi ujian ini pada masa depan.

Dulu, guru-guru gred 44 dikehendaki menduduki kursus selama 8 hari seperti seperti gred 48, 52 dan 54. Sekarang guru gred 44 ini hanya menduduki peperiksaan sahaja selama 1 hari. Saya teringat semasa saya menduduki kursus PTK hampir tiga tahun yang lalu. Masa itu guru-guru gred 44 dikehendaki memasuki kursus dulu sebelum ujian bertulis diadakan. Kumpulan saya disertai oleh hampir 120 orang yang terdiri dari Ketua-ketua Jabatan di Maktab Perguruan, Kolej Matrikulasi, Jemaah Nazir, pegawai-pegawai di JPN dan PPD serta pengetua dan Penolong Kanan sekolah-sekolah Menengah di negeri Perak, Kedah, Penang dan Perlis.

Di dalam kursus 8 hari itu, 4 hari pertama peserta didedahkan dengan slot ceramah dan bengkel oleh pensyarah-pensyarah berpengalaman dalam dunia pendidikan. Hari yang ke-5, para peserta dikehendaki membuat pembentangan kertas kerja yang disiapkan lebih awal. Hari Ke-6, ialah hari ”public speaking”, hari ke-7 pula ialah pembentangan kerja kumpulan. Dan pada hari ke-8, barulah peperiksaan bertulis diadakan. Pendikkata selama 8 hari itu penuh dengan pengisian dan penilaian oleh juri dan hakim-hakim.

Pada saya, jika ditanya orang, apakah kursus yang paling membuatkan kita ’tension’, saya akan jawab, ” Kursus PTK lah yang paling tension ” Orang lain, saya tak pasti!

Dan satu lagi, saya teringat semasa kami membentangkan hasil kerja kumpulan, adalah satu kumpulan tu mengakhiri persembahan mereka dengan serangkap pantun. Nak tahu apa pantunnya? Ha begini.....

Satu bukan kami pinta,
Dua harap jangan hampiri,
Kalau boleh janganlah tiga
Empat juga kami ingini.


.

LARANGAN MEROKOK


Petang semalam, di dalam perjalanan balik dari satu mesyuarat di PPD, saya terlihat sekumpulan pelajar lelaki berpakaian sekolah sedang menghisap rokok. Oleh kerana saya memandu di tengah kesibukan Bandar di Raja itu saya tak nampak lencana yang pakai oleh mereka. Oleh itu saya tak pasti pelajar itu dari sekolah mana. Tetapi yang pasti mereka pelajar lelaki bangsa Melayu mungkin tingkatan 4 atau 5. Saya sekadar menggeleng-gelengkan kepala sahaja melihat tingkah laku pewaris bangsa itu. Mereka tidak memikirkan langsung kesan buruk dari perbuatan merokok mereka itu.

Kalau difikir-fikirkan usaha membenteras gejala merokok ini bukanlah usaha yang mudah. Ia memerlukan komitmen semua pihak dari ibubapa hinggalah ke pihak pemerintah sesebuah negara.Di negara kita walaupun berbagai usaha dilakukan pihak berwajib bagi menangani tabiaat merokok, namun ia tidak mendatangkan hasil. Orang merokok masih tidak berhenti dan bilangan perokok makin bertambah. Di sekolah-sekolah usaha membenteras tabiaat merokok sangat jelas hukumannya, berperingkat-peringkat, namun masih ramai pelajar yang merokok.

Di peringkat kementerian kesihatan pula, usaha mengiklankan betapa menderitanya perokok-perokok dan ditayangkan di TV juga tidak nampak kesannya. Usaha menghapuskan iklan rokok pun kita kena berfikir banyak kali, sebab pendapatan dari iklan rokok yang tinggi. Begitu juga nak memberhentikan tanaman tembakau juga tidak serius, sebab jualan hasil tembakau adalah lumayan, cepat dan menguntungkan di banding tanaman lain.












Saya pernah membaca satu artikel bagaimana negara Jepun berjaya memberhentikan tabiaat merokok di kalangan rakyat negaranya.

Pada tahun lepas iaitu tahun 2008, pemerintah Jepun mengeluarkan kad “Taspo”, iaitu ”surat izin merokok”, dengan tujuan remaja di bawah umur 20 tahun tidak boleh merokok. Masing-masing perokok wajib terdaftar sebagai perokok dan wajib memiliki kad tersebut. Kad Taspo ini sangat ”sakti”. Mesin penjual rokok atau kedai-kedai lain tidak akan menjual rokoknya kepada yang tidak memiliki kad ini. Kad ini juga akan mengesan prestasi penggunaan rokok per bulan dalam hitungan grafik, yang berhubungan dengan kesihatan dan sebagainya.
Perokok-perokok di Jepun diklasifikasikan dari tingkat 1 sehingga 10. Klasifikasi tingkat 10 adalah yang paling berat dan tinggi kadar tar dan nikotinnya. Apabila perokok telah dapat mengurangkan ketagihan, ia akan dilabelkan klasifikasi 9, 8, 7, dan seterusnya., Akhirnya klasifikasi tingkat-1, iaitu ketagihan rokok yang paling ringan. Kalau sudah terbiasa menghisap rokok klasifikasi-1, tidak merokok sama sekali pun boleh.
Pemerintah Jepun juga menyediakan tempat-tempat merokok hampir di pusat-pusat bandar. Merokok sambil berjalan di jalan-jalan awam pula boleh didenda 5000 yen bersamaan RM200 di tempat itu serta merta. Dibandingkan dengan negara kita, walaupun ada peraturan melarang merokok di tempat awam, namun tidak berkuatkuasa. Malahan di masjid yang merupakan tempat ibadah juga perbuatan merokok tak dapat dihentikan. Saya fikir kalau ditegur ahli jamaah yang merokok di masjid selepas waktu maghrib menanti waktu Isyak itu, haruslah esoknya mereka tak datang langsung....
Semoga anak-anak dan generasi baru di negara kita akan dapat berfikir akan baik buruknya tabiat merokok. Selain merokok membahayakan kesihatan, ia juga menghabiskan wang ringgit yang sepatutnya digunakan untuk hal-hal yang berfaedah.....





.

Tuesday, October 27, 2009

Struktur Lemah Punca Tragedi...


Hari ini kita dikejutkan dengan berita jambatan gantung runtuh di sungai Kampar yang mengakibatkan kematian seorang pelajar sekolah rendah dan kehilangan 2 orang pelajar yang lain yang sedang menghadiri Kem 1 Malaysia. Pelbagai ulasan kita dengar tentang tragedi yang menyedihkan ini. Rata-rata bersetuju tentang faktor keselamatan amat penting di dalam membina prasarana kem kursus seperti itu.

Berikut saya postkan berita BERNAMA tentang kejadian yang menimpa dunia pendidikan negara kita.

Cara pembinaan jambatan gantung menyeberang Sungai Kampar di Kuala Dipang dekat Kampar yang runtuh menyebabkan seorang murid lemas dan dua lagi hilang semalam hangat dipersoalkan oleh pelbagai pihak yang berada di tempat kejadian.Kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan terhadap kejadian itu namun kalangan ibu bapa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian, membuat andaian terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sebagai punca utama kejadian."Saya seperti tidak percaya apabila melihat saiz konkrit pelapik tiang jambatan... ia terlalu kecil dan tiada cerucuk," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.


Beliau yang mendakwa berpengalaman dalam sektor pembinaan berkata saiz konkrit berkenaan yang kecil tidak sepadan dengan tiang besi jambatan yang turut menampung kabel besi jambatan.Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam tadi, 19 murid lain sempat diselamatkan oleh guru dan pengawal SK Kuala Dipang apabila mereka terhumban ke dalam sungai yang mengalir deras apabila sepasang tiang berkenaan runtuh semasa mereka sedang menyeberang Sungai Kampar untuk jamuan.Murid berkenaan sebahagian daripada 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.


Seorang bapa murid, S Thiagaran, 42, berkata beliau hairan apabila melihat konkrit bagi tiang jambatan itu tidak dipasang besi cerucuk. "Dari pemerhatian saya, simen pada kaki jambatan ini juga masih belum kering dan ia menunjukkan keadaan yang tidak selamat," katanya.Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dua minggu lepas dan menurut seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kuala Dipang, ia dibina bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang telah runtuh sebelum ini.Seorang lagi bapa murid Jaafar Arif, 65, berkata tindakan tegas perlu diambil hasil daripada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa kerana kejadian itu telah menyebabkan kehilangan nyawa.Seorang penjawat awam yang berpengalaman dalam kegiatan lasak pula berpendapat bahawa jambatan gantung biasanya dihadkan bilangan pengguna kerana ia berbuai-buai atau bergoyang dan boleh menyebabkan pengguna terjatuh jika tidak berhati-hati.


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat tempat kejadian (foto, bertopi) mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan negeri Perak.Jawatankuasa itu akan membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada beliau, katanya."Kita akan bagi mereka tempoh masa yang sesuai supaya hal ini dapat dilaporkan dengan lengkap dan terperinci," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian pada Selasa.Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas melawat tempat kejadian malam tadi turut mengarahkan siasatan terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sama ada mengikut spesifikasi. BERNAMA




Monday, October 26, 2009

Tidur semasa bekerja...

Dalam cerita Masam-Masam Manis, cikgu Shaari lakunan Allahyrham P. Ramlee didapati tidur di dalam kelas semasa mengajar. Ingat tak dialognya, “ Cikgu suka main bola. Hari-hari cikgu main bola….” Anak murid membaca seorang demi seorang, tetapi cikgunya tidur di meja guru.
Tetapi itu suasana bilik darjah di tahun enam puluhan...

Tabiat tidur semasa menjalankan tugas adalah suatu yang sangat tidak baik. Tidak baik dari semua aspek, aspek tatacara profesyen perguruan, aspek tatatertib kakitangan awam mahupun dari segi moralnya. Oleh itu sebagai guru khususnya di zaman ”pencapaian diutamakan” ini kita jangan sesekali melakukan tabiat tidur di hadapan murid di dalam bilik-bilik darjah.

Ambillah langkah-langkah tertentu untuk mengelakkan dari rasa mengantuk ketika di dalam bilik darjah. Antaranya jangan mengajar sambil duduk di kerusi. Guru sewajibnya berdiri dan berjalan sekeliling kelas semasa P & P dijalankan. Banyakkan aktiviti semasa proses pengajaran di samping berintraksi dengan murid-murid. Rancang dan laksanakan proses pengajaran dengan teratur dan menarik minat murid-murid....

Ingatlah kita adalah profesyen yang paling mulia.... orang lain kita jangan ambil pusing, mereka nak tidur ke, nak mengingo ke...biarlah mereka....kita jangan sesekali pun tidur semasa bekerja!!!



Amboi letih beno agaknya !

Tengah mimpi ke...nii...

. uhh...uhhh!!





.

Sunday, October 25, 2009

Sejadah berdialog…










Minggu lepas heboh diperkatakan mengenai ‘sejadah berdiri’ atau ‘sejadah sembahyang’. Peristiwa anih itu dikatakan berlaku di beberapa tempat di negara kita. Mula-mula di Bukit Mertajam, kemudian di Pasir Mas dan selepas itu di Yan Kedah pula. Berbagai andaian diperkatakan mengenai peristiwa tersebut. Stesen-stesen TV juga menyiarkan gambar sejadah berdiri sedang “bersolat” untuk tatapan umum.

Pihak berkuasa seperti Jakim dan Pejabat Agama menyatakan kejadian sejadah berdiri itu adalah mustahil dan meminta umat Islam tidak mempercayainya.
Bagi saya yang ilmu agamanya tidak seberapa ini, kejadian ini jika bukan sihir atau kerja budak-budak nakal, dan betul-betul terjadi, ia adalah kuasa Allah SWT.

Jika kita ambil pengajaran yang positifnya, setidak-tidaknya dapat menginsafkan kita akan kebesaran Allah.

Allah berfirman yang maksudnya, ” Apabila menghendaki Ia (Allah) akan sesuatu perkara bahawa berkatalah Ia (Allah) ’jadi’ , maka jadilah ia”

Saya teringat seorang penduduk kampung saya telah menghadiahkan banyak sejadah ke masjid. Sejadah itu dihadiahkan mungkin sebagai sedekah kerana anaknya meninggal dunia akibat kemalangan motosikal.

Memang di masjid kampung saya terdapat beratus-ratus sejadah yang disedekahkan oleh orang ramai. Sejadah-sejadah ini hanya disimpan sahaja di almari masjid dan digunakan semasa sembahyang hari raya sahaja. Bukan apa, masjid itu sememang ada karpet dan tidak memerlukan sejadah lagi, jadi sejadah-sejadah itu disimpan sahaja....

Saya rasa di masjid-masjid lain juga, sejadah hanya disimpan sahaja. Ia digunakan sekali-sekala apabila bilangan makmum bertambah ramai seperti pada hari raya.

Agaknya jika sejadah-sejadah itu boleh berkata-kata sesama sendiri, ” Daripada kita hanya disimpan dan tak digunakan, biorlah kita yang sembahyang, manusia tak hendak sembahyang !!”

Semoga ia menjadi iktibar untuk orang yang mahu berfikir....

.



Kereta Solar

DARWIN: Sebanyak 32 kereta kuasa solar termasuk kereta solar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) "Solar Ranger1" memulakan cabaran merentas benua Australia pagi ini (25 Oktober 2009). Acara pelepasan kereta solar itu berlangsung di Rumah Parlimen Darwin di sini pukul 8.30 pagi waktu tempatan.

Beratus-ratus pemerhati dan peminat kereta solar termasuk wakil media dari seluruh dunia hadir seawal 7 pagi bagi menyaksikan cabaran solar itu yang disertai pasukan dari 15 negara.
Ketika pasukan Nuon Solar dari Belanda dengan kereta solar "Nuna5" menjadi pilihan perlumbaan itu, Solar Ranger1 yang mengalami kerosakan teknikal sebelum ini, layak meneruskan perlumbaan itu.

Kereta Solar UNITEN - Solar Ranger 1 memulakan cabaran merentas benua Australia


Bagi 15 anggota pasukan UNITEN, mereka yakin kereta solar mereka mampu bertahan dan menamatkan perlumbaan sejauh lebih 3,000km dari Darwin, Utara Australia, hingga ke Wilayah Selatan Australia, Adelaide. Selain keberkesanan mengendalikan sistem kereta solar dan kecekapan pemandu kereta solar, setiap pasukan akan menempuhi beberapa halangan di sepanjang perjalanan itu termasuk faktor cuaca.

Keadaan jalan dan faktor stamina pemandu selain penyelarasan arahan dan maklumat antara kereta pengiring dengan kereta solar juga penting untuk memastikan sebarang cabaran dapat diatasi. "Ia bukan soal mesin saja, tapi faktor pemandu (manusia) juga main peranan," kata Mohd Syafiq Khasmani, pelajar kejuruteraan yang juga salah seorang pemandu kereta solar UNITEN. Tiga lagi pemandu ialah Edmund Ti Wee Keat, Aziz Suhaimi dan Yaw Chong Tak.


Setiap pasukan mempunyai empat pemandu yang akan bergilir mengikut stamina pemandu itu di sepanjang perlumbaan yang akan memakan masa selama sembilan sehari, bermula pukul 8 pagi setiap hari. Ini bermakna pasukan kereta solar akan berhenti dan berkhemah tepat pukul 5 petang di tempat di mana kereta solar itu berada sebelum meneruskan perlumbaan pada keesokan hari.

Perlumbaan kereta solar yang merupakan sebahagian daripada "Global Green Challenge 2009" ini dijangka tamat Jumaat ini. Kegetiran cabaran kereta solar itu dapat dilihat dengan beberapa kereta solar yang mengalami kerosakan minor pada sistem motor dan brek selepas berlepas kurang 20km dari garis permulaan pagi ini.

Ketika berita ini ditulis, kereta solar UNITEN masih belum menghadapi masalah dan meneruskan perjalanan ke pit stop rasmi pertama, berhampiran Katherine, kira-kira 320km dari Darwin melalui Stuart Highway. Mengambil kira kerosakan dialami, cabaran utama kereta solar universiti itu adalah menamatkan perlumbaan itu sejauh mungkin dengan harapan menggunung 1Malaysia yang tertera megah pada badan kereta solar itu. Pemerhati dari Jerman, Wolfgang Three, yakin UNITEN mampu melakukan kejutan. "Ia bukan misi mustahil. Pasukan (UNITEN) anda mampu lakukannya," katanya kepada Bernama. BERNAMA





.

Saturday, October 24, 2009

Syukur AlhamduliLlah...



Semalam hari Jumaat merupakan antara hari-hari yang menggembirakan diri saya. Selain pengumuman dapat RM500 iaitu bayaran khas yang diumumkan di dalam Bajet 2010 oleh YAB PM, saya juga menerima satu surat dari JPN Perak berkaitan perjawatan sebagai seorang guru.
Saya sungguh bersyukur ke hadrat Allah di atas 'kurniaan' ini. Saya ambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sokongan dan perakuan oleh pengetua-pengetua saya yang lepas serta juga terima kasih di atas sokongan dan kerjasama dari rakan-rakan sejawat, staf-staf sokongan dan anak-anak didik sekelian.

Semoga 'kurniaan' ini akan menaikkan semangat dan komitmen saya untuk bekerja lebih kuat lagi sebagai seorang pendidik di luar bandar....
.

Friday, October 23, 2009

Nasihat Cuepacs: Tingkatkan Prestasi!


KUALA LUMPUR: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman mengingatkan penjawat awam agar terus meningkatkan prestasi dan produktiviti mereka walaupun tiada pembayaran bonus diumumkan pada pembentangan bajet 2010 Jumaat.
Beliau berkata penjawat awam tidak sepatutnya mengharapkan bonus sebagai penentu prestasi sehingga menjejaskan kerja mereka, tetapi sepatutnya melihat dari sudut positif tentang kemudahan dan kebajikan yang diperuntukkan kerajaan.
"Memanglah sebagai wakil pekerja ada rasa tidak puas hati dengan pembentangan (bajet) kali ini tapi soal bonus bukan menjadi satu landasan atau ukuran kepada prestasi kerja kami.
"Bukan semata-mata bonus yang dikejar, tapi yang lebih penting adalah perjuangan kebajikan penjawat awam itu sendiri," katanya ketika dihubungi Bernama.
Berkenaan bayaran khas RM500 yang diberikan kepada semua penjawat awam Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib Osman berkata, bayaran itu diharapkan dapat ditambahkan lagi nilainya.
Bayaran khas itu diumumkan semasa pembentangan bajet 2010 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan pembayarannya akan dibuat Disember ini dan langkah itu memerlukan peruntukan tambahan RM400 juta.
Omar berkata satu mesyuarat tergempar akan diadakan Ahad ini untuk membincangkan isu berhubung keputusan pembentangan bajet ini.
Katanya dalam mesyuarat yang akan datang ini, para perwakilan Cuepacs akan membincangkan secara professional tentang keputusan bajet ini dengan memberi fokus tentang kesannya untuk jangka masa panjang.
"Kami akan bawa ia (hasil perbincangan) itu kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan untuk mempertimbangkan semula harapan pemberian bonus dua bulan untuk penjawat awam," katanya.
Omar menyifatkan bajet kali ini lebih memberi fokus kepada rakyat sejajar dengan konsep rakyat didahulukan. BERNAMA
Nota:
Alhamdulillah, dapat juga RM500... penjawat awam dari gred 1 hingga gred 40 dah dapat semasa menjelang hari raya dulu, kini giliran mereka dari gred 41 hingga gred 54 pulak! Rezeki anak-anak sekolah la tu...
.

Thursday, October 22, 2009

Aktiviti Selepas PMR

Selepas peperiksaan PMR, pelajar-pelajar tingkatan 3 di kehendaki mengikuti program khas yang disusun oleh pihak sekolah. Memanglah proses P&P tidak diadakan lagi kerana telah menduduki peperiksaan, namun banyak aktiviti yang disusun merupakan kesinambungan pengisian ilmu di samping aktiviti berfaedah yang lain. Pertandingan aktiviti kokurikulum juga diadakan selain slot ceramah, motivasi, lawatan sambil belajar dan sebagainya.


Selain itu pelajar-pelajar juga diberikan peluang untuk menyumbang khidmat bakti kepada sekolah dengan mengadakan gotong royong menceriakan kawasan sekolah. Kami guru-guru tidak akan kedekut untuk memuji pelajar-pelajar ini melakukan aktiviti yang berfaedah. Kalau ada sesiapa yang bertanya, siapa yang mengecat dan menceriakan sekolah ini, saya akan katakan dengan tegas dan lantang, "pelajar T3 lah yang melakukannya!!!



Gambar-gambar di bawah menunjukkan sebahagian pelajar sedang bergotong royong,




Nampaknya, mereka bertungkus lumus menceriakan persekitaran sekolah...



.Semangat bekerjasama dan cintakan sekolah di ajar secara langsung di dalam aktiviti ini...

Wednesday, October 21, 2009

Dah habis masa rumah terbuka!



Hari ini dah masuk hari pertama bulan Zulkaedah. Bulan Syawal dah berlalu. Dengan tamatnya bulan Syawal, maka selesailah masa untuk mengadakan rumah terbuka aidilfitri, sesuatu yang hampir menjadi budaya orang melayu di negara ini. Selagi tak habis bulan Syawal, menganggap hari raya puasa belum selesai.... ada sahaja yang mengadakan rumah terbuka. Sambutan Hari Raya Puasa diadakan selama sebulan!

Pada saya, nak mengadakan rumah terbuka bukanlah satu kesalahan. Malah mungkin mendapat pahala kerana menjamu tetamu dengan makanan yang lazat secara percuma. Di samping itu dapat mengeratkan silatur rahim dan berkenal-kenalan sesama rakan dan taulan. Tetapi kalau mengadakannya dengan tujuan yang lain seperti menunjuk-nunjuk, bermegah-megah dan mencari nama, itu bukanlah yang afdhal bahkan tidak mengikut amalan orang-orang yang beriman. Kalau tidak mengikut amalan orang yang beriman, maknanya mengikut amalan siapa?...

Sekarang, bila dah berakhir bulan syawal ini, saya rasa aman sedikit kerana dapat mengelak daripada jemputan yang bertimpa-timpa menghadiri rumah terbuka lebih-lebih lagi pada hari Sabtu dan Ahad. Kalau tak pergi menerima jemputan nanti kecil hati pula kawan-kawan. Nak pergi, kita banyak tugasan yang nak dibuat. Walau apa pun, semoga-moga amalan yang kita lakukan akan diterima Allah sebagai amalan yang solleh dan bukan yang sia-sia.

Saya membaca di buku-buku agama, kelebihan bulan Zulkaedah ini. Sebenarnya tiada amalan yang khusus di bulan ini. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah. Haji tamattuk juga dimulakan di bulan Zulkaedah.

Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram, maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini. Eratkan silaturrahim bagi yang bermusuh, damaikanlah bagi yang berdendam dan berlapanglah bagi yang renggang, InsyaAllah hidup penuh berkat dan aman damai serta selamat di dunia dan di akhirat........

Tuesday, October 20, 2009

Memartabatkan BM Memperkukuhkan BI (MBMMBI)

Hari ini saya membaca berita dasar PPSMI akan diganti dengan dasar baru iaitu MBMMBI. Berikut ialah berita dari Dewan Rakyat pada hari ini mengenai hal tersebut:-

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited tidak akan kembali kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) kerana dasar baru iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah selaras dengan keperluan negara untuk martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ke arah usaha itu, kementerian tidak lagi menoleh ke belakang meskipun terdapat rayuan dan desakan supaya PPSMI diteruskan, namun kerajaan tidak mampu memenuhi permintaan semua pihak.

"Sebaliknya pandangan yang disuarakan diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan dasar (MBMMBI) berkenaan," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Nor Othman (BN - Hulu Terengganu) yang ingin tahu apakah jaminan kerajaan untuk memastikan dasar baru tidak berubah kepada dasar lama.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata bagi mengelakkan timbulnya permasalahan kepada dasar MBMMBI sepertimana yang terjadi kepada PPSMI, kementerian menetapkan tahun 2012 sebagai tahun pelaksanaan selepas segala persiapan disediakan.

"Tujuan kita untuk dilaksanakan pada 2012 ialah untuk membuat persiapan penting kerana pengalaman waktu kita melaksanakan PPSMI dulu, tempoh untuk pihak kementerian buat persiapan ialah enam bulan. Oleh sebab itulah pelbagai masalah timbul antaranya menyediakan sejumlah guru yang mencukupi.

"Untuk tujuan kita ini pun... sebagai contoh, daripada keperluan tenaga pengajar, kita perlu sediakan kirakira 13,000 orang guru tambahan untuk melengkapkan kesemua sekolah-sekolah.
"Kedua untuk memantapkan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kita memerlukan ramai guru yang pakar dan mahir dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Muhyiddin, yang juga Anggota Parlimen Pagoh, berkata ke arah persiapan bagi dasar baru itu, kementerian merancang untuk mengambil 1,000 guru Bahasa Inggeris baru mulai tahun depan.

Menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKRGombak) yang ingin tahu sama ada ketegasan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menolak cadangan kerajaan untuk membatalkan PPSMI memberi kesan kepada pentadbiran negara, Muhyiddin berkata walaupun kenyataan Tun Dr Mahathir tegas tapi tidak bermaksud menyuruh kerajaan berpatah balik.

"Dia (Dr Mahathir) faham. Ini satu keputusan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan dia penyokong BN dan Umno... nampak dia tidak beri kenyataan keras seolah-olah kita kena patah balik kerana saya telah nyatakan ini bukan sahaja soal bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris bagaimana? Saya minat Bahasa Inggeris, Dr Mahathir pun minat Bahasa Inggeris. Jadi ia mesti diperkukuhkan," katanya. BERNAMA

.

Sunday, October 18, 2009

Sepuluh Ribu Serba Satu






Hari Sabtu semalam saya sekeluarga ke rumah kakak ipar saya di Rawang Selangor. Kami ke sana kerana jemputan menghadiri majlis pertunangan anak perempuannya yang bernama Nurul Ain. Kami bertolak dari rumah selepas solat subuh, bersarapan di R&R Tapah dan sampai kira-kira jam 10.30 pagi.

Selepas jamuan makan tengahari bersama-sama para jemputan lain, rombongan meminang dari Jasin Melaka pun sampai. Bilangan yang datang agak ramai juga, maklumlah rombongan mereka turut disertai oleh kaum keluarga yang tinggal di Kuala Lumpur. Kebetulan pula semalam hari cuti umum iaitu hari Deepavali.

Nak ceritakan di sini, buat pertama kali dalam sejarah hidup saya, saya ” dilantik dan disahkan” terus menjadi jurucakap atau pemudahcara di dalam sesuatu majlis pertunangan. Walau pun pada mulanya saya menolak, namun desakan dari keluarga di sini meminta saya menjadi wakil keluarga perempuan, membuatkan saya terpaksa menjawat ”jawatan” tersebut. Sesuatu tugas yang baru namun terpaksa saya cuba....

Menjalankan tugas sebagai pemudahcara dan wakil keluarga perempuan rasanya bukanlah susah sangat. Cuma pada mulanya saya risau kalau-kalau rombongan dari Melaka ini bercakap dan berdialog dengan menjual pantun secara spontan, maklumlah orang negeri dondang sayang tu memang hebat berpantun. Namun nasib baik tiada serangkap pantun pun yang di”urusniaga”kan pada majlis itu.

Setelah mempersilakan ketua rombongan dari Melaka itu menyampaikan hasrat kehadiran mereka, barulah saya dapat tahu tujuan mereka ada ”dua dalam satu”. Pertama merisik dan kedua meminang. Saya pun meminta majlis itu dijalankan satu per satu. Macam hakim di mahkamah pulak!! Ringkaskan cerita, akhirnya dua bentuk cincin dalam dua bekas berasingan diserahkan kepada keluarga perempuan. Satu cincin merisik dan satu cincin bertunang.

Kemudian saya sebagai mewakili keluarga perempuan menjelaskan bahawa pihak kami mahu wang belanja perkahwinan (belanja hangus) adalah sebanyak Sepuluh Ribu Serba Satu. Mahar kahwinnya mengikut kaedah negeri Selangor lah iaitu sebanyak RM80.00. Rupa-rupanya pihak keluarga lelaki terus menerima sepuluh ribu itu tanpa bantahan. Cuma mereka bertanya maksud ”serba satu” itu mengikut adat orang Selangor. Saya pun mempersilakan biras saya iaitu suami kepada kakak ipar saya untuk menjelaskannya. Katanya serba satu itu ialah ”sepasang pakaian orang berdiri” ditambah dengan sebentuk cincin!

Nak tahu apa jadi selepas itu? Emak kepada budak lelaki yang meminang itu tiba-tiba bersuara.. ”Saya tak bersetuju” katanya. ”Saya tak mahu beri cincin lagi, saya nak tukar dengan kalung emas!” Tiba-tiba semua orang ketawa dan majlis jadi hingar bingar. Saya yang tadi agak terkejut dengan bantahan itu juga suka bebeno mendengarnya. Maklumlah buat apa cincin banyak-banyak... Lebih baik rantai, harganya pun mungkin ”4 digit”

Lepas itu majlis menentukan tarikh perkahwinan pun dijalankan. Kemudian tarikh menghantar wang belanja. Akhir sekali saya membangkitkan apa akan berlaku jika terjadi mungkir janji antara kedua-dua pihak. Satu kata sepakat nampaknya termeterai antara mereka. Masing-masing tidak akan menuntut sebarang pemberian yang telah disampaikan.

Selepas bacaan doa selamat, selesailah majlis pertunangan itu. Saya lihat majlis itu berakhir begitu ceria dan semua orang bergembira. Keluarga dari Jasin Melaka pun puas hati, dan keluarga saya di Rawang sini pun tak tekilan apa-apa. Saya tak pasti samada peranan ”pemudahcara” hari itu cemerlang atau kerana masing-masing nak makan segera kerana perut dah lapar.....

.

Thursday, October 15, 2009

'Guru Besar’ paling muda di dunia

Malam ini saya membaca mStar dan terjumpa artikel susunan Au Yeong How ini. Saya postkan di sini untuk sama-sama kita renungkan episod manusia dan perisitiwa di negara luar. Semoga kita mendapat pengajaran dan keinsafan darinya.

BERJUTA-JUTA kanak-kanak di seluruh dunia tidak mendapat pendidikan sewajarnya kerana keluarga mereka terlalu miskin. Di India, seorang budak sekolah cuba mengubah nasib kanak-kanak miskin. Budak itu ialah Babar Ali, "guru besar" sekolah yang baru berusia 16 tahun dan boleh dikatakan "guru besar termuda" di dunia.
Babar Ali ialah remaja yang bertanggungjawab mengajar ratusan pelajar di kawasan belakang rumah keluarganya.

Cerita remaja berasal dari Murshidabad di barat Bengal ini mencerminkan keinginannya yang meluap-luap untuk mendidik para pelajar. Setiap hari, Babar Ali akan bangun pada awal pagi untuk membuat kerja-kerja rumah. Kemudian dia akan menaiki beca sejauh 10 kilometer (km) untuk pergi ke Sekolah Raj Govinda dan terpaksa berjalan kaki untuk beberapa km terakhir.

Sekolah Raj Govinda adalah sekolah kendalian kerajaan yang terbaik di barat Bengal dan terdapat ratusan pelajar lelaki dan perempuan. Kelas-kelas di sekolah ini tersusun walaupun kurang kemudahan awam. Pun begitu, ianya tetap dilengkapi kerusi meja, papan hitam dan guru-gurunya adalah komited dan berkelayakan. Ketika kedatangan para pelajar yang lain, Babar Ali akan duduk di tengah-tengah barisan hadapan.

Babar Ali ialah seorang pelajar yang tinggi, remaja yang kurus, rajin belajar dan segak berpakaian seragam rona biru dan putih. Beliau rajin mengambil nota-nota pelajaran dan merupakan pelajar contoh. Dia juga ahli keluarga pertama yang mendapat pendidikan sempurna. Babar sangat beruntung kerana pada waktu itu, mereka belajar secara percuma. Bagaimanapun, Babar Ali hanya perlu membayar baju seragamnya, buku-bukunya dan menaiki beca untuk pergi ke sekolah. Namun keluarganya tetap perlu mengeluarkan kira-kira 1,800 rupees setahun untuk perbelanjaan sekolah.

Jumlah wang tersebut adalah besar ketika itu. Kebanyakan keluarga miskin yang lain tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah, walaupun pelajaran adalah percuma. Bagaimanapun, Babar Ali nekad untuk membantu rakan-rakannya yang miskin di kampungnya. Sejurus habis kelas, Babar Ali tidak akan bermain seperti rakan-rakan yang lain tetapi terus bergegas pulang untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan sekampungnya.

Babar Ali akan membunyikan loceng apabila sampai di rumahnya. Rakan-rakannya berpusu-pusu datang untuk menunggu "kelas" Babar. Babar Ali dan kanak-kanak itu akan menyanyi lagu kebangsaan sebelum pelajaran bermula. Dengan gaya berdiri di atas satu pentas, Babar Ali mengajar 'pelajar-pelajar'nya tentang disiplin sebelum pembelajaran bermula.

Babar Ali mengajar mereka sebagaimana dia mendengarnya daripada guru-gurunya. Sesetengah kanak-kanak duduk di atas lumpur serta bangku yang usang dan agak goyah.
Babar Ali baru berusia sembilan tahun apabila dia mula "mengajar" beberapa kawannya secara suka-suka. Kawan-kawan pula gemar mengikuti "kelasnya".
Sekarang "sekolah" itu mempunyai 800 pelajar. Semuanya berasal dari keluarga miskin. Kebanyakan datang belajar selepas bekerja atau bercucuk tanam di padang.
Pihak berkuasa tempatan mengiktiraf "sekolah" itu kerana ia meningkatkan kadar celik huruf di kampung itu. Babar Ali telah memenangi pelbagai anugerah kerana jasanya berkongsi ilmu.

.

Wednesday, October 14, 2009

Mat rempit.






Malam ini sedang saya duduk berehat-rehat, tiba-tiba tersentak dengan bunyi bising mat rempit sedang beraksi di jalan raya. Saya lihat ada tiga atau empat motosikal sedang berlumba memecah kesunyian malam. Malas saya nak memikir budak mana yang nak ‘ menempah maut’ itu, kerana silap-silap bukan orang lain, anak didik di sekolah kerana saiznya agak kecil sahaja.

Kalau kita lihat di media massa, cerita Mat Rempt ini tak pernah habis. Kadang-kadang saya perhatikan perangai Mat Rempit ni dah makin melampau dan bilangan yang terlibat juga dah makin ramai. Sedihnya, yang banyak terlibat adalah budak-budak di bawah umur dan masih bersekolah.

Mat Rempit ini merempit di waktu malam-malam begini. Yang menghairankan, ibu bapa mereka tak tau ke anak-anak mereka yang masih sekolah itu melepak ke mana malam-malam buta. Takkanlah anak-anak yang masih bersekolah ini, tidak diambil peduli oleh mak ayah mereka langsung samada mereka berada dirumah, melepak, atau merempit ? Macam dah teruk sangat kehidupan masyarakat kita sekarang ni.

Di dalam akhbar-akhbar pula, cerita budak-budak rempit sebegini dah bukan setakat merempit saja, tetapi mereka dah berani memukul, atau membelasah orang lain. Mereka menjadi samseng dan polis buat ’road block’ pun mereka akan langgar. Sekali fikir memang mereka ni jenis berani, tapi berani tak bertempat.

Mat Rempit yang meninggal di jalanraya pun ramai juga. Ada yang di bawah lori, bas atau kereta. Tetapi mereka ini memang jenis tak serik agaknya. Mereka terus juga merempit, langsung tak ada rasa insaf dan takut. Takkanlah bila nyawa dah terbang dari badan baru nak berenti merempit !!

Bagaimana menangani masalah ini? Pada saya, kita tak boleh serahkan bulat-bulat pada pihak berkuasa untuk benteras Mat Rempit ni. Tanggungjawab menyelesaikan masalah ni merupakan tanggungjawab semua pihak. Kita kena mulakan ’jaga tepi kain orang lain’, bukan nak ambil tahu masalah orang, tapi kita kena sama-sama jaga anak kita dan jaga anak-anak jiran kita. Saya yakin, kalau sikap itu ada pada kita semua, apa saja masalah sosial masa kini kita dapat tangani bersama...

Tuesday, October 13, 2009

Sistem penggredan baru untuk SPM

Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 9 September 2009 telah bersetuju supaya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan sistem penggredan baru Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun peperiksaan 2009. Perubahan sistem penggredan ini bertujuan memperincikan pencapaian Gred A calon yang mencapai tahap sangat cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perubahan ini melibatkan penambahan Gred A+ yang lebih tinggi daripada gred tertinggi sedia ada 1A. Gred-gred lain diubah seperti jadual berikut:

Adalah menjadi tanggungjawab Pengetua dan pengurus sekolah memberikan penjelasan yang secukupnya berhubung sistem penggredan baru kepada semua murid yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun 2009. Ini adalah penting kerana urusan permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi bagi tahun kemasukan 2010 akan mengguna pakai sistem penggredan baru ini.

(Nota: Petikan dari maklumat yang ditandatangani oleh Tan Sri KPPM ... portal Kementerian Pelajaran)

.

Tamatnya peperiksaan PMR...


.
Hari ini adalah hari terakhir peperiksaan PMR. Bagi kebanyakan calon, hanya ada satu ’paper’ sahaja hari ini iaitu kertas KHB, manakala bagi calon kelas aliran agama (KAA) ada pula tambahan satu kertas lagi iaitu kertas Bahasa Arab Komunikasi.

Begitulah masa berlalu amat pantas. Dulu dibuat ’count down’ tarikh peperiksaan PMR, sekarang tarikh itu dah pun lepas......

Pada saya ada beberapa fakta menarik mengenai peperiksaan PMR tahun ini.
Pertamanya, buat julung-julung kali jadual waktu PMR dijalankan dalam dua minggu. Sebelum ini biasanya peperiksaan PMR dijalankan 5 hari juga tetapi dalam seminggu sahaja iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat. Namun kali ini ia dijalankan mulai hari Rabu hingga Jumaat dan kemudian di sambung pada minggu berikutnya iaitu pada hari Isnin dan Selasa.

Kedua, calon-calon PMR tahun ini dibekalkan dengan ’mask’ atau topeng muka dan mulut pada setiap hari. Bererti sepanjang peperiksaan PMR ini, setiap calon mendapat 5 keping ’mask’ bagi tujuan mengelak wabak H1N1. Saya tak ada maklumat berapa kos yang kerajaan keluarkan untuk membekalkan ’mask’ ini, tetapi dengan andaian bilangan calon seramai setengah juta orang dan harga satu ’mask’ katakan 50 sen, bererti sejumlah 1.25 juta ringgit dibelanjakan untuk tujuan ini di seluruh negara kita.

Ketiga, terdapat 2 orang calon di sekolah saya yang menjalani peperiksaan di luar dewan peperiksaan. Seorang di hospital Kuala Kangsar dan seorang lagi di bilik khas yang disediakan untuknya kerana tidak calon ini tidak mampu menaiki tangga untuk ke dewan peperiksaan di tingkat atas. Kedua-dua calon ini mendapat kemalangan jalanraya semasa hari raya aidilfitri tempoh hari.


Selepas ini tumpuan akan dibuat untuk mengurus dan menjalankan ’Program Selepas PMR’. Pihak sekolah telah merancang dan menyusun jadual aktiviti bagi mengisi masa selama lebih 5 minggu sebelum bercuti akhir tahun. Dari pengalaman yang lepas-lepas, untuk menjayakan program selepas PMR ini amat mencabar. Ini kerana bukan mudah untuk mendisiplinkan pelajar tingkatan 3 yang telah ’merdeka’ ini.

Kehadiran pelajar ke sekolah menjadi masalah. Kalau mereka tak hadir ke sekolah, tentulah kerja mudah, tetapi yang jadi masalah, mereka hadir tetapi tak mahu mengikut aktiviti yang disusun. Apatah lagi untuk pengajaran dan pembelajaran atau mendengar ceramah motivasi dan sebagainya. Ibubapa di rumah juga sebenarnya tak mahu anak mereka duduk di rumah. Mereka akan suruh anak itu ke sekolah.... Walau apa pun, inilah tugas kita sebagai pendidik, mesti dilaksanakan juga...

Pendidik yang berwibawa akan menjalankan tugas ini dengan penuh tanggungjawab macam mendidik anak-anak sendiri. Adakah kita mahu anak-anak kita juga dibiarkan oleh guru-gurunya? Mereka datang ke sekolah tetapi tiada ’pengisian’! Jika kita tak mahu, ayuh, kita laksanakan tugas kita seperti biasa, sebagai pembina negara bangsa!

.

Sunday, October 11, 2009

Amalan menuding jari....








Sekarang ini musim hujan. Setiap hari hujan. Kadang-kadang hujan itu agak lebat dan turun dalam masa yang lama. Didoakan semoga negara kita tidak pula ditimpa bala bencana seperti banjir besar atau gempabumi seperti di negara jiran.
Bila tiba musim hujan, ada le pelajar lelaki datang ke sekolah berselipar seperti dalam gambar di atas. Jangan ditanya kenapa, kerana jawapannya standard sahaja iaitu ’kasut basah’. Yang peliknya, hanya kasut pelajar lelaki sahaja yang basah, kasut pelajar perempuan tidak pula basah, sebab pelajar perempuan tidak pula berselipar ke sekolah!!!
Puaslah cikgu-cikgu memarahi, menasihat dan memberi amaran agar jangan lagi mengulangi memakai selipar. Namun mereka akan mengulanginya lagi jika hujan berlaku. Bagi mereka berselipar ke sekolah lebih baik daripada ponteng sekolah...

Bila sebut fasal hujan, ada perumpamaan dalam Bahasa Melayu kita yang ditujukan kepada orang yang suka menuding jari untuk menyalahkan orang lain di atas kesilapan dan kelemahan diri sendiri. Perumpamaan itu ialah ”TIDAK BAWA PAYUNG, SALAHKAN HUJAN”

Perumpamaan menyalahkan hujan ini, boleh dikembangkan juga dengan contoh-contoh lain yang setara ertinya, seperti:

(i) Terjatuh kerana terlanggar tunggul lalu memaki hamun tunggul tersebut kerana berada di tengah jalan.
(ii) Terlewat bangun pagi dan terlepas bas ke sekolah lalu menyaalahkan pihak televisyen kerana menayangkan perlawanan bola sepak pada lewat malam.
(iii) Dirotan kerana merokok di sekolah lalu menyalahkan pekedai runcit kerana menjual rokok
(iv) Gagal Matematik lalu mengamuk pada kawan sebelah kerana tidak membenarkan meniru.
(v) Kalah dalam perlawanan badminton lalu menyalahkan syarikat pembuat raket badminton kerana produk tidak berkualiti.

Kesimpulannya, amalan menuding jari kepada orang lain bagi menutup kelemahan diri sendiri adalah amalan yang tidak sesuai lagi di zaman ” pencapaian diutamakan” ini. Samalah juga dengan alasan pelajar berselipar di atas yang memberi alasan ’kasut basah’ sudah tidak sesuai lagi di zaman serba maju sekarang kerana sekarang bukannya zaman 60 han atau 70 han. Banyak cara boleh mengeringkan kasut jika betul kasut sekolah hanya sepasang...
Semoga episod ’bangau oh bangau’ yang sering menyalahkan orang lain tidak menjadi amalan kita...
Sama-sama kita fikir-fikirkan ....

.