Tuesday, September 29, 2009
Naik Bas....
I.
Sudah lebih 20 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke perhentian Pudu Raya Kuala Lumpur. Tetapi hari ini saya ke perhentian bas ekpress itu. Saya ke situ untuk balik ke Kuala Kangsar. Apa yang saya lihat Pudu Raya sekarang macam Pudu Raya dulu juga. Tidak banyak perubahan. Kalau adapun cuma papan tanda, hiasan serta iklan-iklan sahaja yang berbeza sesuai dengan masa kini.
Saya terus ke kaunter tiket bas ekspress. Apabila melihat saya mengheret beg besar, tiba-tiba sahaja saya di ’serbu’ oleh sekumpulan orang yang menjadi agen syarikat-syarikat bas itu. Mereka bertanya saya nak ke mana? Saya cuma menggeleng-gelengkan kepala dan terus berlalu ke kaunter di lorong yang lain sambil memerhati jika ada tulisan ”Kuala Kangsar” Kumpulan orang lain pula bertanya nak ke mana? Saya menggelengkan kepala. Ada yang mengikut dan bertanya dengan agak kasar kepada saya, ”Abang nak ke mana?” Sambil menghalakan soalan itu ke telinga saya, dia ingat saya tak dengar ke? . Agaknya ini kah yang di katakan ”ulat tiket” saya pun tak pasti. Yang pastinya, saya sangat rimas dan tak selesa berada dalam keadaan bagitu. Hendak saya menjerit, ”aku boleh cari kaunter jual tiket bas ke Kuala itu sendiri... kamu tak payah bantu! Ya lah, bukankah setiap kaunter itu ada di tulis nama-nama tempat yang nak dituju oleh bas-bas mereka...
II.
Bila berada di dalam bas, saya membaca akhbar yang saya beli tadi. Dari semuka ke semuka saya baca, hingga semua berita habis di tela’ah. Tetapi jika ada orang bertanya berita apa yang dibaca, taklah pasti saya dapat jawab atau tidak!
III.
Setelah lebih separuh perjalanan dilalui, saya keluarkan kertas kosong dan pen. Nak tahu apa yang saya tulis? Saya menulis perbezaan antara memandu sendiri dengan menaiki kenderaan awam...
Begini, Jika memandu kenderaan sendiri, kita akan:
(a) merasa letih, iaitu letih fizikal dan letih mental. Walaupun kita tak berpeluh seperti menyangkul atau menebas, tetapi kita rasa letih terutama jika membawa kenderaan berseorangan, tidak ada kawan bersembang...
(b) menumpukan konsentrasi kepada pemanduan. Semua anggota badan kita ”ditumpukan” kepada jalanraya yang dilalui walaupun nampaknya kita duduk di kerusi. Yalah mana ada orang memandu sambil membaca buku atau menulis surat..
(c) Boleh pergi ke mana sahaja kita nak pergi. Contohnya jika kita nak buang air, kita boleh singgah di mana-mana yang kita nak singgah. Atau jika kita nak makan, kita boleh berhenti di mana-mana sahaja kedai makan.
(d) Tidak dapat melihat pemandangan dengan bebas. Contohnya kita ada kejadian kemalangan, kita tak dapat melihat dengan jelas kerana kita sedang memandu kenderaan sendiri.
Sebaliknya, jika menaiki kenderaan awam seperti bas, teksi atau keretapi, kita akan:
(a) tidak merasa penat. Dengan lain perkataan kita dapat relaks walaupun perjalanan agak jauh. Kalau penat atau boring, kita boleh sahaja tidur di kerusi tersebut.
(b) Banyak buang masa. Maksudnya dengan menaiki kenderaan awam kita terpaksa mengikut masa jadual trip perjalanan. Mungkin kita terpaksa menunggu lebih awal, kalau tidak kita akan ditinggalkan. Atau kadang-kadang kita terpaksa menunggu lama untuk mengikut trip perjalanan bas yang tergendala.
(c) Mengikut masa atau jadual singgah kenderaan tersebut. Kenderaan awam tidak boleh singgah sewenang-wenangnya. Ada tempat-tempat tertentu sahaja dia akan berhenti. Ini amat bahaya bagi orang yang tak sihat. Contohnya orang yang sakit ”kerap kencing”. Kita tak boleh nak suruh pemandu berhenti sesuka hati mengikut kehendak kita!
(d) Luas pemandangan. Menaiki kenderaan awam seperti bas, kita dapat melihat pemandangan yang luas di sepanjang perjalanan. Jika tak puas, kita boleh menoleh sampai ke belakang dan tengoklah puas-puas.
(e) Dapat melihat ragam orang ramai dalam kenderaan tersebut. Umpamanya ragam orang perempuan dengan anak kecilnya, atau ragam sepasang kekasih yang duduk di kerusi depan atau sebelah kita.
(f) Dapat membaca papan iklan besar yang ada di sepanjang jalan. Contohnya papan tanda jualan rumah baru bersaiz XXL (24’ X 85’). Ingatkan baju sahaja yang ada saiz L dan XL!
(g) Dapat membaca akhbar sambil relaks-relaks dan dapat mendraf artikel seperti yang saya buat ini...
Demikianlah yang dapat saya nyatakan perbezaan antara memandu sendiri dengan menaiki kenderaan awam. Mungkin ada lagi, harap tambahlah sendiri..........
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment