Saturday, September 5, 2009
Kurangkan juadah, banyakkan ibadah...
Hari ini genap 15 hari kita berpuasa. InsyaAllah mulai malam ini solat witir kita akan ada bacaan qunut.
Saya ingin membuat ”kajian separuh penggal” mengenai sikap kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Lihatlah apa yang kita beli apabila pergi ke pasar-pasar Ramadhan pada setiap petang. Rasanya perbelanjaan setengah bulan kita dalam bulan puasa ini mungkin telah menyamai perbelanjaan kita sepanjang sebulan di bulan-bulan yang lain. Inilah yang dikatakan kita ”mengutamakan juadah” dan sifat begini sebenarnya telah menyimpang dari hikmah tuntutan berpuasa itu sendiri.
Marilah kita menginsafi dan memikirkan umat-umat Islam di negara lain yang susah mendapatkan makanan walaupun sesuap nasi akibat kemalaratan atau peperangan yang sedang dihadapi.. .
Atau tidakkah kita sedar bahawa ujian berpuasa bagi kita di negara ini bukannya ”kekurangan makanan”, tetapi sejauh mana kita dapat bersabar nafsu makan apabila melibat timbunan juadah-juadah yang enak-enak..
Selepas itu sejauh mana pula kita ”menambahkan ibadah” di dalam bulan yang mulia ini. Apakah puasa kita sekadar puasa orang awam iaitu menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum sahaja. Tidakkah kita memperbanyakkan tadarus al Quran umpamanya? Oh... malu mengaji secara bertadarus, nanti ditegur oleh kawan-kawan... Kalau masuk ”Malaysian Idols” atau lain-lain rancangan realiti di TV itu tak malu.. ditegur dan dikritik oleh juri didepan orang ramai pula..
Bukankah kelebihan bulan Ramadhan ini makin bertambah apabila Ramadhan itu di penghujungnya? Mengapa pula jumlah para jamaah solat terawih di surau dan masjid makin berkurangan?
Itulah antara persoalan yang mesti kita baiki sebelum berakhirnya Ramadhan alKarim tahun ini.
Ingat, ”kurangkan juadah, banyakkan ibadah!”
Nota: Teman bukan mengata kome nii...., ngate diri teman sendiri ....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment