Thursday, September 17, 2009

Menjelang Cuti Raya....



Hari ini diadakan perhimpunan rasmi kerana sekolah akan bercuti panjang selama 10 hari mulai esok. Esok adalah cuti khas yang diluluskan oleh Kabinet, manakala cuti hari raya ialah pada hari Isnin dan Selasa. Hari Rabu 23 September adalah cuti peristiwa. Hari Khamis dan Jumaat pula cuti berganti yang telah dibuat pada hari Sabtu bulan April dan Jun lalu.

Di dalam suasana yang ceria, guru-guru dan para pelajar menghadiri perhimpunan yang dimulakan dengan bacaan doa oleh ketua pengawas. Lepas itu ustaz Azhar menyampaikan tazkirah ringkas bertajuk ”Aidilfitri”. Kemudian dijalankan majlis penyampaian ”wang raya” kepada 90 orang pelajar miskin dan anak yatim. Wang raya ini dikumpulkan daripada guru-guru dan para pelajar sepanjang bulan Ramadhan. Semoga para pelajar yang menerima sumbangan ini turut bergembira menyambut hari lebaran sebagaimana kawan-kawan yang lain.

Saya kemudiannya menyampaikan ucapan sebagai menggantikan pengetua. Antara isi penting yang saya sampaikan ialah:
(i) Hari raya aidil fitri adalah hari kemenangan untuk mereka yang berpuasa. Orang yang tak
berpuasa ’tak boleh’ meraikan kemenangan ini.
(ii) Mohon para pelajar menjaga keselamatan diri masing-masing semasa cuti perayaan ini. Ini
termasuklah berhati-hati di jalan raya dan larangan bermain mercun dan meriam buluh.
(iii) Meminta pelajar ting. 3 agar tidak lupa mengulangkaji pelajaran kerana peperiksaan
PMR sangat hampir.
(iv) Mengingatkan kepada pelajar yang belum menjelaskan yuran persekolahan agar
membayarnya apabila sekolah dibuka 28 September nanti.
(v) Menasihatkan para pelajar agar memohon maaf daripada guru-guru dan mengucapkan
selamat hari raya kepada guru-guru sebelum sekolah berakhir hari ini.
(vi) Mengucapkan selamat pengantin baru kepada 2 orang guru yang akan melangsungkan
perkahwinan selepas hari raya ini. Mereka ialah Cik Salwana dan Cik Azlina Hassan.

Sebagai menutup ucapan saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin serta menjemput para pelajar dan guru-guru hadir berhariraya di rumah saya.

Pada jam 12.00 tengahari pula, panitia KKQ dan panitia Pendidikan Islam menganjurkan majlis Khatam Quran bertempat di surau sekolah. Majlis dihadiri oleh semua pelajar KAA dan beberapa orang guru. Diharap pelajar-pelajar akan terus mengaji dan bertadarus selepas bulan puasa dan tidak ’khatam’ terus.

1 comment:

  1. pemberian duit raya tu memang bermakna kepada pelajar miskin.. semoga deme bergembira di aidilfitri..

    ReplyDelete