Thursday, September 24, 2009

Kutip duit raya ......


Pada malam hari raya kedua, saya sekeluarga bertolak ke Selangor untuk berhari raya di sana pula. Walaupun perjalanan agak jauh dan memenatkan, tetapi mujur kenderaan tidak banyak. Tempat Rehat R&R di Tapah dan di Ulu Bernam agak lengang sahaja. Kami sampai jam hampir pukul 12.00 tengah malam. Lepas solat terus tidur. Esok nak raya di rumah sanak saudara serta menziarahi kubur emak dan bapa mertua pula.

Pagi esoknya, kira-kira jam 8.30 pagi terdengar suara budak-budak memanggil kerana nak berhari raya.

“Assalamu alaikum....assalamu alaikum...kami datang nak raya,,,,kami datang nak raya...!!”

Mungkin kerana tiada jawapan, pemberian salam itu diulang lagi.

“Assalamu alaikum....assalamu alaikum...kami datang nak raya,,,,kami datang nak raya... Boleh tak!

Tuan rumah menjawab salam, ” Wa alaikumus Salam! Ha masuk lah...” Tuan rumah lantas mempelawa budak-budak duduk di ruang tamu yang memang tersedia biskut raya sejak dari hari raya pertama semalam.

Masa tu saya baru lepas sarapan pagi. Saya memerhatikan gelagat budak-budak itu dari jauh. Saya lihat ada lima orang semuanya. Saya rasa mungkin budak-budak ini dalam darjah empat atau lima sekolah rendah. Saya dengar dialog berikut daripada budak-budak itu.

Budak 1 : Aku dah dapat 34 ringgit.. sambil mengeluarkan ”purse”nya.
Budak 2 : Aku lagi banyak... Dia juga mengeluarkan ”purse”nya dan mengira sambil diperhati oleh budah-budak lain.. Ha dah ada 41 ringgit !

Kemudian semua budak-budak itu mengeluarkan dompet masing-masing dan mengira wang raya masing-masing.

Budak 3 : Aku dah ada 52 ringgit !!
Budak 4 : Aku baru 29 ringgit, alaa....!!
Budak 5 : Aku lagi banyak, sambil membilang wang RM10nya, ha ... aku dah dapat 81 ringgit, semalam pak cik aku yang balik dari Kuala Lumpur beri 30 ringgit...

Tak lama kemudian, tuan rumah membawa air minuman untuk budak-budak itu, ” Silakan minum!”
Saya lihat budak-budak itu macam tak kisah sangat. Saya fikir, apa lah budak-budak ni... tak hormat orang tua ke?

Tak lama kemudian, budak-budak tu minta diri nak balik... ”Pak cik, kami nak balik ..!”

Tuan rumah orang yang cepat faham, lantas ke ruang tamu. Sambil bersalam, dia menghulurkan wang ringgit kepada setiap orang budak-budak itu... Budak-budak tu keluar rumah dengan senyum lebar sambil memasukkan wang diterima dalam ”purse” masing-masing.

Saya fikir peristiwa seumpama tersebut , bukan sahaja berlaku di rumah keluarga di atas sahaja, malah berlaku di mana-mana tempat di negara ini. Sekarang dah jadi trend , sesetengah budak-budak menjadikan hari raya untuk mengumpul wang ringgit.

Eloklah kita fikirkan semula, bagaimana mengajar anak-anak menyambut hari raya... Apa tujuan menziarahi kaum keluarga di hari raya? Apakah tujuan kunjung-mengunjung tu.. ? Bukankah ziarah-menziarahi itu dituntut oleh Islam. Tetapi dengan cara bagaimana? Bertanya khabar, berbual sambil mengeratkan silatur rahim, maaf bermaafan dan sebagainya. Kalau menziarahi guru-guru pula, eloklah bermaafan sebarang kesalahan yang pernah menyakiti hati guru. Yang lebih baik anak murid membawa kueh mueh kepada guru-guru. Bukannya guru yang memberi duit raya kepada anak murid..... Tak gitu?

1. Bayangkan jika suatu masa nanti, generasi anak-anak kita menggunakan kesempatan hari raya hanya untuk mengumpul wang ringgit secara percuma. Kemudian wang itu digunakan untuk hal-hal yang tak baik.
2. Bayangkan jika suatu masa nanti, tuan-tuan rumah tak berani lagi membuka pintu untuk menerima tetamu. Takut tetamu yang datang ialah ”pemeras ugut”
3. Bayangkan jika suatu masa nanti, orang ramai akan berhutang selepas menyambut hari raya, kerana wang telah habis memberi ”kanak-kanak nakal” dan tak mencukupi untuk perbelanjaan hari-hari berikutnya...

Sama-sama kita renungkan!

(Gambar budak di atas, bukanlah budak yang diceritakan di sini. Tetapi budak ini agak special, dia bawa uncang bekas duit raya bila berjalan raya ikut keluarganya.., tak lah tercicir duit raya!!!)

1 comment: