Tuesday, September 29, 2009
Naik Bas....
I.
Sudah lebih 20 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke perhentian Pudu Raya Kuala Lumpur. Tetapi hari ini saya ke perhentian bas ekpress itu. Saya ke situ untuk balik ke Kuala Kangsar. Apa yang saya lihat Pudu Raya sekarang macam Pudu Raya dulu juga. Tidak banyak perubahan. Kalau adapun cuma papan tanda, hiasan serta iklan-iklan sahaja yang berbeza sesuai dengan masa kini.
Saya terus ke kaunter tiket bas ekspress. Apabila melihat saya mengheret beg besar, tiba-tiba sahaja saya di ’serbu’ oleh sekumpulan orang yang menjadi agen syarikat-syarikat bas itu. Mereka bertanya saya nak ke mana? Saya cuma menggeleng-gelengkan kepala dan terus berlalu ke kaunter di lorong yang lain sambil memerhati jika ada tulisan ”Kuala Kangsar” Kumpulan orang lain pula bertanya nak ke mana? Saya menggelengkan kepala. Ada yang mengikut dan bertanya dengan agak kasar kepada saya, ”Abang nak ke mana?” Sambil menghalakan soalan itu ke telinga saya, dia ingat saya tak dengar ke? . Agaknya ini kah yang di katakan ”ulat tiket” saya pun tak pasti. Yang pastinya, saya sangat rimas dan tak selesa berada dalam keadaan bagitu. Hendak saya menjerit, ”aku boleh cari kaunter jual tiket bas ke Kuala itu sendiri... kamu tak payah bantu! Ya lah, bukankah setiap kaunter itu ada di tulis nama-nama tempat yang nak dituju oleh bas-bas mereka...
II.
Bila berada di dalam bas, saya membaca akhbar yang saya beli tadi. Dari semuka ke semuka saya baca, hingga semua berita habis di tela’ah. Tetapi jika ada orang bertanya berita apa yang dibaca, taklah pasti saya dapat jawab atau tidak!
III.
Setelah lebih separuh perjalanan dilalui, saya keluarkan kertas kosong dan pen. Nak tahu apa yang saya tulis? Saya menulis perbezaan antara memandu sendiri dengan menaiki kenderaan awam...
Begini, Jika memandu kenderaan sendiri, kita akan:
(a) merasa letih, iaitu letih fizikal dan letih mental. Walaupun kita tak berpeluh seperti menyangkul atau menebas, tetapi kita rasa letih terutama jika membawa kenderaan berseorangan, tidak ada kawan bersembang...
(b) menumpukan konsentrasi kepada pemanduan. Semua anggota badan kita ”ditumpukan” kepada jalanraya yang dilalui walaupun nampaknya kita duduk di kerusi. Yalah mana ada orang memandu sambil membaca buku atau menulis surat..
(c) Boleh pergi ke mana sahaja kita nak pergi. Contohnya jika kita nak buang air, kita boleh singgah di mana-mana yang kita nak singgah. Atau jika kita nak makan, kita boleh berhenti di mana-mana sahaja kedai makan.
(d) Tidak dapat melihat pemandangan dengan bebas. Contohnya kita ada kejadian kemalangan, kita tak dapat melihat dengan jelas kerana kita sedang memandu kenderaan sendiri.
Sebaliknya, jika menaiki kenderaan awam seperti bas, teksi atau keretapi, kita akan:
(a) tidak merasa penat. Dengan lain perkataan kita dapat relaks walaupun perjalanan agak jauh. Kalau penat atau boring, kita boleh sahaja tidur di kerusi tersebut.
(b) Banyak buang masa. Maksudnya dengan menaiki kenderaan awam kita terpaksa mengikut masa jadual trip perjalanan. Mungkin kita terpaksa menunggu lebih awal, kalau tidak kita akan ditinggalkan. Atau kadang-kadang kita terpaksa menunggu lama untuk mengikut trip perjalanan bas yang tergendala.
(c) Mengikut masa atau jadual singgah kenderaan tersebut. Kenderaan awam tidak boleh singgah sewenang-wenangnya. Ada tempat-tempat tertentu sahaja dia akan berhenti. Ini amat bahaya bagi orang yang tak sihat. Contohnya orang yang sakit ”kerap kencing”. Kita tak boleh nak suruh pemandu berhenti sesuka hati mengikut kehendak kita!
(d) Luas pemandangan. Menaiki kenderaan awam seperti bas, kita dapat melihat pemandangan yang luas di sepanjang perjalanan. Jika tak puas, kita boleh menoleh sampai ke belakang dan tengoklah puas-puas.
(e) Dapat melihat ragam orang ramai dalam kenderaan tersebut. Umpamanya ragam orang perempuan dengan anak kecilnya, atau ragam sepasang kekasih yang duduk di kerusi depan atau sebelah kita.
(f) Dapat membaca papan iklan besar yang ada di sepanjang jalan. Contohnya papan tanda jualan rumah baru bersaiz XXL (24’ X 85’). Ingatkan baju sahaja yang ada saiz L dan XL!
(g) Dapat membaca akhbar sambil relaks-relaks dan dapat mendraf artikel seperti yang saya buat ini...
Demikianlah yang dapat saya nyatakan perbezaan antara memandu sendiri dengan menaiki kenderaan awam. Mungkin ada lagi, harap tambahlah sendiri..........
Sunday, September 27, 2009
Tip menghadapi peperiksaan – jaga kesihatan fizikal
Di sini saya sambung tip menghadapi peperiksaan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM tak lama lagi.
Sebagai pelajar anda perlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan untuk peperiksaan.
Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:
(i) Tidur yang cukup.
Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.
(ii)Jaga pemakanan.
Makanlah pemakanan yang baik iaitu baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan kebersihannya (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (ayat 57 surah Al-Baqarah).
(iii) Riadah.
Lakukan riadah, tetapi jangan sampai meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Di saat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini sehingga tamat peperiksaan penting nanti.
(iv) Keselamatan diri.
Anda perlu menjaga keselamatan diri anda. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecederaan. Anda past tidak mahu mengambil peperiksaan di dalam wad di hospital. Memanglah malang itu tidak berbau, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah sahaja.
Sekian, semoga apa yang saya kongsikan ini sama seperti yang guru kaunselor anda ajarkan kepada anda....
Tip Menghadapi Peperiksaan - jaga emosi
Esok sekolah akan dibuka semula. Cuti hari raya telah habis. Bagi pelajar tingkatan 3 dan 5, mereka di dalam mood ”pecutan akhir”. Ibarat orang berlari 100 meter, mereka kini berada 5-6 meter terakhir. Mana boleh relaks lagi. Mesti memecut sekuat-kuat hati.
Di sini saya kongsikan tip menghadapi peperiksaan kepada pelajar tingkatan 3 dan 5. Insya-Allah saya akan ringkaskan tip ini kepada beberapa siri dan dalam beberapa ’post’. Untuk permulaan ini saya nak berikan tip supaya pelajar yang nak menghadapi peperiksaan supaya menjaga emosi masing-masing.
Yang pertama, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara yang berikut perlu dielakkan:
(i) Pertengkaran dengan rakan-rakan.
(ii) Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah;
(iii) Cinta monyet disaat-saat menjelang peperiksaan;
(iv) Bersikap terlalu yakin - "overconfident";
(v) Berprasangka buruk terhadap orang lain;
Selain daripada itu, ramai pelajar bertindakbalas secara spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap mereka, umpamanya rakan anda membohongi anda atau mereka memulau dan mengejek anda. Sudah tentu anda rasa tersenggung. Dan ini akan mengganggu tumpuan anda untuk mengulangkaji berhari-hari.
Kenapa tidak selepas ini kawal emosi anda. Jangan izinkan sesiapa melukai hati anda. Mereka boleh berkata apa sahaja, mereka boleh berbohong dan sebagainya. Mereka ada suara, biarkanlah mereka. Anda cuma pekakkan telinga. Banyakkan bersikap sabar. Teruskan sahaja kerja anda. Kekalkan matlamat peperiksaan anda. Apabila anda berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.
Seperkara lagi, kita boleh melihat setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu positif atau negatif. Mulai hari ini ambillah dari sudut yang positif. Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ada hikmah sekiranya anda bersabar. Dengan cara ini anda mampu membenteng emosi anda.
Sekian, selamat maju jaya...........
Friday, September 25, 2009
Awas, jangan riya' !
Kini kita telah memasuki bulan Syawal. Setelah puas berhariraya kita jangan lupa untuk berpuasa sunat pula selama 6 hari lagi. Hadis Nabi SAW bermaksud, “Barangsiapa telah berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan berpuasa 6 hari dari dari bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari).
Oleh itu, marilah kita menunaikan puasa sunat ini agar kita mendapat ganjaran pahala sebagaimana maksud hadis di atas. Namun bagitu, kita kena berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang yang berpuasa itu bermegah dan riya’ dengan amalannya. Ini kerana kita ada pilihan samada nak berpuasa atau tidak, berbeza dengan puasa Ramadhan, semua orang wajib berpuasa.
Perbualan berikut kerap kita dengar...
” kau , dah hari ke berapa dah?”
“aku dah 4 hari dah ni”
“esok aku raya (puasa enaml)”
Amalan dan perbualan begini menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak baik dan terpuji, tetapi awas, hebahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat ’siapa lebih hebat?’.
Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya', serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya disembunyikan khas untuk Allah SWT.
WalLlahu Aklam!
Thursday, September 24, 2009
Kutip duit raya ......
Pada malam hari raya kedua, saya sekeluarga bertolak ke Selangor untuk berhari raya di sana pula. Walaupun perjalanan agak jauh dan memenatkan, tetapi mujur kenderaan tidak banyak. Tempat Rehat R&R di Tapah dan di Ulu Bernam agak lengang sahaja. Kami sampai jam hampir pukul 12.00 tengah malam. Lepas solat terus tidur. Esok nak raya di rumah sanak saudara serta menziarahi kubur emak dan bapa mertua pula.
Pagi esoknya, kira-kira jam 8.30 pagi terdengar suara budak-budak memanggil kerana nak berhari raya.
“Assalamu alaikum....assalamu alaikum...kami datang nak raya,,,,kami datang nak raya...!!”
Mungkin kerana tiada jawapan, pemberian salam itu diulang lagi.
“Assalamu alaikum....assalamu alaikum...kami datang nak raya,,,,kami datang nak raya... Boleh tak!
Tuan rumah menjawab salam, ” Wa alaikumus Salam! Ha masuk lah...” Tuan rumah lantas mempelawa budak-budak duduk di ruang tamu yang memang tersedia biskut raya sejak dari hari raya pertama semalam.
Masa tu saya baru lepas sarapan pagi. Saya memerhatikan gelagat budak-budak itu dari jauh. Saya lihat ada lima orang semuanya. Saya rasa mungkin budak-budak ini dalam darjah empat atau lima sekolah rendah. Saya dengar dialog berikut daripada budak-budak itu.
Budak 1 : Aku dah dapat 34 ringgit.. sambil mengeluarkan ”purse”nya.
Budak 2 : Aku lagi banyak... Dia juga mengeluarkan ”purse”nya dan mengira sambil diperhati oleh budah-budak lain.. Ha dah ada 41 ringgit !
Kemudian semua budak-budak itu mengeluarkan dompet masing-masing dan mengira wang raya masing-masing.
Budak 3 : Aku dah ada 52 ringgit !!
Budak 4 : Aku baru 29 ringgit, alaa....!!
Budak 5 : Aku lagi banyak, sambil membilang wang RM10nya, ha ... aku dah dapat 81 ringgit, semalam pak cik aku yang balik dari Kuala Lumpur beri 30 ringgit...
Tak lama kemudian, tuan rumah membawa air minuman untuk budak-budak itu, ” Silakan minum!”
Saya lihat budak-budak itu macam tak kisah sangat. Saya fikir, apa lah budak-budak ni... tak hormat orang tua ke?
Tak lama kemudian, budak-budak tu minta diri nak balik... ”Pak cik, kami nak balik ..!”
Tuan rumah orang yang cepat faham, lantas ke ruang tamu. Sambil bersalam, dia menghulurkan wang ringgit kepada setiap orang budak-budak itu... Budak-budak tu keluar rumah dengan senyum lebar sambil memasukkan wang diterima dalam ”purse” masing-masing.
Saya fikir peristiwa seumpama tersebut , bukan sahaja berlaku di rumah keluarga di atas sahaja, malah berlaku di mana-mana tempat di negara ini. Sekarang dah jadi trend , sesetengah budak-budak menjadikan hari raya untuk mengumpul wang ringgit.
Eloklah kita fikirkan semula, bagaimana mengajar anak-anak menyambut hari raya... Apa tujuan menziarahi kaum keluarga di hari raya? Apakah tujuan kunjung-mengunjung tu.. ? Bukankah ziarah-menziarahi itu dituntut oleh Islam. Tetapi dengan cara bagaimana? Bertanya khabar, berbual sambil mengeratkan silatur rahim, maaf bermaafan dan sebagainya. Kalau menziarahi guru-guru pula, eloklah bermaafan sebarang kesalahan yang pernah menyakiti hati guru. Yang lebih baik anak murid membawa kueh mueh kepada guru-guru. Bukannya guru yang memberi duit raya kepada anak murid..... Tak gitu?
1. Bayangkan jika suatu masa nanti, generasi anak-anak kita menggunakan kesempatan hari raya hanya untuk mengumpul wang ringgit secara percuma. Kemudian wang itu digunakan untuk hal-hal yang tak baik.
2. Bayangkan jika suatu masa nanti, tuan-tuan rumah tak berani lagi membuka pintu untuk menerima tetamu. Takut tetamu yang datang ialah ”pemeras ugut”
3. Bayangkan jika suatu masa nanti, orang ramai akan berhutang selepas menyambut hari raya, kerana wang telah habis memberi ”kanak-kanak nakal” dan tak mencukupi untuk perbelanjaan hari-hari berikutnya...
Sama-sama kita renungkan!
(Gambar budak di atas, bukanlah budak yang diceritakan di sini. Tetapi budak ini agak special, dia bawa uncang bekas duit raya bila berjalan raya ikut keluarganya.., tak lah tercicir duit raya!!!)
Tuesday, September 22, 2009
Suasana Di Hari Raya
Gambar-gambar di atas ialah suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di rumah saya. Rumah ini memang ‘terbuka’ sejak dari selepas solat hari raya sehinggalah jam 7.15 petang apabila masuk waktu maghrib, dah gelap barulah ‘rumah tertutup’. Maklumlah berhariraya di kampung, tak kan nak bagi masa waktu bila boleh datang.... Ramai bebeno pengunjung yang datang hingga tak terlayan-layan… Walaupun badan penat, lemang, ketupat dan rendang juga habis serta “menu istimewanya” yang tak semua pengunjung merasa, saya sekeluarga tetap bergumbira… Mintak maaf le banyak-banyak.kalau layanan tak seberapa!
Sunday, September 20, 2009
Takbir dari rumah ke rumah
Saturday, September 19, 2009
Selamat Jalan Ramadhan...!
SELAMAT HARI RAYA IDUL FITRI
Thursday, September 17, 2009
Menjelang Cuti Raya....
Hari ini diadakan perhimpunan rasmi kerana sekolah akan bercuti panjang selama 10 hari mulai esok. Esok adalah cuti khas yang diluluskan oleh Kabinet, manakala cuti hari raya ialah pada hari Isnin dan Selasa. Hari Rabu 23 September adalah cuti peristiwa. Hari Khamis dan Jumaat pula cuti berganti yang telah dibuat pada hari Sabtu bulan April dan Jun lalu.
Di dalam suasana yang ceria, guru-guru dan para pelajar menghadiri perhimpunan yang dimulakan dengan bacaan doa oleh ketua pengawas. Lepas itu ustaz Azhar menyampaikan tazkirah ringkas bertajuk ”Aidilfitri”. Kemudian dijalankan majlis penyampaian ”wang raya” kepada 90 orang pelajar miskin dan anak yatim. Wang raya ini dikumpulkan daripada guru-guru dan para pelajar sepanjang bulan Ramadhan. Semoga para pelajar yang menerima sumbangan ini turut bergembira menyambut hari lebaran sebagaimana kawan-kawan yang lain.
Saya kemudiannya menyampaikan ucapan sebagai menggantikan pengetua. Antara isi penting yang saya sampaikan ialah:
(i) Hari raya aidil fitri adalah hari kemenangan untuk mereka yang berpuasa. Orang yang tak
berpuasa ’tak boleh’ meraikan kemenangan ini.
(ii) Mohon para pelajar menjaga keselamatan diri masing-masing semasa cuti perayaan ini. Ini
termasuklah berhati-hati di jalan raya dan larangan bermain mercun dan meriam buluh.
(iii) Meminta pelajar ting. 3 agar tidak lupa mengulangkaji pelajaran kerana peperiksaan
PMR sangat hampir.
(iv) Mengingatkan kepada pelajar yang belum menjelaskan yuran persekolahan agar
membayarnya apabila sekolah dibuka 28 September nanti.
(v) Menasihatkan para pelajar agar memohon maaf daripada guru-guru dan mengucapkan
selamat hari raya kepada guru-guru sebelum sekolah berakhir hari ini.
(vi) Mengucapkan selamat pengantin baru kepada 2 orang guru yang akan melangsungkan
perkahwinan selepas hari raya ini. Mereka ialah Cik Salwana dan Cik Azlina Hassan.
Sebagai menutup ucapan saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin serta menjemput para pelajar dan guru-guru hadir berhariraya di rumah saya.
Pada jam 12.00 tengahari pula, panitia KKQ dan panitia Pendidikan Islam menganjurkan majlis Khatam Quran bertempat di surau sekolah. Majlis dihadiri oleh semua pelajar KAA dan beberapa orang guru. Diharap pelajar-pelajar akan terus mengaji dan bertadarus selepas bulan puasa dan tidak ’khatam’ terus.
Wednesday, September 16, 2009
Sekolah diberi cuti khas Jumaat sempena Raya
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan pemberian cuti khas Jumaat ini kepada semua sekolah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata pemberian cuti khas itu melibatkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran.
Kabinet membuat keputusan tersebut dalam mesyuaratnya hari ini bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya, katanya dalam kenyataan media.
Berikutan keputusan Kabinet itu, surat kementerian berkaitan cuti tambahan sempena hari raya sebelum ini adalah terbatal. BERNAMA
Nota:
Terima kasih di atas pemberian cuti khas ini. Dapatlah kita membuat persiapan untuk hari lebaran. Tetapi.... kalaulah pemberian cuti ini diberitahu lebih awal bukankah lebih baik... Saya telah membelikan tiket bas ekpress Transnasional balik raya seorang anak saya di SBP berhampiran Kuala Lumpur pada petang Jumaat 18.09.2009 sebulan yang lepas sebab sekolah tidak cuti pada hari Jumaat. Sekarang anak saya terpaksa menunggu di asrama sehingga petang Jumaat sedangkan mereka dah boleh balik mulai petang Khamis. Walau apa pun semoga semuanya selamat sampai ke rumah untuk berhari raya....
Puasa Kerana Raya atau Puasa Kerana Allah ?
Hanya tinggal beberapa hari lagi kita akan menyambut hari raya aldilfitri. Saya tak mahu bercerita tentang aldilfitri lagi. Ini kerana aidilfitri pasti akan datang samada kita suka atau tidak Tetapi adakah orang tidak suka kepada hari raya?
Persoalannya sekarang dalam beberapa hari penghujung Ramadhan ini apa yang kita akan lakukan. Apakah kita berpuasa sekarang ini hanya sebagai syarat untuk berhari raya atau kita berpuasa kerana betul-betul atas dasar keimanan kepada Allah SWT.
Sabda RasuluLlah SAW bermaksud: “Siapa yang berpuasa dengan penuh rasa keimanan dan penuh rasa keinsafan, diampunkan dosanya apa-apa yang dilakukan sebelum ini,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
.Demikian jaminan Rasulullah kepada umat Islam. Tetapi bagaimana mereka yang berpuasa kerana sebagai syarat untuk berhari raya sahaja. Memang ada sebuah hadis yang antara lain bermaksud, berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa ganjaran kecuali lapar dahaga. Biasanya puasa golongan ini tidak menginsafkan malah puasa yang akan berakhir itu tanpa dinilai semula. Kalau boleh lebih cepat habis puasa lagi bagus. Puasa yang dilakukan sekadar menunaikan perintah agama selama sebulan, tetapi yang paling penting ialah sambutan hari raya di penghujungnya.
Oleh sebab itulah semangat orang ini berkobar-kobar pada awal Ramadhan tetapi semakin berkurangan pada hari-hari berikutnya. Hal ini kerana ibadah yang dilakukan tidak dirasakan faedahnya kepada diri, pahalanya pun tidak nampak, tapi sebaliknya penat dan membosankan.
Di sinilah bezanya puasa umat Islam akhir zaman dengan puasa para sahabat dan tabiin. Puasa mereka bersungguh-sungguh malah semakin penghujung dilipat gandakan beribadah. Mereka yakin benar akan keampunan Allah akan datang kepada mereka. Mereka merasakan peluang untuk beribadah sebegini sudah semakin tiada. Mereka bimbang kalau tidak sempat untuk sampai ke Ramadhan akan datang.
Janganlah kita terikut-ikut dengan rentak media masa yang saban hari melaungkan hari raya. Semua tajuk, draf dan isi rancangan nak dikaitkan dengan hari raya. Kalaulah matlamat kita hanya untuk berhari raya, yakinkah kita, akan mendapat keampunan dari Allah..... ??
Sunday, September 13, 2009
Abu Nawas...
Di sini saya nak ceritakan suatu peristiwa yang terjadi kepada sesaorang yang berubah hidupnya setelah bertemu malam lailatul qadar. Cerita ini saya baca di internet berkait dengan malam lailatul qadar. Saya kemudiannya mengolah semula artikel bahasa Indonesia itu supaya menjadi ringkas dan senang difahami.
Pada masa pemerintahan Sultan Harun al Rashid al Abassi iaitu di zaman Khalifah Abasiyah dulu ada seorang sasterawan yang terkenal bernama Abu Hani Muhammad bin Hakami. Abu Hani Muhammad ini lebih terkenal dengan panggilan Abu Nawas. Beliau dilahirkan di Persia pada tahun 735 masihi.
Abu Nawas banyak mengarang sajak-sajak bercorak dongengan dan senda gurau. Beliau juga banyak menyairkan syair tentang cinta dan kecantikan wanita serta puji- pujian terhadap makhluk. Sebab itu terdapat banyak cerita rekaan tentang percintaan yang dikarang oleh Abu Nawas ini. Oleh karena kelakuannya yang tak bermoral ini, Abu Nawas tidak disukai oleh ahli-ahli agama dan mereka yang menjunjung tinggi adab kesopanan.
Pada suatu malam, dikatakan malam itu ialah malam Lailatul Qadar, Abu Nawas telah didatangi oleh seseorang tak dikenali yang berkata:
”Ya Abu Hani, idza lam takun milhan tuslih, fa la takun zubabatan tafsid”
Maksudnya , ”Hai Abu Hani, jika engkau tak mampu menjadi garam yang melazatkan hidangan, jangan lah engkau menjadi lalat yang jijik yang merosakkan hidangan itu”
Peristiwa di malam Lailatul Qadar itu rupanya membawa perubahan besar kepada hidup Abu Nawas. Dia menyedari kesalahan-kesalahannya yang walaupun ia seorang sasterawan, tetapi tidak menyumbang kepada pembangunan insan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Abu Nawas sedar bahwa selama ini ia hanya menjadi lalat yang menjijikan dan membuat orang lain menjadi rosak dan jauh dari Tuhannya.
Mulai dari hari itu Abu Nawas telah bertaubat. Ia bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Syair-syairnya diganti dengan zikir kepada Allah, malam-malam memabukan diganti dengan iktikaf di masjid. Yang keluar dari bibirnya ialah ayat-ayat Al Qur’an, yang terpikir dikepalanya ialah Keagungan Tuhan Yang Maha Esa yang mampu merubah tabiat buruk manusia dalam sekejap malam sahaja. Malamnya dihabiskan dengan menghinakan dirinya di hadapan Tuhan yang Maha Mulia. Dan siangnya dihabiskan dengan mencari kurnia dan petunjuk Tuhan yang Maha Kaya.
Abu Nawas mula menggubah dalam bentuk puisi puji-pujian akan kandungan Al Quran yang Mulia secara tersurat dan tersirat. Hinggakan bagitu banyak karyanya yang dapat menarik orang ramai berminat terhadap agama Islam dan memeluk agama Islam.
Salah satu karya puisinya yang terkenal, dijadikan nasyid dan wirit oleh orang ramai terutama di nusantara ini sehingga kini. Saya sendiri sewaktu sekolah asrama dulu, selalu mengalunkan puisi ini setiap selepas solat subuh.
Illaahi lastulil firdfausi a’laa
wa laa aqwaa ‘alan naaril jahiimi
fahablii taubatan waghfir dzunuubi
fainnaka ghoofiru dzanbil adziiimi
Maksudnya: ”Ya Alloh tak layak surga firdaus untukku
tapi aku tak kuat memasuki nerakamu
maka atas segala dosaku, aku bertaobat
karena ampunanmu lebih luas”.
Demikianlah, seorang sasterawan yang hampir terjatuh ke jurang kehancuran, diselamatkan di malam Lailatul Qadar menjadi penyair dengan karya yang dikenang sepanjang zaman. Kita pula bagaimana?
Saturday, September 12, 2009
"Tip"
Assalamu alaikum, Di sini saya nak kongsikan dengan kawan-kawan semua satu "tip“ atau petua yang berguna untuk bertemu malam lailatul qadar. Ia bukanlah satu yang pasti berlaku atau suatu yang benar. Kerana tidak ada nas atau hadis Nabi berkaitan perkara di atas. Malahan Nabi SAW sendiri beribadah bersungguh-sungguh setiap malam terutama pada malam sepuluh terakhir Ramadhan.
Namun, sejak dulu saya pernah mendengarnya dan pernah mencatitnya, tetapi nota tersebut tak tahu di mana diletakkan. Ayah saya sendiri sewaktu mengajar di sekolah agama rakyat dulu pun pernah menceritakan kepada murid-muridnya. Saya cari dengan search engine di internet dan berjumpa perkara tersebut. Kome boleh baca sahaja, tetapi jangan buat fahaman suatu yang betul pula..
Petua ini dikatakan dirumuskan oleh Imam Al Ghazali dan lain-lain ulamak silam untuk mencari malam lailatul Qadar. RasuluLlah sendiri pernah menyatakan bahawa malam al qadar itu jatuhnya pada malam-malam ganjil di penghujung bulan Ramadhan. Menurut Imam Al Ghazali dan lain-lain ulamak silam tersebut, berdasarkan pengalaman mereka bertemu dengan malam alqadar, mereka menyimpulkan malam al qadar itu jatuhnya berkait dengan tarikh awal ramadhan pada satu-satu tahun tersebut.
Jika awal ramadhan jatuh pada hari:
(i) Ahad atau Rabu – malam qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan
(ii) Isnin - malam qadar dijangka berlaku pada malam 21 Ramadhan;
(iii) Selasa atau Jumaat - malam qadar dijangka berlaku pada malam 27 Ramadhan;
(iv) Khamis- malam qadar dijangka berlaku pada malam 25 Ramadhan;
(v) Sabtu- malam qadar dijangka berlaku pada malam 23 Ramadhan
Jadi, kalau ikutkan tip ini, lailatul qadar akan turun pada malam ini, iaitu malam 23 Ramadhan kerana awal puasa kita dahulu ialah pada hari Sabtu. Walau bagaimanapun, janganlah kita beribadat pada malam-malam itu sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga!!!!
Wallahu aklam... (Allah jua Yang Maha Mengetahui!)
Seperti Seribu bulan
Sekarang kita telah pun berada di fasa ketiga bulan Ramadhan. Hari ini dah pun 22 hari kita berpuasa. Mengikut Hadis RasuluLlah SAW yang bermaksud, ”Ramadhan, permulaannya Rahmat, pertengahannya Keampunan dan Penghujungnya Dijauhkan dari Api Neraka” bermakna kita telah berada di fasa ”Dijauhkan dari api neraka”. Moga-moga puasa yang kita lakukan tahun ini benar-benar dapat menjauhkan kita dari api neraka Allah yang maha dahsyat.
Sesuatu yang istimewa yang Allah tawarkan kepada kita di penghujung bulan Ramadhan ini ialah satu malam yang jika kita beribadah pada malam tersebut, kita akan mendapat ganjaran pahala sebagaimana beribadah selama 1000 bulan. Tempoh seribu bulan jika kita kira adalah bersamaam 83 tahun 4 bulan. Alangkah beruntungnya kita dapat bertemu dan beribadah pada malam tersebut.
Walaupun malam AlQadar itu diturunkan pada satu malam di bulan Ramadhan dan tidak ada siapa yang tahu bilakah ia akan diturunkan oleh Allah SWT, namun para alim ulamak mengatakan ia akan diturunkan pada salah satu malam di sepuluh malam terakhir Ramadhan. RasuluLlah SAW sendiri semasa hayatnya bersungguh-sungguh beribadat, memperbanyakkan solat sunat dan sentiasa beriktikaf di masjid pada malam-malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Banyak hadis yang meriwayatkan perkara tersebut.
Untuk itu marilah kita bersungguh-sungguh berusaha dan beribadah pada setiap malam menjelang akhir Ramadhan ini. Bayangkan jika dapat ganjaran pahala seperti beribadat selama 83 tahun 4 bulan tersebut. Itu jika kita dapat pada Ramadhan tahun ini sahaja. Jika dalam tempoh hidup kita, kita dapat beberapa kali, katakan 10 kali, masyaAllah... Moga-moga kita berhasil. Itulah agaknya dikatakan di penghujung Ramadhan ini, masa untuk kita beribadah dan akan dijauhkan dari api neraka.
Ya Allah, berilah kami dapat bertemu dengan Lailatul Qadar pada tahun ini.....Amin!!
Thursday, September 10, 2009
09.09.09....
Hari ini 9 September 2009. Tarikh ini ditulis sebagai 09.09.09. Satu angka yang menarik dan kerana itu ramailah orang mengatakan ia tarikh yang bertuah. Di dalam berita TV ditunjukkan beratus-ratus orang Cina di Ipoh, Penang dan Johor Bharu yang melangsungkan perkahwinan mereka pada hari ini. Difahamkan orang-orang Cina percaya perkahwinan pada tarikh ini akan membawa “bahagia sampai bila-bila”.
Apakah betul hari ini membawa bahagia atau tuah? Bolehkah kita sebagai umat Islam mempercayainya.
Saya teringat pada tarikh yang serupa begini, iaitu tanggal 3 Mac 2003 atau 03.03.03 seorang artis terkenal melangsungkan perkahwinan. Dikatakan majlis perkahwinan itu sebagai “Wedding of the Year” tetapi tidak membawa apa-apa makna kerana rumahtangga yang dibina itu telah hancur berkecai tak sampai dua tahun selepas tarikh tersebut apabila pasangan itu bercerai.
.
Begitu juga seorang bekas anak murid saya sendiri yang belajar di sekolah ini awal tahun 2000 dulu, pernah menjemput saya ke kenduri pertunangannya pada tarikh 07.07.07 dan dikatakan majlis perkahwinannya akan dilangsungkan pada 08.08.08. Tetapi tak lama selepas tarikh pertunangannya, saya mendapat kad jemputan perkahwinan beliau dan perkahwinan itu tidak jadi pada 08.08.08. Saya bertanya kenapa majlis itu dipercepatkan. Dengan cara bergurau bapa kepada murid saya ini memberitahu saya. “deme dah tak tahan dah…!”
Maksud Hadis RasuluLlah SAW, “Tiada jangkitan, tiada sialan, tiada sial pada burung hantu, tiada sial pada bulan Safar dan larilah dari kusta seperti lari kerana takutkan singa.(H. Bukhari)”.
Hadis ini membawa maksud kita tidak boleh mempercayai terdapat sesuatu masa atau sebagainya yang mambawa tuah atau membawa sial kepada sesaorang. Semuanya itu adalah ditentukan oleh Allah SWT mengikut ketentuan Qada’ dan QadarNya.
Nota: Gambar ‘pengantin’ di atas tidak pula pengantin yang berkahwin pada hari ini....
Monday, September 7, 2009
"Taik Gajah!...."
Pada majlis akad nikah, kadang-kadang tok kadi akan bertanya kepada pengantin lelaki beberapa soalan yang senang-senang untuk menguji kefahaman pengantin itu tentang Islam. Soalan yang ditanya itu biasanya soalan lazim berkaitan rukun Islam, rukun Iman atau sebagainya. Tetapi soalan ‘spot’ yang mesti ditanya ialah rukun Nikah itu sendiri. Sebab itu ramai pengantin lelaki menghafal rukun nikah selain menghafal ‘sebutan terima nikah’ sebelum sesuatu majlis akad nikah diadakan.
Nak jadikan cerita, pada suatu majlis akad nikah, tok kadi bertanya kepada pengantin lelaki satu soalan lain. Soalan itu bukanlah soalan susah. Simple sangat. Kalau mengaji sekolah Arab atau kelas Kafa, rasanya dalam bab satu aje. Soalan berkaitan Bab ‘Thoharah’ atau ‘bersuci’.
Rupanya, si mamat pengantin ni… jenis nak kahwin aje, soalan macam itu pun ‘fail’. Teman nak cerita ni bukan nak menghina si mamat ni, tetapi nak jadikan iktibar kepada budak-budak sekarang yang belum kahwin terutamanya budak-budak ‘follower’ blog teman ni…
Ceritanya begini…. Majlis akad nikah si mamat ni diadakan di rumah pengantin perempuanle..
Majlis dijalankan di ruang tamu. Ramai orang hadir bersesak-sesak. Maklumlah datang dari kedua-dua belah mempelai. Kawan-kawan si mamat pun ada. Bukannya pakai baju melayu pun, pakai simple aje... Semua orang duduk bersila mengelilingi tok kadi dan pengantin lelaki. Dahsyat, pengantin tu duduk atas bantal macam raja...!
Bila majlis berlangsung tok kadi bertanyalah kepada pengantin. Si mamat nampak serius dan berdebar-debar. Pada hadirin bersesak-sesak sambil ’memasang telinga’ nak mendengar apa yang ditanyakan oleh tak kadi, maklumlah tiada PA system disediakan.
Rupanya macam-macam jugak soalan yang ditanya oleh tok kadi kepada si mamat ini.... Tok kadi tanya pasal satu hari berapa kali kene sembahyang, dengan lajunye si mamat pengantin tu jawab "lima"...
Tok kadi tanya lagi,.. ”Najis terbahagi kepada 3 jenis.. pertama najis ringan atau najis muhaffafah, kedua najis sederhana atau najis mutawassitah, dan ketiga najis berat atau najis mughollazah”
Kemudian tok kadi tanya, ”beri contoh najis ringan atau najis muhaffafah?” Si mamat mulalah jeling kiri dan jeling kanan. Si mamat penyendul si Bedul pengapitnya yang mengipasnya sejak dari tadi. Si Bedul membisikkan sesuatu...
Si mamat pengantin pun menjawab, ”contohnya air kencing baby yang kecik-kecik tu....” Tok kadi pun angguk le.. malas dia nak mengulas panjang.. Dia pun faham tentu si pengantin ni gelabah, maklumlah di kelilingi orang ramai. Tambahan pula di sebelah tok kadi adalah bakal bapak mertuanya atau wali di dalam majlis itu.
Tok kadi tanya lagi contoh najis berat atau najis moghollazah.. Si mamat tu mula panik, jeling kiri, jeling kanan, tengok syiling. Disendulnya si Bedul tetapi si Bedul buat macam tak tahu aje, mungkin dia sendiri pun tak tahu atau sengaja dia nak perkenakan si mamat kali ini.
Ada le seorang tetamu yang hadir tu tersebut kuat sedikit, ”najis anjing ngan babi! ” Ada seorang lain kata, ”Syihhh! Bior dia jawab!”
Tok kadi mula senyum.... Si mamat ni berfikir, tak kan najis anjing dengan babi... berapale sangat beratnya... Dia pun kata, ”TAIK GAJAH!”
Tiba-tiba majlis yang tadi senyap sepi menjadi kecoh, hingar bingar dik gelak ketawa orang yang tak boleh tahan.. Ada orang yang berada di sekeliling itu sedang minum air sirap, tersembur minuman tu terkena baju orang ramai,, kecoh betul, semua orang ketawa... Tok kadi pun ketawa hingga keluar air mata...
Yalah nak control macam mana... taik gajah, memang berat betul!
Sunday, September 6, 2009
UASR….
Lusa iaitu pada 8 September 2009, anak-anak pelajar tahun enam akan mula menduduki peperiksaan UPSR. Peperiksaan itu dikira amat penting bagi seseorang pelajar di negara kita. Ia dikatakan boleh menentukan arah aliran pendidikan anak-anak itu pada masa hadapan. Lantaran itu pihak sekolah rendah memberi perhatian utama ke atas pencapaian UPSR sekolah masing-masing. Berbagai program, aktiviti dan usaha dilakukan sejak dari awal tahun termasuklah kelas-kelas tambahan, tuisyen sebelah malam, motivasi, keibubapaan, dan akhir sekali yang dilakukan baru-baru ini ialah slot solat hajat dan bacaan Yassin. Sehinggakan pelajar-pelajar tahun enam sekarang ni merasakan mereka tu menjadi perhatian seluruh dunia!
Saya tak nak ulas apa-apa tentang UPSR ni kerana saya tidak ada lagi anak yang nak mengambil UPSR. Semuanya dah lepas…
Cuma satu pembaharuan di dalam peperiksaan UPSR kali ini, ia akan diikuti dengan satu lagi ujian yang mesti diduduki oleh semua pelajar tahun 6, iaitu Ujian Aptitud Sekolah Rendah (UASR)
Apakah Ujian Aptitude Sekolah Rendah itu? Ia adalah:
(1) Sejenis ujian psikometrik (ujian yang mengukur trait psikologi seperti kebolehan am, potensi, personaliti)
(2) Ujian yang mengukur potensi murid sekolah rendah untuk berjaya dalam pembelajaran yang akan dilaluinya di masa hadapan mengikut kebolehan, minat dan kecenderungan
(3) Ujian yang mampu meramalkan kejayaan murid dalam program pembelajaran yang dirancang khusus untuk mereka
(4) Satu alat pentaksiran alternatif yang boleh digunakan untuk tujuan pemilihan
Apakah pula tujuan Ujian Aptitud sekolah Rendah ini? Sebenarnya ia adalah untuk mendapat data bagi tujuan pemilihan murid-murid yang layak memasuki program khusus pendidikan seperti SBP, Sekolah Sukan, Sekolah Seni, Sekolah Men Agama dan tujuan pemilihan yang lain.
Jadi, sama-sama lah kita lihat samada ujian ini mampu mencapai objektifnya atau mungkin gagal juga memuaskan hati ibubapa dan penduduk negara ini. Diharap ia tidak akan menjadi seperti Penilaian Tahap Satu (PTS) yang hanya kekal beberapa tahun sahaja, kemudian diberhentikan kerana mendapat tentangan dari golongan ibubapa dan para cendikiawan lain.
Saturday, September 5, 2009
Kurangkan juadah, banyakkan ibadah...
Hari ini genap 15 hari kita berpuasa. InsyaAllah mulai malam ini solat witir kita akan ada bacaan qunut.
Saya ingin membuat ”kajian separuh penggal” mengenai sikap kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Lihatlah apa yang kita beli apabila pergi ke pasar-pasar Ramadhan pada setiap petang. Rasanya perbelanjaan setengah bulan kita dalam bulan puasa ini mungkin telah menyamai perbelanjaan kita sepanjang sebulan di bulan-bulan yang lain. Inilah yang dikatakan kita ”mengutamakan juadah” dan sifat begini sebenarnya telah menyimpang dari hikmah tuntutan berpuasa itu sendiri.
Marilah kita menginsafi dan memikirkan umat-umat Islam di negara lain yang susah mendapatkan makanan walaupun sesuap nasi akibat kemalaratan atau peperangan yang sedang dihadapi.. .
Atau tidakkah kita sedar bahawa ujian berpuasa bagi kita di negara ini bukannya ”kekurangan makanan”, tetapi sejauh mana kita dapat bersabar nafsu makan apabila melibat timbunan juadah-juadah yang enak-enak..
Selepas itu sejauh mana pula kita ”menambahkan ibadah” di dalam bulan yang mulia ini. Apakah puasa kita sekadar puasa orang awam iaitu menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum sahaja. Tidakkah kita memperbanyakkan tadarus al Quran umpamanya? Oh... malu mengaji secara bertadarus, nanti ditegur oleh kawan-kawan... Kalau masuk ”Malaysian Idols” atau lain-lain rancangan realiti di TV itu tak malu.. ditegur dan dikritik oleh juri didepan orang ramai pula..
Bukankah kelebihan bulan Ramadhan ini makin bertambah apabila Ramadhan itu di penghujungnya? Mengapa pula jumlah para jamaah solat terawih di surau dan masjid makin berkurangan?
Itulah antara persoalan yang mesti kita baiki sebelum berakhirnya Ramadhan alKarim tahun ini.
Ingat, ”kurangkan juadah, banyakkan ibadah!”
Nota: Teman bukan mengata kome nii...., ngate diri teman sendiri ....
Siapa kata tak naik?
Baru-baru ini harga petrol di negara kita berubah sekali lagi. Tetapi perubahan kali ini disertakan dengan penjelasan istilah RON95 dan RON97.
Penjelasan ini menyebabkan harga petrol itu macam tak naik….Kalau dulu kita hanya tahu harga petrol dan harga diesel sahaja. Tetapi sekarang diumumkan petrol RON95 berubah 5 sen dari RM1.75 kepada RM1.80 dan RON97 berubah 25 sen dari RM1.80 kepada 2.05.
Stesen-stesen petrol pula menukar RON97 kepada RON95, jadi harganya nampak macam sama sahaja iaitu RM1.80. Jadi pengguna pun kisah lah..
Ada kawan memberitahu saya petrol tak naik pun…
Apakah benda RON95 dan RON97 itu? Saya membuat sedikit bacaan. RON merupakan ringkasan dari RESEARCH OCTANE NUMBER. Octane number ini ialah ketahanan minyak tersebut sebelum ia meletup atau sebelum ianya dinyalakan.
RON97 bermakna minyak ini lebih tinggi ketahanannya berbanding dengan RON95. Dan RON95 pula bermakna minyak ini lebih tinggi ketahanannya berbanding dengan RON92.
RON yang tinggi dicipta untuk mengelakan berlakunya nyalaan pramatang. Pada asalnya RON yang tinggi ini diciptakan untuk kereta yang berkuasa tinggi seperti kereta-kereta lumba dan sport.
Beberapa hari sebelum 1 September lalu, saya mengisi petrol RON95 sebanyak RM50.00 di sebuah stesen Petronas di lebuhraya. Di stesen petronas petrol RON95 menggunakan pemegang warna kuning dan RON97 menggunakan pemegang warna hijau.
Dengan RM50.00 itu, saya boleh dapat 28.57 liter petrol. Tetapi sekarang
jika kita isi petrol RM50.00, kita hanya dapat 27.78 liter petrol....
Siapa kata tak naik?
Nota: Kereta teman kereta lama, kalau pakai petrol yang rendah kualitinya, kalau rosak, cepatlah teman tukor kereta baru... Kereta kome kereta baru, kalau cepat rosak macam mana? Tukor juga? Instalment tak habis lagi...
Friday, September 4, 2009
I'm sorry ....
Seorang budak kampung mempunyai budi pekerti yang baik. Dia diajar supaya memohon maaf jika melakukan kesalahan walau pun kesalahan itu tak disengajakan. Pendik kata dia ni memang seorang yang berbudi bahasa le...Malangnya bahasa Inggeris budak ini tak lah seberapa...
Suatu hari budak ini berjalan-jalan di bandar. Entah macam mana tiba-tiba dia terlanggar seorang pelancung bangsa Eropah.
Budak kampung : " I'm sorry "
Pelancong : " I'm sorry, too "
Budak kampung ini bingung kerana tidak faham apa yang diperkatakan oleh pelancong itu... dia meneka-neka dan terus menjawab..
Budak kampung : " I'm sorry, three "
Pelancong : " What are you sorry for? "
Budak kampong : " I'm sorry, five "
Help Desk
Dengan masa tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi sebelum peperiksaan PMR berlangsung, pelajar-pelajar tingkatan 3 mulai bersemangat mengulangkaji pelajaran masing-masing. Selain jadual waktu anjal yang dilaksanakan waktu sesi persekolahan, program “Help Desk” juga mendapat sambutan.
Program “Help Desk” atau “meja bantuan” diadakan di waktu rehat iaitu selama 20 minit bertempat di kantin sekolah. Guru-guru mata pelajaran akan menunggu di kantin bagi membolehkan para pelajar datang bertanya sebarang masalah pelajaran masing-masing.
Tinjauan pada hari ini, program “Help Desk” berjalan lancar. Ramai pelajar datang berjumpa guru-guru untuk bertanya dan menyelesaikan soalan-soalan. Tahniah dan terima kasih kepada semua guru yang terlibat serta kepada pelajar yang datang bertemu guru-guru tersebut.
Lihatlah betapa guru-guru pun bersemangat membantu anak-anak didik masing-masing.
Wednesday, September 2, 2009
Masuk Fasa 2….
Hari ini 11 Ramadhan. Bermakna kita telah selesai berpuasa selama 10 hari atau satu per tiga daripada bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW pernah bersabda, bermaksud: ”Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada api neraka”.
Berdasarkan hadis itu, kita sekarang dah masuk pula ke dalam fasa pertengahan iaitu fasa bulan ramadhan sebagai bulan keampunan.
Memang bagitu banyak keistimewaan bulan ini ditawarkan oleh Allah SWT kepada kita. Jadi marilah kita sama-sama memohon keampunan ke hadrat Allah SWT terhadap segala dosa-dosa kita samada kita sedari atau tidak sedari.
Teruskan memperbanyakkan ibadah termasuklah solat terawih. Ingatlah doa di antara selang 4 rokaat solat terawih yang bermaksud, ” Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan Engkau suka mengampuni, maka ampunilah dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibubapaku, dan dosa-dosa orang Islam lelaki dan orang Islam perempuan, orang mukmin lelaki dan orang mukmin perempuan, dengan rahmatMu wahai Tuhan yang memberi rahmat”. Amin.
Tuesday, September 1, 2009
Cuti sekolah dah habis….
Esok sekolah akan dibuka semula setelah bercuti selama 10 hari iaitu mulai 22 Ogos yang lalu. Sekolah akan memasuki bahagian kedua penggal kedua bagi sesi persekolahan 2009. Pada bahagian terakhir inilah masa yang sangat penting bagi seseorang pelajar, kerana semua peperiksaan seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM terletak pada akhir sesi berkenaan.
Sebagaimana kelazimannya, apabila sekolah nak dibuka semula, saya menghantar anak-anak saya balik ke asrama. Dalam masa dua hari ini saya memandu sejauh lebih 800 km bagi menghantar 3 orang anak balik untuk meneruskan pelajaran mereka di sekolah dan kolej masing-masing. Letih memanglah letih, tetapi apa nak buat itu tanggungjawab…
Esok saya akan kembali ke sekolah semula. Berjumpa semula dengan anak-anak didik… Orang mengajar anak saya, saya mengajar anak orang, Jika saya mahukan anak saya cemerlang, saya juga mesti mengajar anak orang cemerlang….
Hayati erti kemerdekaan....
Walaupun negara kita telah merdeka selama 52 tahun, namun masih ada penduduk di negara kita terutama generasi muda yang masih belum mengetahui maksud kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya.
Erti kemerdekaan berbeza bagi setiap orang. Bagi golongan veteran yang berjuang dengan darah dan air mata, kemerdekaan bebas dari penjajah adalah sesuatu yang amat berharga yang tiada tolak bandingnya..
Bagi golongan muda-mudi pula , kemerdekaan bagi mereka ialah sambutan ulangtahun satu peristiwa penting bagi negara sahaja. Ia diikuti dengan satu cuti umum dan bermakna hari itu tidak perlu bekerja dan boleh balik ke kampong atau shopping di kompleks beli belah.
Dan bagi kanak-kanak atau baby pula, merdeka ertinya ‘bendera’. Sebab itu bila ditunjukkan bendera dia akan kata ”merdeka!, merdeka!”
Kemerdekaan menurut Islam dimaksudkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin.
Umat yang merdeka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa dan negaranya tanpa takut kepada yang menghalangi, kecuali Allah SWT. Dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Semua warga negara perlu mempertahankan kemerdekaan negara daripada anasir jajahan kuasa besar seperti menerusi tekanan ekonomi, sekatan perdagangan dan sebagainya.
Kalau dulu penjajahan datang dengan kapal dan senjata, namun penjajahan sekarang datang dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz. Sekarang mereka masuk menerusi wayar kuprum, fiber optik serta satelit iaitu dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan. , Mereka lebih mudah mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi, sistem sosial dan masa depan generasi kita...
Semoga kita dapat menghayati erti kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya..
Subscribe to:
Posts (Atom)