Sunday, February 28, 2010

"Sambutan Maulidur Rasul...."

Hari Jumaat 26 Februari 2010 adalah cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul. Pada hari ini diadakan majlis sambutan Maulidur Rasul di mana-mana di negara kita. Di kampung saya, para pelajar SMA Al-Mizan, mengadakan sambutan dengan berarak dan berselawat beramai-ramai dari sekolah mereka ke Masjid Jeliang dan balik. Selepas itu diadakan program ceramah pula. Manakala orang kampong saya belum lagi mengadakan program sambutan Maulidur Rasul. Biasanya program sambutan Maulidur Rasul akan diadakan pada sebelah malam dengan menjemput penceramah khas dan beberapa aturcara lain.

Sambutan memperingati Maulid (kelahiran) Nabi Muhammad S.A.W. bukanlah suatu perkara yang asing di dalam masyarakat kita. Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun inilah umat Islam akan memenuhi ruang masjid ataupun kawasan-kawasan terpilih untuk menyambut Maulidul Rasul dengan diadakan pelbagai acara seperti: Membaca al-Quran dan berceramah mengenai sirah baginda S.A.W. ataupun beselawat serta berzanji dan pelbagai acara lagi dan pada akhirnya kadang-kala diadakan sedikit jamuan. Mimbar-mimbar Jumaat juga tidak terlepas dari berkhutbah dengan penuh bersemangat untuk menyatakan cintanya umat ini terhadap baginda S.A.W.

Jika kita lihat sirah baginda S.A.W. maka kita dapati bahawa Rasulullah S.A.W. tidak pernah merayakan ulangtahun hari kelahirannya secara khusus sepertimana yang kita lihat pada waktu ini. Namun baginda hanya berpuasa pada hari Isnin kerana baginda dilahirkan pada hari itu. Dan perkara ini berlarutan (tidak merayakan sambutan Maulidur Rasul) sehinggalah selepas 300 tahun baginda wafat.

Pelbagai kenyataan dan kajian telah dinyatakan (berlaku sedikit khilaf) mengenai tarikh sebenar dan siapakah yang mula-mula mengadakan sambutan Maulidur Rasul ini. Di antaranya dikatakan bahawa bermula sambutan Maulidur Rasul ini secara besar-besaran pada zaman Fatimiyah di Mesir di bawah penguasa Muiz Lidinillah (memerintah sekitar tahun 341 H hingga 365 H). Dan pendapat lain ada menyatakan bahawa Sultan Atabeq Nuruddin (meninggal pada 569 H) adalah penguasa yang pertama merayakan Maulidur Rasul. Sebahagian ahli sejarah pula menyatakan bahawa Sultan Salahuddin Al-Ayubi adalah tokoh yang pertama merayakan Maulidur Rasul ini (namun pendapat ini disangsikan oleh pelbagai pihak). Pendapat lain lagi mengaitkan Abu Said Kaukabri bin Zainuddin Aly bin Baktikin sebagai orang pertama merayakan Maulidur Rasul ini.

PANDANGAN ULAMA TERHADAP MAULID
Pendapat Pertama:
Merayakan Maulidul Rasul adalah haram.
Pendapat Kedua:
Perayaan sambutan Maulidur Rasul adalah boleh.

ANTARA HUJJAH PENDAPAT YANG MEMBOLEHKAN
Di sini saya tidaklah bercadang untuk menyatakan kedua-dua hujjah (yang membolehkan dan yang mengharamkan) akan tetapi saya cuma mendatangkan hujjah dari pihak yang membenarkan sahaja. Ini kerana saya berpegang dengan pendapat yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul adalah boleh selagi mana tidak terdapat perkara-perkara mungkar di dalamya. Di sini saya bawakan beberapa hujjah yang menyokong kenyataan saya ini:

Pertama:
Al-Hadis menyatakan maksud (secara umum): Diringankan Abu Lahab pada tiap-tiap hari Isnin dengan sebab dia membebaskan hambanya Thaubiyah kerana menggembirakannya dengan kelahiran al-Mustafa S.A.W. (Riwayat al-Bukhari).
Kegembiraan seorang penentang Islam di atas kelahiran Rasulullah S.A.W. dapat meringankan siksanya di neraka pada setiap hari Isnin. Jika orang kafir yang di neraka juga diringankan siksanya kerana kegembiraan menyambut kelahiran baginda S.A.W. maka apatah lagi orang Islam yang bergembira dengan kelahiran Rasulullah S.A.W.

Kedua:
Rasulullah S.A.W. sendiri membesarkan hari kelahirannya serta mensyukuri segala nikmat pemberian Allah Taala ke atas baginda pada hari tersebut. Semua ini dilahirkan melalui ibadat puasa sunat baginda S.A.W. pada setiap hari Isnin.
Dari Abu Qatadah bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku. (Riwayat Muslim).

Ketiga:
Bergembira dengan Rasulullah S.A.W. adalah dituntut.
Firman Allah Taala bermaksud:
Katakanlah dengan kelebihan Allah dan rahmatNya maka demikian hendaklah mereka bergembira. (Surah Yunus: Ayat 58).
Allah Taala menyuruh kita supaya bergembira dengan rahmatNya maka Rasulullah S.A.W. adalah sebesar-besar rahmat.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan tidaklah Kami utuskan kamu kecuali sebagai rahmat kepada sekalian alam. (Surah Al-Anbiya: Ayat 107).

Keempat:
Maulidur Rasul akan menganjurkan kita untuk sentiasa berselawat dan salam yang sangat dituntut ini kepada baginda S.A.W.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Kelima:
Sambutan maulid adalah satu amalan baik yang diterima ulama dan umat Islam di serata tempat. Ia dilakukan di setiap penjuru dunia dan ia tentulah dituntut berdasarkan kaedah yang telah diterima pakai dari sebuah hadis Ibnu Masud:
Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah. (Riwayat Ahmad).

(Artikel di atas saya sesuaikan dari satu laman web untuk dikongsikan bersama-sama).

.

No comments:

Post a Comment