Tuesday, August 3, 2010

Makan ubi kayu

Hari Isnin lepas saya mengambil cuti rehat kerana mengiringi seorang anak saya menghadiri satu temuduga di Putrajaya. Tempat temuduga itu ialah di sebuah sekolah menengah di Presint 14 Putrajaya. Oleh kerana masa temuduga tersebut pukul 8 pagi, saya telah sampai ke sekolah itu kira-kira 7.40 pagi lagi. Semasa anak saya dipanggil ke tingkat dua bangunan utama sekolah itu untuk menghadapi temuduga berkenaan, saya menuggu di kantin sekolah. Bersebelahan kantin tersebut terdapat dataran di mana semua pelajar dan guru sedang berkumpul dalam perhimpunan rasmi mingguan.

Saya menyaksikan perjalanan perhimpunan tersebut. Rupa-rupanya mereka sedang mengadakan majlis pelancaran bulan kemerdekaan. Tertarik dengan majlis tersebut, saya terus duduk di kantin itu sambil memerhatikan dan memasang telinga.

Nampaknya program tersebut agak menarik juga. Saya yakin mereka membuat persediaan yang rapi sebelum majlis tersebut diadakan. Saya lihat seorang guru lelaki memakai baju kebangsaan dan bersamping mendeklamasikan sebuah sajak yang agak panjang. Cikgu itu sungguh bersemangat membacakan sajak patriotik tersebut dan mendapat tepukan gemuruh dari anak-anak muridnya. Beberapa orang guru lelaki dan perempuan bangun dan merakamkan pembacaan sajak tersebut dengan ’Video-cam’ masing-masing. Melihatkan ramainya guru bangun merakamkan gambar , dalam hati saya berkata, seorang cikgu sahaja ambil gambar cukuplah, kenapa ramai-ramai kerana ia mengganggu dan menghalang penglihatan pelajar-pelajar menyaksikan persembahan itu, Mungkin ramai cikgu-cikgu di situ ada video-cam agaknya....


Selepas itu, satu pengkisahan sejarah pula dibacakan oleh seorang guru lain. Guru tersebut menceritakan betapa susahnya kehidupan rakyat di negara kita sebelum mencapai kemerdekaan. Berbanding dengan kemewahan sekarang ini, kesusahan tersebut mungkin sukar difikirkan oleh generasi sekarang. Kesusahan ini bertambah teruk lagi semasa pemerintahan Jepun selama lebih kurang 3 tahun. Katanya, rakyat negara ini terpaksa memakan ubi kayu sebagai makanan utama kerana beras atau padi tidak mencukupi. Jika ada rakyat yang menanam padi pula, padi itu dirampas oleh tentera Jepun.


Guru tersebut kemudiannya bertanya para pelajar samada mereka pernah memakan ubi kayu? Rata-rata pelajar tersebut menjawab. ”Tidak..! ”


Saya tersenyum mendengarkan jawapan pelajar itu.... Itulah rupanya budak-budak sekarang... Mereka tidak pernah merasai makanan asas dahulu kala seperti ubi kayu tersebut. Bukan itu sahaja mereka juga tidak meminati makanan tradisional termasuklah kueh bengkang, pais ubi, lepat ubi yang kesemuanya diperbuat daripada ubi kayu atau ubi keledek. Makanan tradisional lain juga mereka tak berselera memakannya. ... Mereka lebih suka makan nadget, burger dan hotdog!!!


Tak lama kemudian, cikgu tersebut menyatakan, pada hari ini semua pelajar akan diberi seketul ubi kayu rebus untuk merasai bagaimana makanan datuk nenek kita dahulu semasa zaman penjajahan dahulu. Kemudian pengawas-pengawas sekolah membawakan bekas yang berisi ubi kayu rebus dan mengagihkan kepada semua pelajar. Sambil gelak ketawa para pelajar dan guru-guru sekolah putrajaya itu makan sedikit seorang ubi kayu rebus....

Saya terfikir pula, adakah budak sekolah di Putrajaya sahaja yang tak pernah merasai makan ubi kayu? Budak –budak sekolah di Manong ini pernahkah memakannya????

Walau apa pun, cara sambutan pelancaran bulan kemerdekaan di sekolah di Putrajaya itu sangat menarik perhatian saya... Tahniah kepada pihak sekolah berkenaan...

1 comment: