Apabila hampir menjelang bulan puasa, ramai pula orang-orang mengadakan kenduri tahlil. Ia berlaku bukan di kampung saya sahaja, malahan di banyak kampung atau tempat-tempat yang lain. Macam hari ini tadi, sampai dua orang menjemput 'makan tengah hari' di rumahnya... macam mana nak pergi kedua-duanya...saya cuma dapat hadir untuk seorang sahaja....
Jika kita tanya para tok guru atau alim ulama, mereka mengatakan tidak ada sebarang nas atau dalil yang menyeru kita mengadakan kenduri tahlil atau kenduri arwah pada bulan Syakban ini. Jadi kalau sudah tidak ada sunatnya kita melakukan amalan itu, mengapakah ia terus diadakan. Tidakkah nanti ia menjadi suatu amalan bid’ah atau suatu amalan yang sengaja diada-adakan!
Pada saya, mengadakan kenduri dengan mengajak jiran-jiran tetangga menikmati jamuan dan makanan itu suatu perkara yang baik dan dikategorikan sebagai memberi sedekah. Ia boleh mendapat ganjaran pahala jika orang melakukan benar-benar ikhlas sebagaimana ibadat-ibadat lain. Sebaliknya jika mengadakan kenduri menjelang bulan puasa itu suatu yang mengikut-ngikut orang lain, orang lain buat, kita pun buat, rasanya itu dah macam adat pula.. Adakah amalan itu merupakan adat kita sebagai orang Melayu Islam? Sejak bila pula ia menjadi adat? Ini antara persoalan yang mesti kita fikirkan ......
Pernah terjadi di satu kampung (saya tak mahu nyatakan kampung itu), setiap hari ada sahaja orang mengadakan kenduri menjelang bulan puasa begini. Kenduri-kenduri ini lebih banyak pula pada hari-hari Sabtu dan Ahad sebab cuti hujung minggu. Yang jadi masalah, orang yang nak pergi sesuatu rumah itu terpaksa berbahagi-bahagi. Sebahagian pergi ke rumah si A dan sebahagian lagi pergi ke rumah si B. Mana larat pergi setiap rumah. Tok imam dan tok bilal lagi pening kepala. Semua yang nak kenduri itu menjemput mereka datang.. Nak pergi rumah yang mana satu?
Melihatkan keadaan demikian terus berlaku dan tak berubah-ubah, maka dalam suatu perbincangan di masjid, orang-orang kampung itu bersetuju agar tak payah lagi buat kenduri dengan menjemput orang lain datang ke rumah. Mereka telah berpakat, sesiapa yang nak buat kenduri bawa sahaja makanan itu ke masjid. Nanti selepas solat, bolehlah tok imam mengetuai majlis tahlil dan berdoa untuk hajat tuan yang punya kenduri tersebut...
Nak dijadikan cerita, selepas itu rupanya sudahlah banyak pula orang kampung membawa makanan ke masjid sehingga tak termakan-makan. Tok siak sibuklah pula membungkus makanan yang berlebih untuk diberi kepada sesiapa yang nak membawa balik ke rumah. Adapun tok imam dan orang-orang masjid itu hari-hari makan makanan yang lazat-lazat dan yang tak ter’sabo’kan iman....
Macam malam Jumaat baru-baru ini, saya ke masjid di kampung saya. Saya lihat terdapat tak kurang dari tiga orang tuan rumah menghantar makanan untuk kenduri di masjid pada malam itu. Ada yang membawa nasi minyak dengan lauknya kari kambing. Ada yang membawa pulut dengan durian. Dan seorang lagi membawa nasi biasa dengan lauk-lauk masak korma dan jelatah. Cuba kome bayangkan nak makan yang mana?
Saya sendiri pada malam itu makan durian sahaja. Bukan apa, sebab saya tak ada durian. Pokok durian saya tak berbuah pulak. Jadi bila tenguk durian yang cantik isinya macam itu, deme kata durian D24, saya makan begitu banyak. Mujur tak pening kepala. Tetapi seorang ustaz yang juga jiran saya, makan nasi minyak dengan kari kambing, kemudian tambah lagi dengan pulut durian.... akhirnya esok pagi dia dihantar ke hospital kerana darah dah ’tinggi’... Bukankah naya orang begitu...
Kesimpulannya, bukanlah salah buat kenduri... lebih-lebih lagi untuk mengajak orang lain bertahlil dan menghadiahkan pahala kenduri dan tahlil itu kepada roh-roh kaum kerabat dan orang-orang Islam lain yang telah pergi... Cuma kalau boleh, janganlah dibuat pada bulan-buan tertentu seperti bulan Syakban ini sahaja. Ada banyak lagi bulan-bulan lain yang boleh dibuat!!!...
Gambar ini sekadar hiasan.... suatu majlis kenduri di rumah saya suatu masa dulu,,, tapi bukan dalam bulan Syakban!
Saturday, July 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment