Pada pagi Sabtu, 12 Jun 2010, pakej umrah kami membawa kami melawat ke tempat-tempat penting di persekitaran bandaraya Makkah. Mula-mula kami di bawa melawat Bukit Thur. Kami tidaklah naik bukit ini kerana bukit ini memang agak tinggi juga, cuma kami di bawa ke kaki bukit tersebut untuk melihat dan mengambil gambar sahaja. Walaupun ada kumpulan orang ramai menaiki bukit tersebut dari sebelah yang berlainan yang kami nampak jauh nun di atas bukit itu.
Apakah pentingnya bukit Thur ini di dalam perkembangan Islam? Kalau masih ingat, di bukit inilah Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar As Siddiq “bersembunyi” sebagai satu strategi menghadapi kafir Quraish sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah. Yang mengkagumkan, bukit ini sebenarnya bukanlah terletak di perjalanan yang biasa ke Madinah, tetapi ia menghala ke ‘belakang’ Makkah. Tetapi itu lah strategi Nabi SAW memperdayakan kaum kafir Quraish ketika itu. Apabila saya melihat bukit ini, terfikir betapa susahnya Nabi dan para sahabat berjuang menegakkan Agama Allah pada masa itu… Terfikir juga saya bagaimana anakanda perempuan Saidina Abu Bakar yang bernama Asmak berulang-alik menaiki bukit kering kontang yang tinggi ini untuk menghantar makanan kepada Junjungan RasulUllah SAW dan bapanya pada masa penghijrahan itu. Masya-Allah!!!
Satu sudut yang menarik yang memperlihatkan bukit Thur…..
Yang ni pula, dua orang kenalan saya semasa lawatan ini, seorang bernama Habibullah dan seorang lagi bernama Ismail. Kedua-duanya berasal dari Indonesia dan menuntut di ”Pasentren” di Makkah ini.
Kami seterusnya pergi melawat Padang Arafah dan Jabal Rahmah. Di dalam perjalanan kami melalui kawasan Universiti Ummul Quraa yang terkenal d Saudi Arabia itu. Memang kawasan universiti ini sangat luas. Sebenarnya universiti ini telah banyak melahirkan para ilmuwan Islam yang telah menyumbang terhadap perkembangan Islam di seluruh dunia.
Pemandangan dari luar Universiti Ummul Quraa
Kalau di musim haji, padang arafah merupakan tempat yang paling sibuk dan dihadiri oleh jutaan manusia yang melaksanakan rukun haji iaitu wukuf di padang arafah , tetapi di luar musim haji ia merupakan tempat yang sunyi dan tidak berpenghuni. Padang arafah ini juga telah ditanam dengan banyak pokok-pokok dan kalau diperhatikan semacam dah bukan padang pasir seperti dahulu... Kebanyakan pokok yang ditanam dan boleh hidup di sini ialah pokok seperti pokok ”semambu”. Nama pokok-pokok ini tak pula saya tahu....
Lihat gambar padang arafah yang saya ambil dari dalam bas.....
Destinasi kami ialah Jabal Rahmah atau bukit Rahmah yang bererti bukit penuh rahmat. Ini mungkin kerana bukit ini selalu dikunjungi pelawat-pelawat. Bukit ini juga mempunyai sejarah penting dalam Islam. Selain menjadi sebahagian tempat wukuf dalam rukun haji, dikisahkan, di bukit inilah Nabi Adam dan Siti Hawa bertemu semula setelah ratusan tahun dikeluarkan dari syurga ke bumi. Konon ceritanya, tempat ini merupakan tempat terbaik untuk berdoa kepada Allah SWT meminta jodoh, minta cinta bagi orang berkasih, atau kebahagiaan rumah tangga bagi pasangan suami isteri. . Namun itu hanya pendapat sesetengah orang sahaja. Tiada Nas yang jelas mengenainya.... Wallahualam..
Para pengunjung menaiki bukit Jabal Rahmah. Tak pasti pula mereka ini bersungguh-sungguh naik ke bukit kerana nak berdoa mencari jodoh atau hanya untuk bergambar kenangan.
Di kaki bukit Rahmah ini terdapat ramai peniaga yang berniaga kecil-kecilan ala pasar malam di negara kita. Terdapat pula orang arab yang buat bisnes dengan menyediakan unta yang ”dihias” yang boleh dinaiki bagi sesiapa yang teringin menaiki unta...Demikian juga ada pemuda-pemuda Arab yang kerjanya mengambil gambar ”siap segera” untuk kepada pengunjung-pengunjung yang berminat. Mereka biasanya berpakat dengan tuan punya ”unta berhias”. Sesiapa yang nak merasa naik unta, mereka akan mengambil gambarnya. Jika kita layan sangat mereka, mereka akan ambil gambar untuk banyak posing yang akhirnya pengunjung itu terpaksa membayar dengan kos yang banyak kerana harga gambarnya 10 riyal sekeping gambar. Jadi, eloklah berhati-hati dan menolak dengan ”tegas” jika budak Arab itu nak ambil gambar kita.
....
Monday, July 12, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment