Friday, July 16, 2010

Jalan LRT.............

Dari Jabal Rahmah bas kami melalui jalan menuju ke Muzdalifah dan terus ke Mina. Sebagaimana kita tahu Muzdalifah dan Mina adalah nama-nama tempat yang penting yang merupakan sebahagian daripada tempat-tempat melaksanakan Wajib Haji bagi para jemaah di musim haji.

Muzdalifah ialah tempat di mana jemaah haji kena bermalam walaupun sekejap selepas separuh malam setelah selesai mengerjakan wukuf di padang arafah. Di Muzdalifah para jemaah haji biasanya akan mengutip anak-anak batu bagi kegunaan melontar di Jamrah-jamrah. Manakala Mina pula ialah tempat di mana para jemaah haji wajib bermalam pada malam-malam hari ke-11, ke-12 dan ke-13 Zulhijjah. Di Minalah letaknya tempat melontar yang tiga itu, iaitu Jamratul-Ula, Jamratul-Wusta dan Jumratul-Aqabah.

Di beberapa tempat dalam perjalanan itu, kami bertemu dengan kawasan pembinaan jalan LRT. Ini satu lagi projek raksasa yang sedang dilaksanakan di tanah suci Makkah. Difahamkan oleh pemandu pelancung kami, jalan-jalan LRT ini akan siap setahun dua lagi. Ia menghubungkan kota Makkah dengan tempat-tempat seperti padang Arafah, Muzdalifah dan Mina. Insya-Allah jika siap nanti, tentulah akan memudahkan pada jemaah haji untuk pergi ke tempat-tempat berkenaan. Tidaklah perlu lagi menggunakan bas seperti sekarang ini. Mungkin perkhidmatan bas yang begitu banyak seperti sekarang ini akan ditamatkan kerana semua jemaah haji akan menggunakan LRT.



Jalan-jalan LRT sedang dalam pembinaan


Di Mina, sekarang ini, khemah-khemah tetap yang beribu banyaknya sudah siap dipasang dan tidak dibongkar di luar musim haji. Berbeza dengan padang arafah yang khemah-khemahnya akan didirikan oleh pihak berkuasa apabila sampai musim haji sahaja. Lepas itu semua khemah ini akan dibongkar dan tahun hadapan dipasang lagi. Khemah-khemah di Mina yang canggih ini biasanya siap berhawa dingin. Dan di kawasan khemah-khemah ini juga didirikan bangunan-bangunan tandas dan bilik-bilik air yang lebih elok secara tetap. Begitulah mudahnya sekarang ini. .


Lihatlah betapa canggihnya khemah-khemah yang disediakan di Mina untuk para jemaah haji di musim haji,
.

Gambar dari dalam bas ini menunjukkan pemandangan di sekitar Mina yang luas itu. Terowong yang jauh kelihatan itu ialah terowong Muassim, yang pernah meragut nyawa ratusan para jemaah haji satu ketika dahulu kerana jemaah haji ”bertembung” antara yang nak pergi melontar di jamrah dengan yang telah selesai melontar.

Hotel-hotel baru juga di bina di Mina bagi kemudahan jemaah haji untuk mabit (bermalam) iaitu salah satu wajib haji...

Mengakhiri lawatan, kami di bawa ke Jaaranah untuk miqat umrah bagi sesiapa yang nak mengerjakan umrah lagi. . Dalam perjalanan itu kami melalui satu tempat bernama Lembah Hunain. Pemandu pelancung kami menceritakan sejarah Lembah Hunain iaitu peperangan Hunain di zaman Rasullullah SAW dan asal usul kenapa masjid di Jaaranah ini menjadi miqat untuk mengerjakan umrah.

Peperangan Hunain berlaku pada bulan Syawal tahun kelapan Hijrah. Dalam peperangan ini, bilangan tentera Islam sangat ramai iaitu 10,000 orang telah memerangi dua puak kecil penentang Islam. Malangnya, kerana bilangan tentera yang ramai itu telah menjadikan mereka berasa “kuat” sehingga lupa pada pertolongan Allah SWT.
Allah menguji tentera Islam dengan tipu helah musuh sehingga berlaku kacau bilau. Ramai tentera Islam melarikan diri. Mereka terpaksa berundur dan mengatur semula strategi sehingga akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada tentera Islam. Begitulah Allah sentiasa “menguji” sahabat-sahabat pada masa perkembangan Islam dahulu.....

Selepas memenangi peperangan tersebut, RasulUllah SAW dan para sahabat berangkat ke Jaaranah untuk berniat umrah kemudian berangkat ke Masjidilharam untuk melakukan tawaf dan saie. Itulah permulaanya bagaimana masjid Jaaranah menjadi salah satu miqat untuk mengerjakan umrah sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda RasulUllah SAW.
Kami sungguh terharu mendengar kisah tersebut, Terfikir di fikiran saya betapa susahnya RasulUllah dan para sahabat dulu mengerjakan umrah pada masa itu dengan berkenderaankan unta atau berjalan kaki sahaja, berbanding kita di zaman sekarang yang menaiki bas berhawa dingin...... Semoga amalan kita diterima dan mendapat keredhaan jua dari Allah SWT , Amin.....

Lembah Hunain sekarang ini telah menjadi kawasan penempatan penduduk-penduduk Arab ....
WaLlahu aklam...



..

No comments:

Post a Comment