Tuesday, August 10, 2010

Esok puasa


Insya-Allah esok semua umat Islam akan mula berpuasa sebulan Ramadhan. Petang ini pegawai-pegawai pejabat Agama akan melihat anak bulan Ramadhan di beberapa tempat di negara kita. . Jika tak nampak pun anak bulan tersebut, dah ada orang mengatakan menurut kiraan ’rukyah’nya memang esok adalah tarikh awal Ramadhan. Maknanya esok kita akan berpuasa.

Pagi ini tadi ustaz Meor Nazri telah pun mengajar pelajar-pelajar sekolah ini khasnya pelajar tingkatan 1Y, 2Y, 3Y dan 4RT akan niat berpuasa. Ustaz mengajar mereka akan niat berpuasa esok hari dan niat berpuasa sebulan Ramadhan. Semasa saya ’ronda’ sekeliling sekolah tadi, saya dengar beberapa orang pelajar 1Y membaca niat berpuasa Ramadhan secara kuat di kelasnya. Mungkin tengah menghafal atau terlalu ghairah nak puasa esok, saya tak pasti...

Bila sebut puasa dan bulan puasa di tempat kita, kita lihat ramai orang menyambutnya dengan perspektif yang berbeza-beza. Golongan pertama yang saya perhatikan ialah golongan mereka yang nak berniaga di bulan puasa. Mereka telah membuat pelbagai persiapan untuk memulakan perniagaan Pasar Ramadhan. Ada yang nak membuat kueh-mueh, lauk-pauk atau roti canai dan murtabak. Ada yang nak berniaga air tebu dan tak kurang ada yang nak berniaga buah-buahan. Tempat berniaga juga telah di’booking’ dari pihak berkuasa tempatan. Dengar cerita tempat di Manong ni masih di pinggir jalan besar, kerana tempat pasar minggu dekat petronas tu tak menarik, kata peniaga-peniaga.

Golongan kedua, mereka yang membuat persiapan berpuasa secara biasa sahaja, tetapi telah memikirkan fasal hari raya. Mereka dah rancak membeli baju raya. Seorang anak mungkin sampai 4-5 pasang baju. Baju yang lelaki taklah susah sangat, boleh dibeli di mana-mana kedai, tetapi baju yang perempuan terpaksa ditempah awal, dijahit sendiri dan sebagainya. Hari-hari mereka memikirkan tentang sambutan berhari raya nanti, hari pertama pakai baju apa, raya kedua pakai baju yang mana...

Golongan ketiga, ini golongan orang '6 siries' atau '7 siries' yang memikirkan puasa dan solat tarawih. Golongan ini tak banyak. Ada di surau-surau dan masjid-masjid. Mereka berkira-kira nak buat senarai atau jadual menyediakan jamuan moreh berbuka puasa. Nak penuhkan jadual sebulan, tak cukup orang. Nak letak aje nama, takut tuannya tak mahu... Akhirnya dibiarkan kosong. Nanti kalau mereka nak buat, mereka tulislah sendiri... Datang solat berjamaah tak mahu, tetapi buat moreh mereka nak joint...

Di dalam kuliah mengaji malam semalam di masjid Jeliang, tuan guru mengajar bagaimana orang Islam yang bijak mereka mengetahui cara meraih berkat, menafaat dan kebaikan bulan Ramadhan. Kita buat "projek-projek khas" di bulan yang mulia ini, katanya.

Projek pertama, projek Jutaan Kebaikan Membaca Al Quran, maksudnya membaca Al-Quran sebanyak-sebanyak yang mampu. Sebab RasuluLlah bersabda, "Barangsiapa membaca satu huruf dari KitabuLlah, baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan dilipatganda menjadi sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan alim lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf." Jadi, marilah kita membaca al-Quran di bulan yang mulia ini.

Projek kedua projek 30 kali haji dan umrah. Projek ini bermaksud, menunggu di masjid setelah solat subuh berjamaah Subuh sehingga sampai terbit matahari dan solat Dhuha dua rakaat. Sebab RasuluLlah ada bersabda yang bermaksud. " Barangsiapa yang solat Subuh berjamaah kemudian ia duduk berzikir kepada Allah sehingga sampai terbit matahari, kemudia ia melaksanakan solat dua rokaat, maka baginya seperti pahala haji dan umrah, sempurna, sempurna, sempurna.

Projek ketiga, projek doa tidak ditolak. bersambung

No comments:

Post a Comment