Di akhir lawatannya, pegawai tersebut turut mengumpulkan ketua-ketua panitia dan memberi amanat dan nasihat agar guru-guru terus berusaha mendidik anak-anak murid sehingga pencapaian sekolah dan negeri Perak meningkat ke tahap yang disasarkan.
Tuesday, August 31, 2010
Pemantauan Sektor Jaminan Kualiti
Di akhir lawatannya, pegawai tersebut turut mengumpulkan ketua-ketua panitia dan memberi amanat dan nasihat agar guru-guru terus berusaha mendidik anak-anak murid sehingga pencapaian sekolah dan negeri Perak meningkat ke tahap yang disasarkan.
Wednesday, August 25, 2010
Cuti 13 hari
Segala persoalan itu terjawab hari ini apabila kita menerima surat dari pihak JPN. Kandungan surat itu membenarkan sekolah memohon cuti peristiwa dan cuti berganti bagi menggantikan hari Selasa dan Rabu (14 dan 15 September). Ini bermakna, ditambah dengan cuti pertengahan penggal 2, bilangan cuti kita adalah sebanyak 13 hari.
4 – 12 September (9 hari) = Cuti Pertengahan Penggal 2
13 September = Cuti berganti pada 24 April 2010
14 September = Cuti Peristiwa Hari Raya Aidilfitri
15 September = Cuti berganti pada 9 Oktober 2010
16 September = Cuti Hari Malaysia
Jumlah = 13 hari
Tak cukup lagi?
Tuesday, August 24, 2010
Buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman
Selepas meneliti buku-buku tersebut, rupanya kesemua buku yang ditunjukkan oleh tn pengetua itu ada dibawanya bersama. Saya kemudiannya membeli dua buah buku ilmiah. Satu bertajuk, “Travelog Haji – Mengubah Sempadan Iman”. dan satu lagi buku bertajuk “Solat Kebaikan Dari Perspektif Sains”.
Buku “Travelog Haji – Mengubah sempadan Iman” adalah tulisan Prof. Muhd Kamil b Ibrahim dari UiTM dan diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn Bhd. Manakala buku “Solat Kebaikan Dari Perspektif Sains” ditulis oleh Prof. Madya Fatimah Ibrahim dari Universiti Malaya dan diterbitkan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya.
Hari Jumaat esoknya, saya mula membaca buku “Travelog Haji – Mengubah Sempadan Iman” ini. Buku ini merupakan catatan berterus terang seorang Profesor Perakaunan UiTM yang telah berubah dari seorang yang menumpukan hidupnya kepada akademik semata-mata kepada seorang berilmu yang tunduk patuh kepada Tuhannya. Membaca buku ini amat mengasyikkan kerana ia menggunakan ayat-ayat yang mudah difahami, ringkas dan bersahaja. Kerana itu tak hairanlah buku ini telah menjadi rebutan masyarakat dan telah terjual lebih 40,000 naskhah sebagaimana ditulis di kulit hadapannya.
Di dalam buku ini, pengarang menceritakan perjalanan mengerjakan ibadat hajinya, telah mengubah banyak perkara dalam hidupnya. Sebab itulah jodol buku itu di namakan Mengubah Sempadan Iman.
Saya tidak hendak membuat ulasan buku, kerana saya sendiri tidak pandai melakukannya.
Lagi pun, siapa saya yang nak mengulas buku, apalagi mengkritik buku karangan seorang profesor yang penuh ilmunya.
Tetapi apabila saya mula membaca buku ini, saya rasa kagum dengan seorang yang telah berjawatan tinggi iaitu Profesor penuh, malahan telah menjawat jawatan itu dalam usia yang sangat muda (38 tahun), namun berani dan mengakui kelemahan dirinya tidak pandai membaca al Quran. Kesungguhan beliau mengaji semula dari alif-baa-taa dari seorang pelajar tahfiz, kemudian tidak malu bertanya kepada staf bawahannya mengenai ibadat haji menjadikan beliau amat luar biasa bagi saya. Tidak ada rasanya orang berpangkat dan berjawatan tinggi yang berani berbuat begitu. Yang ramainya akan rasa malu dan segan untuk bertanya dan seboleh-bolehnya akan menyembunyikan kelemahan diri sendiri.
Memang salah satu daya pendorong saya untuk membaca buku ini kerana kesemua cerita beliau mengenai perjalanannya, termasuk nama tempat di Tanah Suci, di Majidil Haram dan di masjidil Nabawi dapat saya gambarkan dan mendatangkan ingatan dan nostagia kepada saya.
Sebagai contohnya apabila beliau menceritakan keadaan sesak di Masjidil Haram, di dataran kaabah, multazam, hijir Ismail, pancur emas, berebut untuk mencium hajar aswad semuanya mengingatkan saya kepada suasana “Rumah Allah” (masjid) yang banyak kelebihan itu. Begitu juga apabila beliau menceritakan laluan beliau dari hotel ke dataran, melalui jejantas tempat saie, naik tingkat dua, tingkat tiga dan melihat kaabah dari tingkat tiga, rasanya saya dapat membayangkan arah mana beliau berulang alik hotel-masjid semasa beliau di sana.
Cerita wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina juga mengingatkan saya semasa saya di sana dulu. Memang suatu yang tak dapat dilupakan di dalam hidup saya.
Satu pengajaran besar yang saya dapat daripada membaca buku ini ialah bahawa Allah akan memakbulkan permintaan hamba-hambanya yang memohon (BERDOA) dan bersyukur. Jadi berdoalah kita secara BERSUNGGUH-SUNGGUH dan SPESIFIK dengan linangan air mata (jika perlu) sebagaimana dilakukan oleh Prof. Muhd Kamil ini.
Kepada kawan-kawan yang belum membaca buku ini, eloklah membacanya. Sangat menarik. Saya sendiri menghabiskan buku setebal 314 halaman ini dalam tempoh masa 4 hari sahaja iaitu Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin. Kalau tak dapat beli, pinjam buku saya ini pun boleh, tapi pulangkan balik dengan segera!
Kanak-kanak maut rumah stor mercun meletup
Mangsa yang maut Khairul Arif Ayob, 6, pelajar Taman didikan Kanak-kanak (Tadika) Kampung Losong Atap Zin di sini, dikatakan tercampak setinggi 15 meter ke atas pokok yang berhampiran dengan rumah itu akibat letupan kuat tersebut kira-kira pukul 12.30 tengahari.
Seorang saksi Nor Shafli Azhar, 36, berkata mayat Khairul Arif yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, tersangkut di atas pokok berdekatan telah diturunkan oleh orang ramai sebelum membawanya ke hospital."Kaki seorang lelaki hampir hancur, selain mengalami kecederaan di bahagian badan manakala seorang lagi mangsa juga mengalami kecederaan parah di bahagian kaki," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.Bagaimanapun idendititi kedua-dua lelaki berkenaan yang berumur 22 dan 23 tahun masih belum dikenalpasti.
Nor Shafli berkata, ketika kejadian beliau sedang berehat di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang kuat sehingga menggegarkan rumahnya.Beliau kemudian menjengah ke luar rumahnya dan melihat asap tebal dari arah rumah tinggal terbabit dan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat secara dekat kejadian yang berlaku."Apabila sampai saya mendapati rumah berkenaan rosak teruk dengan sebahagian dinding rumah tercabut dan berandanya runtuh.
Dua orang lelaki turut terbaring di luar rumah dalam keadaan cedera parah," katanya yang merupakan seorang peniaga.Beliau berkata salah seorang lelaki terbabit berada dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala seorang lagi lelaki yang berada di bawah serpihan kayu daripada rumah yang meletup itu sempat memberitahunya ada seorang budak yang turut terlibat dalam kejadian itu dan mengarah beliau mencarinya."Setelah mencari saya tidak sangka pula akan menjumpai mayat kanak-kanak itu tersangkut di atas pokok dengan kepalanya cedera parah," katanya.Beliau berkata, dua mangsa yang cedera parah itu kemudian telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan.
Seorang jiran yang tinggal berhampiran 50 meter daripada rumah berkenaan, Hasnah Abdul Jalil, 50, pula berkata kejadian itu mengakibatkan atap rumahnya tercabut dan cermin tingkap dapur rumahnya rosak teruk."Mujurlah saya tidak ada di rumah ketika kejadian kerana kebiasaannya saya sedang memasak waktu itu. Ketika itu saya keluar untuk mengambil anak saudara di tadika di kawasan berhampiran," katanya.
Beliau turut mendakwa sering ternampak kereta keluar masuk di kawasan rumah tinggal itu dengan mengangkut barangan, namun tidak mengetahui jenis barangan itu.Sementara itu, ibu saudara kanak-kanak malang itu Rozita Abdul Rahman, 35, ketika ditemui di rumah ibunya berkata, ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak berkenaan keluar ada urusan di mahkamah.
Manakala, anak saudaranya yang peramah dan cepat mesra itu, sudah beberapa hari tidak ke sekolah (tadika) kerana demam."Hari ini entah macam mana dia boleh ikut kawan ayahnya ke tempat kejadian," katanya.
Menurutnya, ibu Khairul Arif telah menyediakan dua pasang baju raya untuk di pakai oleh kanak-kanak itu pada hari raya nanti."Saya juga rasa hairan kerana hari ini Khairul Arif membawa bersama selipar rayanya ke hulu ke hilir untuk ditunjukkan kepada orang yang dijumpainya. Dia juga tidak semena-mena pernah berkata nak pergi jauh," katanya yang terkejut dengan kejadian itu.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan yang turut melawat tempat kejadian, mengarahkan satu siasatan terperinci dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kejadian selain jenis bahan letupan dan individu yang terlibat."Kita akan meminta bantuan Unit Forensik dan Unit Bom dari Kuala Lumpur untuk membantu menyiasat dalam kes ini," katanya.Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak bermain dengan mercun menjelang musim perayaan ini untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Friday, August 20, 2010
Moreh TNB
Majlis yang bermula kira-kira jam 6.30 petang itu dihadiri oleh kira-kira 300 orang yang terdiri daripada penduduk kampung saya dan kakitangan TNB. Antara orang kenamaan yang hadir ialah Dato’ Ramly Zahari ADUN Manong, Dato Mohd. Ghazali Jalal Pegawai Daerah K.Kangsar dan Dato Mohd Zahir Md Nagor, Pengurus Besar TNB Negeri Perak.
Selepas solat maghrib diadakan pula majlis ringkas berupa ucapan dari pengurus TNB Perak. Kemudian diadakan pula majlis penyampaian saguhati kepada 38 orang anak-anak yatim serta anak-anak miskin kampung ini.
Program anjuran TNB ini tamat selepas solat sunat tarawih. Saya mewakili AJK Masjid Sultan Yusuf amat berbesar hati dan berterima kasih kepada TNB Negeri Perak yang memilih kariah kami untuk program Ehya Ramadhan mereka pada tahun ini.
.
Thursday, August 19, 2010
Khemah terbang
Sebenarnya ini ialah khemah kepunyaan sekolah kami yang diterbangkan oleh angin ribut pada malam semalam. Khemah ini dipasangkan di dataran blok G bersebelahan padang sekolah. Sebanyak dua buah khemah didirikan semasa program PEGUP tempoh hari. Khemah-khemah ini tidak disimpan-simpan lagi sejak program itu diadakan beberapa minggu lepas. Terdapat guru-guru meneduhkan kereta mereka di bawah khemah-khemah ini semasa waktu persekolahan. Ya lah, benda dah ada...
Petang semalam hujan turun dengan lebatnya di Manong ini. Rupa-rupanya hujan itu disertai pula oleh angin kencang. Angin inilah yang menerbangkan khemah yang satu ini sehingga tersangkut di pokok-pokok di tanah orang sebelah. Khemah yang kedua tidak diterbangkan mungkin kerana terlindung dengan blok bangunan sekolah. Lihatlah pagar setinggi 5 kaki yang menjadi sempadan itu tidak tersangkut pun oleh khemah itu. Masya-Allah!!
Setiap suatu kejadian mungkin ada sebab musababnya. Saya bertanya beberapa orang guru lain mengapa ini boleh berlaku. Ada seorang mengatakan, sebab ada angin yang terlalu kuat, lebih kurang ribut taupan. Seorang lagi mengatakan sebab ada pelajar tak puasa di sekolah ini dan Allah marah lalu tunjukkan bala’.
Namun, saya pasti jika sebab ketiga ini dilakukan, kejadian ini tidak berlaku. Sebabnya khemah itu tidak disimpan semula selepas digunakan tempoh hari. Kalau dah disimpan, khemah itu taklah terbang dan sangkut dalam semak seperti ini....
.
Selamat Berjuang
Gambar menunjukkan para pelajar ting. 5 sekolah saya sedang menduduki ujian pada pagi tadi.
Eh, eh, kenapa peperiksaan ini dijalankan di dewan blok G sahaja dan tidak di dewan besar yang baru? Oh mungkin ada sebablah agaknya....
Walau apa pun, tempat peperiksaan bukan faktor penentu kejayaan sesaorang. Sebaliknya yang menentukan kejayaan ialah apa yang calon itu tuliskan di dalam kertas jawapan. Yakni jawapan yang betul hasil dari pembelajaran yang diterima semasa di sekolah. Tak kisahkah samada tempat peperiksaan itu di dewan besar, atau di dewan kecil atau di bilik-bilik darjah... Ingattak dulu saya pernah siarkan gambar suasana peperiksaan di suatu tempat di Afghanistan? Tak guna kerusi dan meja pun. Itu pun boleh, asal ada calon, ada kertas soalan dan ada guru pengawas.
Kalau dah lupa klik sini
http://zuhairimanong.blogspot.com/2009/08/peperiksaan-di-smksta-dan-di-sm_12.html
.
Wednesday, August 18, 2010
Jam Makkah
Jika nak lihat semula klik di alamat ini.
http://zuhairimanong.blogspot.com/2010/07/bangunan-tertinggi.html
Hari ini sewaktu saya melayari satu web site, saya menjumpai berita mengenai bangunan tersebut. Rupanya bangunan itu akan menjadi bangunan KEDUA tertinggi di dunia sahaja.
Bangunan itu adalah merupakan sebuah hotel mewah dan mempunyai sebuah menara jam yang tertinggi dan terbesar di dunia.
Menara jam raksasa tersebut yang diberi nama Mecca Royal Clock Tower telah direka oleh syarikat dari Jerman merupakan jam raksasa yang 6 kali lebih besar dari jam Big Ben di London. Menara jam tersebut mempunyai ketinggian 577 meter yang mempunyai 4 pandangan sisi.
Bangunan hotel yang terletak jam tertinggi di dunia ini sedang dalam pembinaan mempunyai ketinggian 622 meter dan puncak menara tersebut dibuat dari logam berbentuk bulan sabit setinggi 155 meter.
Jika kedua bahagian itu digabungkan, maka hotel yang dibangun di kota Mekah itu hanya 11 meter lebih rendah dari Burj Khalifa di Dubai, bangunan paling tinggi di dunia yang puncaknya yang mempunyai ketinggian 828 meter.
Dalam gambar yang saya ambil semasa bulan Jun dulu, permukaan jam tersebut masih belum lengkap dipasang sepenuhnya. Tetapi sekarang telah pun siap dan telah pun berdetik untuk ujian pada 11 Ogos 2010 bersamaan 1 Ramadhan yang lepas.
Jam besar Jam Diraja Mekah itu dapat dilihat dari jarak 17 kilometer pada malam hari dan 11-12 kilometer di siang hari.
Berikut adalah gambar jam tertinggi di dunia dan hotel tersebut dari pelbagai pandangan sudut dari Kota Suci Mekah yang saya copy dari web tersebut.
Lihatlah bentuk dan kesenian menara yang tinggi ini
Sunday, August 15, 2010
Amaran dari Allah?
Saturday, August 14, 2010
10 Cara Meraikan Ramadhan
Berikut disenaraikan 10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak.
1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasik. Rasulullah SAW bersabda:Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan berdahaga. (riwayat Bukhari).
2. Menghidupkan malam dengan beribadat (qiamullail). Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.Kata Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.Rasulullah SAW juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau menggerakkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 dari surah Taha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.
3. Bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan”. (riwayat Tirmizi).
4. Menjamu makanan. Golongan salaf as-soleh amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan makanan ini dapat menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan.Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat”. (riwayat Ahmad dan Tirmizi).Baginda bersabda lagi di dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang yang berpuasa itu”. (riwayat Ahmad).
5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf as-soleh khatam al-Quran ketika mengerjakan qiamullail pada malam bulan Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamkannya seminggu sekali dan ada yang mengkhatamnya 10 hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran.Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. membaca surah al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat ke-6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam, beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya meneruskan bacaan berikutnya.
6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah selesai menunaikan solat subuh, baginda akan terus duduk di tempat solat baginda sehingga terbit matahari.Menurut sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna”. Kata Sheikh Nasiruddin al-Bani: Hadith ini sahih.
7. Iktikaf. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.
8. Mengerjakan umrah. Rasulullah SAW pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. (riwayat Bukhari dan Muslim).
9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Rasulullah SAW akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut.Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan.Ubay bin Ka‘ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim).
10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar. Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab berdoa.Antaranya, waktu berbuka, sepertiga malam yang terakhir, waktu sahur dan hari Jumaat. Oleh yang demikian, para salaf as-soleh amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Esa.Allah berfirman: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas golongan sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah; 183)
..
Dua Peniaga Bazar Ramadan Terbunuh, 17 Cedera Dalam Kejadian Ribut Di Jasin
Thursday, August 12, 2010
Tadarus ganti contact time
Inilah satu perkembangan yang amat memberangsangkan di kalangan guru-guru sekolah kami. Mereka bukan sahaja bekerja sepasukan dalam mendidik anak bangsa, malah boleh diajak bergotong royong menyediakan kenduri seperti semasa pegup tempoh hari, dan pada hari ini mereka boleh bertadarus al-Quran pula.
Semasa bertadarus tadi, saya 'memasang telinga' mendengar bebebapa orang guru membaca ayat-ayat suci dengan tarannumnya sekali. Ada yang membawa tarannum Bayati sahaja sepanjang bacaannya kerana suaranya suara 'qarar' sahaja. Tak kurang juga yang telah membaca dengan tarannum sikah, husaini dan jiharkah.... Sejuk hati orang-orang tua mendengar guru-guru muda ni membaca al quran. Masya-Allah!!
Semoga yang dibuat tadi bukan untuk 'menunjuk-nunjuk', tetapi satu usaha untuk mendapat keredhaan dari Allah jua.. Amin!
Tuesday, August 10, 2010
Esok puasa
Pagi ini tadi ustaz Meor Nazri telah pun mengajar pelajar-pelajar sekolah ini khasnya pelajar tingkatan 1Y, 2Y, 3Y dan 4RT akan niat berpuasa. Ustaz mengajar mereka akan niat berpuasa esok hari dan niat berpuasa sebulan Ramadhan. Semasa saya ’ronda’ sekeliling sekolah tadi, saya dengar beberapa orang pelajar 1Y membaca niat berpuasa Ramadhan secara kuat di kelasnya. Mungkin tengah menghafal atau terlalu ghairah nak puasa esok, saya tak pasti...
Bila sebut puasa dan bulan puasa di tempat kita, kita lihat ramai orang menyambutnya dengan perspektif yang berbeza-beza. Golongan pertama yang saya perhatikan ialah golongan mereka yang nak berniaga di bulan puasa. Mereka telah membuat pelbagai persiapan untuk memulakan perniagaan Pasar Ramadhan. Ada yang nak membuat kueh-mueh, lauk-pauk atau roti canai dan murtabak. Ada yang nak berniaga air tebu dan tak kurang ada yang nak berniaga buah-buahan. Tempat berniaga juga telah di’booking’ dari pihak berkuasa tempatan. Dengar cerita tempat di Manong ni masih di pinggir jalan besar, kerana tempat pasar minggu dekat petronas tu tak menarik, kata peniaga-peniaga.
Golongan kedua, mereka yang membuat persiapan berpuasa secara biasa sahaja, tetapi telah memikirkan fasal hari raya. Mereka dah rancak membeli baju raya. Seorang anak mungkin sampai 4-5 pasang baju. Baju yang lelaki taklah susah sangat, boleh dibeli di mana-mana kedai, tetapi baju yang perempuan terpaksa ditempah awal, dijahit sendiri dan sebagainya. Hari-hari mereka memikirkan tentang sambutan berhari raya nanti, hari pertama pakai baju apa, raya kedua pakai baju yang mana...
Golongan ketiga, ini golongan orang '6 siries' atau '7 siries' yang memikirkan puasa dan solat tarawih. Golongan ini tak banyak. Ada di surau-surau dan masjid-masjid. Mereka berkira-kira nak buat senarai atau jadual menyediakan jamuan moreh berbuka puasa. Nak penuhkan jadual sebulan, tak cukup orang. Nak letak aje nama, takut tuannya tak mahu... Akhirnya dibiarkan kosong. Nanti kalau mereka nak buat, mereka tulislah sendiri... Datang solat berjamaah tak mahu, tetapi buat moreh mereka nak joint...
Di dalam kuliah mengaji malam semalam di masjid Jeliang, tuan guru mengajar bagaimana orang Islam yang bijak mereka mengetahui cara meraih berkat, menafaat dan kebaikan bulan Ramadhan. Kita buat "projek-projek khas" di bulan yang mulia ini, katanya.
Projek pertama, projek Jutaan Kebaikan Membaca Al Quran, maksudnya membaca Al-Quran sebanyak-sebanyak yang mampu. Sebab RasuluLlah bersabda, "Barangsiapa membaca satu huruf dari KitabuLlah, baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan dilipatganda menjadi sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan alim lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf." Jadi, marilah kita membaca al-Quran di bulan yang mulia ini.
Projek kedua projek 30 kali haji dan umrah. Projek ini bermaksud, menunggu di masjid setelah solat subuh berjamaah Subuh sehingga sampai terbit matahari dan solat Dhuha dua rakaat. Sebab RasuluLlah ada bersabda yang bermaksud. " Barangsiapa yang solat Subuh berjamaah kemudian ia duduk berzikir kepada Allah sehingga sampai terbit matahari, kemudia ia melaksanakan solat dua rokaat, maka baginya seperti pahala haji dan umrah, sempurna, sempurna, sempurna.
Projek ketiga, projek doa tidak ditolak. bersambung
Kejayaan membanggakan
Wah ini satu kejayaan yang membanggakan sekolah. Setelah pada tahun 2008 pasukan sekolah ini pernah mencapai kejayaan tempat ke-2 di peringkat negeri dan pada tahun 2009 pula satu pasukan sekolah meraih kedudukan tempat ke-3 dalam pertandingan yang sama.
Kejayaan ini menjadikan para pelajar dan guru-guru satu suntikan semangat yang tinggi walaupun kami di luar bandar, namun tiada yang mustahil jika semua orang berusaha bersungguh-sungguh. Ini kerana pasukan robotik ini telah menjalani latihan selama hampir 4 bulan sejak bulan Mac dulu kagi. Pasukan-pasukan yang dikalahkan termasuklah pasukan dari sekolah-sekolah berasrama penuh seperti MCKK, SBPI Gopeng dan STAR.
Semoga kejayaan ini boleh terus dikekalkan di tahun-tahun akan datang dan robotik ini boleh menjadi satu 'watak' SMK Sultan Tajul Ariffin...
Tahniah diucapkan kepada cikgu Halimhusairi dan para pelajar yang berjaya...
Saturday, August 7, 2010
Majlis penutup Program 3P Anjuran Mara
Kedua, saya menyampaikan salam dari Tn Pengetua Tn Hj Mohd Kamil B Ab Rahman, yang tak dapat hadir ke majlis ini kerana suatu urusan keluarga yang penting.. dengan lafaz Assalamu alaikum wr. wb.
Di dalam ucapan yang ringkas ini, saya mewakili pengetua dan warga sekolah, mengalu-ngalukan kehadiran YB Dato Hj Ramly b Zahari, ADUN Manong, Yang Berbahagia Tn Hj Mohd Fuad bin Abdullah, Pengarah Mara Negeri Perak, Yang Berusaha Tn Hj Marazlan bin Amran, Pegawai Pelajaran Daerah K.Kangsar, dif-dif kehormat, tuan-tuan dan puan-puan para ibu bapa ke majlis pada hari ini.
Bak kata orang
Kalau memanjat, sudah sampai ke puncak,
Kalau menurun sudah sampai ke lembah,
Kalau terjun, sudah sampai ke tanah,
Kalau berenang, sudah sampai ke pantai.
Kalau mudik, sudah sampai ke hulu,
Kalau hanyut, sudah sampai ke Kuala...
Sesudah 6 minggu atau 6 kali Sabtu,
Para pelajar ting. 5 menghadiri kelas dan bengkel berupa ceramah atau seminar slot teknik menjwab soalan,
Para pelajar ting. 5 menerima bimbingan, panduan dan tips sebagai persediaan menghadapi peperiksaan ....
Para pelajar ting. 5 menerima banyak ilmu yang disampaikan oleh guru-guru cemerlang dan berpengalaman dari MRSM Lenggong, MRSM Taiping, MRSM Pasir Salak dan juga dari seorang guru cemerlang daerah Kuala Kangsar....
Maka pada hari ini, sampailah mereka ke penghujung program peningkatan prestasi (3P) yang di anjurkan dan ditaja oleh pihak Mara negeri Perak ini.
YB Dato, Tuan-tuan dan puan-puan
Program 3P yang dijalankan di sekolah ini, mempunyai objektif untuk meningkatkan pencapaian para pelajar ting. 5 di dalam peperiksaan SPM yang bakal mereka hadapi dari segi kuantiti dan kualiti.
Program yang berjalan selama 6 kali hari Sabtu bermula 26 Jun 2010, kemudian 3 Julai, 10 Julai, 17 Julai, 31 Julai hinggalah ke hari ini 7 Ogos 2010 telah membimbing para pelajar dalam subjek-subjek teras peperiksaan SPM iaitu BM, BI, Matematik, Sains dan Sejarah. Ia berjalan satu hari satu subjek mulai pukul 8.00 pagi sehinggalah ke pukul 4.00 petang.
Seramai 110 orang pelajar berprestasi sederhana dan lemah telah dipilih mengikuti program ini. Selain dari dibimbing oleh guru-guru cemerlang, para pelajar dibekalkan dengan bahan-bahan pembelajaran, buku nota, alatulis; dan disediakan pula sarapan pagi, makan tengahhari dan minum petang oleh pihak Mara.
Sesungguhnya program ini amat banyak membantu para pelajar ting. 5 dalam usaha mengingat dan menguasai pelajaran mereka dalam subjek-subjek yang disebutkan tadi.
Saya mewakili pengetua, guru-guru dan warga sekolah khususnya para pelajar ting. 5 mengucapkan jutaan terima kasih...kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang memilih sekolah ini daripada lebih 200 buah sekolah menengah yang ada di negeri Perak. Difahamkan hanya sebuah sekolah dipilih bagi setiap negeri pada tahun ini.
Terima kasih juga kepada Tn Pegawai Pelajaran Daerah Tn Hj Marazlan yang mengesyorkan nama sekolah kami sebagai penerima program anjuran Mara ini.
Terima kasih juga kepada pegawai-pegawai Mara dari ibu pejabat di Ipoh dan pejabat di Kuala Kangsar yang banyak berurusan dan memantau perjalanan program selama 6 minggu ini.
Ini termasuklah Tn Timbalan Pengarah Mara Negeri Perak, Tn Hj Amer bin Rahmat yang pernah datang sendiri memantau dan memberi nasihat kepada anak-anak ting. 5 semasa program ini berlangsung.
Kepada anak-anak pelajar ting 5, ambillah kepercayaan dan harapan semua pihak ini, termasuklah pihak YB, pihak Mara, Pegawai PPD dan semua guru serta ibu bapa sebagai satu amanah yang mesti direalisasi dalam peperiksaan SPM sebenar nanti.
Buktikan yang
Walau pun kita pelajar biasa,
Anak orang-orang biasa,
Dari sekolah menengah biasa,
Tetapi mampu mencapai kejayaan luar biasa...
Kerana usaha yang kuat dan program-program yang banyak membantu...
Buat akhirnya dua rangkap pantun Melayu lama...
Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan.
Akar keladi melilit selasih
Selasih tumbuh di hujung taman
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman.
Kemudian serangkap pantun lagi khusus untuk MARA
Banyak duri perkara duri
Tidak sama duri cemara,
Banyak budi perkara budi
Tidak sama budi MARA.
Terima kasih sekali lagi kpd YB Dato kerana sudi hadir, Tn Pengarah Mara, Tn PPD, tuan-tuan dan puan-puan sekelian.
Saya akhiri ucapan saya dengan lafaz, Wassalamu alaikum wr. wb.
.
Tuesday, August 3, 2010
Makan ubi kayu
Saya menyaksikan perjalanan perhimpunan tersebut. Rupa-rupanya mereka sedang mengadakan majlis pelancaran bulan kemerdekaan. Tertarik dengan majlis tersebut, saya terus duduk di kantin itu sambil memerhatikan dan memasang telinga.
Nampaknya program tersebut agak menarik juga. Saya yakin mereka membuat persediaan yang rapi sebelum majlis tersebut diadakan. Saya lihat seorang guru lelaki memakai baju kebangsaan dan bersamping mendeklamasikan sebuah sajak yang agak panjang. Cikgu itu sungguh bersemangat membacakan sajak patriotik tersebut dan mendapat tepukan gemuruh dari anak-anak muridnya. Beberapa orang guru lelaki dan perempuan bangun dan merakamkan pembacaan sajak tersebut dengan ’Video-cam’ masing-masing. Melihatkan ramainya guru bangun merakamkan gambar , dalam hati saya berkata, seorang cikgu sahaja ambil gambar cukuplah, kenapa ramai-ramai kerana ia mengganggu dan menghalang penglihatan pelajar-pelajar menyaksikan persembahan itu, Mungkin ramai cikgu-cikgu di situ ada video-cam agaknya....
Selepas itu, satu pengkisahan sejarah pula dibacakan oleh seorang guru lain. Guru tersebut menceritakan betapa susahnya kehidupan rakyat di negara kita sebelum mencapai kemerdekaan. Berbanding dengan kemewahan sekarang ini, kesusahan tersebut mungkin sukar difikirkan oleh generasi sekarang. Kesusahan ini bertambah teruk lagi semasa pemerintahan Jepun selama lebih kurang 3 tahun. Katanya, rakyat negara ini terpaksa memakan ubi kayu sebagai makanan utama kerana beras atau padi tidak mencukupi. Jika ada rakyat yang menanam padi pula, padi itu dirampas oleh tentera Jepun.
Guru tersebut kemudiannya bertanya para pelajar samada mereka pernah memakan ubi kayu? Rata-rata pelajar tersebut menjawab. ”Tidak..! ”
Saya tersenyum mendengarkan jawapan pelajar itu.... Itulah rupanya budak-budak sekarang... Mereka tidak pernah merasai makanan asas dahulu kala seperti ubi kayu tersebut. Bukan itu sahaja mereka juga tidak meminati makanan tradisional termasuklah kueh bengkang, pais ubi, lepat ubi yang kesemuanya diperbuat daripada ubi kayu atau ubi keledek. Makanan tradisional lain juga mereka tak berselera memakannya. ... Mereka lebih suka makan nadget, burger dan hotdog!!!
Tak lama kemudian, cikgu tersebut menyatakan, pada hari ini semua pelajar akan diberi seketul ubi kayu rebus untuk merasai bagaimana makanan datuk nenek kita dahulu semasa zaman penjajahan dahulu. Kemudian pengawas-pengawas sekolah membawakan bekas yang berisi ubi kayu rebus dan mengagihkan kepada semua pelajar. Sambil gelak ketawa para pelajar dan guru-guru sekolah putrajaya itu makan sedikit seorang ubi kayu rebus....
Saya terfikir pula, adakah budak sekolah di Putrajaya sahaja yang tak pernah merasai makan ubi kayu? Budak –budak sekolah di Manong ini pernahkah memakannya????
Walau apa pun, cara sambutan pelancaran bulan kemerdekaan di sekolah di Putrajaya itu sangat menarik perhatian saya... Tahniah kepada pihak sekolah berkenaan...