Sunday, May 30, 2010

Hanya 39 orang…


Pagi Sabtu semalam di sekolah saya diadakan program “Tazkiayatun Nafs” atau lebih mudah difahami sebagai program Motivasi Keibubapaan. Pihak sekolah memanggil penceramah terkenal iaitu Ustaz Abdullah Khari b Hj Harun dari negeri Kedah. Telah lama pihak sekolah mem’booking’ penceramah berkenaan kerana jadualnya yang padat.

Program diadakan di dewan baru yang canggih dengan sistem audio dan visualnya. Memang sesiapa yang hadir pada pagi semalam dapat menikmati satu persembahan ceramah yang sangat ‘first class’ kerana ustaz ini menggunakan semua bentuk audio dan visual yang ada. Selain pertunjukkan ‘nota power point’nya di slaid, beliau juga memasukkan pelbagai video clip dan ustaz ini juga sangat sedap menyanyikan lagu-lagu “nasyid kontemporari”.
Antara vedio clip yang ditunjukkan, kasih seorang ibu, mat rempit yang mati sia-sia, gambar kemalangan nampak tulang kaki tersembul, hukuman rotan di penjara dan pelbagai lagi.

Kebijaksanaan beliau menggunakan alat teknologi dan bersyarah dengan dengan diselangselikan mengaji ayat-ayat al Quran secara bertaranum, menyebabkan ada orang memanggilnya ustaz laptop. Namun tidak hairanlah kerana ustaz berkenaan sebenarnya guru fizik, lulusan engineering malah pernah menjadi engineer.

Pelajar-pelajar yang hadir agak ramai juga walaupun tak kesemuanya hadir. Saya pun tak pasti bilangan tepat yang hadir, tetapi rasanya jika bilangan pelajar seramai itu berjaya ‘menyerap’ kandungan ilmu yang disampaikan pada hari tersebut, maka budaya sekolah kami akan berubah 180o. Dari pelajar yang malas kepada pelajar yang “TEKUN”, dari pelajar yang tak menghormati ibubapa dan guru kepada pelajar yang “solleh dan sejuk mata memandang” serta dari pencapaian NKRA sekolah 1381 kepada NKRA bawah 300….

Tetapi yang menyedihkan saya ialah kehadiran ibubapa penjaga. Di dalam pendaftaran, hanya 39 orang ibubapa penjaga sahaja yang hadir. Sedangkan semua maklumat dan surat jemputan program telah disampaikan kepada mereka melalui anak-anak masing-masing. Saya mohon maaflah, kalau-kalau pihak sekolah tersilap pilih hari, kerana mengadakannya pada tengah-tengah cuti, atau semua mereka hari itu mengambil kesempatan menoreh getah kerana cuaca elok kering, atau banyak komitmen lain daripada menyertai majlis ilmu bersama-sama bebudak sekolah seperti ini...

Sepanjang 2 setengah jam program berjalan, saya duduk di ruang yang dikhaskan kepada kaum bapa. Saya melihat kesemua yang hadir sangat berpuas hati dengan cara pencapaian ustaz berkenaan. Di ketika penceramah meminta anak-anak pelajar berjumpa dan memeluk ibubapa masing-masing, mereka juga memeluk anaknya, mungkin buat pertama kali sesudah anaknya itu besar panjang! Saya pandang tak pandang sahaja kaum bapa yang tak dapat menahan air mata semasa slot itu. Manakan tidaknya saya juga sebak menahan air mata, namun dalam hati saya bersyukur kerana mungkin itu tanda hati-hati kami yang hadir itu boleh di’lembutkan’ dan tidak sekeras batu lagi...

Selepas tamat majlis, beberapa orang bapa dan penjaga bertanya saya, berapa bayaran pihak sekolah menjemput penceramah berkenaan? Saya pun memberitahunya... Kata mereka, ”itu bukan harga untuk isi yang disampaikan” maksudnya, kalau lebih dari harga itu pun tak apa, budak-budak banyak insaf, katanya. (Budak-budak juga... bapa budak tak nak insaf ke, dalam hati saya).

Walau apa pun, terima kasih dan penghargaan kepada ustaz penceramah, terima kasih kepada penganjur bersama majlis, iaitu PIBG, Panitia Pendidikan Islam, Panitia Sivik dan Kewarganegaraan serta Unit Bimbingan dan Kaunseling. Tahniah kepada ibubapa yang hadir. Tahniah juga kepada para pelajar yang hadir (termasuk pelajar bukan Islam juga). Sepatah kata tuan pengetua, ”semoga Tuhan melembutkan hati-hati kita”. Kepada pihak penganjur, jangan putus asa, ingat kisah Nabi Noh alaihis salam, walaupun berdakwah 950 tahun, yang menerima risalahnya cuma +/- 50 orang sahaja. Namun usaha seperti ini mesti diteruskan juga. Allah tidak melihat hasilnya, tetapi melihat apa yang kita lakukan!

Wednesday, May 26, 2010

Sudah naik lemak...

Beberapa malam lepas ketika tidur, saya dikejutkan oleh bunyi bising orang bercakap-cakap berhampiran rumah. Apabila saya bangun, jam baru menunjukkan pukul 2.00 pagi. Setelah saya mengintai-ngintai menghala luar rumah, saya dapati 6 hingga 7 orang sedang membuat sesuatu. Selepas membasuh muka, saya pun membuka pintu dan keluar melihat apa yang berlaku.

Tahu apa terjadi? Sepasukan polis dari balai polis Manong sedang menggulung kabel telefon yang dicuri. Saya lihat ada dua gulung kabel kesemuanya. Saya bertanya kepada abang sepupu saya yang turut berada di situ. Barulah saya tahu.. Kabel-kabel itu ditinggalkan oleh si pencuri apabila abang sepupu saya bertembung dengan mereka sewaktu beliau balik ke rumah pada jam 1.30 pagi. Kabel itu direntang sepanjang jalan masuk ke rumah abang sepupu saya itu. Mungkin si pencuri telah menariknya ke situ untuk di potong-potong supaya senang membawanya. Pada mereka, kalau dulu mereka berjaya melakukannya ditempat sunyi, sekarang ”sudah naik lemak” Mereka melakukannya di tempat terbuka, di sebelah rumah orang!

Oleh kerana telah terserempak dengan abang sepupu saya, mereka lari lintang pukang. Tetapi sebuah motosikal telah ditinggalkan apabila motor itu tak mahu di ”start”. Bagitu juga sebuah handphone yang ditinggalkan di dalam motorsikal itu telah turut diambil oleh pihak polis. Rasanya, budak-budak pencuri tak senang duduklah selepas ini...

Begitulah kejadian mencuri kabel telefon dan kabel elektrik telah berleluasa sekarang ini. Kerana hendakkan sedikit wang, mereka sanggup mencuri dan menyusahkan orang lain. Yang rugi ialah syarikat telekom dan juga penduduk sekitar. Bayangkan kalau dulu kita dapat menggunakan kemudahan telefon untuk berurusan, sekarang setelah wayarnya dipotong kemudahan itu tiada lagi... Difahamkan di beberapa tempat, pihak telekom sudah tidak mahu lagi menggantikan kabel yang dicuri... Tetapi mujur streamix di rumah saya masih berfungsi. Kabel lain yang mereka kerat!

Di akhbar hari ini pula dilaporkan kejadian curi kabel elektrik dan telefon di seluruh negara. Ada pencuri mati gara-gara tak kenal wayar yang ada arus elektrik dengan yang tak ada. Bila terkena renjatan elektrik itu, maka ”sampai hukum” lah si pencuri itu. Di akhirat nanti, di mana mereka nak cari kabel yang dicuri itu untuk diganti balik kepada tuannya di depan pengadilan ”Tuhan Yang Maha Agung”!! .....

Bukan kah elok kemudahan ini dikongsi bersama.....

Kenapa mesti dikerat, dan di ambil ...bukan kome punye?

.

Sunday, May 23, 2010

Gotong Royong kian terhakis...

Dua hari lepas, seorang jiran saya telah kembali ke rahmatuLlah. Jiran saya itu adalah seorang perempuan yang meninggal dunia kerana sakit tua. Namanya Puan Takyah binti Bedah. Umurnya 97 tahun. Semasa hayatnya, kami di kampung ini memanggil beliau dengan panggilan ”opan”. Opan ini lebih tua dari opah. Beberapa bulan lepas, saya dengan kawan-kawan sekampung mengira-ngira bahawa opan Takyah ini adalah merupakan orang tertua di kampung saya yang masih hidup.

Menurut anak lelakinya, En Mohd Zabidi, di dalam IC, opan Takyah ini dilahirkan pada tahun 1913. Pernah sekali baru-baru ini, sewaktu beliau sakit di hospital Kuala Kangsar, semasa nak membayar bil hospital, anaknya itu bergurau dengan kakitangan kewangan hospital, meminta bayaran secara percuma, kerana ibunya itu bukan lagi warga emas, tetapi ”warga platinum!”

Selain merupakan ”pemergian orang tertua” di kampung saya, kematian opan Takyah ini juga melakar sejarah tersendiri. Ini kerana kubur opan Takyah ini dikorek dengan menggunakan jentera ”back ho”. Seingat saya, inilah kali pertama tanah perkuburan di Jeliang ini dikorek dengan jentera. Sebelum ini, biasanya kubur dikorek dengan cangkul, cebak dan lain-lain secara bergotong royong. Memang ada kumpulan pengorek tanah perkuburan sukarela di kampung ini yang terdiri daripada pemuda-pemuda dan orang-orang yang berpengalaman. Difahamkan, anak-anak opan ini tak dapat ”mencari” penduduk kampung yang biasa mengorek liang kubur. Orang-orang itu telah keluar bekerja pagi-pagi lagi. Jadi mahu tak mahu, mereka memakat tuan punya back ho-lah.

Walau apa pun, semangat gotong royong yang menjadi amalan penduduk kampung ini sejak dahulu kala lagi diharap akan berkekalan. Jangan lah pula selepas ini, tak mahu lagi bergotong royong mengorek liang kubur, lantaran adanya kemudahan jentera. Bukankah banyak pahala dan pertolongan yang dapat kita berikan kepada arwah sebagai sumbangan terakhir kita kepadanya..... Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh opan Takyah... WalLahu Aklam...

Wednesday, May 19, 2010

Kemeriahan Sambutan Hari Guru

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah pada tahun ini agak meriah sebagaimana juga tahun-tahun lepas. Namun kali ini lebih meriah kerana ianya diadakan di dewan baru. Dan ia merupakan acara kedua yang diadakan di dewan tersebut selepas Kem Anak Soleh pada hari Jumaat yang lepas. Sejak jam 7.20 pagi, guru-guru telah masuk ke dewan bersama-sama pelajar-pelajar. Ramai antara pelajar itu masuk ke dewan baru tersebut buat pertama kalinya.

Selepas menyusun kedudukan para pelajar, pengawas sekolah menjemput tuan pengetua dan AJK PIBG masuk ke dewan. Guru-guru lain telah siap sedia berdiri di atas pentas dengan megahnya. Dan majlis sambutan hari guru pun dijalankan…..

Gambar yang saya ambil seperti di bawah ini menceritakan segala-galanya…..


Para pelajar berdiri menyanyikan lagu negaraku, lagu negeri Perak dan lagu Komuniti Berilmu

Para pelajar duduk dengan kemas mendengar perutusan hari guru dan juga ucapan-ucapan....

Barisan pendidik yang diraikan pada hari tersebut

Guru-guru dan para pelajar menyaksikan persembahan pentas sempena hari guru...

Para pengawas sekolah siap sedia menyampaikan cenderamata kepada guru-guru yang mereka sayangi....

Kek Sambutan Hari Guru yang ditempah khas....

Kemeriahan acara sukaneka yang diadakan di padang sekolah...

Jamuan diadakan di bilik-bilik darjah... Ada juga “VIP” dijemput merasmikan majlis jamuan di kelas-kelas itu....

Jamuan meraikan guru diadakan juga di dewan sekolah...

Isteri arwah cikgu Norazam dan anak-anaknya turut hadir sama menikmati jamuan hari guru...

Upacara memotong kek di kelas 1 KAA....
.

Sunday, May 16, 2010

SMS hari guru


Hari ini sejak pagi lagi saya telah menerima sms-sms ucapan selamat hari guru. Hendak tak hendak terpaksalah saya menjawab sms-sms tersebut. Sms yang saya hantar kepada kawan-kawan serupa sahaja teksnya. Tak ada masa hendak main hand-phone sebab hari ini saya memandu ke KL. Sehari suntuk di atas kereta.....

Walaupun begitu saya nak kongsikan sms-sms ucapan selamat hari guru yang menarik yang saya terima pada hari ini.

(1) Hari ini kita dipanggil cikgu, esok juga kita dipanggil cikgu. Bila dah bersara, gelaran tetap cikgu... Itulah manisnya menjadi cikgu...cikgu sepanjang zaman...! Selamat hari Guru!

(2) Hepi teacher's day...daripada.....

(3) Walaupun kita tak dapat ke angkasa, tetapi kita masih boleh berbangga kerana slip gaji kita ada potongan angkasa...Selamat Hari Guru!

(4) Jadilah seorang guru yang hadirnya ditunggu, hilangnya dirindu, ilmunya diburu, nasihatnya diseru, tingkahlakunya ditiru.... selamat hari guru!

(5) Kadang-kadang yang perempuan macam mak nenek membebel tak ketahuan hala, kadang-kadang yang lelaki macam atuk takpe le, sikit je, senyum membisu seribu bahasa... Apa-apa pun itu le cikgu, Serba boleh cikgu ni, loyar, mejistret, doktor, drebar, polis, kerani bank, pekerja kontrek, security guard, ahli nujum pak belalang, tukang sapu, tukang cat, tukang masak, kerja majlis daerah pun ya juga.... Kita memang hebat sanggup buat memacam kerja, Banggalah, bangga nya jadi cikgu... Selamat hari Guru!

(6) Guru bukan macam papan skate... belum main gilap, dah main pijak...! Guru bukan macam bola sepak... belum dapat kejar, dah dapat tendang..! Guru bukan macam bulu tangkis, belum main pegang, dah main pukul...! Guru IBARAT macam bola ragbi... belum dapat rebut, dah dapat lindungi... Selamat hari guru...

(7) Guru macam jari...lukanya sembuh sendiri, tetapi hilangnya tiada ganti.... Selamat Hari Guru!

(8) Erti Sebenar Seorang Guru

C : Cantik budinya
I : Inovatif praktisnya
K : Kreatif Mindanya
G : Garang Semangatnya
U : Unggul Ilmunya
Selamat Hari Guru

Terima kasih di atas ingatan dan ucap selamat tersebut!

Selamat Hari Guru 2010



Saturday, May 15, 2010

Gotong Royong Hari Guru

Hari ini dijalankan program gotong royong sempena sambutan hari guru. Program ini telah disusun oleh pihak pentabir dan JK Keceriaan sekolah secara teratur dan alhamdulillah ianya telah berjalan dengan lancar dan mengikut yang dirancang. Hampir semua guru, kakitangan sokongan, staf swasta dan pelajar-pelajar telah hadir menyertai gotong royong membersih dan menceriakan sekolah. Turut hadir ialah AJK PIBG dan beberapa orang ibubapa yang lain. Pihak MPKK pula membekalkan lori sampah untuk kami membuang sampah sarap semasa gotong royong.

Terdapat banyak tempat kerja-kerja gotong royong yang disusun melibatkan semua warga sekolah. Ada yang membersih, mengelap dan mengecat. Ini termasuklah bilik-bilik darjah, bilik-bilik khas, dinding-dinding dan kawasan persekitaran. Saya sendiri ditugaskan membuat dan mengecat lot parking di hadapan blok F dengan di bantu oleh 16 orang pelajar-pelajar dari kelas 3C. Kami akhirnya berjaya menyiapkan tugasan yang diberi walaupun terpaksa bekerja dalam keadaan cuaca agak panas.

Selepas bergotong royong, jamuan makan tengahari disediakan untuk guru-guru, staf sokongan, AJK PIBG dan para ibubapa di dataran blok G. Memang sedap makanannya tambahan pula apabila menikmatinya ketika badan tengah penat. Antaranya gulai lemak nangka muda yang menjadi kegemaran saya. Manakala para pelajar disediakan jamuan makan secara bungkus sahaja. Meraka juga seronok, dapat makan dan minum secara free.

Kelihatan para pelajar sedang diberi taklimat sebelum gotong royong bermula.

Dan rama-rama yang gambarnya saya ambil tadi mungkin 'sesat' atau dia sengaja datang nak tenguk kami bergotong royong, satu amalan mulia yang menjadi tradisi masyarakat kita...




Program Pertama Di Dewan Baru...

Hari Jumaat 14 Mei 2010 telah bermula program "KEM ANAK SOLEH" pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2 anjuran Panitia Pendidikan Islam, Unit Bimbingan dan Kaunseling dan PIBG sekolah. Yang menariknya, program ini dijalankan di dewan baru sekolah ini. Pihak JKR telah membenarkan penggunaan dewan ini bagi "menguji" peralatan dan "kemudahan" lain walaupun masih terdapat "peralatan" yang belum siap. Dengan ini bermakna dewan baru sekolah kami telah boleh digunakan setelah sekian lama menunggu, dan program pertama yang dijalankan di dewan ini adalah program yang bercorak keagamaan.

Di dalam program Kem Anak Soleh, seramai 257 orang peserta telah menghadirinya sejak petang Jumaat lagi. Mereka bermalam di sekolah dengan pelajar lelaki menginap di dewan F dan pelajar perempuan menginap di surau sekolah. Guru-guru pula telah dibahagi-bahagikan untuk menjalankan tugas mengawasi keselamatan, kebajikan, dan menguruskan jamuan para peserta.

Para ustaz dan ustazah dari panitia Pendidikan Islam pula merupakan urusetia bagi program yang menarik ini. Manakala tenaga pengajar dan fasilitatornya seramai 7 orang adalah pegawai-pegawai dari BAKA (Bahagian Agama dan Kaunseling) PDRM kontigen Ipoh dan Kuala Kangsar yang diketuai oleh ustaz Azmi.

Selepas majlis bersurai, tengahari Sabtu tadi, saya menumpangkan 2 orang pelajar untuk balik ke rumah mereka. Di dalam kereta saya menemubual kedua-dua orang pelajar lelaki tingkatan 1 itu. Secara keseluruhan mereka sangat seronok mengikut program ini. Mereka mendapat banyak pengisian ilmu agama sepanjang kem 2 hari itu. Kata mereka, kursus itu banyak menyedarkan peranan mereka sebagai pelajar untuk taat kepada Allah, ibubapa dan guru-guru.

Gambar di bawah menunjukkan program Kem Anak Soleh tersebut....











Tuesday, May 11, 2010

Pertandingan deklamasi sajak...

Hari ini diadakan pertandingan mendeklamasi sajak sempena Hari Guru 2010. Pertandingan anjuran Panitia Bahasa Melayu itu mendapat sambutan menggalakkan di kalangan para pelajar. Ramai pelajar mengambil bahagian dan mencuba bakat masing-masing.

Namun, ada pelajar yang dapat mendeklamasikan sajaknya dengan amat baik dan ada pelajar yang masih tak hafal senikata puisinya. Maka pelajar itu curi-curilah melihat kertas nota yang dibawa... Akibatnya, para juri profesional akan curi-curi pulak markah yang nak diberikan kepadanya....
.

Masih belum serah...

Walaupun sudah lebih sebulan dewan serbaguna SMKSTA disiapkan, namun ianya masih belum diserahkan oleh pihak JKR kepada pihak sekolah sekolah. Dikatakan masih terdapat komponen siaraya dan elektrik yang belum beres.

Di dalam perhimpunan rasmi beberapa minggu lalu, ada guru yang mengatakan, perhimpunan kali ini mungkin yang terakhir diadakan di dataran kejat. Kerana minggu depan mungkin kita berhimpun di dewan baru.... Namun sehingga hari ini masih belum dapat menggunakannya.

Maka, kami masih menggunakan dataran kejat untuk perhimpunan rasmi mingguan. Lihatlah gambar para pelajar pada hari Isnin lepas masih berdiri dan duduk di dataran itu. Sabo aje le...!

.

Sunday, May 9, 2010

Selamat Menyambut Hari Ibu


Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Ibu yang jatuh pada hari ini kepada semua ibu-ibu terutama ibu saya yang dikasihi. Hari ibu adalah suatu hari istimewa yang dirayakan bagi meraikan ibu-ibu terhadap peranannya yang amat besar di dalam sesabuah keluarga.


Bagi sesetengah negara, perayaan hari ibu biasanya dilakukan dengan membebaskan tugas ibu-ibu dari tugas domestik yang seharian dianggap merupakan kewajibannya, seperti memasak, merawat anak, dan urusan rumah tangga lainnya. Jadi pada hari itu, mungkin suami atau anak-anak pula memainkan peranan tersebut, manakala kaum ibu dibenarkan “rehat” untuk sehari!


Bagi kebanyakan negara di dunia ini, sambutan hari ibu disambut pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei. Sebab itu sambutan tahun ini jatuh pada 9 Mei 2010. Difahamkan mengikut sejarahnya tarikh itu dipilih kerana pada tanggal itu dalam tahun 1870 aktivis sosial bernama Julia Ward Howe mencanangkan pentingnya kaum ibu bersatu melawan perang saudara.

Ada juga negara-negara yang menyambut hari ibu pada tarikh-tarikh yang lain. Contohnya Indonesia menyambutnya pada tarikh 22 Disember setiap tahun. Dikatakan pada tarikh itu dalam tahun 1928 para pejuang wanitanya mengadakan Kongres Perempuan Indonesia di Yogyakarta. Pendik kata semuanya itu ada dengan sebab mesabab dan sejarahnya yang tersendiri.

Apa pun untuk semua ibu tersayang selamat menyambut Hari Ibu…

Saturday, May 8, 2010

Masuk akhbar lagi...

Bulan Mac yang lepas ada artikel berkaitan sekolah ini di dalam akhbar Sinar Harian. Beritanya tentang kejayaan rumah Temenggung menjadi juara kejohanan olahraga tahunan. Baru-baru ini pula sekali lagi keluar berita tentang sekolah kita di akhbar Sinar Harian. Tajuknya "Perkongsian minda bantu tingkat penguasaan bahasa".



klik pada gambar untuk lihat lebih jelas.



Tahniah kepada panitia Bahasa Inggeris di atas inisiatif perkongsian minda dan lawatan sambil belajar tersebut.....

.

Sajak cikgu Azam

Beberapa hari lepas seorang rakan bertanya saya samada saya telah membaca sajak arwah cikgu Azam. Saya kata belum. Lepas itu saya dengar lagi beberapa orang guru perempuan bercerita sajak cikgu Azam tersebut sangat menyayat hati. Saya diam juga. Dalam hati nakal saya, cikgu Azam adalah guru matematik, macam mana pulak dia boleh mengarang sajak sebaik penyair-penyair terkenal. Selepas satu komen dari cikgu Durah dalam blog ini yang menyatakan sajak cikgu Azam sangat meruntun jiwa, malam tadi saya membuka blog azam anak felda dan mencari sajak itu.

Akhirnya saya berjumpa satu post berbentuk sajak bertajuk “Esok bila ayah pergi”. Tarikh post itu pula ialah 9 September 2009 atau tarikh orang suka mengambilnya untuk dijadikan kenangan atau sejarah diri sendiri seperti tarikh pertunangan atau tarikh perkahwinan iaitu 09.09.09.

Apabila saya membaca sajak tersebut, memang tak dapat saya nak bagi komen. Bukan kerana sajak tersebut begitu sedap atau penuh nilai sastera, tetapi persoalan yang timbul di kepala saya, apakah yang menyebabkan arwah mengarang sajak tersebut? Adakah sengaja-sengaja untuk suka-suka sambil menunjukkan bakat penulisan atau ada “petanda-petanda” atau “dorongan lain” yang menyebabkan arwah mengarang sajak itu... Atau mungkin arwah dah merasakan masa beliau sudah hampir untuk meninggalkan anak-anaknya....

Untuk rakan-rakan yang masih belum membaca sajak tersebut, carilah di blog azam anak felda. Post bertarikh 09.09.09... atau untuk lebih cepat lagi, klik saja di sini.

http://azamanakfelda.blogspot.com/2009/09/esok-bila-ayah-pergi.html

Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Allahyarham Azam, amin!


.

Thursday, May 6, 2010

First come, first serve.

Semasa taklimat pegawai pejabat kesihatan Kuala Kangsar dengan guru-guru HEM daerah KK pada hari Rabu semalam, guru-guru diberitahu bahawa kementerian Kesihatan sekarang sedang memberikan vaksin H1N1 secara percuma kepada orang ramai.

Menurut PK HEM yang hadir ke taklimat itu, Oleh kerana bekalan vaksin yang terhad, maka pemberian dilakukan mengikut pendekatan first come, first serve. Penilaian klinikal yang dijalankan oleh pegawai perubatan yang merawat akan diambil kira bagi menentukan kesesuaian seseorang individu bagi menerima vaksin.

Selepas mengetahui hal tersebut di dalam contact time G60 semalam, ramailah guru-guru sekolah ini pergi mendapatkan suntikan tersebut di Pusat Kesihatan Manong. Hinggakan pada hari ini, terlalu ramai guru yang memohon untuk ke klinik mendapatkan vaksin H1N1 itu. Pada jam 11.30 pagi, difahamkan vaksin tersebut telah habis. Sesiapa yang mahu lagi, bolehlah datang pada sebelah petang.


Supaya tidak ketinggalan, apalagi bila mendengarkan harganya di klinik swasta mencecah RM200 untuk satu suntikan(?), saya juga turut pergi ke klinik itu pada jam 3.00 petang. Sesampai saja saya lihat ramai cikgu-cikgu, staf sokongan dari Tajul Ariffin, SK Manong dan orang ramai juga hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Difahamkan vaksin tersebut baru sahaja dicipta. Itu sebabnya semasa penularan wabak ini pada tahun lepas, vaksin seperti ini tidak ada lagi. Selepas menunggu kira-kira setengah jam, sampailah giliran saya disuntik. Malam ini tangan kiri saya rasa sengal-sengal lagi..... Semoga Allah menyelamatkan kita dari wabak penyakit yang merbahaya ini, Amin!

Mengapa begini pulak?

Pagi ini beberapa orang rakan bertanya kepada saya samada saya menonton berita TV malam tadi. Begitu juga sewaktu di kantin sekolah, saya mendengar perbualan antara kawan-kawan tentang berita di TV dan akhbar-akhbar hari ini. Saya hanya mendengar kehairanan kerana saya tak menonton berita TV itu... Persoalannya mengapa setelah 5 hari baru timbul cerita begitu begini....
Bila ada kesempatan tadi, saya mencari berita yang dimaksudkan di internet. Saya jumpa berita itu di dalam berita harian online. Saya copykan di sini mungkin untuk kawan-kawan yang tak dengar beritanya.

Lelaki 40 tahun korban baru H1N1
Oleh Haika
2010/05/06

Jumlah kematian akibat jangkitan Influenza A sehingga kini seramai 82 orang

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan seorang lelaki berusia 40 tahun dari Ipoh, Perak menjadi korban terbaru jangkitan Influenza A (H1N1), menjadikan kes kematian terkumpul akibat wabak itu sehingga kini seramai 82 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata lelaki yang tidak mempunyai sebarang faktor risiko itu mengalami gejala demam dan batuk selama enam hari, sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, pada 27 April lalu.

“Beliau dirawat di unit rawatan rapi juga mengalami masalah pernafasan akibat pneumonia yang teruk dan meninggal dunia 1 Mei lalu. “Hasil perbincangan dengan pakar mengesahkan penyebab kematian mangsa ialah jangkitan H1N1. Ia menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat H1N1 sehingga hari ini (semalam) ialah 82 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Ismail berkata sehingga jam 8 pagi semalam, kementerian menerima lapan laporan kluster penyakit serupa Influenza (ILI) dari lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor. Katanya, di Kuala Lumpur ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Utara Taman Shamelin Perkasa dan SK Taman Midah Cheras manakala di Negeri Sembilan pula Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ulu Pari, Rembau serta satu keluarga di Taman Gemas Indah, Gemas.

Beliau berkata, di Melaka pula membabitkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Key Seng Bukit Baru dan di Johor dilaporkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Johor dan Klinik Kesihatan Batu Pahat, manakala satu kes di Selangor membabitkan Intergrated Islamic School Kota Damansara. “Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes ILI yang masih dirawat di wad seluruh negara ialah 538 kes dan daripada jumlah itu 46 kes disahkan H1N1 manakala enam dirawat di unit rawatan rapi,” katanya. Justeru, Ismail berkata kementerian mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan kerana penularan jangkitan H1N1 masih aktif dalam komuniti.

Komen Saya: WaLlahu aklam!! (Hanya Allah Yang Maha Mengetahui!!) Namun jika betul, mengapa setelah hampir seminggu baru diketahui puncanya, tidak semasa arwah di hospital dulu. Allah Maha Berkuasa. Mungkin itu telah jadi penyebab pemergian Azam, penyebab pemergian kita belum tahu lagi... Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Azam, Amin!!!

Sunday, May 2, 2010

Dari Allah kita datang, Kepada Allah kita kembali.




Hari ini, seluruh warga SMKSTA besedih dengan kembalinya ke RahmatuLlah cikgu Mohd. Norazam pada kira-kira jam 11.00 malam tadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di wad 3C Hospital Tuanku Bainun Ipoh setelah dimasukkan ke hospital tersebut sejak malam Selasa yang lepas. Hanya 5 hari sahaja beliau di hospital tersebut apabila mengalami demam yang agak kuat. Sesungguhnya saya tidak menyangka langsung Azam akan meninggalkan kita buat selama-lamanya dalam umur baru 40 tahun, namun itulah ketentuan Allah SWT. Dalam sejarah perkhidmatannya, beliau hanya bertugas di sebuah sekolah sahaja iaitu SMK Sultan Tajul Ariffin iaitu mulai 3 Julai 2000. .

Norazam meninggalkan bukan sahaja ramai kenalan di kalangan guru-guru, namun ratusan murid-muridnya turut bersedih di atas pemergian beliau. Norazam meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak yang berumur antara 2 setengah tahun hingga 13 tahun. Beliau merupakan seorang guru yang sangat rajin dan komited dengan tugas yang diberikan kepadanya. Lantaran itu beliau dilantik sebagai Guru Cemerlang Matematik mulai Jun 2008.

Hari ini ratusan warga pendidik dari daerah Kuala Kangsar beramai-ramai menziarahi beliau di rumah arwah bapanya di Felda Lasah. Ratusan orang ramai juga turut menyembahyangkan jenazah beliau di masjid kampung berkenaan. Semoga Allah SWT mencucuri Rahmat ke atas roh Mohd Norazam dan meletakkannya bersama-sama orang-orang yang beriman, Amin!








Al-Fatihah!............................................................................................................................