Saturday, July 31, 2010

Kenduri sebelum bulan puasa

Apabila hampir menjelang bulan puasa, ramai pula orang-orang mengadakan kenduri tahlil. Ia berlaku bukan di kampung saya sahaja, malahan di banyak kampung atau tempat-tempat yang lain. Macam hari ini tadi, sampai dua orang menjemput 'makan tengah hari' di rumahnya... macam mana nak pergi kedua-duanya...saya cuma dapat hadir untuk seorang sahaja....

Jika kita tanya para tok guru atau alim ulama, mereka mengatakan tidak ada sebarang nas atau dalil yang menyeru kita mengadakan kenduri tahlil atau kenduri arwah pada bulan Syakban ini. Jadi kalau sudah tidak ada sunatnya kita melakukan amalan itu, mengapakah ia terus diadakan. Tidakkah nanti ia menjadi suatu amalan bid’ah atau suatu amalan yang sengaja diada-adakan!

Pada saya, mengadakan kenduri dengan mengajak jiran-jiran tetangga menikmati jamuan dan makanan itu suatu perkara yang baik dan dikategorikan sebagai memberi sedekah. Ia boleh mendapat ganjaran pahala jika orang melakukan benar-benar ikhlas sebagaimana ibadat-ibadat lain. Sebaliknya jika mengadakan kenduri menjelang bulan puasa itu suatu yang mengikut-ngikut orang lain, orang lain buat, kita pun buat, rasanya itu dah macam adat pula.. Adakah amalan itu merupakan adat kita sebagai orang Melayu Islam? Sejak bila pula ia menjadi adat? Ini antara persoalan yang mesti kita fikirkan ......

Pernah terjadi di satu kampung (saya tak mahu nyatakan kampung itu), setiap hari ada sahaja orang mengadakan kenduri menjelang bulan puasa begini. Kenduri-kenduri ini lebih banyak pula pada hari-hari Sabtu dan Ahad sebab cuti hujung minggu. Yang jadi masalah, orang yang nak pergi sesuatu rumah itu terpaksa berbahagi-bahagi. Sebahagian pergi ke rumah si A dan sebahagian lagi pergi ke rumah si B. Mana larat pergi setiap rumah. Tok imam dan tok bilal lagi pening kepala. Semua yang nak kenduri itu menjemput mereka datang.. Nak pergi rumah yang mana satu?

Melihatkan keadaan demikian terus berlaku dan tak berubah-ubah, maka dalam suatu perbincangan di masjid, orang-orang kampung itu bersetuju agar tak payah lagi buat kenduri dengan menjemput orang lain datang ke rumah. Mereka telah berpakat, sesiapa yang nak buat kenduri bawa sahaja makanan itu ke masjid. Nanti selepas solat, bolehlah tok imam mengetuai majlis tahlil dan berdoa untuk hajat tuan yang punya kenduri tersebut...

Nak dijadikan cerita, selepas itu rupanya sudahlah banyak pula orang kampung membawa makanan ke masjid sehingga tak termakan-makan. Tok siak sibuklah pula membungkus makanan yang berlebih untuk diberi kepada sesiapa yang nak membawa balik ke rumah. Adapun tok imam dan orang-orang masjid itu hari-hari makan makanan yang lazat-lazat dan yang tak ter’sabo’kan iman....

Macam malam Jumaat baru-baru ini, saya ke masjid di kampung saya. Saya lihat terdapat tak kurang dari tiga orang tuan rumah menghantar makanan untuk kenduri di masjid pada malam itu. Ada yang membawa nasi minyak dengan lauknya kari kambing. Ada yang membawa pulut dengan durian. Dan seorang lagi membawa nasi biasa dengan lauk-lauk masak korma dan jelatah. Cuba kome bayangkan nak makan yang mana?

Saya sendiri pada malam itu makan durian sahaja. Bukan apa, sebab saya tak ada durian. Pokok durian saya tak berbuah pulak. Jadi bila tenguk durian yang cantik isinya macam itu, deme kata durian D24, saya makan begitu banyak. Mujur tak pening kepala. Tetapi seorang ustaz yang juga jiran saya, makan nasi minyak dengan kari kambing, kemudian tambah lagi dengan pulut durian.... akhirnya esok pagi dia dihantar ke hospital kerana darah dah ’tinggi’... Bukankah naya orang begitu...

Kesimpulannya, bukanlah salah buat kenduri... lebih-lebih lagi untuk mengajak orang lain bertahlil dan menghadiahkan pahala kenduri dan tahlil itu kepada roh-roh kaum kerabat dan orang-orang Islam lain yang telah pergi... Cuma kalau boleh, janganlah dibuat pada bulan-buan tertentu seperti bulan Syakban ini sahaja. Ada banyak lagi bulan-bulan lain yang boleh dibuat!!!...



Gambar ini sekadar hiasan.... suatu majlis kenduri di rumah saya suatu masa dulu,,, tapi bukan dalam bulan Syakban!

Thursday, July 29, 2010

Menjelang peperiksaan percubaan

Minggu depan akan diadakan peperiksaan percubaan PMR tahun 2010. Peperiksaan ini adalah peperiksaan selaras bagi seluruh negeri Perak. Ini bererti jadual peperiksaan dan soalan-soalan peperiksaannya diseragamkan bagi kesemua sekolah. Dengan ini keputusan peperiksaan iitu nanti dapatlah menilai setakat mana persediaan calon-calon bagi seluruh negeri ini dalam menghadapi peperiksaan PMR sebenar pada bulan Oktober nanti.

Menjelang peperiksaan percubaan pada minggu depan, sekolah kami menganjurkan seminar teknik menjawab soalan bagi pelajar-pelajar tingkatan 3 sepanjang minggu ini. Kesemua pelajar ini dikumpulkan di dewan besar setiap hari bagi mengikuti slot teknik menjawab yang disampaikan oleh guru-guru samada dari sekolah ini mahupun guru-guru jemputan dari sekolah lain.

Pelajar tingkatan 3 ini sangat beruntung, pertama kerana kemudahan ’first class’ mengikuti program ini di dewan yang cantik dan kemudahan audio yang canggih. Keduanya guru-guru yang menyampaikan ceramah kemahiran menjawab itu terdiri dari guru-guru yang berpengalaman mengajar subjek-subjek berkenaan. Selain daripada itu kemudahan memperolehi soalan-soalan latihan yang banyak tanpa sebarang bayaran tambahan daripada para pelajar.

Gambar-gambar di atas menunjukkan pelajar-pelajar ting. 3 sedang mengikuti seminar tersebut.

Selain daripada soalan-soalan yang diberikan oleh guru-guru sebagai latihan, para pelajar juga boleh mengakses sendiri soalan-soalan dari laman-laman di internet. Contohnya mereka boleh mendapatkan soalan latihtubi dari alamat berikut:

http://www.tutor.com.my/tutor/banksoalan.asp?pg=banksoalan.htm


Guru-guru juga boleh mengakses soalan-soalan dari portal JPN Perak untuk latihan para pelajar sebelum peperiksaan percubaan ini. Soalan yang dimaksudkan ialah soalan latihtubi PMR atau SOLAR 2. Bagi sesiapa yang tak dapat mencari sendiri portal tersebut, sila klik sahaja di alamat ini:


http://pelajaranperak.gov.my/v2/modules/news/article.php?storyid=241


....

Monday, July 26, 2010

Pegub 2010

Letih sungguh! Itulah komen cikgu-cikgu bila ditanya tentang perkhemahan unit-unit berunifom baru-baru ini. Kenduri kahwin pun kerja kendurinya sehari sahaja, tapi kerja pegub ini 3 hari... kata cikgu di bahagian masak... Walau apapun memang sangat seronok... kesimpulan yang mereka buat!!

Jika ditanya budak-budak peserta pegub pula, seronok, seronok cikgu tapi tidur dalam khemah semalam saja... malam mula tu tidur dalam kelas, hari hujan!! Bila nak buat lagi, cikgu? Tanya seorang lagi...

Walau apa pun, semua penat dan letih tu hilang bila dapat cuti sehari pada hari Isnin, cuti peristiwa ke-2 tahun ini. Semoga esok dapat menjalankan tugas seperti biasa...

Terima kasih tak terhingga kepada Tn Hj Rahimi yang menyumbangkan seekor lembu untuk kenduri sepanjang 3 hari 2 malam tersebut. Kenangan menyeronokkan makan sop malam Sabtu... Sop gear-box!.

Gotong royong menyiang daging....


Peserta perkhemahan unit beruniform

Tetamu berucap dan melawat khemah

Penuh bergaya...walaupun kalah!
.

Sudah setahun…

Puas saya cuba mengingatkan apakah peristiwa-peristiwa yang pernah dilalui pada tarikh 25 Julai. Akhirnya baru saya dapat mengimbau pada tarikh 25 Julai tahun lepas lah saya mula belajar membuat blog ini di dalam kursus perkembangan staff (LADAP) di sekolah. Pada masa itu allahyarham cikgu Mohd Norazam mengajar kita asas-asas membuat blog. Beliaulah yang membantu saya mengujudkan blog ini dan menjadikan sample untuk ditunjukkan kepada semua guru-guru yang hadir. Maknanya kelahiran blog “Cikgu Zuhairi Manong” pada ketika itu disaksikan oleh semua guru melalui skrin di bilik gerakan blok G….

Sekarang blog ini telah pun berusia setahun... Bukan senang satu blog bertahan hingga setahun.. Lihat sajalah senarai ”blog list” di sebelah. Ada yang dah berbulan-bulan tak diaktifkan... malahan ada yang dah ber”sawang” pun!!

Jadi saya sungguh bersyukur dalam tempoh setahun saya telah membuat 260 post kesemuanya samada artikel yang pendek mahu pun yang panjang.... Terdapat pulak 25 orang followers, ada anak murid, ada kawan-kawan dan ada antaranya yang saya tak kenal, kerana ia tak mengenalkan dirinya. Namun terima kasih banyak-banyak. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sering memberi komen... Kadang-kadang di sekolah, kita masing-masing sibuk dengan tugas, tetapi di alam ICT kita dapat bertukar fikiran dan memberi cadangan yang bernas....Sebenarnya bila ada komen barulah kita tahu pendapat kita dibaca atau tidak dan apa pula respon mereka.

Ada yang bertanya, masa bila saya mengadap note book untuk menulis tu... Sebenarnya saya mengadapnya hanya di rumah apabila tak ada apa yang nak dibuat. Biasanya pukul 10 ke atas, sebelum melelapkan mata...Di sekolah saya tak pernah pun untuk menulis begitu kerana kerja-kerja sekolah yang banyak. Sebab itu, semasa ’streamix’ di rumah saya rosak atau kerana ’tiada line’ suatu masa dulu, blog saya ini juga mogok!...

Semoga blog ini terus mendapat kunjungan kawan-kawan... terima kasih!

Untuk melihat “Post” yang pertama pada 25 Julai 2009.... klik alamat di bawah...

http://zuhairimanong.blogspot.com/2009/07/assalamualaikum-selamat-datang-ke-blog.html



...

Sunday, July 25, 2010

Cukup Setakat ini...


Rasanya saya hendak menghentikan penulisan berkaitan pengalaman ziarah dan umrah pada cuti persekolahan yang lepas. Walaupun ada banyak point lagi dan ada banyak gambar lagi yang nak dikongsikan, tetapi rasanya cukuplah setakat ini. Semoga apa yang saya kongsikan untuk kawan-kawan itu dapat memberi banyak menafaat. Tidak terlintas di hati kecil saya untuk membangga-bangga diri dengan menceritakan pengalaman perjalanan saya itu. Malahan tulisan itu sebagai perkongsian dan mengisi masa lapang saya sahaja, jauh pula untuk menyaingi penulisan dan pengembaraan Ibnu Batuttah ….!

Untuk yang terakhir ini saya ceritakan pejalanan balik kami... ok! Pada tanggal 19 Jun 2010, hari Sabtu kami berangkat meninggalkan kota Suci Makkah al Mukarramah. Selepas mengerjakan tawaf wida di BaituLlah, kami menaiki bas untuk berangkat ke Jeddah. Memang sangat sedih dan sayu untuk meninggalkan masjidil Haram yang banyak kelebihan ini. Namun seperti doa kami selepas tawaf wida itu, ” Ya Allah Tuhan yang mengembalikan sesuatu, kembalikan aku ke BaituLlah ini lagi… Ya Allah, murahkanlah rezeki ku supaya dapat kembali menziarahi BaituLlah berulangkali dengan bertaubat, beribadat, mengucap syukur dan puji-pujian…..”

Airport King Abdul aAziz Jeddah

Dari Jeddah kami sekali lagi menaiki kapalterbang Arab. Kalau dulu kapalterbang Oman, kali ini kapalterbang Yaman. Yemen Airways. Pesawat yang kami naiki juga dari jenis Air Bus 330-200. Kami transit beberapa jam di Sanaa International Airport. Sanaa ialah ibu negara Yaman. Semasa keluar dari kapalterbang, saya terkejut kerana suhu di sini agak sejuk, iaitu sekitar 28 o C. Tempat yang berpadang pasir tetapi sejuk!! Biasanya kalau padang pasir, suhu panas.... Rupanya, Sonaa ini satu bandar yang kedudukannya agak tinggi dari aras laut. Macam kita pergi ke bukit Cameron Highland agaknya! Walaupun transit di sini, tetapi kami tak boring sebab dewan yang disediakan di airport itu ada TV yang menyiarkan siaran bola sepak piala dunia...

Di dalam kapalterbang ini, terdapat lagi dua lagi pakej umrah dari Malaysia yang bersama-sama untuk balik ke KLIA. Satu dari Kelantan dan satu lagi dari Penang. Kumpulan pakej dari Kelantan itu ialah kumpulan Maahad Tahfiz Yayasan Islam Kelantan. Rata-rata kumpulan itu ialah anak-anak remaja dari sekolah-sekolah tahfiz di Kelantan. Saya tanya seorang pelajar, dia menyatakan kumpulannya seramai 66 orang yang mana 38 orang daripadanya ialah pelajar-pelajar tahfiz YIK, selebihnya guru-guru dan ibubapa atau keluarga pelajar berkenaan. Di dalam hati saya, bagus juga kalau ada kumpulan pelajar atau guru-guru dari negara kita beramai-ramai mengerjakan umrah seperti ini. Daripada melancung ke tempat lain, lebih baik menzirahi kota suci dan mengerjakan umrah...

Kami mendarat di KLIA kira-kira jam 1.30 petang. Selepas urusan mengambil barang-barang kami terus menaiki van yang disewa dan berhenti di R&R Dengkel. Selepas solat dan makan, kami terus balik dan sampai di rumah jam 8.00 malam.

Demikianlah ceritanya.....secebis kisah...

Buat akhirnya, saya masih berazam akan menziarahi dua tanah suci ini lagi pada masa depan, jika diizinkan Allah. Kalau tak dapat untuk ibadat haji, insyaAllah kita pergi untuk ibadat umrah.. Sementara badan masih sihat, otot-otot masih kuat, eloklah kita pergi.... jangan nanti bila dah naik ”wheelchair” baru nak pergi. .

Bila cakap pasal ’wheelchair’, ada juga gambar orang ber-’wheelchair’ yang saya ambil di dalam masjid ini.

Adakah kita nak tunggu sampai kita berusia begini baru nak pergi.... Sedangkan ada suatu hadis yang maksudnya.....

"Barangsiapa yang mempunyai bekalan (yakni kemampuan) untuk sampai ke BaituLlah bagi menunaikan haji namun sehingga ia mati ia tidak pergi dengan tidak ada keuzuran baginya, maka tidak ada halangan baginya mati sebagai Yahudi atau Nasrani..." (H. R. At Termidzi)

Di tingkat dua masjidil haram, ada servis ’sewaan’ wheelchair’ elektrik yang boleh dijalankan sendiri tanpa perlu ditolak oleh orang lain. Cuma jagalah stering dan breknya... lesen tak diperlukan....bayar sewanya sahaja..



Sekian.......................



..

Thursday, July 22, 2010

Darihal petrol, pemandu dan kereta.........

I. Bila harga petrol naik 5 sen kepada RM1.85 baru-baru ini mengingatkan saya kepada harga petrol di negara Saudi. Memang betul kata orang, harga petrol di negara Saudi sangat murah, malahan air mineral di sana lebih mahal dibanding dengan harga petrol. Sewaktu menaiki bas dari Madinah ke Makkah, pemandu bas kami singgah di satu ’petrol pump’ untuk mengisi petrol. Saya memerhatikan sendiri, pada pump tersebut tertulis harga 0.25 riyal seliter. Saya juga perhatikan apabila drebar bas membeli dengan harga SR 20.00, meter pump menunjukkan 80 liter baru pump tersebut berhenti. Kalau di sini nak beli 80 liter petrol mahulah harganya RM140 lebih... Begitulah murahnya harga petrol di negara yang menjadi pengeluar petroleum yang terbesar di dunia itu.....


II. Seorang rakan dari kumpulan pakej umrah saya menyatakan, pemandu-pemandu di Makkah ini banyak membunyikan ”horn” dari menekan brek! Jika diamati memang benar kenyataan itu. Sebenarnya kalau kita perhatikan kenderaan di jalan-jalan di sana, samada kereta, bas atau lori, pemandu-pemandunya akan membunyikan ’horn’ apabila berlaku sedikit kesesakan... atau ada halangan lain di depan... Kadang-kadang bagi saya yang sudah memandu kira-kira 30 tahun ini, rasanya tak perlu membunyikan horn dalam sesuatu keadaan, tetapi pemandu di sana membunyikan horn itu berkali-kali. Mungkin bagi mereka, hari ini aku horn kamu, esok aku mesti tahan dengan bunyi horn kamu pula. Kalau kita di sini, kita akan banyak bersabar ketika memandu. Kita akan membunyikan horn jika keadaan memerlukan sahaja. Membunyikan horn banyak kali dan tanpa sebab munasabah, mungkin kita di anggap kaki gaduh!!!

Apabila selesai waktu solat jemaah, orang ramai memenuhi jalan-jalan raya untuk balik ke rumah dan sebagainya. Kita akan dapati jalan-jalan raya akan menjadi riuh rendah... Teksi-teksi akan membunyikan horn untuk mencari penumpang, Kereta-kereta lain akan membunyikan horn jika ada kenderaan di depan berhenti atau perlahan... Begitulah Kadang-kadang, tak sedarkan terkeluar perkataan ”Sabarlah hoi!!” dari mulut saya memerhatikan gelagat pemandu-pemandu di sana....


III. Tetapi yang paling menarik perhatian saya di sana ialah kenderaan-kenderaannya banyak yang dari jenis kereta mewah... Antaranya BMC, Chevrolet, Mercedes, Saab, Toyota dan sebagainya. Sangat sedikit kereta-kereta model murah. Satu lagi, kereta-kereta di sana banyak yang bersisi besar.. 2000 c.c. ke atas. Mungkin kita tak hairan sebab harga petrol murah!! Bas-bas dan lori di sana pula hanya menggunakan petrol sebagai bahan api, bukan deisel. Sebab itu asap tak banyak, bunyi tak bising... yang bising ’horn’ nya saja.

Teksi-teksi di bandar Makkah kebanyakannya dari model Toyota Camry atau Toyota Inova 2.7 c.c. .... Kita di sini Toyota Camry dipakai oleh orang-orang kenamaan atau orang-orang korporat sahaja... tetapi di sana, ia hanya dijadikan teksi sahaja. Teksi-teksi itu pula baru-baru belaka..


Totota Camry digunakan sebagai teksi....

Kereta idaman teman, yang bewarna hitam seperti di atas rupanya dah jadi ”prebet sapu” sahaja di sana...


..

Tuesday, July 20, 2010

Lawatan ke Hudaibiyah.....

Pada petang 15 Jun 2010 selepas waktu asar, urusetia pakej umrah kami sekali lagi membawa kami melawat di luar kota Makkah. Kali ini pula ke Hudaibiyah iaitu kira-kira 26 km dari masjidil haram. Nama hudaibiyah ini terkenal dengan nama perjanjian antara orang Islam dengan orang kafir di zaman RasulUllah dahulu yang ditandatangani di tempat ini. iaitu Perjanjian Hudaibiyah...

Kenapa pula lawatan kali ini pada sebelah petang dan tidak sebelah pagi seperti kebiasaan.. Ini ialah kerana kami bertujuan melawat muzium yang mempamerkan koleksi khazanah dari dua masjid iaitu masjidil haram di Makkah dan masjidil nabawi di Madinah. Kedudukan muzium ini adalah kira-kira 3 atau 4 km sebelum sampai ke Hudaibiyah. Difahamkan muzium ini hanya dibuka selama dua jam sahaja dalam sehari iaitu antara waktu maghrib dan Isyak dan para mengunjung pula dihadkan bilangannya kerana keselamatan koleksi bahan-bahan yang dipamerkan... jadi kami bertujuan untuk merebut peluang ini jika diizinkan Allah!

Perjalanan ke Hudaibiyah melalui lebuhraya yang cantik. Di kiri kanan ialah padang pasir tetapi padang pasirnya tidaklah kering kontang kerana terdapat rumput-rumput hijau menunjukkan kawasan ini agak subur, Di sana sini nampak kumpulan-kumpulan haiwan ternak iaitu unta sedang meragut rumput. Ini berbeza dengan kawasan kota Makkah memang tak nampak seekor unta pun, malahan semuanya bangunan-bangunan sahaja.



Bila melihat keadaan padang pasir di kiri kanan lebuhraya ini, terfikir saya mungkin beginilah agaknya rupa padang pasir di zaman RasulUllah dahulu, bukankah para sahabat RasulUllah SAW dulu menternak unta, malahan ada antara mereka yang mempunyai kekayaan ratusan atau ribuan ekor unta, walLlahu aklam….

Kami kemudian singgah di sebuah ladang ternakan unta susu di tepi lebuhraya itu. Memang terdapat banyak ladang unta susu begini, mungkin disediakan untuk orang-orang yang berziarah ke Makkah ini. Unta-untanya gemuk dan diberi cukup makan. Badannya juga agak bersih mungkin dijaga, dibasuh atau sebagainya. Penternak unta di sini menjual susu-susu unta yang segar yang diperah daripada unta betina… Saya juga turut membeli susu unta yang baru itu dengan harga 5 riyal untuk sebotol kecil.. Bila melihatkan cara susu itu diperah dari badan unta, rasanya tak lalu nak minumnya, tetapi dek kerana nak merasa, pejam mata saya minum juga!!



‘Arab sesat’ ini sedang menunjukkan unta-untanya… “Ini unta-unta semua, ana punya lah” katanya.


Susu unta sedang diperah dari ibu unta, anaknya tengok saje... ”Lepas ini kasi ana ya ummi!...”

Lihatlah anak unta yang jinak ini 'mahu diajak bergambar'

Setelah puas di ladang unta tersebut kami terus ke masjid Hudaibiyah. Pemandu pelancung kami menceritakan sirah Hudaibiyah pada zaman RasulUllah SAW. Kami mendengarnya dengan penuh 'khusuk' dan mengambil banyak pengajaran. Memang pemandu pelancung ini banyak pengetahuan tentang sirah tersebut dan ia pandai menceritakan kepada rombongan kami. Hudaibiyah juga satu sempadan tanah haram dan ia boleh menjadi miqat untuk mengerjakan umrah sebagaimana yang diajarkan oleh RasulUllah SAW. Selepas solat maghrib kami cepat-cepat naik bas dan bergerak ke Muzium yang menyimpan koleksi dua masjid yang saya katakan tadi.



Pemandangan luar muzium ini


Antara koleksi berharga bahan-bahan dari dua ”masjid haramain”



Dua buah tingkap ”hajarul aswad” yang telah tidak digunakan lagi ....



Satu daripada tiang kaabah di zaman Abdullah ibn Az Zubair (65H) masih disimpan di sini

......




.

Saturday, July 17, 2010

Solat jenazah di Masjidil haram

Tanyalah sesiapa saja yang pernah pergi ke masjidil haram, tentu mereka tidak hairan jika selepas solat fardhu berjemaah sahaja akan ada pula solat jenazah. Begitulah yang berlaku di masjidil haram ini terutama pada musim haji boleh dikatakan setiap waktu solat ada saja solat jenazah. Malahan pada musim haji bilangan jenazah yang disembahyangkan pula agak ramai. Kadang-kadang hingga sampai sepuluh orang atau lebih.

Adalah menjadi kelaziman orang-orang Islam di Arab Saudi ini akan membawa jenazah untuk disembahyangkan di masjid ini kerana mahukan “doa orang-orang yang solleh”. Apa tidaknya bilangan orang yang akan menyembahyangkannya tentulah amat ramai iaitu seramai bilangan jemaah di masjid ini. Bila orang yang menyembahyangkannya ramai tentu doa-doa orang yang solleh ini akan dimaqbulkan Allah SWT. Selain jenazah orang Arab, jenazah orang Islam yang lain yang meninggal dunia di Makkah juga di sembahyangkan di sini. Itu pun jika ahli keluarganya mampu menyediakan kos pengurusan jenazah sehingga ianya dikebumikan.

Semasa kami berziarah dan umrah di sini, hampir setiap waktu ada saja solat jenazah. Jenazah-jenazah ini biasanya dibawa ke masjid dengan ambulan khas. Petugas-petugas akan mengangkat jenazah tersebut melalui pintu Sofa (Babus Sofa) dan terus dibawa di depan kaabah iaitu berhampiran ”tempat bilal”. Jenazah-jenazah ini disusun di situ menantikan solat fardhu. Sebaik saja solat fardhu berjamaah selesai, bilal akan ’memanggil’ untuk solat jenazah pula. Imam akan datang dengan diiringi oleh polis dan pengawal keselamatan untuk mengimamkan solat jenazah tersebut. Pada hari Jumaat yang pertama kami di sini, saya melihat sendiri 9 jenazah diusung keluar dari masjid sebaik selesai disembahyangkan. Begitulah banyaknya jenazah walaupun bukan di musim haji.

Jenazah-jenazah yang telah disembahyangkan akan dibawa oleh petugas atau waris mereka
ke tanah perkuburan samada di Maala atau tanah perkuburan lain. Maala ialah nama tanah perkuburan yang besar di Makkah ini. Untuk pengetahuan kita, di Maala inilah dikebumikan jenazah Saidatina Siti Khadijah (isteri RasuluLlah SAW) lebih seribu empat ratus tahun dahulu. Sebab itu ramai jemaah haji menziarahi tanah perkuburan Maala ini untuk menziarahi dan berdoa di makam Saidatina Siti Khadijah.

Kereta jenazah berbaris di luar masjid menghantar jenazah untuk di sembahyangkan.... Ada di antara kereta jenazah ini boleh membawa dua jenazah sekali gus... di bahagian dalamnya diubahsuai supaya ada dua tingkat tempat meletak pengusung seperti ’double dacker”

Jenazah diusung masuk dan keluar masjid haram melalui pintu khas iaitu pintu Sofa...


Tanah Perkuburan Maala di kota Makkah... Mari sedekahkan Al fatihah!


.

Friday, July 16, 2010

Hamamah.. Sadakah!

Eh kenapa dengan gambar burung-burung merpati yang banyak ini? Dah tak ada cerita nak dikongsi lagi ke? Sebenarnya di beberapa tempat di sekeliling masjidil haram yang besar lagi luas ini, terdapat beberapa tempat di mana burung-burung merpati suka datang. Sebabnya mudah saja. Kerana ada makanan dan ada orang yang memberi burung-burung itu makan.



Lihatlah berapa punya banyak burung merpati yang ada?

Bila kita melalui kawasan yang banyak burung ini, kita akan mendengar suara, Hamamah! Hamamah! Sadakah! Satu riyal!!! Itulah suara orang kulit hitam yang menjual gandum apabila melihat jemaah haji Malaysia. Atau apabila melihat jemaah haji dari negara lain dia akan cakap ....dos riyal, one riyal atau sebagainya... Mereka menjual gandum bagi makanan burung merpati dalam bungkusan satu riyal atau dua riyal. Biasanya pengunjung-pengunjung membeli gandum itu dan terus menaburkan gandum itu ke dataran supaya burung-burung itu memakannya.



Suatu hari seorang kawan dari kumpulan pakej saya membeli gandum itu dan terus menaburkan di dataran untuk memberi burung-burung itu makan. Apabila saya bertanya, dia kata, ada orang dari kampungnya yang berkirim kepadanya agar bersedekah kepada burung-burung merpati itu....

Bukan apa, pada saya buat apa beri makan burung-burung itu, nanti dia akan membiak banyak dan mengotorkan kawasan masjid. Bukankah lebih baik bersedekah kepada manusia lain seperti peminta sedekah, orang musafir yang keputusan wang ataupun kepada pekerja-pekerja pembersihan masjidil haram itu sendiri.

Memanglah membuat kebajikan di masjidilharam ini dijanjikan mendapat ganjaran ”sepuluh ribu kebaikan”, tetapi tak pulak saya pasti memberi makan burung yang boleh mengotorkan kawasan masjid akan mendapat ganjaran kebajikan itu...Kita sendiri boleh lihat pekerja-pekerja pembersihan masjidil haram itu sentiasa membersihkan kawasan sekeliling masjid. Mereka juga membersih dan menyapu gandum-gandum yang ditaburkan di dataran masjid... WaLlahu aklam!

Jalan LRT.............

Dari Jabal Rahmah bas kami melalui jalan menuju ke Muzdalifah dan terus ke Mina. Sebagaimana kita tahu Muzdalifah dan Mina adalah nama-nama tempat yang penting yang merupakan sebahagian daripada tempat-tempat melaksanakan Wajib Haji bagi para jemaah di musim haji.

Muzdalifah ialah tempat di mana jemaah haji kena bermalam walaupun sekejap selepas separuh malam setelah selesai mengerjakan wukuf di padang arafah. Di Muzdalifah para jemaah haji biasanya akan mengutip anak-anak batu bagi kegunaan melontar di Jamrah-jamrah. Manakala Mina pula ialah tempat di mana para jemaah haji wajib bermalam pada malam-malam hari ke-11, ke-12 dan ke-13 Zulhijjah. Di Minalah letaknya tempat melontar yang tiga itu, iaitu Jamratul-Ula, Jamratul-Wusta dan Jumratul-Aqabah.

Di beberapa tempat dalam perjalanan itu, kami bertemu dengan kawasan pembinaan jalan LRT. Ini satu lagi projek raksasa yang sedang dilaksanakan di tanah suci Makkah. Difahamkan oleh pemandu pelancung kami, jalan-jalan LRT ini akan siap setahun dua lagi. Ia menghubungkan kota Makkah dengan tempat-tempat seperti padang Arafah, Muzdalifah dan Mina. Insya-Allah jika siap nanti, tentulah akan memudahkan pada jemaah haji untuk pergi ke tempat-tempat berkenaan. Tidaklah perlu lagi menggunakan bas seperti sekarang ini. Mungkin perkhidmatan bas yang begitu banyak seperti sekarang ini akan ditamatkan kerana semua jemaah haji akan menggunakan LRT.



Jalan-jalan LRT sedang dalam pembinaan


Di Mina, sekarang ini, khemah-khemah tetap yang beribu banyaknya sudah siap dipasang dan tidak dibongkar di luar musim haji. Berbeza dengan padang arafah yang khemah-khemahnya akan didirikan oleh pihak berkuasa apabila sampai musim haji sahaja. Lepas itu semua khemah ini akan dibongkar dan tahun hadapan dipasang lagi. Khemah-khemah di Mina yang canggih ini biasanya siap berhawa dingin. Dan di kawasan khemah-khemah ini juga didirikan bangunan-bangunan tandas dan bilik-bilik air yang lebih elok secara tetap. Begitulah mudahnya sekarang ini. .


Lihatlah betapa canggihnya khemah-khemah yang disediakan di Mina untuk para jemaah haji di musim haji,
.

Gambar dari dalam bas ini menunjukkan pemandangan di sekitar Mina yang luas itu. Terowong yang jauh kelihatan itu ialah terowong Muassim, yang pernah meragut nyawa ratusan para jemaah haji satu ketika dahulu kerana jemaah haji ”bertembung” antara yang nak pergi melontar di jamrah dengan yang telah selesai melontar.

Hotel-hotel baru juga di bina di Mina bagi kemudahan jemaah haji untuk mabit (bermalam) iaitu salah satu wajib haji...

Mengakhiri lawatan, kami di bawa ke Jaaranah untuk miqat umrah bagi sesiapa yang nak mengerjakan umrah lagi. . Dalam perjalanan itu kami melalui satu tempat bernama Lembah Hunain. Pemandu pelancung kami menceritakan sejarah Lembah Hunain iaitu peperangan Hunain di zaman Rasullullah SAW dan asal usul kenapa masjid di Jaaranah ini menjadi miqat untuk mengerjakan umrah.

Peperangan Hunain berlaku pada bulan Syawal tahun kelapan Hijrah. Dalam peperangan ini, bilangan tentera Islam sangat ramai iaitu 10,000 orang telah memerangi dua puak kecil penentang Islam. Malangnya, kerana bilangan tentera yang ramai itu telah menjadikan mereka berasa “kuat” sehingga lupa pada pertolongan Allah SWT.
Allah menguji tentera Islam dengan tipu helah musuh sehingga berlaku kacau bilau. Ramai tentera Islam melarikan diri. Mereka terpaksa berundur dan mengatur semula strategi sehingga akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada tentera Islam. Begitulah Allah sentiasa “menguji” sahabat-sahabat pada masa perkembangan Islam dahulu.....

Selepas memenangi peperangan tersebut, RasulUllah SAW dan para sahabat berangkat ke Jaaranah untuk berniat umrah kemudian berangkat ke Masjidilharam untuk melakukan tawaf dan saie. Itulah permulaanya bagaimana masjid Jaaranah menjadi salah satu miqat untuk mengerjakan umrah sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda RasulUllah SAW.
Kami sungguh terharu mendengar kisah tersebut, Terfikir di fikiran saya betapa susahnya RasulUllah dan para sahabat dulu mengerjakan umrah pada masa itu dengan berkenderaankan unta atau berjalan kaki sahaja, berbanding kita di zaman sekarang yang menaiki bas berhawa dingin...... Semoga amalan kita diterima dan mendapat keredhaan jua dari Allah SWT , Amin.....

Lembah Hunain sekarang ini telah menjadi kawasan penempatan penduduk-penduduk Arab ....
WaLlahu aklam...



..