Thursday, January 21, 2010

"o-b-o-r = ais krim"

Masalah buta 3M di kalangan pelajar sekolah menengah bukan perkara baru. Malahan ini adalah satu masalah yang tak pernah selesai seperti juga masalah penagihan dadah di negara kita. Walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh sekolah-sekolah rendah dengan pelbagai nama program 'glamour' seperti KIA2M, '4 bulan boleh baca' dan sebagainya, hakikatnya masih terdapat sekumpulan pelajar yang tidak boleh membaca apabila mereka naik ke tingkatan 1.

Di sekolah saya umpamanya, terdapat kira-kira 20 orang pelajar ting. 1, 2 dan 3 yang masih tidak menguasai 3M walaupun mereka telah bersekolah rendah selama 6 tahun. Mungkin bagi setengah orang mereka agak terkejut dengan angka ini. Tetapi bagi saya, pengalaman mengajar hampir 20 tahun di sekolah menengah luar bandar, hal ini sudah menjadi kebiasaan. Kiraannya mudah sahaja, jika sebuah sekolah rendah menghantar 1 orang sahaja pelajar buta 3M ke tingkatan 1, maka jika sekolah kaca puri sekolah ini sebanyak 8 buah, bererti sudah ada 8 orang pelajar sedemikian di tingkatan 1. Dan jika angka ini didarabkan dengan 3, kerana bilangan pelajar buta 3M di tingkatan 1, 2 dan 3, maka angka 20 itu betul dan tidak menghairankan.

Saya tidak ada data yang betul tentang sekolah-sekolah lain di dalam daerah, tetapi jika sebuah sekolah mempunyai kira-kira 20 orang pelajar buta 3M, jika daerah ini mempunyai 20 buah sekolah menengah, maka mungkin terdapat 400 orang pelajar sekolah menengah masih tidak menguasai 3M.
Itulah 'kehendak' dan 'susunan' dari Allah jua menjadikan pelajar sedemikian, yang pelbagai usaha telah dilakukan oleh guru sekolah rendah dan keluarga mereka, namun masih terdapat pelajar yang tidak boleh membaca, apabila lagi untuk mengira dan sebagainya.

Hari ini saya nak menceritakan kisah pelajar yang 'tak bernasib baik' ini yang berlaku pada petang tadi. Sewaktu saya nak menunaikan solat zohor kira-kira jam 2.30 petang, saya lihat cikgu Pn Rohizan sedang mengajar 2 orang pelajar ting. 1 mengeja dan membaca di 'pondok ilmu' yang terletak bersebelahan surau sekolah. Saya terus mendekati mereka dan di dalam hati saya, saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas usaha cikgu ini yang sanggup mengajar 2 orang budak ini mengeja dengan menggunakan 'buku tadika'. Cikgu ini sanggup menolong pelajar ini walaupun selepas waktu persekolahan.

Saya lihat seorang budak itu terkebil-kebil mengeja tulisan yang besar yang ada gambar objek di sebelahnya. Saya meminta budak itu mengejanya, sambil menunjukkan ejaan "e p a l" dan gambar epal di sebelahnya. Memang buta sungguh, dia tak dapat mengenal huruf 'e' dan 'pal' itu serta tak dapat membunyikan ejaan itu. Saya pun membantunya...e-e, p..a..l.' "epal!" dan menunjukkan gambar epal di sebelah itu, budak itu pun mengikutnya, saya lantas memujinya, bagus!, pandai!

Kemudian saya meminta dia mengeja perkataan lain di buku itu, "o-o, b..o..r..! budak itu pun mengikutnya, o-o, b..o..r..! ha bunyinya apa, tanya saya sambil menunjukkan gambar obor yang ada di sebelah ejaan tersebut. Dia diam.. Saya tanya lagi, o-o, b..o..r bunyinya apa, sambil tangan saya menunjukkan gambar obor di sebelahnya. Dia membuka mulutnya, "ais krim!, katanya..
Saya tak dapat menahan ketawa... Memang gambar obor di buku itu hampir serupa dengan gambar ais krim! Sambil menahan ketawa saya beredar dari situ....

Mengapalah pengarang buku itu pilih ejaan 'obor', cari lah benda lain. Budak kampung macam ini, mana pernah tengok obor! Sekarang kan dah ada elektrik!

Bila teringat o-o, b..o..r = ais krim, saya pasti tersenyum mengingatkan budak tersebut. Nasib baiklah, masa solat zohor tadi, tak teringat, kalau tidak, batal sembahyang teman... !!




" o-o, b..o..r.. aiskrim !

.

2 comments:

  1. alif ya mim = burung...P ramlee

    ReplyDelete
  2. Kesiannya.. Dalam era serba canggih skrg ni budak 4 tahun pun dah boleh membaca..

    ReplyDelete