Sunday, January 31, 2010

"Katarak"


Pada hari Jumaat yang lepas, tuan pengetua ada menceritakan tentang satu jenis penyakit mata yang boleh dirawati iaitu katarak. Tuan pengetua menceritakan penyakit tersebut di perhimpunan sebelum program bacaan Yassin dijalankan.

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai penyakit ini, saya melayari laman http:medicastore.com. Berikut saya perturunkan beberapa informasi mengenainya untuk tatapan kita semua.

DEFINISI
Katarak adalah kekeruhan pada lensa mata yang menyebabkan gangguan penglihatan.

PENYEBAB
Pada banyak kes, penyebabnya tidak diketahui. Penyebab lain yang dikenalpasti ialah usia, kencing manis, cahaya UV (pancaran matahari), kecederaan mata, merokok atau genetik.
Katarak disebabkan oleh selaput di bahagian kanta semulajadi mata kita yang menghalang cahaya and imej menembusi mata.

Bila usia kita meningkat, kadar mendapat katarak juga meningkat. Namun begitu, ada kanak-kanak dan orang muda yang boleh mendapat katarak juga. Tiada ubatan atau senaman mata yang boleh melarutkan katarak. Jikalau cermin mata tidak dapat membetulkan penglihatan kita, hanya pembedahan untuk mengeluarkan katarak dan menggantikannya dengan kanta tiruan dapat menolong memperbaiki penglihatan kita.
ADAKAH APA-APA RISIKO?

Pembedahan Katarak Teknologi Terkini(Advanced Cataract Surgery) lebih berkesan daripada cara-cara yang lama, serta sangat berkesan dan berisiko rendah.

Pembedahan Katarak Teknologi Terkini biasanya membolehkan kita mengalami:
1. Pembedahan cepat - kurang daripada 30 minit
2. Pembedahan Rawatan seharian - kurang dari 2 jam berada di pusat rawatan pembedahan
3. Penglihatan yang baik dengan pemulihan mata yang cepat
4. Pemulihan yang cepat untuk kembali kepada aktiviti seharian
5. Tiada sakit langsung atau hanya sedikit ketidak keselesaan pada waktu dan selepas pembedahan.
6. Tidak perlu jahitan atau pembalut mata
7. Kekurangan silau mata
Pembedahan boleh dilakukan tanpa perlu menunggu selaput menjadi matang. (Pembedahan untuk katarak yang sepenuhnya matang mendedahkan diri kepada lebih risiko.)
Pilihan kanta tiruan beraneka jenis seperti: monofocal, aspheric, multifocal.
Dengan Pembedahan Katarak Teknologi Terkini (Advanced Cataract Surgery) anda boleh menikmati kualiti hidup yang tinggi dengan penglihatan yang lebih baik.
Didoakan tuan pengetua selamat menjalani pembedahan katarak mata kirinya pada 1 Februari 2010 di hospital Tuanku Bainun Ipoh. Semoga beliau sihat sejahtera dan dapat bertugas semula ….Amin.. ya Rabbul alamin!!
.

Saturday, January 30, 2010

"Zaman Susah ?"


Tahun ini, hebuh diperkatakan peruntukan kewangan di sekolah-sekolah sangat terbatas. Mungkin banyak aktiviti tidak dapat dilaksanakan lagi seperti tahun-tahun lepas. Pertandingan sukan dan permainan antara sekolah dan daerah juga dihadkan kepada beberapa permainan sahaja kerana tiada peruntukan kewangan. Pegawai-pegawai kementerian juga dikatakan dihadkan peruntukan perjalanan setiap bulan. Ada yang mengatakan tidak boleh tuntut perbatuan seperti dahulu, sekarang hanya boleh tuntut satu tempat duduk sahaja. Malahan minggu lepas, seorang guru yang dipanggil mesyuarat di luar sekolah, diminta makan sendiri sahaja kerana tiada disediakan makan minum oleh pihak urusetia.

Awal bulan ini dulu, bagitu juga hebuh diperkatakan tentang peruntukan makan di asrama sekolah dibataskan kepada 200 hari sahaja setahun berbanding 250 hari pada tahun-tahun sebelum ini. Maka banyaklah sekolah berasrama dikatakan menyuruh pelajar balik ke rumah pada setiap hujung minggu. Maka bisinglah ibubapa memikirkan bagaimana nak mengambil dan menghantar anak-anak ke asrama pada setiap minggu. Mujurlah dikhabarkan pihak kementerian telah membetulkan semula keadaan dengan menambah peruntukan makan kepada 240 hari setahun.

Kesemua keadaan ini mengingatkan kita kepada zaman susah dan zaman senang. Dan di dalam sejarah dunia pernah berlaku keadaan zaman senang dan susah ini seperti yang berlaku pada zaman Nabi Yusuf a.s.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 46 – 49 surah Yusuf :

Maksudnya : Setelah dia berjumpa dengan nabi Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): 7 ekor lembu yang gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu yang kurus; dan 7 tangkai (biji-bijian) yang hijau serta 7 tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”. Nabi Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh 7 tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, 7 tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). “Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.

Bila kita membaca surah Yusuf di atas, maka kita dapat mengambil begitu banyak pengajaran yang penting antaranya berkaitan tafsiran mimpi nabi Yusuf berkaitan bumi Mesir yang mesti menggunakan peluang dalam menanam gandum pada musim subur selama 7 tahun sebelum datangnya musim kemarau selama 7 tahun selepas itu. Pelaksanaan terhadap tasiran mimpi Nabi Yusuf itu bukan sahaja dapat menyelamatkan rakyat Mesir daripada mati kebuluran malah dapat membantu rakyat daripada negara jiran yang lain.

Kisah ini memberi pengajaran besar kepada kita yang sedang menghadapi masalah ‘ekonomi’ sekarang. Pengajaran yang utama ialah kita mesti berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah. Mungkin ada banyak lagi hikmah di sebalik keadaan yang berlaku sekarang. .....
.

Wednesday, January 27, 2010

Pemantauan Sektor Pendidikan Islam Pula

Hari ini, sekolah saya didatangi oleh seorang pegawai dari Sektor Pendidikan Islam JPN Perak pula. Seperti pegawai dari sektor pengurusan akademik yang datang pada hari semalam, pegawai ini memantau pengurusan panitia di bawah tadbirannya. Ada 3 panitia yang dilihatnya, iaitu panitia Pendidikan Islam, Panitia Bahasa Arab dan Panitia Kelas Kemahiran Al-Quran.

Seperti semalam, saya juga menyampaikan taklimat ringkas mengenai pengurusan kurikulum sekolah kepada pegawai ini. Selepas itu, ketua panitia pendidikan Islam, Ustazah Suriawati pula memberi taklimat mengenai panitianya. Dalam ucapan balasnya, pegawai berkenaan memuji usaha panitia ini melaksanakan program peningkatannya. Beliau juga banyak menerangkan rancangan sektor nya untuk membantu sekolah-sekolah pada tahun ini.


Lihatlah betapa 'khusuk'nya pegawai berkenaan mendengar taklimat yang diberikan.

Tuesday, January 26, 2010

Pemantauan Pengurusan Akademik

Hari ini sekolah saya dilawati oleh pegawai dari sector pengurusan akademik Jabatan Pelajaran Perak. Pegawai tersebut melakukan Pemantauan Pengurusan Akademik 2010.

Ada tiga agenda utama yang dilakukan oleh pegawai tersebut. Pertama ialah pemeriksaan fail atau bahan pengurusan akademik. Kedua ialah pencerapan P&P guru di bilik darjah dan ketiga ialah perjumpaan dengan pentadbir kurikulum sekolah.

Antara fail dan bahan pengurusan akademik yang diperiksa ialah fail Mesyuarat Jkuasa Kurikulum sekolah, fail panitia Matematik, fail panitia Sains, Program Kecemerlangan Akademik, Buku pencerapan P&P guru dan analisis peperiksaan awam.

Di akhir pemantauannya, pegawai ini menjelaskan dapatan-dapatannya. Beliau mengatakan sekolah ini berada dalam keadaan ceria dan sangat kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Beliau memuji pengetua sekolah yang sangat komited dalam pengurusan sekolah dengan mengadakan inovasi portal pengurusan pendidikan secara intranet. InsyaAllah ini akan memberi impak yang positif kepada murid-murid.

Beliau juga mengatakan, pengurusan akademik sekolah ini telah diurus dengan terancang kerana maklumat dan senarai semak pengurusan akademik semuanya telah dilaksanakan. Tetapi beberapa perkara masih boleh ditambah nilai. Antaranya beliau mengatakan minit mesyuarat JK Kurikulum mestilah ’detail’ dan ’specific’ kerana ia merupakan dasar kurikulum yang dijalankan di sekolah. Selain daripada itu beliau menyatakan budaya head-count dan post-mortem mesti terus dibudayakan dalam kalangan guru-guru.


Kelihatan pegawai berkenaan menyampaikan dapatan beliau kepada semua PK dan GK
.

Monday, January 25, 2010

Pelajar Dibenar Tamatkan Tempoh Persekolahan Setahun Lebih Awal

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar menamatkan tempoh persekolahan setahun lebih awal berdasarkan kurikulum fleksibel bagi 20 buah sekolah yang dipilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata SBT diberi autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi dalam pentadbiran sekolah dan bertujuan meningkatkan keberhasilan pelajar.

"Sekolah-sekolah SBT ini diberi kelonggaran dalam menetapkan waktu pengajaran minimum mata pelajaran serta memanjangkan atau menamatkan tempoh persekolahan lebih awal," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan 20 buah sekolah yang dipilih sebagai SBT bagi tahun ini.

Daripada 20 sekolah berkenaan sebanyak 10 sekolah daripada kategori sekolah berasrama penuh, 4 sekolah menengah harian dan 6 sekolah rendah.

Sebanyak 10 sekolah daripada kategori sekolah berasrama penuh itu terdiri daripada Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban; Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak; Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya; Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Kedah; Kolej Tunku Kurshiah, Seremban; Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang; Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis; Sekolah Alam Shah, Putrajaya dan Sekolah Menengah Sains Muzaffah Syah, Melaka.

Empat sekolah menengah harian pula ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur; SMK Sultanah Asma, Alor Setar dan SMKP St. George, Pulau Pinang.

Bagi sekolah rendah, enam yang dipilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur; SK Zainab (2), Kota Bahru; SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur; SK Convent Kota, Perak; SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur; dan SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pihak sekolah diberi kuasa untuk menentukan tahap kemampuan pelajar-pelajarnya sebelum membenarkan proses pembelajaran dipercepatkan.
"Misalnya pelajar yang masuk ke tahun satu, selepas tempoh enam bulan pencapaiannya memberansangkan dan dia mungkin boleh dinaikkan terus ke tahun dua.

"Tapi pihak sekolah juga akan tetap berbincang dengan pihak kementerian, guru-guru serta ibu bapa pelajar itu sendiri kerana kita mahu semua pihak terlibat dan bukan hanya bergantung kepada guru besar atau pengetua sahaja," katanya sambil menyatakan bahawa pelaksanaanya akan bermula tahun ini.

Selain itu beliau berkata SBT bukanlah sekolah elit yang akan memberi manfaat kepada hanya sebilangan kecil pelajar.

"Sebaliknya setiap sekolah di negara ini mempunyai peluang yang sama dan boleh bersaing di padang yang sama rata untuk diiktiraf sebagai SBT.

"Mana-mana sekolah yang mencapai sasaran kecemerlangan dan memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai SBT dan mendapat kemudahan serta ganjaran yang sama," katanya.

Muhyiddin juga berkata kementerian mensasarkan sebanyak 100 SBT dapat dihasilkan dalam tempoh tiga tahun iaitu 30 SBT pada tahun depan dan jumlah itu akan meningkat kepada 50 pada tahun 2012.

Katanya SBT perlu memenuhi enam kriteria iaitu pencapaian akademik yang cemerlang, melahirkan personaliti yang unggul, merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa dan mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.

Kriteria lain ialah sekolah-sekolah berkenaan mempunyai pemuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah-sekolah tempatan dan antarabangsa serta menjadi penanda aras kepada sekolah-sekolah di dalam dan luar negara.

Kata Muhyiddin lagi, dari segi pemilikan bajet, kewangan akan disalur melalui geran secara sekaligus pada awal tahun persekolahan, fleksibiliti penuh untuk pengagihan kewangan mengikut keperluan dan pengecualian daripada perolehan secara berpusat.

"Setiap sekolah ada bajet mereka sendiri, tapi bagi sekolah yang ada status ini mereka akan mendapat peruntukan tambahan bergantung kepada saiz sekolah," katanya.

Selain itu Muhyiddin berkata pengurusan staf adalah berdasarkan prestasi iaitu pengambilan staf tidak berdasarkan kekananan selain pihak sekolah mempunyai kelonggaran dalam menyediakan lebih bayaran (bayaran lebih masa) dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.

"Selain itu SBT mempunyai kelonggaran untuk memindahkan staf sekiranya prestasi kurang memuaskan dan pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik," katanya.
Ditanya kemungkinan sekolah-sekolah yang diumumkan sebagai SBT akan menjadi tumpuan ibu bapa untuk menghantar anak mereka, Muhyiddin berkata: "Kita ada kriteria yang ditetapkan, saya tak fikir kita boleh menampung permintaan yang tinggi.

"Kita akan serahkan kepada pengetua untuk tentukan kerana pengetua ada hak untuk menentukan 20 peratus pelajar yang akan masuk ke sekolah mereka... selebihnya perlu ikut prosedur biasa."

-Sumber : mstar 25.01.2010
-

Thursday, January 21, 2010

"o-b-o-r = ais krim"

Masalah buta 3M di kalangan pelajar sekolah menengah bukan perkara baru. Malahan ini adalah satu masalah yang tak pernah selesai seperti juga masalah penagihan dadah di negara kita. Walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh sekolah-sekolah rendah dengan pelbagai nama program 'glamour' seperti KIA2M, '4 bulan boleh baca' dan sebagainya, hakikatnya masih terdapat sekumpulan pelajar yang tidak boleh membaca apabila mereka naik ke tingkatan 1.

Di sekolah saya umpamanya, terdapat kira-kira 20 orang pelajar ting. 1, 2 dan 3 yang masih tidak menguasai 3M walaupun mereka telah bersekolah rendah selama 6 tahun. Mungkin bagi setengah orang mereka agak terkejut dengan angka ini. Tetapi bagi saya, pengalaman mengajar hampir 20 tahun di sekolah menengah luar bandar, hal ini sudah menjadi kebiasaan. Kiraannya mudah sahaja, jika sebuah sekolah rendah menghantar 1 orang sahaja pelajar buta 3M ke tingkatan 1, maka jika sekolah kaca puri sekolah ini sebanyak 8 buah, bererti sudah ada 8 orang pelajar sedemikian di tingkatan 1. Dan jika angka ini didarabkan dengan 3, kerana bilangan pelajar buta 3M di tingkatan 1, 2 dan 3, maka angka 20 itu betul dan tidak menghairankan.

Saya tidak ada data yang betul tentang sekolah-sekolah lain di dalam daerah, tetapi jika sebuah sekolah mempunyai kira-kira 20 orang pelajar buta 3M, jika daerah ini mempunyai 20 buah sekolah menengah, maka mungkin terdapat 400 orang pelajar sekolah menengah masih tidak menguasai 3M.
Itulah 'kehendak' dan 'susunan' dari Allah jua menjadikan pelajar sedemikian, yang pelbagai usaha telah dilakukan oleh guru sekolah rendah dan keluarga mereka, namun masih terdapat pelajar yang tidak boleh membaca, apabila lagi untuk mengira dan sebagainya.

Hari ini saya nak menceritakan kisah pelajar yang 'tak bernasib baik' ini yang berlaku pada petang tadi. Sewaktu saya nak menunaikan solat zohor kira-kira jam 2.30 petang, saya lihat cikgu Pn Rohizan sedang mengajar 2 orang pelajar ting. 1 mengeja dan membaca di 'pondok ilmu' yang terletak bersebelahan surau sekolah. Saya terus mendekati mereka dan di dalam hati saya, saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas usaha cikgu ini yang sanggup mengajar 2 orang budak ini mengeja dengan menggunakan 'buku tadika'. Cikgu ini sanggup menolong pelajar ini walaupun selepas waktu persekolahan.

Saya lihat seorang budak itu terkebil-kebil mengeja tulisan yang besar yang ada gambar objek di sebelahnya. Saya meminta budak itu mengejanya, sambil menunjukkan ejaan "e p a l" dan gambar epal di sebelahnya. Memang buta sungguh, dia tak dapat mengenal huruf 'e' dan 'pal' itu serta tak dapat membunyikan ejaan itu. Saya pun membantunya...e-e, p..a..l.' "epal!" dan menunjukkan gambar epal di sebelah itu, budak itu pun mengikutnya, saya lantas memujinya, bagus!, pandai!

Kemudian saya meminta dia mengeja perkataan lain di buku itu, "o-o, b..o..r..! budak itu pun mengikutnya, o-o, b..o..r..! ha bunyinya apa, tanya saya sambil menunjukkan gambar obor yang ada di sebelah ejaan tersebut. Dia diam.. Saya tanya lagi, o-o, b..o..r bunyinya apa, sambil tangan saya menunjukkan gambar obor di sebelahnya. Dia membuka mulutnya, "ais krim!, katanya..
Saya tak dapat menahan ketawa... Memang gambar obor di buku itu hampir serupa dengan gambar ais krim! Sambil menahan ketawa saya beredar dari situ....

Mengapalah pengarang buku itu pilih ejaan 'obor', cari lah benda lain. Budak kampung macam ini, mana pernah tengok obor! Sekarang kan dah ada elektrik!

Bila teringat o-o, b..o..r = ais krim, saya pasti tersenyum mengingatkan budak tersebut. Nasib baiklah, masa solat zohor tadi, tak teringat, kalau tidak, batal sembahyang teman... !!




" o-o, b..o..r.. aiskrim !

.

Wednesday, January 20, 2010

Penempatan Semula Guru Adalah Proses Biasa

Penempatan semula guru yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran bermula awal bulan ini merupakan satu proses biasa bagi mewujudkan pendidikan berkualiti, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Katanya penempatan semula yang dilakukan adalah untuk memastikan semua sekolah di negara ini mempunyai guru yang mencukupi dan yang lebih penting mempunyai cukup guru dari segi opsyen. Beliau berkata walaupun bilangan guru mencukupi namun terdapat kekurangan guru mengikut opsyen terutama bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Pendidikan Agama Islam.

"Bagi memastikan akses dan ekuiti bagi mewujudkan pendidikan berkualiti, sudah pastinya penyediaan guru mengikut opsyen yang cukup menjadi keutamaan Kementerian Pelajaran dan kaedah penempatan semula guru akan digunakan untuk mengatasi masalah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Alimuddin berkata keadaan menjadi lebih ketara apabila Jemaah Menteri memansuhkan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dalam konteks itu, katanya guru-guru yang mempunyai opsyen Bahasa Inggeris sebagai contoh, sangat diperlukan terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman.
Alimuddin berkata kajian yang dilakukan kementerian mendapati terdapat lebihan guru bagi opsyen mata pelajaran kritikal itu di sekolah-sekolah tertentu di bandar-bandar besar.
Katanya penempatan semula guru tersebut merupakan satu proses yang berterusan dan berperingkat-peringkat, sehingga masalah ketidakseimbangan ini selesai.

Beliau turut menjelaskan bahawa mulai tahun ini penempatan semula guru secara terhad akan dilaksanakan, di mana proses itu akan melibatkan penempatan guru-guru dalam negeri atau antara daerah sahaja.

Alimuddin berkata demikian sebagai mengulas isu pemindahan guru yang didakwa berpunca daripada penyalahgunaan kuasa di kalangan guru besar dan pengetua yang memindahkan guru tersebut akibat 'tidak sebulu' atau menimbulkan masalah kepada guru besar atau pengetua berkenaan.

Beliau turut meminta semua pihak tidak membesarkan isu tersebut selain menganggap program penempatan semula guru itu adalah proses biasa yang akan berlaku dalam perkhidmatan awam. -BERNAMA

.

Tuesday, January 19, 2010

Lelaki paling pendik Vs Lelaki paling tinggi

Hari saya membaca kisah lelaki paling pendik di dunia bergambar dengan lelaki paling tinggi di dunia. Nah lihat gambar mereka... Maha Suci Allah yang menjadikan makhluk-mahklukNya.

Sunday, January 17, 2010

Kejohanan Merentas Desa 2010

Gambar sekitar kejohanan merentas desa yang diadakan pada 16 Januari 2010 lepas

Warm-up sebelum dilepaskan merentas desa


Bersungguh-sungguh berlari dan berjalan mengikut trek yang betul


Yang ini apa pasal pulak?..... kena hantar ke klinik...

Berkumpul setelah selesai berlari....


Para pemenang menerima hadiah daripada Tn. Pengetua
.

Friday, January 15, 2010

Cara Solat Sunat Gerhana

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah)
Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”
Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari
أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”
Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)
Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :
Boleh dilakukan di mana-mana samada di rumah, musolla, surau atau masjid. Walau bagaimanapun yang afdhal ialah masjid yang didirikan Jumaat.
i. Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari :
أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”
ii. Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”
i. Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ia adalah yang sekurang-kurangnya. Yang akmalnya dilakukan dengan dua kali ruku’ dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.
ii. Yang terlebih akmal ialah dengan 2 rakaat, dengan 2 ruku dan qiyam bagi tiap-tiap satu rakaat dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.
Kaifiatnya adalah seperti berikut:
Berdasarkan hadis :
عن عائشة نحو حديث ابن عباس وقالت: أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم خَسَفَتِ الشَّمْسُ قَامَ فَكَبَّرَ وَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفُعَ رَأْسُهُُ فَقَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَقَاَم كَمَا هُوَ نَقَرَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً وَهِىَ أَدْنى مِنَ القِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً وَهِىَ أَدْنَى مِنَ الرَّكْعَةِ الأُولَى ثُمَّ سَجَدَ سُجُودًا طَوِيلاً ثُمَّ فَعَلَ ِفي الرَّكْعَةِ الآخَِرةِ مِثْلَ ذلِكَ ثُمَّ سَلَّمَ وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسِ فَقَالَ ِ في كُسُوفِ الشَّمْسِ وَالقَمَرِ إِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آياَتِ اللهِ َلا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وََلا لحَِيَاتِهَ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ.
Maksud: Dari Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian beliau mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah, dan beliau berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian beliau sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian beliau bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua), Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bersyukurlah kepada solat gerhana”
(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بنِ العَاصِ أَنَّهُ قَالَ: لَمَّا انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ نُودِىَ بِ ( الصَّلاَةُ جَامِعَةً ) فَرَكـَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ قَامَ فَرَكـَعَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ جُلِّىَ عَنِ الشَّمْسِ. فَقَالَتْ عَائشَةُ: مَا رَكَعْتُ رُكُوعًا قَطَُّ. وَلاَ سَجَدتُ سُجُودًا قَطَُّ. كَانَ اَطْوَلَ مِنْهُ.
Maksud: Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, beliau berkata: “Tatkala matahari gerhana pada masa Rasulullah SAW, maka diserukan : ‘as solatu jami`ah’. Lalu Rasulullah SAW melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian matahari kembali muncul. Aisyah berkata: “Aku sama sekali tidak pernah melakukan ruku’ ataupun sujud yang lebih lama daripada itu”
(Sahih Muslim 2-hlm: 81) Secara ringkasnya seperti berikut : A Rakaat Pertama1. Takbiratul Ihram.2. Membaca doa iftitah.3. Membaca Ta`awudz. ( تعاوز )4. Membaca surah al-Fatihah.5. Membaca mana-mana surah,yang terlebih afdhal surah ABaqarah.6. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.7. Iktidal (AllahuAkbar)serta membaca surah al-Fatihah dan membaca ali-Imran atau mana-mana surah.8. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.9. Iktidal.(SamiAllahulimanHamidah)10.Sujud dan membaca tasbih.11.Duduk antara 2 sujud.12.Sujud kembali.13.Berdiri ke rakaat kedua.
B. Rakaat Kedua1. Membaca surah al-Fatihah.2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.3. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat semasa ruku’.4. Iktidal (AllahuAkbar) serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah Al-Maidah atau mana-mana surah. 5. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.6. Iktidal.(SamiAllahulimanHamidah)7. Sujud dan membaca tasbih.8. Duduk antara 2 sujud.9. Sujud kembali.10.Membaca tasyahud akhir.11.Memberi salam.
Tiada iqamah tapi cukup sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
Mana-mana surah hendaklan mengikut susunan surah dari Al-Quran
Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari.
Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.
Khutbah Solat Gerhana :
Dalil dari Aisyah r.a. berkata :
ثم سلم وقد تجلت الشمس فخطب الناس فقال في كسوف الشمس والقمر إنهما آيتان من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فافزعوا إلى الصلاة.
Ertinya : Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana”
(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)
i. Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang. ii. Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir. iii. Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya. iv. Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah. ( Khutbah adalah seperti dilampirkan )
Secara umumnya bila pertembungan ini berlaku maka kaedahnya didahulukan yang paling ringan. Sekiranya sama nilainya, maka didahulukan yang paling kuat.
Contoh : i. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah. ii. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari atau bulan kembali cerah. Tetapi jika berlaku pertembungan itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu. iii. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan witir didahulukan solat gerhana.
Matla’ Badrain. Abu Ishaq Bin Ali Bin Yusuf al-Fairuzabadi, Al-Muhazzab, Juz 1, terj : Ali Achmad, Muhammad Yasin, Abdullah & Huda, Perniagaan Jahabersa. Perniagaan Jahabersa. Ust Hj. Fadzil Hj. Ahmad. Hidup Ibadat , Pusat Pemasaran Motivasi, K.L Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia Hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.
atau
Rakaat pertama
1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I'tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.
Rakaat kedua
1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I'tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir

Gerhana Matahari


Fenomena gerhana matahari separa yang berlaku pada pukul 3 petang hingga 6 petang hari ini telah berjaya menarik kira-kira 1,000 pengunjung ke Planetarium Negara di Kuala Lumpur.

Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Lau Chen Chen berkata pihak Planetarium menyediakan beberapa teleskop penapis suria dan kaca mata gerhana bagi membolehkan orang ramai menyaksikan sendiri fenomena itu secara fakta dan bukan lagi teori.

"Fenomena ini hanya akan dapat disaksikan lagi di negara ini pada Mac 2016 nanti. Oleh itu dengan program seumpama ini orang ramai dapat melihat lebih jelas tompok matahari deengan menggunakan kemudahan teknologi yang ada," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Seorang pengunjung dari New Zealand, Simran Grewal, 18, berkata ini merupakan kali pertama beliau melihat lebih jelas fenomena matahari yang terlindung oleh bulan.
"Saya dapat banyak pengalaman dan pengetahuan hari walaupun ia merupakan pengalaman pertama saya dan ia sungguh hebat," katanya.

Pelajar Tingkatan Dua, Mohd Alifitri Ahmad berkata minatnya yang mendalam terhadap subjek sains mendorongnya untuk berkunjung ke Planetarium selepas tamat waktu persekolahannya.
"Saya pernah mempelajari dan mendengar mengenai fenomena gerhana matahari ini.
Bagaimanapun disebabkan ia jarang berlaku, saya terus datang ke sini untuk melihat sendiri pergerakan bulan yang melindungi matahari," katanya.
Di Malaysia, gerhana matahari separa mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40 peratus di bahagian utara Semenanjung Malaysia pada waktu petang.
Ia dijangka berlaku lagi di negara ini pada 9 Mac 2016.

Selain di Planetarium Negara, ANGKASA turut menganjurkan program pencerapan gerhana matahari separa di Kompleks Pekan Rabu, Langkawi.
Orang ramai yang tidak berkesempatan menyaksikan fenomena ini boleh melayari laman web ANGKASA di http://www.angkasa.gov.my/.

Di Masjid Negara kira-kira 1,000 orang menghadiri sembahyang sunat gerhana matahari secara berjamaah yang bermula pada pukul 3.45 petang yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Bercakap kepada pemberita sejurus selesai solat itu, beliau berkata solat gerhana adalah sunat mauakad (yang dituntut) di dalam Islam dan dilakukan oleh Nabi Muhamad S.A.W.
"Nabi sendiri ada sejarahnya iaitu semasa kematian salah seorang anak baginda iaitu Ibrahim ketika berlaku gerhana matahari. Bagaimanapun sepertimana yang dinyatakan dalam hadis baginda, gerhana matahari bukan menyebabkan kematian seseorang atau menentukan kehidupan seseorang.
"Ianya berlaku atas kehendak Allah S.W.T dan peraturan Allah yang telah disusun iaitu perjalanan bulan, matahari dan bumi sebagai tanda kebesaran Allah dan menunjukkan kepada kita kebesaran-Nya," kata Syaikh Ismail. -BERNAMA

Gerhana matahari separa atau dikenali sebagai "gerhana matahari anulus" berlaku antara pukul 3 petang hingga 5.45 petang berikutan "sentuhan pertama" bulan ke cakera matahari. Sempena fenomena itu, umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat kusuf atau solat sunat gerhana matahari. -- fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA

Kami dah cuti lama.....

Hari ini genap dua minggu sesi persekolahan tahun 2010 bermula. Dalam tempoh itu, guru-guru agak sibuk dengan pelbagai aktiviti. Di sebelah pagi, proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan rancak, manakala di sebelah petang pula, terdapat banyak mesyuarat yang perlu dihadiri oleh guru-guru. Antaranya mesyuarat Jawatankuasa Panitia mata pelajaran, mesyuarat Jawatankuasa kokurikulum, sukan dan sebagainya. Selain itu, latihan merentas desa dan permainan juga telah bermula. Semuanya ini menyebabkan guru-guru balik lewat hampir setiap hari.

Lihatlah seriusnya guru-guru bermesyuarat

Lepas itu latihan sukan dan merentas desa pulak


Kelmarin, sewaktu saya balik dari sekolah kira-kira jam lima petang, saya singgah di BSN Manong untuk mengeluarkan sedikit wang tunai buat wang poket. Terdapat ramai orang minum di kedai kopi berhampiran BSN itu, antaranya pegawai-pegawai kerajaan, tok ketua kampung, OCS dan beberapa orang kuat kampung di sekitar Manong ini yang saya kenal. Setelah selesai mengeluarkan wang di mesin Giro itu, saya ditegur oleh beberapa orang di situ. Mahu tak mahu, saya terus ke meja mereka dan bersalaman seorang demi seorang. Dengan wajah manis, saya menolak pelawaan mereka untuk minum bersama.

Tetapi ada satu soalan yang mereka tanya saya, yang menyebabkan saya menulis memorinya di blog saya kali ini. Nak tahu apa soalannya?

Mereka bertanya, ”Hai cikgu baru balik ke? Cikgu-cikgu ni kerja sampai ke petang ke?

Saya lantas menjawab, ”Keme dah cuti lama ... sebulan setengah!

Kadang-kadang masyarakat ini menganggap kerja guru ni hanya separuh hari sahaja. Macam masa anak mereka ke sekolah sahaja. Tidak kah mereka tahu yang kita ni bekerja sebenonya sampai ke malam....!!

Kalau kome, kome jawab macam mana?

.


.

Wednesday, January 13, 2010

Tersempak pencuri…

Petang tadi suatu kejadian yang tak disangka-sangka berlaku kepada saya. Kira-kira jam 6.50 petang saya telah siap dengan baju melayu dan kain pelikat untuk berjamaah maghrib di surau. Sementara menunggu anak lelaki saya yang bersiap untuk bersama-sama ke surau, saya berjalan kaki pergi ke rumah jiran saya Tn Hj Ibrahim b Sah yang terletak di seberang jalan raya. Tn. Hj. Ibrahim b Sah ini adalah mantan Yang Di Pertua PIBG sekolah saya. Saya memang tahu Tn. Hj. Ibrahim b Sah tidak ada di rumahnya kerana beliau telah lebih dua minggu berada di rumah anaknya di Kuala Lumpur. Tujuan saya ke rumah beliau adalah untuk melihat peti surat rumahnya, kalau-kalau ada surat penyata bank MBB kepunyaan masjid Jeliang. Ini kerana biasanya posmen menghantar surat-surat masjid ke rumahnya kerana beliau adalah bendahari masjid.

Sesampai sahaja saya di halaman rumahnya, saya terkejut kerana melihat ada sesaorang di dalam stor di tingkat bawah rumah tersebut. Orang itu juga terkejut dengan kehadiran saya. Dia dengan pantas menutup daun pintu itu dari dalam. Saya dapati pintu grill masih berkunci kerana kelihatan mangganya tidak dibuka. Saya lihat keliling, tidak ada sebuah kereta atau motosikal bagi menunjukkan kemungkinan anak-anak saudara Hj Ibrahim telah datang ke rumahnya.

Saya berdiri di laman rumah itu dan memberi salam, Assalamu alaikum! Tiada jawapan. Saya mula syak sesuatu.. Hati saya mengatakan sudah tentu pencuri sedang menceroboh. Jadi saya tak berani nak menghampiri stor tersebut. Saya berdiri menghadap ke stor itu dan memanggil dengan panggilan ,Hoi!, Hoi!

Tak lama kemudian saya nampak orang itu keluar dari stor tersebut dengan memanjat dinding batu yang setinggi kira-kira 7 kaki itu. Sungguh pantas dia terjun dan lari sekuat hati hanya kira-kira 5 meter di depan saya. Saya nampak budak itu memegang sebilah pisau pendik kira-kira 6 inci panjangnya. Saya tak dapat berbuat apa-apa. Tidak ada sebarang kayu untuk dicapai, apalagi parang atau senapang untuk dipegang. Saya hanya mengejar beberapa meter sambil menjerit, Hoi, hoi beberapa kali. Laju betul budak tu lari menuju ke dalam semak. Saya tak berani untuk mencarinya lagi. Nanti dipukulnya tak pasal-pasal saya kena. Lagi pun masa itu perlu diingat saya berkain pelikat!

Saya kemudian berjalan kaki ke rumah jiran yang sebuah lagi, iaitu rumah En. Tajul Urus untuk memaklumkan kejadian saya tersempak pencuri tersebut. Rumah Tajul Urus hanya kira-kira 30 meter dari rumah Tn Hj. Ibrahim. Dalam perjalanan tersebut, sebuah motosikal memecut di depan saya dengan laju sekali. Rupa-rupanya budak pencuri tadi telah melarikan diri dengan motosikal yang mungkin disoroknya di dalam semak berhampiran. Saya hanya sempat melihat plet motosikal Honda EX-5 itu sebagai “AGF” sahaja. Nombornya saya tak dapat ingat.

Setelah menceritakan kepada Tajul Urus, kami berdua pergi semula ke rumah Tn Hj Ibrahim untuk melihat stor yang diceroboh itu. Memang ada kerusi yang diletakkan di sebelah tembok dinding stor itu sebagai alas untuk dia memanjat dan masuk ke stor. Kami juga lihat dua biji ‘sport rim’ motosikal telah berada di atas tembok dinding stor itu untuk di bawa keluar oleh pencuri itu. Kami kemudiannya menolak semula sport rim ke dalam stor.

Kalaulah budak pencuri itu ditangkap polis, dan saya diminta ‘mengawat cam’nya, saya rasa insya-Allah saya dapat melakukannya. Muka budak itu saya masih ingat. Rupa bentuk badanya juga saya masih ingat. Tetapi rasa-rasanya dia bukan budak kampung saya, kerana kalau budak kampung saya, insyaAllah saya kenal.

Malam ini, apabila saya balik dari surau, saya menerima panggilan dari Tn. Hj. Ibrahim dari Kuala Lumpur bertanyakan cerita tersebut. Rupa-rupanya, Tajul Urus telah menalifonnya terlebih dulu.

Sekianlah karangan saya, berapa markah boleh beri???



.

Tuesday, January 12, 2010

"Vest' hikmat..

Seorang guru dari sekolah ini yang telah bertukar ke negeri lain menghantar sms kepada saya agar selalu-selalulah menulis berita tentang sekolah ini. Katanya dia seorang "followers" blog saya. Itulah rupanya bila dah berjauhan, "rindu'lah kat sekolah ini, maklumlah tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat mencari rezeki...

Untuk itu, kali ini saya ceritakan sedikit perubahan yang berlaku dalam seminggu dua ini. Kalau sesiapa datang ke sekolah ini, mereka akan dapati keadaannya agak "tenang" kerana pelajar-pelajarnya tidak bergerak bebas keluar bilik darjah lagi semasa P&P sedang berjalan. Eh, eh macam mana tu?

Setiap pelajar yang keluar kelas mesti memakai 'vest' yang disediakan. Tiada 'vest' tiada ronda-ronda, hatta nak ke bilik air pun tak boleh jika tiada memakai 'vest' ini. Jadi, kena tahanlah sampai waktu rehat untuk qada hajat... Kalau didapati merayau-rayau tanpa 'vest', siaplah kena dengan ustaz Azhar, cikgu Damahuri atau cikgu Hairul Fadli.

AlhamduliLlah, setakat hari ini, banyak kesan positif dapat dilihat. Rupa-rupanya 'vest' ini benar-benar 'hikmat'. Keadaan sekolah lebih terkawal. Suasana lebih kondusif. Diharap dapat bertahan sampai bila-bila....

Lihatlah gambar-gambar budak sekolah ini memperagakan 'vest' kebenaran keluar kelas itu bila mereka tahu saya nak ambil gambar mereka....




.

Sunday, January 10, 2010

Selamat datang warga baru SMKSTA

Rasanya tidak terlambat untuk saya mengucapkan selamat datang kepada warga baru sekolah ini. Dengan permulaan tahun 2010 ini, seramai 4 orang guru bertukar ke sini dari sekolah-sekolah lain. Manakala kira-kira 160 pelajar tingkatan satu mendaftar untuk belajar sekolah menengah mereka dan menjadi sebahagian warga sekolah ini.

Kepada guru-guru yang baru bertukar ke sini, diucapkan selamat menjalankan tugas di tempat yang baru yang penuh permai ini. Semoga cikgu-cikgu ini dapat memberi sumbangbakti yang besar untuk menjayakan visi dan misi sekolah. Visi sekolah "SMKSTA gemilang 2010" menghendakkan semua guru yang berkomitmen tinggi dalam mendidik anak bangsa di sekolah ini.

Kepada anak-anak tingkatan satu pula, penghijrahan mereka ke sekolah ini adalah sebahagian sejarah hidup mereka sendiri. Menjejakkan kaki buat pertama kali ke sekolah menengah bererti mereka memasuki alam remaja dan bukan lagi alam kanak-kanak sebagaimana mereka di sekolah rendah dulu. Walaupun kebingungan pada awalnya, namun setelah diberi orientasi dan suaikenal selama 3 hari, mereka nampaknya telah dapat menyesuaikan diri dan bersedia untuk bersekolah di sini.


Sebahagian pelajar tingkatan satu mengikuti majlis suaikenal

Kepada semua pelajar-pelajar samada yang baru, mahupun yang lama, marilah bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan jangan bunyak membuat 'hal' dan salahlaku disiplin, kerana itu akan mengganggu proses P&P yang dirancang oleh guru dan pihak sekolah. Alangkah bertuahnya, jika semua pelajar menumpukan perhatian kepada apa yang dicakapkan oleh guru-guru, tentu semua perkara dapat dijayakan tanpa sebarang masalah. Banyak perancangan akan dapat dilaksanakan dengan berkesan jika semua pelajar memberi sokongan bersama-sama.

Istimewanya sekolah ini mempunyai dataran kejat tempat pelajar membaca surah Yassin pada pagi hari Jumaat

Mungkin pada minggu depan ini, sekolah kita akan didatangi oleh 5 orang guru lagi, kerana bilangan berjawatan yang diperuntukkan adalah seramai 62 orang guru, manakala bilangan yang ada, cuma baru 57 orang sahaja. Kepada guru-guru V, W, X, Y dan Z tersebut, saya juga mengucapkan selamat datang dan menjadi pasukan yang kuat yang bekerja sederap menjayakan pendidikan anak-anak didik di sekolah ini.






Saturday, January 9, 2010

Azam tahun Baru saya....


Sudah lebih seminggu kita di dalam tahun baru 2010. Blogspot saya ini tidak dapat di ‘update’ kerana terlalu banyak kerja yang saya lakukan menjelang sesi baru persekolahan dan tugas lain berkaitan dengan peperiksaan. Kedua-dua tugas ini memerlukan pemerhatian dan tumpuan yang lebih dan utama. Tetapi alhamduliLlah, semua tugasan itu telah selesai dan sekarang barulah saya dapat melihat-lihat blog kesayangan ini.
Masih tak ketinggalan untuk saya mengucapkan Selamat menyambut tahun baru 2010. Setiap kali menyambut tahun baru, kita selalunya membuat azam baru. Ataupun paling tidak, kita memasang niat untuk membuat perubahan dalam hidup agar hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.
Saya juga mempunyai azam baru. Nak tahu apa azam tahun baru saya? Okey sama-sama kita hayati azam tahun baru saya ini.. Kome jangan gelakkan azam tahun baru saya, ok!

(1) Nak bekerja mendidik anak-anak murid dengan bersungguh-sungguh. (Nak menggunakan masa maksimum 40 minit setiap waktu pembelajaran- tak mahu masuk lewat lagi...)

(2) Nak meningkatkan pencapaian akademik pelajar-pelajar sekolah saya. (Akan sentiasa memberi nasihat dan peransang kepada semua pelajar bila ada kesempatan)

(3) Nak memberi sebanyak mungkin sumbangan idea, fikiran dan tenaga kepada pentadbiran sekolah saya.

(4) Nak menjadi suami dan bapa yang bertanggungjawab kepada ahli keluarga saya.
(5) Nak memberi sumbangan yang berguna kepada masyakarat sekitaran tempat tinggal dan kampung saya.

(6) Dan paling tak lupa nak meningkatkan amal ibadat sebanyak-banyaknya kepada Tuhan Rabbul Alamin... ( umur sekarang dan setengah abad yob!)
Semoga azam tahun baru ini dapat dijayakan dengan izin dari Allah jua. Semoga rezeki dan pendapatan yang diterima setiap bulan itu menjadi berkat dan halal sesuai dengan kerja yang dilakukan.
.