Monday, February 28, 2011

Kem Kecemerlangan SPM 2011

Kalau 2 minggu yang lepas, pihak sekolah telah melaksanakan kem kecemerlangan untuk pelajar tingkatan 3, pada minggu ini tibalah pula giliran pelajar-pelajar tingkatan 5 di 'kampungkan' dalam program Kem Kecemerlangan SPM 2011. Kem yang bermula pada petang hari Jumaat 25 Februari 2011 dihadiri oleh 104 pelajar dan diurusetiakan oleh sebahagian guru-guru sekolah ini. Kem tamat pada jam 2.00 petang hari Ahad 27 Februari 2011.

Program 3 hari 2 malam itu pada saya telah mencapai objektifnya bagi menyampaikan kesedaran dan motivasi kepada calon-calon peperiksaan SPM tahun ini. Nampaknya semua pelajar yang hadir telah menunjukkan komitmen yang yang amat baik dan ini merupakan tanda-tanda yang positif ke arah pencapaian cemerlang pada tahun ini.

Berikut sebahagian gambar aktiviti sepanjang program tersebut dilaksanakan:

Mulanya kehadiran pelajar macam "tak rela" dan "terpaksa" saje

Mendaftar sebagai peserta Kem 3 hari 2 malam

Sesi pertama membentuk kumpulan-kumpulan....

Berbengkel pada sesi malam.....

Menunjukkan hasil perbengkelan setiap kumpulan.

Tekun mendengar slot yang yang disampaikan...

Slot kerohanian di surau sekolah... besonya Al Quran tu...

Hari Kedua... Pembentangan Hasil Bengkel subjek Matematik...

Perbengkelan subjek Sains di makmal sains tulin...

Cikgu-cikgu meneliti hasil kerja setiap kumpulan...

slot malam kedua - berbaris panjang menunggu giliran "mendaftar ke IPTA" "Layakkah saya masuk U kalau keputusan saya begini...?

Slot "Bersama Idola" - Cik Qatrunnada bt Mohamad Farid, pelajar jurusan Perubatan universiti Mansurah, Mesir.

"Terima kasih kak yong!" kerana menyampaikan begitu banyak maklumat dan nasihat kepada pelajar-pelajar ting. 5

yang ini... persembahan kumpulan...

Penyampaian hadiah kepada peserta yang menunjukkan kecemerlangan sepanjang kem diadakan..

Ucapan perasmian penutup, semoga pencapaian SPM 2011 sekolah ini akan meningkat ...InsyaAllah!

.

Saturday, February 26, 2011

Kancil hentak pagar rumah

Waktu Isyak sudah masuk. Laungan azan berkumandang di TV. Saya lantas pergi mengambil wuduk. Tiba-tiba saya terdengar satu bunyi dentuman yang kuat. Saya tak pasti bunyi apa. Bila saya keluar rumah saya dapati beberapa buah motosikal berhenti di depan rumah saya. Saya juga buat tak kisah. Saya menghidupkan enjin kereta dan memandu untuk pergi ke surau yang 200 meter saja jaraknya dari rumah. Tiba-tiba seorang pemuda yang berhenti di depan rumah itu meluru ke arah saya. Cikgu, cikgu ada 'accident' dekat situ, sambil menunjukkan arah sebelah kanan pagar rumah saya.

Saya menghentikan kereta dan menuju ke arah yang ditunjuk itu. Memang terdapat sebuah kereta Kancil telah tersadai di tiang pagar itu. Saya lihat keadaannya agak teruk juga. Depannya pecah. Saya tanya mana orangnya, budak-budak tu jawab, di sana... tak ada apa-apa!, katanya. Saya lihat budak itu sedang mengunakan handfon. Seorang lagi budak perempuan sedang menangis, terkejut besar agaknya.

Tak lama kemudian, semakin ramai orang singgah bertanya khabar... Begitulah kejadian malam kelmarin. Kira-kira jam 10.00 malam, sebuah kereta kren sampai untuk menarik kereta itu. Selepas berjaya menarik kereta itu, pemandunya bertanya saya, "encik ada nak "claim" apa-apa ke... "

Saya kata tak ada sebab pagar saya tak runtuh, Cuma pecah sedikit sahaja....

Amacam, berapa markah boleh beri karangan di atas?

Nampak tak kereta yang hentak pagar rumah malam tu?

Thursday, February 24, 2011

Sayu bila membaca berita ini...

Dulu saya pernah masukkan dalam blog ini tentang sikap sesetengah orang di negara kita yang mengutip syiling apabila van syiling itu terbalik. http://zuhairimanong.blogspot.com/2011/01/bergotong-royong-mengutip-duit.html

Semalam di muka depan akhbar-akhbar pula mencerita betapa gelojohnya sesetengah orang kita mengutip beras apabila lori beras itu terbalik. Apabila saya membacanya semalam, saya mengesyaki sesuatu tentang nasib pemandu lori itu sama seperti saya mengesyaki nasib pemandu van dulu.

Rupa-rupanya memang betul apa yang saya syaki itu. Cuba baca berita yang saya “copy” dari akhbar online hari ini seperti di bawah:

SIKAP PENCURI BERAS TAK HIRAUKAN MANGSA DIKESALI

Seorang pemandu treler kecewa dengan sikap orang ramai yang ghairah mengutip beras yang bertaburan dalam satu nahas daripada menyelamatkan dia dan rakannya yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu kelmarin.


Gambar: AHMAD ROZLIN yang dirawat di HRPB, Ipoh semalam menceritakan kekecewaannya dibiarkan selama sejam atas jalan oleh orang ramai.

Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22, mendakwa sikap jelik pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan rayuannya supaya menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan kelindan lori, Hanafi Mohd. Daud, 19, tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Dalam kejadian itu, Hanafi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Ahmad Rozlin cedera parah di tangan dan kaki kiri.

Lebih mengharukan apabila Ahmad Rozlin mendakwa dia dibiarkan terlantar selama lebih sejam di atas bahu jalan tanpa dipedulikan oleh orang ramai yang ghairah mengutip 43 tan beras tempatan pelbagai gred yang tumpah selepas kemalangan. Ketika itu dia dalam perjalanan ke Puchong, Selangor dari Perlis

Nota:

1. Kadang-kadang kita hilang pertimbangan apabila hendak memilih mana satu yang nak dilakukan antara kerja menolong orang dengan kerja yang kita rasa “lebih menguntungkan”
2. Mana rasa simpati kita kepada orang yang sedang mengalami kesakitan sehingga kita sanggup membiarkannya keseorangan.
3. Bukankah mengambil hak orang lain tanpa keizinannya adalah merupakan satu dosa malahan perbuatan seumpama itu sama seperti melakukan rompakan.
4. Mungkin system pendidikan di sekolah-sekolah kita masih gagal mendidik manusia mengamalkan nilai-nilai murni yang sepatutnya.
5. Nampaknya cikgu-cikgu kena kuat lagi mendidik amalan nilai murni kepada anak-anak murid agar genarasi masa depan kita lebih bertimbang rasa.
6. Ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah pula kena lebih banyak mengingatkan murid-murid supaya takut membuat dosa yang merugikan hidup kita di dunia dan di akhirat.

.

Berkuku Panjang

Semasa perhimpunan hari Isnin lepas, seorang guru memberi tazkirah tentang keburukan berkuku panjang. Beliau menerangkan menyimpan kuku panjang tidak ada dalam ajaran Islam.
Malahan bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak membayangkan kesucian dan boleh menyebabkan tidak sah berwuduk kerana terdapat najis di kuku tersebut. Jika sudah tidak sah berwuduk, mana pula sah solatnya.

Kuku panjang mempunyai sejenis kuman seperti yang terdapat dalam najis manusia, iaitu E-Coli. Kuman tersebut tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun. Oleh itu, sentiasalah berkuku pendek untuk kesihatan dan kebersihan diri sendiri.

Kata guru itu, orang yang berkuku panjang biasanya mempunyai anak yang bodoh atau pun degil sebab diberi makan bahan kotor yang berada di kuku jari emaknya semasa menyediakan makanan seperti memerah santan kelapa, buat cokodok pisang, uli tepong, dll.

Malam ini saya cuba mencari maklumat, apakah betul jika emaknya berkuku panjang, dia akan mempunyai anak yang degil itu. Cari punya cari, dengan menggunakan ”Google Search” saya jumpa gambar manusia pelik ini...


Kalau kuku macam ini, saya rasa bukan saja anaknya degil, anaknya juga turut lari... tak mahu balik rumah. Suaminya juga cabut... Macam mana perempuan ini boleh tahan, apa kerja pun tak boleh dibuat kalau kuku panjang ini, hatta nak pakai bajupun kena cari baju yang lengan beso... Bukannya dalam tempoh sekejap, bertahun-tahun pulak tu, macam-macam manusia ni...lu fikirlah sendiri,,,

.

Saturday, February 19, 2011

Program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah

Pagi hari Jumaat 18 Februari 2011 telah diadakan program sambutan Maulidur Rasul di sekolah saya. Program bermula pada jam 7.40 pagi dengan berselawat Nabi dan berarak dari Dataran Blok G kemudian melalui klinik Kesihatan, Rumah Awam, Masjid Nurul Huda dan masuk semula ke kawasan sekolah. Seterusnya berkumpul di dewan besar untuk mendengar ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh penceramah jemputan. Majlis tamat pada jam 9.40 pagi dan selepas itu P&P berjalan seperti biasa.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar program Sambutan Maulidur Rasul pada pagi itu.



Berarak sambil Berselawat Nabi SAW


Deretan kain sepanduk mewarnai perarakan program maulidur rasul



Cikgu-cikgu juga turut serta berselawat


Suara Selawat memecah keheningan pagi Jumaat



Perarakan murid perempuan lebih tersusun....




Perarakan dan selawat tanda kasih kepada Rasul Junjungan


Selesai berarak, masuk ke dewan besar...


Mendengar ceramah Maulidur Rasul oleh ustaz Asta Zawawi..

Semoga program hari ini akan dapat meningkatkan kecintaan kita kepada Junjungan Nabi SAW dan kita akan menjadi umatnya yang solleh yang melaksanakan tuntutan agama Islam. Janganlah kita menjadi seperti Abu Lahab yang begitu gembira menyambut kelahiran Rasulullah sahaja, tetapi selepas itu melawan dan memusuhi agama Islam pulak...

Thursday, February 17, 2011

Majlis Persaraan Tn Hj Sabki




Pagi tadi saya menghadiri Majlis Persaraan Tn. Hj. Sabki bin Adnan, Guru Besar SK Lempor di sekolah tersebut. Majlis yang bermula jam 9.00 pagi itu bertemakan “Seikhlas Hati Setulus Budi“ disusun begitu baik dan dianjurkan oleh warga aekolah dan PIBG sekolah berkenaan. Mengikut pengamatan saya kira-kira seratus orang tetamu hadir yang terdiri daripada guru besar sekolah-sekolah di daerah Kuala Kangsar, pegawai-pegawai di PPD dan orang-orang kampung.

Tn Hj Sabki, menamatkan servis sebagai seorang guru dan bersara umur 56 tahun pada 12 Februari yang lalu. Beliau memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1976 dan telah berkhidmat di beberapa buah sekolah dan juga sebagai penyelia pendidikan khas di PPD Kuala Kangsar.

Beliau yang saya kenali semasa sama-sama menjadi penyelia kawasan peperiksaan upsr selama beberapa tahun, merupakan seorang sangat baik dan amat komited dengan tugasnya.

Bila melihatkan majlis seumpama ini diadakan, saya rasa Tn Hj Adnan sangat bertuah kerana pemergiannya diraikan oleh warga sekolah, teman-teman seperjuangan serta masyarakat setempat. Malahan majlis itu disusun secara amat menarik dengan pelbagai persembahan nasyid, dikir barat, nyanyian dari guru dan juga tayangan multimedia.

Itulah, kalau kita selalu menyayangi rakan-rakan dan anak-anak didik, kita akan disayangi mereka pula. Kita tak tahu, apakah ada majlis persaraan dibuat untuk kita apabila kita bersara nanti. Jangan-jangan tiada sebarang majlis. Ikut suka kitalah seorang-seorang ”clock-out” pada hari terakhir itu... Lebih tak sedap lagi, dengar khabar, mereka hantar pisang pula ke masjid kerana ”meraikan” persaraan kita....!!!

Wednesday, February 16, 2011

Kunjungan Tn. Timbalan Pengarah


Hari ini sekolah saya dikunjungi oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Tn. Hj. Mohd. Idris b. Hj Ramli. Beliau tiba kira-kira pukul 11.00 pagi. Sebenarnya beliau sedang dalam perjalanan balik dari menziarahi kematian ibu salah seorang pegawai JPN di kampung Guar, Manong. Lepas itu langsung singgah di sekolah ini.

Oleh kerana Tn Pengetua tidak ada di sekolah kerana menghadiri taklimat di Ipoh, saya bersama PKHem dan PK Koku telah menyambut beliau. Beliau menyatakan kunjungannya hanya bertanya khabar dan bertanya masalah jika ada. Dalam perbualan di bilik pengetua itu, saya memberitahu beliau bahawa sekolah ini masih kekurangan seorang guru Pendidikan Islam kerana guru yang dihantar masih tak melapor diri. Beliau benrjanji akan menghubungi Sektor Pendidikan Islam untuk menyelesaikan masalah ini.

Tn. Timbalan menasihati kami agar terus menjalankan tugas mendidik anak murid dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira tempat samada ianya di bandar atau di luar bandar. Beliau juga menjelaskan hasrat tuan pengarah dan JPN yang mahukan peningkatan dalam pencapaian akademik di negeri ini. ...

Monday, February 14, 2011

Fatwa Hukum Umat Islam Menyambut Hari Kekasih

Fatwa Hukum Umat Islam Menyambut Hari Kekasih (Valentine's Day)

PENGENALAN

· Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk khususnya di Amerika dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing.

· Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. Sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah disisi agama yang mengharuskan mereka berbuat demikian.

· Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.

· ” Hari Kekasih” yang dibawa oleh orang barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut ”Hari Kekasih” berlaku dikalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu ia boleh menyumbangkan kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedar dan menginsafkan mereka.

· Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran. Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka.

Keputusan:

KEPUTUSAN FATWA

Sehubungan itu, kertas kerja berkaitan dengan hukum umat Islam menyambut Hari Kekasih ( Valentine’s Day ) telah dibentang dan dibahaskan dengan teliti oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 Hijriah bersamaan 27 hb Disember 2005 Miladiah. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan sebagaimana berikut :

Alhamdulillah fatwanya adalah seperti berikut :

” Amalan merayakan hari kekasih ( Valentine Day ) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut. ”

والله أعلم بالصواب

NOTA : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71, yang telah bersidang pada 20-22 Syawal 1426 Hijriah bersamaan 22-24 November 2005 Miladiah di Kuching Sarawak, juga telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day, tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsure-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keterangan/Hujah:

Antara hujah keputusan tersebut adalah seperti berikut :

· Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

· Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

· Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.

· Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

· Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

· Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi palaing berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari menginati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

· Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’. Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau meransang kepada yang dilarang dan maksiat.

· Sebagai alternatifnya, jika seluruh dunia masih berterusan menjadikan 14 Februari sebagai hari ”percintaan rasmi” mereka dengan pasangan mereka, marilah kita umat Islam menjadikan setiap hari sebagai bersatunya Ukuwah Mukminin sesama Mukminin dan Mukminat sesama Mukminat dengan memperkukuhkan ikatan ukhuwah, kasih sayang dan mencintai Allah dan RasulNya, demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama mendeklarasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan penzinaan tajaan musuh-musuh Islam zaman berzaman.

والله أعلم بالصواب

Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-hukum-umat-islam-menyambut-hari-kekasih-valentines-day

.

Sunday, February 13, 2011

Kem Kecemerlangan PMR 2011

Kem tersebut telah selamat diadakan selama 3 hari 2 malam bertempat di perkarangan SMK Sultan Tajul Ariffin. Seramai 125 orang pelajar ting 3 telah hadir mulai jam 3.00 petang 11 Feb dan bersurai pada jam 2.00 petang 13 Februari.

Objektif program ini diadakan untuk memberi motivasi dan teknik kemahiran belajar kepada calon-calon PMR tahun ini. Ia merupakan salah satu program yang dirancang dalam usaha merealisasikan 70 % (Program M70) keputusan PMR kali ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pelajar ting 3 yang sungguh bersemangat dan dapat mengikuti semua aktiviti dengan jayanya. Terima kasih juga kepada fasilitator tingkatan 4 dan 5 serta cikgu-cikgu yang turut berkampung bersama-sama para pelajar.

Semoga usaha murni ini diterima oleh Allah sebagai amal solleh dan harapan serta doa kita untuk meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan PMR tahun ini akan tercapai, Amin!!



Mulanya takut-takut nak melapor diri, rasa macam terpaksa saja...



Mendaftar sebagai peserta ”akademi PMR”

Serius mengikuti slot motivasi



Gerak kerja kumpulan....



Guru Muda bagitu bersemangat memberi penerangan...



Makan time!

Di smksta resort, macam kat SBP jugak!



Hari kedua, makin seronok, macam tak mahu balik rumah pulak...



Sejuk hati emak ayah, lihat anak macam ini...


Terimalah doa kami ya Allah... Amin!



Majlis penutup...

.

Thursday, February 10, 2011

Dari Allah Kita Datang, Kepada Allah Kita Kembali


Hari Selasa lepas saya mengambil cuti rehat khas, kerana menziarahi emak saudara saya yang meninggal dunia. Emak saudara saya itu, Hjh Umi Zamawi bt Alang Zainab meninggal pada jam 10.30 malam Selasa di rumahnya di kampung Jalan Badak, Manong. Beliau berumur 73 tahun meninggalkan 8 orang anak, 28 orang cucu dan 2 orang cicit.

Ramai saudara mara dan kenalan anak-anaknya datang menziarahinya pada pagi itu. Jenazah disembahyangkan di Surau Hamidiah Jalan Badak dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Jeliang. Semoga Allah meletakkan rohnya bersama orang-orang Solleh, Amin!

.

Sunday, February 6, 2011

3 kanak-kanak lemas di Ara Panjang


1.

Seorang Kanak-Kanak Lemas, Dua Lagi Hilang Di Sungai Perak
6.2.2011

IPOH: Seorang kanak-kanak mati lemas manakala dua lagi masih hilang dipercayai dibawa arus ketika mandi di Sungai Perak berhampiran Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong, Kuala Kangsar pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt Abdul Ghaffar Muhammad berkata mangsa yang lemas ialah Suhairi Nizam Baharudin, 12, yang berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.Dua lagi kanak-kanak yang hilang berusia lapan dan 10 tahun, katanya ketika dihubungi.

"Kejadian berlaku pada pukul 4 petang tadi ketika ketiga-tiganya bersama keluarga mereka mandi di sungai yang terletak kira-kira 400 meter daripada rumah mereka di Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang," kata Abdul Ghaffar.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa yang kemudian meminta bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk sama-sama mengadakan operasi menyelamat.

Operasi mencari oleh lebih 30 orang membabitkan anggota polis, unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung masih diteruskan.

"Sehingga pukul 9 malam kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dijangka akan ditamatkan berikutan keadaan cuaca yang gelap dan disambung pagi esok, katanya.-BERNAMA


2.

Seorang lagi mangsa lemas Sungai Perak ditemui
2011/02/06

IPOH: Seorang lagi mangsa lemas yang dihanyutkan arus deras ketika mandi manda di Sungai Perak petang semalam ditemui hari ini kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mangsa Mohamad Imran Rosli, 10, ditemui terapung pada jam 7.10 pagi tadi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.
Seorang lagi mangsa berumur lapan tahun yang dikhuatiri hilang di sungai berkenaan dalam kejadian pada jam 4 petang semalam masih belum ditemui dan operasi mencari sedang dijalankan.

Abdul Ghaffar berkata, dalam kejadian semalam tiga kanak-kanak bersama keluarga mereka mandi di sungai yang terletak kira kira 400 meter daripada rumah mereka di Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong.

Semalam, Suhairi Nizam Baharudin, 12, yang berjaya diselamatkan, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar. Operasi mencari dan menyelamat membabitkan lebih 30 anggota Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung menyambung semula operasi mencari sejak awal pagi ini.

BERNAMA


3.

Mangsa lemas terakhir di Sungai Perak ditemui
06/02/2011 9:05pm

IPOH - Mangsa lemas terakhir dalam kejadian di Sungai Perak petang semalam, Mohamad Abdul Aaza Ibrahim, 10, ditemui hari ini kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt. Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui terapung pada pukul 12.15 tengah hari oleh nelayan yang kemudian melaporkannya kepada polis.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi di sini.

Abdul Ghaffar berkata, dalam kejadian semalam, tiga kanak-kanak bersama keluarga mereka mandi di sungai yang terletak kira kira 400 meter dari rumah mereka di Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong. - Bernama

.

Saturday, February 5, 2011

Cikgu Khalid kembali ke rahmatulLah

Pagi tadi saya menziarahi seorang kenalan yang juga bekas guru, iaitu cikgu Hj. Khalid b. Mohd Yusuf yang telah kembali ke rahmatuLllah pada pagi ini. Beliau menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Jasa Kuala Kangsar dalam usia 59 tahun. Beliau yang mengalami sakit jantung dan kencing manis meninggalkan seorang isteri dan seorang anak yang masih menuntut di luar negara. Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Jalan Baru Kuala Kangsar pada jam 11.00 pagi.

Semasa hayatnya beliau telah banyak menyumbang jasa di dalam dunia pendidikan khasnya di daerah Kuala Kangsar. Beliau pernah mengajar di beberapa buah sekolah menengah dan sekolah rendah di Kuala Kangsar dan Hulu Perak. Antara yang saya tahu, beliau pernah mengajar di SMK Sultan Tajul Ariffin Manong sekitar tahun 1990-han, dengan menjadi Guru Perpustakaan Sekolah.

Kemudian beliau menjadi Guru Besar di sebuah sekolah di Hulu Perak. Selang beberapa tahun kemudian bertukar sebagai GB di SK Senggang. Kuala Kangsar. Selepas itu beliau bertugas pula sebagai GB di SK Sultan Abdul Idris II iaitu pada masa SK Sultan Idris II di pilih menjadi salah sebuah sekolah cluster. Semasa di sini, beliau juga adalah pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Kuala Kangsar. Beliau bersara wajib pada tahun 2007.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Semoga Allah meletakkan rohnya di kalangan ”orang-orang yang beriman dan beramal soleh”...Amin!

Bacaan talkin dihadiri oleh sanak saudara dan para kenalan yang terdiri dari warga pendidik di daerah Kuala Kangsar.

.


Kisah Orang Sering Berdoa...

Setiap seorang dari kita mempunyai hajat dan cita-cita. Bagi seorang pelajar, hajatnya tentulah untuk berjaya di dalam pelajarannya. Bagi seorang ibu atau bapa, tentulah ingin melihat anak-anaknya cemerlang di dalam peperiksaan dan seterusnya bila besar nanti akan mendapat pekerjaan yang baik-baik. Begitu juga seorang guru atau pemimpin sekolah, tentu saja mengimpikan kejayaan murid-muridnya atau sekolahnya dalam setiap bidang yang disertai.

Oleh itu, sentiasalah kita berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita. Sebagai hamba Allah yang lemah, kita jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Saya nak kongsikan satu cerita benar yang saya petik dari satu website bertajuk ”Kisah Si Penjual Tempe”. Lihatlah, betapa kita sering memaksa kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang yang terbaik untuk diri kita. Jangan menyalahkanNya jika kita tidak dapat apa yang dipinta.

Tahukah bagaimana tempe dibuat?


Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari.. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tib a tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalamsuasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa,

“Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin”
Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi.
“Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa.

“Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”
Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.
Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.
Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.
Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.
Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir,
“Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.
“Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.”
Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya,
“Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.
Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu,
“Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?”
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…
.

Berdoa: Kelebihannya


Kelebihan berdoa banyak diterangkan dalam al-Quran dan hadis. Selain menjadi inti pati ibadah, doa adalah penghubung di antara hamba dan khalik (pencipta).


Hanya dengan beberapa patah perkataan atau diniatkan segala permintaan dalam hati kepada Allah, hakikatnya ia tetap dikelaskan dalam jenis berdoa. Oleh itu, amalan berdoa bukan sesuatu yang sukar sebaliknya boleh dilakukan sepanjang masa tidak kira sama ada anda berada di dalam kereta, di majlis2 tertentu, di pasar2 dan di mana sahaja.

Ia bertepatan dengan firman Allah maksudnya: "Minta doalah daripada-Ku, aku menerima doamu." (Surah al-Mukmin, ayat 60) Doa bukan hanya ibadat, malah otak ibadah seperti yang diterangkan Rasulullah saw, maksudnya: "Doa itu adalah otaknya ibadat." - (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari) Ibadat yang dilakukan tanpa doa dapat diumpamakan seperti manusia yang tidak mempunyai akal (tidak berotak).

Orang yang tidak ada otak adalah orang yang berkata-kata tanpa berfikir. Dalam pada itu, doa dipandang sebagai otak ibadah kerana ia adalah simbol perhambaan kepada Allah. Nabi Muhammad walaupun dikelaskan sebagai manusia pilihan tidak berhenti-henti berdoa dan mengharapkan pertolongan Allah. Baginda berdoa agar diri dan seluruh umatnya sentiasa mendapat taufik (petunjuk) dan hidayah daripada Allah.

Ketika berdoa, setiap Muslim perlu mematuhi adabnya supaya ia lebih mustajab.Waktu berdoa diambil kira ketika berdoa.

Antara waktu paling sesuai ialah ketika sujud, ketika ingin mengerjakan solat fardu dan di antara dua khutbah.Umat Islam juga digalakkan menghadap kiblat sambil mengangkat dua belah tangan hingga nampak ketiak ketika berdoa. Selepas selesai berdoa pula, disyaratkan seseorang menyapu dua tangan ke muka.

Satu perkara perlu dipatuhi ketika berdoa ialah tidak sesekali berdoa dengan nada suara yang tinggi. Sebaliknya, umat Islam diminta agar berdoa dengan penuh perasaan takut, gerun, mengakui kehebatan dan kebesaran Allah serta khusyuk kepada-Nya.

Meskipun waktu dan keadaan berdoa sudah dipatuhi, masih ada doa yang tidak dimakbulkan Allah. Ia berlaku apabila seseorang berdoa tetapi dalam masa sama masih melakukan maksiat kepada Allah.


Pengajaran daripada kisah Ibrahim bin Adham, seorang ahli sufi cukup untuk menjelaskan kenapakah doa seseorang masih tidak dimakbulkan Allah. Ketika berada di tengah pasar Basrah, beliau disapa sekumpulan pemuda. Mereka bertanya Ibrahim, mengapa doa tidak dimakbulkan Allah pada hal selalu berdoa.


Ibrahim menjawab doa itu tidak dimakbulkan kerana hati mereka buta (mati) berpunca daripada 10 perkara iaitu:

· Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.

· Kamu sangka bahawa kamu cintakan Rasulullah, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.

· Kamu membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.

· Kamu makan nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.

· Kamu berkata bahawa syaitan itu musuh, tetapi kamu tidak menentangnya.

· Kamu berkata bahawa syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.

· Kamu berkata bahawa neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.

· Kamu berkata bahawa mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia baginya.

· Kamu bangun daripada tidur, lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.

· Kamu kebumikan mayat saudara kamu, tetapi tidak mengambil iktibar daripadanya.Sehubungan itu, umat Islam perlulah sentiasa berdoa kepada Allah dengan mematuhi segala syarat ketika berdoa.

--(Sumber : Islam Digest)


.

Friday, February 4, 2011

Arnab


Arnab atau kelinci merupakan sejenis haiwan mamalia yang tergolong dalam famili Leporidae yang tergolong dalam order Lagomprpha. Arnab mudah dikenali dengan telinganya yang panjang dan tirus, gigi acip tengah yang ketara dalam mulut, kaki belakangnya yang besar berbanding kaki depan, serta ekornya yang pendek. Arnab boleh hidup secara liar mahupun dijadikan haiwan peliharaan atau ternakan yang memberikan sumber makanan kepada manusia.

Dalam bahasa Melayu, perkataan "arnab" berasal dari bahasa Arab , iaitu arnab (أرنب). Perkataan "kelinci" pula lebih banyak digunakan dalam bahasa Indonesia, dan berasal dari bahasa Belanda, yakni istilah konijntje yang bererti "anak arnab". Apapun, ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Nusantara mula mengenali arnab atau kelinci daripada perdagang antarabangsa pada zaman silam. Nama saintifik famili "Leporidae" pula berasal dari perkataan lepus, iaitu arnab dalam bahasa Latin.

Arnab tinggal di kawasan padang rumput, hutan, gurun dan tanah lembab. mengikut kesesuaian spesiesnya. Kebanyakan spesies arnab tinggal dalam sarang bawah tanah yang dimasuki melalui lubang, kecuali genus Lepus yang bertempat tinggal di atas tanah dengan kawasan rumput yang rata sebagai sarang. Kebanyakan spesies arnab tinggal secara berkelompok.

Bagi masyarakat Cina, Arnab merupakan zodiak yang mempunyai ciri paling gembira, berbakat, senang di dampingi, rendah hati (tidak sombong), tidak mudah ditipu, bercita-cita tinggi tetapi tidak terlalu melampau dan sentiasa beruntung dalam perkara yang dilakukan. Tiada sesiapa pun yang mengabaikan arnab kerana mereka merupakan teman yang baik dan tahu cara untuk menghargai diri sendiri. Arnab juga bersifat sosial, sifat marah yang terkawal, berbudi bahasa, licik, tenang dan sensitif kepada yang lain.

Tahun arnab dipercayai oleh masyarakat cina sebagai tahun untuk diplomasi dan pemujukan. Tahun yang baik bagi untuk perniagaan, pengeluaran juga merupakan tahun yang baik bagi perniagaan berkaitan perubatan tradisional dan jamu. Akan tetapi masyarakat cina percaya mereka perlu berhati-hati dan jangan terlalu menurut kehendak sesiapa ...........

(Sumber: wikipedia.org)
.