Sunday, February 6, 2011

3 kanak-kanak lemas di Ara Panjang


1.

Seorang Kanak-Kanak Lemas, Dua Lagi Hilang Di Sungai Perak
6.2.2011

IPOH: Seorang kanak-kanak mati lemas manakala dua lagi masih hilang dipercayai dibawa arus ketika mandi di Sungai Perak berhampiran Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong, Kuala Kangsar pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt Abdul Ghaffar Muhammad berkata mangsa yang lemas ialah Suhairi Nizam Baharudin, 12, yang berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.Dua lagi kanak-kanak yang hilang berusia lapan dan 10 tahun, katanya ketika dihubungi.

"Kejadian berlaku pada pukul 4 petang tadi ketika ketiga-tiganya bersama keluarga mereka mandi di sungai yang terletak kira-kira 400 meter daripada rumah mereka di Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang," kata Abdul Ghaffar.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa yang kemudian meminta bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk sama-sama mengadakan operasi menyelamat.

Operasi mencari oleh lebih 30 orang membabitkan anggota polis, unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung masih diteruskan.

"Sehingga pukul 9 malam kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dijangka akan ditamatkan berikutan keadaan cuaca yang gelap dan disambung pagi esok, katanya.-BERNAMA


2.

Seorang lagi mangsa lemas Sungai Perak ditemui
2011/02/06

IPOH: Seorang lagi mangsa lemas yang dihanyutkan arus deras ketika mandi manda di Sungai Perak petang semalam ditemui hari ini kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mangsa Mohamad Imran Rosli, 10, ditemui terapung pada jam 7.10 pagi tadi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.
Seorang lagi mangsa berumur lapan tahun yang dikhuatiri hilang di sungai berkenaan dalam kejadian pada jam 4 petang semalam masih belum ditemui dan operasi mencari sedang dijalankan.

Abdul Ghaffar berkata, dalam kejadian semalam tiga kanak-kanak bersama keluarga mereka mandi di sungai yang terletak kira kira 400 meter daripada rumah mereka di Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong.

Semalam, Suhairi Nizam Baharudin, 12, yang berjaya diselamatkan, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar. Operasi mencari dan menyelamat membabitkan lebih 30 anggota Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung menyambung semula operasi mencari sejak awal pagi ini.

BERNAMA


3.

Mangsa lemas terakhir di Sungai Perak ditemui
06/02/2011 9:05pm

IPOH - Mangsa lemas terakhir dalam kejadian di Sungai Perak petang semalam, Mohamad Abdul Aaza Ibrahim, 10, ditemui hari ini kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt. Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui terapung pada pukul 12.15 tengah hari oleh nelayan yang kemudian melaporkannya kepada polis.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi di sini.

Abdul Ghaffar berkata, dalam kejadian semalam, tiga kanak-kanak bersama keluarga mereka mandi di sungai yang terletak kira kira 400 meter dari rumah mereka di Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong. - Bernama

.

No comments:

Post a Comment