Wednesday, January 19, 2011

Bergotong Royong Mengutip Duit

Rakyat Malaysia memang terkenal dengan amalan tolong menolong dan bergotong royong. Sejak zaman berzaman nilai tolong menolong dan bergotong royong ini diamalkan oleh rakyat marhaen terutama di kampung-kampung. Contohnya apabila sampai musim menanam di sawah padi, semua penduduk kampung akan bergotong royong dan bekerja sama menanam anak padi dari satu relung sawah ke satu relung yang lain sehingga tidak terasa kesusahan bekerja di sawah yang terbentang luas.

Sekarang pun amalan tolong menolong ini masih diteruskan. Contohnya apabila berlaku kemalangan jalan raya , ramailah pengguna jalan raya yang lain akan singgah untuk melihat dan membantu mana yang patut.

Tetapi lain pula apa yang berlaku pada petang semalam. Orang ramai bagaikan pesta ’bergotong royong’ mengutip duit syiling yang bertaburan di kilometer 243 lebuhraya Utara-Selatan menghala ke selatan berhampiran susur keluar Pedas.

'Pesta' itu berlaku apabila sebuah kenderaan Toyota Hilux yang membawa satu peti duit syiling berjumlah RM75,000 terlibat dalam kemalangan. Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, peti tersebut tercampak keluar dari pacuan empat roda itu selepas kenderaan itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta BMW.

Akibatnya ribuan duit syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen bertaburan di lebuh raya sepanjang kira-kira 100 meter. Keadaan itu menyebabkan ramai pengguna jalan raya menghentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan untuk mengutip duit syiling.

Kehadiran beberapa anggota polis dan pekerja lebuh raya gagal menyuraikan orang ramai yang terus mengutip duit syiling tanpa menghiraukan keselamatan mereka. Orang ramai meninggalkan lokasi itu selepas duit syiling itu habis dikutip tiga jam kemudian.

Nota:
(i) Agak-agaknya, 'gotong royong' yang macam ini dapat pahala ke? Bukankah ada tuan yang empunya wang syiling itu dan dia dalam kesusahan pula.... yang deme 'gotong royong' masuk poket tu tak ada fikirke...
(ii) kalaulah pemandu yang kemalangan ini kena ganti wang syiling yang hilang tu, tak kah kita kasihan dia terpaksa berhutang bank pulak selepas ini...

.

No comments:

Post a Comment