Saturday, January 29, 2011

Ranking sekolah

Amalan me’ranking’kan kedudukan sekolah mengikut pencapaian di dalam peperiksaan awam memang telah lama berlaku. Cuma pada enam atau tujuh tahun dulu ianya dihentikan kerana mendapat bantahan pengetua atau guru besar sekolah. Pada masa itu pendapat ramai mengatakan mana adil untuk me’ranking’kan sekolah-sekolah di bandar dengan sekolah luar bandar atau sekolah berasrama penuh dengan sekolah-sekolah bukan asrama penuh. Ini kerana murid-murid yang berbeza latar belakang antara sekolah-sekolah berkenaan.

Yalah macam sekolah saya yang kedudukannya di luar bandar, yang status ekonomi keluarganya berpendapatan rendah, yang muridnya masih ada yang buta 3M dan pencapaian UPSR mereka tidak menggalakkan, manalah boleh ditandingkan dengan murid sekolah berasrama penuh yang muridnya datang dengan 5A. Sudah barang tentu sekolah di luar bandar macam ini jika dirankingkan akan berada di senarai ke bawah..

Namun, di zaman ‘prestasi diutamakan’ ini, meranking sekolah-sekolah selepas pencapaian peperiksaan awam diumumkan telah dihidupkan semula. Walaupun tidak diumumkan secara meluas, namun senarainya dihebahkan juga setiap kali mesyuarat atau perjumpaan dengan guru-guru. Alasan yang diberi bagi menaikkan semangat berlumba-lumba di antara sebuah sekolah dengan sebuah sekolah yang lain. Malahan antara sebuah daerah dengan sebuah daerah yang lain dan antara sebuah negeri dengan negeri yang lain. Sebab itu kita tahu ranking negeri kita nombor berapa setiap kali peperiksaan awam diumumkan.

Selain itu, dengan adanya NKRA pula sekarang ini, prestasi sekolah secara keseluruhan (bukan akademik sahaja) juga di’ranking’ kan mengikut pencapaian ‘band prestasi’ dan ‘skor komposit’nya. Jadi, sesaorang warga pendidik di sesabuah sekolah kenalah mengetahui sekolahnya ‘band’ berapa dan skor kompositnya berapa.serta ‘ranking’ sekolahnya berbanding sekolah-sekolah lain di dalam negara ini. Kita pula kenalah berlumba-lumba meningkatkan ‘band’ tersebut dari setahun ke setahun, barulah kita di katakan bersaing secara sihat.

Tak usahlah difikirkan sangat sekolah kita sekolah luar bandar, muridnya tidak datang dengan 5A, jadi manakan boleh nak capai 8A atau 9A. Pertama kita kena ‘redho’ kita dihantar mengajar di sekolah luar bandar dengan murid yang sedemikian. Anggapkan rezeki kita ditakdirkan oleh Tuhan di sini. Kedua, bukankah lebih manis dan bermakna jika kita dapat mengubah pelajar yang ‘lemah’ di sini kepada seorang pelajar yang cemerlang. Barulah nampak hasil usaha kita. Ditakdirkan jika tak dapat pun, tidaklah sampai gaji kita dipotong kerananya. Berbanding di sekolah berasrama penuh, yang muridnya memang dah cemerlang, jadi kalau mereka cemerlang dalam peperiksaan awam, itu dah biasalah kerana mereka memang budak pandai... sebaliknya yang dirisaukan pula murid yang pandai itu pula tak cemerlang.

Kesimpulannya, sebagai seorang guru kita wajib berusaha sekuat mungkin untuk menjayakan anak-anak didik kita agar mencapai kejayaan yang gemilang. ‘Back to basic’ yang selalu diperkatakan bermakna kita menjalankan tugas P&P di bilik-bilik darjah secara optimum dan memastikan anak-anak didik kita belajar. Rancang segala strategi dan laksanakan seikhlas hati. Serahkan kejayaan dan kecemerlangan itu kepada Allah yang Maha Esa. Sesungguhnya Allah akan menilai ‘apa yang kita lakukan’, dan bukannya ‘hasil dari apa yang telah lakukan’.

Ingat tak cerita seekor burung kecil yang berulang alik mengangkut air dengan temboloknya lalu mencurahkan ke atas api yang sedang marak membakar Nabi Ibrahim a.s.oleh Namrut. Apabila dia ditertawakan oleh rakan-rakan burungnya yang usahanya itu tak akan berjaya, dia lantas berkata, “Kalau aku ditanya oleh Allah mengapa tidak menolong Nabi Ibrahim, aku akan kata yang aku telah berusaha menolongnya, tetapi kamu apa yang kamu telah lakukan?

Sekain, Wallahu aklam…

No comments:

Post a Comment