Thursday, April 29, 2010

Semoga Cepat Sembuh...

Pada hari Selasa yang lalu, warga sekolah saya terkejut dengan berita cikgu Mohd Norazam bin Azuddin jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Bainun Ipoh. Lebih mengejutkan kami, cikgu Norazam dimasukkan ke wad ICU iaitu di wad 3C hospital berkenaan. Memang sejak minggu lepas beliau kelihatan tidak sihat lebih-lebih lagi selepas balik dari mengelolakan kursus pengawas di Cameron Highland.

Pada petang Selasa, ramai guru dari sekolah ini telah menziarahi beliau termasuk tn. pengetua sendiri. Esoknya pagi Rabu, pada jam 7.30 pagi di waktu perhimpunan pagi, semua guru dan pelajar Islam sekolah ini telah berkumpul di dataran G dan membaca Surah Yassin memohon agar Allah SWT menyembuhkan penyakit beliau. Pada pagi tadi (hari Khamis) kami juga berkumpul sekali lagi membaca surah Yassin seperti semalam. Insya-Allah esok juga kami akan membaca surah berkenaan dan berdoa lagi.

Petang tadi saya telah menziarahi Norazam di wad 3C hospital Ipoh. Memang beliau masih "ditidurkan" namun difahamkan oleh isteri beliau, keadaannya sekarang lebih stabil.

Di hospital, saya lihat terlalu ramai kawan-kawan dan saudara mara yang datang menziarahi. Kami terpaksa bergilir-gilir masuk berdua-dua kerana wad tersebut tidak boleh diziarahi dengan ramai orang secara serentak. Norazam diletakkan di bilik khas secara berasingan daripada orang lain.


Gambar ini saya ambil sewaktu saya menziarahi beliau tadi.

Marilah kita sama-sama mendoakan agar Mohd Norazam cepat sembuh dan dapat menjalankan tugas mendidik anak bangsa seperti sediakala. Amin!

Sunday, April 25, 2010

Perginya seorang sahabat

Petang Khamis lalu warga pendidikan di daerah Kuala Kangsar dikejutkan dengan berita kematian mengejut Penolong Kanan SMKRLKT Lasah, Allahyarham Fuad Firdaus. Dikhabarkan Allahyarham terjatuh di dalam makmal computer dan tak sedarkan diri selepas mengendalikan Kursus LADAP guru-guru SM Lasah pada jam 5.00 petang
.
Kira-kira jam 5.30 petang saya mendapat panggilan dari Pen. PPD PSO Tn Hj Zaharuddin mengkhabarkan berita sedih itu. Memang saya agak rapat dengan allahyarham kerana kami adalah antara PK yang agak lama telah bertugas. Kali terakhir saya bertemu beliau semasa kursus tahunan Penolong Kanan Pentadbiran Negeri Perak di Taiping Golf Resort 6-8 April yang lalu. Saya satu kumpulan bengkel dengannya semasa kursus itu.

Pagi Jumaat semalam saya bersama tn pengetua Hj Kamil telah turut menziarahi keluarga beliau di Taman Makmur Sungai Siput(U). Semasa kami sampai, beliau telah pun dikafankan, cuma menunggu van atau ambulan untuk di bawa dan semadikan di Kampung halamannya di Kampung Lintang.



Kaum keluarga dan sahabat handai menziarahi allahyarham di rumahnya di Taman Makmur....

Saya berdoa semoga Allah meletakkan rohnya bersama-sama dengan orang beriman dan diampunkan segala dosa-dosanya...Amin! Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali...

..

Thursday, April 22, 2010

Kem Bahasa Inggeris ….

Hari ini diadakan lagi kem Bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar tingkatan 3. Kali ini dikelolakan oleh Mr. Sam dari majalah Quest. Walaupun berbayar untuk saguhati penceramahnya, namun semua pelajar hadir dan dapat mengikuti program itu dengan bersungguh-sungguh. Pihak sekolah menggunakan kutipan yuran kecemerlangan tingkatan 3 untuk menyediakan makan tengahari kepada semua pelajar-pelajar.

Bahasa Inggeris merupakan satu subjek yang sangat sukar dan “ditakuti” di sekolah lebih-lebih lagi oleh pelajar-pelajar Melayu. Mengapa ini berlaku?

Bagaimana untuk mengatasi masalah kelemahan di dalam bahasa inggeris ini. Saya mengikuti slot yang disampaikan oleh Mr. Sam pada pagi tadi. Sepanjang masa lebih kurang 1 jam saya berada di belakang dewan untuk mengikuti slotnya itu, saya dapat simpulkan beberapa petua yang diberikan olehnya.

Antaranya
1: Kuasai perbendaharaan kata.
2: Kuasai Tatabahasa Bahasa Inggeris.
3: Fikir dalam Bahasa Inggeris.
4: Tulis diari dalam Bahasa Inggeris.
5: Cari kawan pandai Bahasa Inggeris dan kawan yang mahu pandai Bahasa Inggeris.
6: Hafal ayat-ayat dalam Bahasa Inggeris untuk kegunaan harian.

Belajar yang berkesan ialah belajar dengan menggunakan teknik dan panduan dan betul. 6 petua di atas ialah teknik dan panduan. Jika anda lakukan betul-betul, jangan terkejut jika anda boleh bertutur dengan fasih dan menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik dalam masa kurang 6 bulan, katanya.

Jamuan makan tengahari pelajar Ting. 3 disediakan oleh pihak sekolah... apa yang mahu lagi?

Tuesday, April 20, 2010

Cuti hujung minggu lepas....

Hari Sabtu dan Ahad lepas saya memandu jauh lagi. Kali ini pergi ke Shah Alam Selangor. Saya sekeluarga bertolak dari rumah pada petang Sabtu dan lojing bermalam di rumah kakak ipar saya di Rawang Selangor. Esoknya sesudah solat subuh, kami berlepas ke Shah Alam ikut lebuh raya Guthrie. Perjalanan ikut lebuhraya itu memang agak dekat, tetapi sesudah sampai ke Shah Alam, saya tak ada pedoman lagi.

Saya ke sana bagi menghantar anak saya Rusydi untuk berkursus MEP sebagai persediaannya melanjut pelajaran bulan Ogos atau September nanti. Pendaftaran dibuat di INTEC seksyen 18. Oleh kerana tak pernah sampai ke tempat itu, dan tak tahu susun atur seksyen-syeksyen di Shah Alam itu, saya tersesat banyak kali. Oleh kerana itu saya singgah dan bertanya kepada pemandu teksi, pengawal keselamatan kilang dan pekerja petrol pump untuk meminta bantuan. Mujur yang saya tanya itu jaga-jaga Melayu, maka mereka menunjukkan jalan yang betul sehinggalah saya sampai ke tempat yang dituju. Kalau saya tanya jaga Indon, atau bangla entah-entah lagi jauh saya sesat....

Setelah siap pendaftaran dan menghantar anak saya ke biliknya kira-kira jam 12.00 tgh hari, saya sekeluarga terus ke Banting untuk menziarahi anak saya yang di sana pula. Sewaktu balik singgah pula di Pangsapuri Zamrut di Jalan Kelang Lama di rumah adik saya Ihsan. Kami balik ke rumah dan sampai lebih kurang jam sebelas malam....
...

Kursus Pengawas Sekolah

Hujung minggu lepas semua pengawas sekolah ini telah menghadiri suatu kursus kepimpinan bertempat di bukit peranginan Cameron Highland. Seramai 60 orang pengawas tersebut telah bertolak ke Cameron Highland dengan bas yang disewa oleh pihak sekolah pada pagi hari Jumaat lagi. Seramai 9 orang guru juga telah berkereta dan bersama-sama mengiringi bas tersebut kerana membawa pelajar yang tak muat bas dan juga membawa barangan keperluan kursus.

Di Cameron Highland, mereka menginap di rumah peranginan persekutuan yang telah di'booking' lebih awal. Ramai guru-guru serta ahli keluarga mereka juga turut sama 'meramaikan' kursus pengawas ini. Sepanjang 'penginapan 3 hari dua malam' itu, pelbagai pengisian kursus dipenuhi dengan disampaikan oleh guru-guru pengawas dan tn pengetua sendiri.

Sewaktu saya bertanya kepada pengawas terbabit, rata-rata menyatakan kursus tersebut amat berguna kepada mereka. Mereka juga berpuashati dan seronok berkursus sambil melancung cuti-cuti malaysia di sana. Terdapat juga guru yang 'plus satu hari' di atas bukit itu kerana hari Isnin masih cuti umum bagi negeri Perak....






Thursday, April 15, 2010

Ops Kutip...

Pelajar sekarang memang sangat bertuah. Semua pelajar tanpa mengira status kewangan ibubapa atau penjaganya mendapat pinjaman SPBT. Dengan menerima pinjaman buku-buku ini, tentunya sangat melegakan ibubapa dan penjaga. Jika ada wang 'peruntukan' membeli buku teks itu mungkin ibubapa boleh membelikan buku-buku latihan atau buku-buku soalan peperiksaan lepas.

Malangnya, sikap sesetengah pelajar tidak menghargai pemberian pinjaman SPBT itu menjadi satu hal yang harus diperbincangkan oleh masyarakat. Menghargai dan berterima kasih merupakan amalan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam pendidikan kita. Apakah kemewahan yang diterima oleh generasi pelajar hari ini menjadikan mereka tidak menghargai sebarang 'benda' yang diberi secara percuma?


Amalan berterima kasih dan menghargai pemberian itu satu hal yang lain. Sikap tidak membawa buku SPBT balik ke rumah dan meninggalkan di laci meja di sekolah pula satu hal sangat tidak bertanggungjawab. Bagaimana nak membaca dan mengulangkaji pelajaran jika buku teks ditinggalkan. Atau pelajar-pelajar ini tidak belajar langsung apabila balik ke rumah? Bagi pelajar sekolah berasrama punuh mungkinlah berbeza. Mereka 'prep' di bilik-bilik darjah. Jadi tak apalah semua buku teks ditinggalkan di kelas-kelas. Malahan ada sekolah asrama yang menyediakan laci khas yang berkunci untuk para pelajarnya.

Di sekolah saya, amalan pelajar meninggalkan buku di meja-meja ini telah banyak kali ditegur oleh guru-guru. Perkara ini juga telah dibangkitkan di dalam mesyuarat agung PIBG di mana pihak pentadbiran sekolah meminta kerja sama ibubapa / penjaga untuk memastikan anak-anak mereka membawa buku-buku balik ke rumah. Namun sikap sesetengah pelajar yang "keras hati" ini masih tidak berubah.

Pagi tadi tuan pengetua mengingatkan sekali lagi agar semua pelajar membawa buku-buku teks dan buku latihan mereka balik ke rumah pada hari ini. Jika tidak dibawa balik, buku-buku itu akan dikumpulkan oleh pihak lembaga disiplin. Pelajar hanya boleh menuntut semula buku-buku teks itu apabila "menerima hukuman dan pengajaran" dari pihak sekolah.

Namun pada jam 3.00 petang tadi, saya dapati pengawas sekolah yang ditugaskan mengumpulkan buku-buku teks telah mengumpulkan 'timbunan' buku-buku. Hati saya berkata, di mana telinga budak-budak ini? Mengapa mereka ini degil sangat? Mengapa hatinya keras sangat? Mengapa cakap cikgu seperti mencurah air ke daun keladi....Kalau cakap tuan pengetua pun tak diendahkan, cakap siapa lagi? Wahai Tuhan, berilah petunjuk kepada anak-anak generasi masa depan ini....!

Kelihatan pengawas sekolah mengumpulkan buku-buku SPBT yang ditinggalkan di bilik-bilik darjah... banyaknyeee...!



..

Tuesday, April 13, 2010

Kenapa hati mereka begitu keras...

Masalah disiplin adalah satu masalah yang sangat sukar untuk diatasi. Di sekolah ini, walaupun pelbagai aktiviti dirancang dan dijalankan oleh pihak guru untuk meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah, namun sikap sesetengah pelajar yang “keras hati” dan tak mahu menerima tunjuk ajar guru-guru serta melanggar disiplin menjadikan pencapaian sekolah tetap di takuk lama.

Mengapa hati-hati budak-budak ini begitu keras? Ada banyak faktor yang menjadikan mereka begitu. Tetapi apabila kita mengatakan ianya faktor dari rumahtangga, kita akan dipersalahkan oleh ibubapa penjaga. Satu contoh yang ketara, keengganan sesetengah pelajar menjalankan amali solat di sekolah. Mereka sanggup ponteng kelas dan sebagainya asalkan tidak mengikut program amali solat yang seminggu sekali sahaja itu.

Bagaimanakah nak menerima pengajaran guru-guru, kalau hati begitu dan asyik dan melawan guru? Bagaimana ilmu pengetahuan nak masuk kalau hati begitu keras dan kasar... Penatlah pihak guru untuk melembutkan hati-hati budak-budak ini. Sedangkan mereka inilah gambaran generasi bangsa kita pada masa depan. Mereka inilah yang akan menjadi rakyat dan pemimpin masyarakat apabila mereka dewasa nanti.

Saya membaca dalam beberapa artikel, cara untuk melembutkan hati-hati ini ialah dengan memperbanyakkan berzikir kepada Allah. Zikrullah atau berzikir mengingati Allah SWT adalah salah satu kaedah ke arah pembersihan dan ketenangan jiwa daripada segala macam kekalutan dan sifat mazmumah. Zikrullah yang dimaksudkan ialah mengagungkan Allah SWT, menyebut kalimah Allah SWT, mengucap tasbih, tahmid dan takbir serta melakukan pujian kepada-Nya. Termasuk dalam istilah zikrullah ialah mengerjakan solat, menghadiri majlis ilmu dan membaca al-Quran. Ini bererti seseorang hamba Allah SWT perlu dan mesti melakukan perkara itu bagi memenuhi ciri zikrullah sebenar.

Tahniah kepada tuan pengetua, Tn Hj Mohd Kamil yang merancang dan memulakan agar setiap pelajar muslim diminta berzikir dan beristighfar di setiap pagi semasa perhimpunan. Semoga hati-hati para pelajar dan hati kita semua menjadi lembut dan kita semua mendapat pertolongan dari Allah SWT, InsyaAllah.....

Petanda kecemerlangan...

Pencapaian pelajar-pelajar sekolah ini adalah lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas. Buktinya, dalam sukan Msspk daerah Kuala Kangsar baru-baru ini, kontijen sekolah mencapai 3 emas, 2 perak dan beberapa pingat gangsa menjadikan kedudukan nombor 8 daripada 22 buah sekolah menengah dalam daerah. Malahan seorang pelajar perempuan, Nurul Akmar, 17, telah dipilih menjadi olahragawati peringkat daerah.

Dan yang terbaru, dalam Majlis Tadarus Al Quran (MTQ) peringkat daerah pula seorang pelajar telah berjaya menjadi Johan dalam acara Syarahan Agama kategori Pelajar Perempuan. Pelajar tersebut ialah Nurul Syifa bt Mohd Ariffin dari kelas 3 KAA. Tahniah diucapkan.



Kelihatan Nurul Syifa menerima sekali lagi, sijil dan trofi kemenangannya daripada tn. pengetua di hadapan pelajar-pelajar lain semasa perhimpunan rasmi mingguan Isnin lepas.

..

Gangguan elektrik


Sejak dua minggu kebelakangan ini, kerap sangat ganguan elekrtik berlaku di kawasan Manong ini. Minggu lepas berlaku ganguan yang agak lama. Yang peliknya ia berlaku pada waktu maghrib hingga jam 11.00 malam. Tiga malam berturut-turut. Malam kelmarin juga gangguan elektrik berlaku beberapa kali, sekejap ada sekejap tak ada.


Malam tadi berlaku lagi. Kali ini bukan satu kampung, mungkin dua tiga rumah berdekatan rumah saya sahaja. Kerana saya lihat lampu jalan dan sekolah almizan, lampunya terang benderang. Yang lebih pelik, elektriknya ada, tetapi tak cukup power. Beberapa lampu sahaja boleh menyala, manakala TV, peti sejuk dan penghawa dingin lain tak boleh. Berdasarkan pengalaman lepas, keadaan begini boleh merosakkan alatan elektrik tersebut. Saya menyuruh anak-anak saya menutup semua suis alatan tersebut.


Saya kemudian menalifon no 15454 untuk memaklumkan gangguan elektrik tersebut. Mesin operator memberitahu, panggilan saya akan dilayan sebentar lagi. "Anda di giliran ke-58" katanya. Dengan sabar, saya menunggu giliran tersebut, dari giliran ke -58, kemudian ke-39, 28 19, 8, 4 dan barulah dapat bercakap dengan operator TNB tersebut.


Tidak lama kemudian, sebuah kenderaan TNB dengan dua pekerja datang dan membetulkan gangguan tersebut. Saya melihat dan berbual dengan pekerja tersebut. Dia memanjat dua tiang elektrik untuk mencari kerosakan. Setelah selesai, saya tanya apa masalah sebenarnya yang berlaku...


Katanya, alat "APCnya dah renggang". Jadi dia dah "tambah" supaya boleh berfungsi dengan baik semula. Saya hanya mengangguk saja. Bila pekerja tu balik, dan elektrik telah pulih, saya buka internet untuk mencari apa makna APC yang dikatanya itu. Setakad yang saya tahu dan kakitangan awam juga tahu APC itu ialah "anugerah perkhidmatan cemerlang".


Sunday, April 11, 2010

Perkampungan Akademik Tingkatan 3

Cuti Sabtu dan Ahad pada hujung minggu ini sungguh sibuk buat kami warga sekolah ini. Terdapat dua program besar dijalankan yang melibatkan ramai pelajar dan guru. Pertama, ialah Perkampungan Akademik PMR anjuran unit kurikulum dan unit kaunseking manakala yang kedua Program Sure A anjuran Panitia BI.

Seramai 104 dari 133 pelajar tingkatan 3 menghadiri kursus 3 hari 2 malam Perkampungan Akademik PMR itu. Pelbagai pengisian disampaikan seperti motivasi dan kemahiran belajar. Walau pun penginapan semasa kursus ini hanya di bilik-bilik darjah, sebahagian besar peserta sungguh seronok mengikut program ini. Buktinya mereka dapat mengikuti semua aktiviti itu dengan cergas dan gembira.



Salah satu yang menarik dalam program ini ialah adanya slot perkongsian pengalaman dengan 2 orang pelajar cemerlang SPM 2009. Mereka ialah Mohamad Rusydi (11A) dari SBPI Rawang dan Mohamad Syafiq (10A) dari SBPI Gopeng. Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai teknik dan kemahiran sebagai persiapan mereka menghadapi PMR nanti.



Saya diberi kesempatan membuat perasmian penutupan kursus tersebut. Dalam ucapan saya, saya menyeru semua pelajar tingkatan 3 berubah dan berusaha bagi mencapai matlamat kejayaan dalam PMR nanti. " Untuk mencapai suatu yang "besar", kita mesti korbankan banyak pekara yang "kecil", kata saya.
Kursus tamat jam 12.00 tengah hari, hari Ahad. Selamat pulang ke pangkuan keluarga.....
...

Kursus Penolong Kanan


Pada 6 hingga 8 April saya menghadiri Kursus Tahunan Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah-sekolah Menengah Negeri Perak di Taiping Golf Resort Kamunting. Kursus anjuran Majlis Latihan Penolong Kanan itu diadakan setiap tahun dengan kerjasama Unit Sekolah Menengah JPN Perak. Tema kursus kali ini ialah Memperkasakan Kurikulum”

Suatu yang menarik dalam kursus kali ini ialah adanya slot tayangan gambar bertajuk ”Lean On Me” pada malam pertama kursus itu. Manakala pada malam keduanya pula diadakan perbengkelan mengenai kekuatan dan kelemahan watak pengetua dalam filem tersebut. Semasa persembahan setiap kumpulan, kami sungguh seronok dan santai sambil mempelajari ciri-ciri kepimpinan intruksional dan kepimpinan transmasional yang diamalkan oleh Joe Luis Clake, pemegang watak pemimpin pendidikan (pengetua) di sekolah Eastside Amerika Syarikat dalam filem itu.
...

Tak boleh mengaku pandai...

Hari ini saya ke bangunan Dewan Bandaraya Ipoh di kawasan Greentown Ipoh kerana mengiringi anak saya menghadiri satu temuduga. Oleh kerana tidak pernah sampai ke bangunan tersebut, saya telah bertolak lebih awal dan mencari tempat temuduganya supaya tidak terlepas. Temuduga bermula jam 2.00 petang. Apabila masuk waktu Zohor, saya dan anak saya bersolat di surau DBI di tingkat atas bangunan kantin. Saya tertarik dengan satu tulisan di papan kenyataan surau itu. Saya ambil gambar tulisan tersebut.

Barangsiapa mengaku dirinya pandai, sesungguhnya ia adalah jahil” Sama-samalah kita renung dan fikirkan....
.

Lawatan Mengejut....

Walau pun masa yang dijanjikan untuk menyiapkan dewan besar sekolah ini telah tamat sebagaimana tercatat di papan tanda projek pembangunan tersebut, namun dewan itu masih belum siap lagi. Banyak item yang belum disiapkan atau dipasang seperti pintu, pagar dan dataran yang belum diturap sepenuhnya.

Pagi tadi sepasukan “engineer” telah “membuat lawatan mengejut” ke dewan itu sambil meninjau perkembangan projek tersebut.



Lihatlah “engineer tak bertauliah” ini sedang membuat pemeriksaan (Jangan marah...bergurau)

Bahagian pentas kelihatan sudah siap....
.
Yang menariknya dalam kumpulan engineer itu, ada Engineer Kimia, ada engineer Matematik dan ada juga engineer Ekonomi Asas.....