Sunday, November 14, 2010

Ibadat Korban: Perkara yang disunnatkan ketika menyembelih

1. Menurut Mazhab Hanafi, sunat bagi orang yang hendak berkorban mengikat binatang yang akan dikorbankannya beberapa hari sebelum hari korban, untuk menunjukkan bahawa ketika bersedia untuk melakukan ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan menzahirkan rasa bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Di samping itu juga dimakruhkan sekiranya kita menggunakannya untuk menunggang, mengambil susunya, bulunya dan sebagainya.

2. Sunat disembelih sendiri oleh mereka yang berkorban, kerana boleh mendekatkan dirinya kepada Allah.

3. Sunat dihadapkan binatang yang akan disembelih ke arah kiblat, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh semua imam.

4. Sunat kepada orang yang berkorban menyaksikan binatang korbannya, sepertimana Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah:
Maksudnya;
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;
“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…”
(Hadis riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)

5. Membaca Basmalah (Bismillahirrahmani rrahim) sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir menyatakan bahawa kami telah menunaikan solat al-Adha bersama Rasulullah SAW, selepas selesai daripada solat tersebut, dibawa dihadapan baginda seeokor kibas, maka baginda menyembelihnya dan baginda membaca;
Maksudnya;
“ Dengan nama Allah dan Allah Maha besar, Ya Allah ini adalah (korban) dariku dan daripada mereka yang tidak mampu untuk berkorban dari kalangan umatku.”
(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)

6. Membaca salawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

7. Takbir (Menyebut Allahu Akbar)

8. Mendo’akan agar sembelihan tersebut diterima oleh Allah, seperti berkata “ YA Allah, ini adalah amalan yang Engkau perintahkan supaya aku kerjakan keranaMu, terimalah amalku ini)

9. Binatang yang disembelih itu hendaklah dihadapkan ke arah kiblat di atas rusuk kirinya, sekiranya binatang tersebut terdiri daripada lembu dan kambing. Sabda Nabi SAW;
Maksudnya;
Daripada Anas bahawa Rasulullah SAW telah melakukan korban dengan dua ekor kambing yang baik-baik, beliau menyembelihnya sendiri, beliau membaca bismillah dan beliau bertakbir.”
(Hadis riwayat Bukhari danMuslim)
Ketika melakukan korban Rasululah membaca;
Maksudnya;
“YA Allah terimalah kurban Muhammad, ahli kelurganya dan umatnya.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

10. Memastikan bahawa binatang yang akan dikorbankan itu terdiri daripada binatang yang terbaik dari semua sudut, kerana binatang tersebut merupakan korban untuk mendapat ganjaran di akhirat.

11. Memastikan alat yang digunakan untuk menyembelih terdiri daripada alat yang tajam yang diperbuat daripada besi.

12. Menunggu sebentar selepas menyembelih sehingga binatang tersebut dipastikan benar-benar telah mati.

13. Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, Malikiy dan sebahagian daripada Mazhab Hambali, disunatkan kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban, apabila masuknya hari ke sepuluh daripada bulan Zulhijjah, supaya tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai ibadah korban. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
“ Sekiranya kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu mahu melakukan korban maka biarkan (jangan dipotong) rambut dan kuku-kukunya.”
(Hadis diriwayatkan oleh semua Imam kecuali Bukhari)

.

No comments:

Post a Comment