Wednesday, March 31, 2010

Latihan Mencegah Kebakaran..

Hari ini diadakan latihan mencegah kebakaran di sekolah saya. Sebenarnya ini kali kedua latihan seumpama ini dijalankan pada tahun 2010. Cuma yang menarik.nya kali ini disertai oleh kru dan pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar. Seramai 8 orang mereka datang dan menunjuk ajar mengenai cara mengosongkan bangunan, penggunaan alat pemadam dan sebagainya.

Terkejut budak-budak ini melihat kereta bomba masuk kawasan sekolah

Semasa latihan mengosongkan bangunan, semua warga sekolah berhimpun di dataran.

Mendengar penerangan "bahaya api"

Latihan memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api.




Mesyuarat Agung PIBG ke-35


Semalam 30 Mac 2010, diadakan majlis Mesyuarat Agung PIBG sekolah saya kali ke-35. Majlis bermula jam 2.30 petang di dewan F dan dirasmikan oleh Tn Hj Tosrin bin Jarvanthy, Pegawai Penerangan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Putrajaya.

Seperti biasa, bilangan kehadiran ibubapa dan guru adalah sekitar 200 orang kesemuanya. Yang eloknya kesemua ibubapa yang hadir menunggu majlis sehingga selesai kira-kira jam 6.00 petang. Tidak ada yang balik awal. Tahu kenapa? Selain ada cabutan nombor bertuah, hujan turun dengan begitu lebat menyebabkan para ibubapa menunggu sehingga majlis selesai.....

Pada tahun ini, ada pemilihan ahli jawatankuasa baru untuk sesi 2010-2012. Semasa aturcara pemilihan jawatankuasa baru ini, tiba-tiba nama saya disebut untuk menjadi pengerusi sementara yang menjalankan pemilihan AJK tersebut. Saya pun naiklah ke pentas menjalankan amanah itu semampu saya. Apabila saya buka kepada orang ramai untuk membuat cadangan, seorang bapa bangun dan mencadangkan AJK lama dilantik semula. Saya pun meminta sesaorang bangun dan menyokong cadangan tersebut. Ramailah yang mengangkat tangan.

Kemudian saya meminta cadangan yang lain. Seorang bapa yang lain bangun dan mencadangkan "cadangan ditutup!". Saya minta sokongan, Saya lihat beberapa orang kaum ibu pula bangun mengangkat tangan dan berkata "sokong!" Saya berkata dalam hati, mudah jadi pengerusi kalau macam ini... Tetapi sebagai orang yang diamanahkan saya menjalankan tugas saya dengan menyambung lagi, Ada bantahan? "Tiada!, jawapan spontan satu dewan... agaknya nak cepat kerana hari dah petang!

Kemudian saya meminta tuan pengetua mencadangkan AJK PIBG dari kalangan guru. Setelah diumumkan oleh tuan pengetua, dan mendapat sokongan ahli-ahli mesyuarat, selesailah tugas saya yang dilantik secara spontan itu.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada AJK baru yang dilantik. Dari kalangan guru, En Mat Khaili, Pn Hjh Zainab, Ustaz Azhari, Pn. Noor Shidah, En. Ahmad Hilmi dan Cik Haryati. Dan dari Kalangan ibubapa, Tn Hj Yat, Tn Hj Ali Am, En. Abtar, En. Kamarudin, En. Jaafar, Pn. Shima dan Pn. Mastura. Semoga mereka dapat menjalankan tugas ini dengan sebaiknya.


Masih tak siap...




Tarikh 30 Mac 2010 ialah tarikh sepatutnya dewan besar sekolah kami siap. Tarikh itu ditulis di papan tanda pembinaan dewan yang didirikan di tepi projek tersebut. Lihatlah gambar yang saya ambil ini. Banyak benda lagi yang tak siap. Antaranya, Lantai 'sport'nya, pintu keliling dewan, pintu masuk dari depan, palung air di cucur atapnya dan lain-lain lagi. Itu yang tak siap. Lain pula kalau kita membicarakan kualiti kerja-kerja akhir (finishing). Banyak lagilah...

Semalam saya terserempak dengan kontraktornya. Gatal mulut saya lalu bertanya, Sempatkah siap dewan ini dalam tempoh 24 jam ini? Sambil ketawa dia berkata, "kalau lewat seminggu boleh kot!!"
....

Sunday, March 28, 2010

Gotong Royong Membersih Sekolah

Biarlah apa orang kata tentang semangat gotong royong yang telah semakin berkurangan diamalkan sekarang, namun bagi pelajar-pelajar sekolah saya, jika ianya diatur dengan teliti dan disampaikan kepada para pelajar dalam bentuk 'memujuk', ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Begitulah yang berlaku pada hari Sabtu 27 Mac 2010 yang lepas, di mana lebih 70 peratus daripada 700 orang pelajar hadir untuk bergotong royong membersihkan bilik-bilik darjah dan bilik-bilik khas. Dengan semangat yang tinggi para pelajar telah menjayakan program ini dengan bagitu baik mulai jam 8.00 hingga 11.00 pagi.

Semoga amalan bergotong royong yang pernah menjadi amalan orang-orang dahulu kala itu terus menjadi ikutan untuk genarasi akan datang. Pelajar-pelajar ini dididik berkerjasama membersihkan dan menghias bilik-bilik darjah mereka di samping itu secara tak langsung mereka akan menyayangi bilik-bilik darjah mereka bersama-sama dengan peralatan dan perabot yang dibekalkan.

Saya mengingatkan para pelajar agar bekerja dengan ikhlas dan jangan rasa terpaksa, kerana yang dibersihkan adalah tempat mereka akan belajar dan berada di situ setiap hari dari jam 7.30 pagi hingga jam 2.40 petang. Terima kasih kepada para pelajar dan guru-guru yang hadir. Terima kasih juga kepada pengusaha kantin yang sponsor minuman untuk semua pelajar pada hari itu.

....






Ceramah Maulidur Rasul

Hari Jumaat malam Sabtu yang lepas, telah diadakan program ceramah maulidur Rasul di masjid Sultan Yusuf Kampung Jeliang. Program anjuran jawatan kuasa kariah masjid itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung. Lebih 500 orang hadir di majlis yang diadakan di perkarangan masjid itu.

Penceramah jemputan ialah Al fadhil ustas Kamal Izzat bin Ahmad, iaitu Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh. Beliau mengulas tentang kenapa kita perlu mengikut RasulLullah SAW. Saya rasa sesiapa yang mengambil isi ucapannya tentu mendapat banyak perkara baru yang dapat menambahkan tingkat keimanan kita kepada Allah SWT.


Majlis turut diserikan dengan bacaan selawat beramai-ramai oleh penduduk kampung. Selain itu diadakan juga penyampaian hadiah pelajaran kepada pelajar kampung Jeliang yang cemerlang di dalam peperiksaan awam 2009, iaitu UPKK, UPSR, PMR dan SPM. Seramai 9 orang pelajar menerima hadiah kenangan maulid itu kali ini.


Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis maulidur rasul kali ini. Ini termasuk, para dermawan dan petugas-petugas masakan, khemah dan sebagainya. Semoga kita dapat meningkatkan keimanan dan ilmu kita dengan menghayati pengajaran dari ceramah yang disampaikan....

Wednesday, March 24, 2010

Penyakit Batu Karang - Masalah dan Penyelesaiannya

Pengenalan : Batu Karang dalam Ginjal (Buah Pinggang)

Apa dia Batu karang dalam Ginjal?

Batu yang terdapat dalam ginjal atau lebih dikenali dengan "Buah Pinggang" terjadi dari tumbuhan kristal halus dari beberapa jenis kimia. Kimia yang paling lumrah adalah kalsium oxalat, kalsium pospat dan yang kurang dikenali ialah asid uric, cystine dan magnesiam pospat ammonia. Saiz batu karang ini ada yang halus seperti pasir dan boleh jadi sebesar bola golf.

Kebanyakkan batu tumbuh membesar dalam ginjal, kemudian bergerak ke bawah ke dalam saluran kencing di mana ianya menjadi bertambah besar. Kesulitan akan timbul apabila batu-batu menjadi terlalu besar yang mengakibatkan ganguan kepada perjalanan aliran air kencing. Ini boleh membawa kepada penyakit di mana kuman-kuman akan merebak. Gangguan dan/ atau perebakan kuman itu akan mengakibatkan kerosakan ginjal, jika tidak diubati segera.

Adakah batu dalam ginjal penyakit biasa ?

Kejadian batu dalam ginjal ini adalah masalah biasa dalam saluran kencing. Adalah dianggarkan bahawa satu hingga lima peratus dari jumlah penduduk akan mengalami kejadian batu dalam ginjal ini pada sesuatu ketika dalam hidupnya. Sesetengah orang mengalami kejadian batu karang hanya sekali, kemudian pulih dan tidak berulang lagi. Dalam kebanyakkan kes batu dalam ginjal adalah penyakit berpanjangan seumur hidup. Biasanya orang lelaki pertengahan umur lebih ramai yang mengidap penyakit ini dari kaum wanita. Ada diantara penyakit batu karang ini disebabkan oleh zuriat keturunan. Jika terdapat sejarah kejadian penyakit ini di kalangan anda, mintalah nasihat daripada doktor anda.

Apakah tanda-tandanya ?

Batu dalam ginjal jarang-jarang menimbulkan masalah ketika ianya mula terjadi. Tetapi apabila batu-batu itu beralih atau bergerak di dalam ginjal atau di dalam saluran kencing, kesakitan yang amat sangat \akan dirasai dan pendarahan biasanya berlaku sehinggalah sesudah batu itu keluar. Dalam sesetengah kes, batu itu tersekat menyebabkan kesakitan dan membahayakan apabila kuman itu merebak. Bila ini berlaku, tanda-tanda seperti berikut akan dirasai iaitu pedih ketika buang air kecil, rasa loya dan air kencing berbau busuk. Ini memerlukan rawatan perubatan yang segera.

Bagaimana batu dalam ginjal itu diubati ?

Pengubatan penyakit ini berbeza mengikut keadaan seseuatu kes itu. Jika batu-batu ini dapat keluar dengan spontan maka pengubatannya ialah dengan mengelakkannya dari berlaku lagi. Dalam hal ini pesakit akan disuruh minum air dengan banyak, sebanyak 3 liter sehari. Cara ini akan dapat membersihkan ginjal. Makanan pesakit juga akan diubahsuai bagi mengurangkan bahan kimia yang terdapat dalam badan pesakit. Apabila batu itu keluar, pesakit hendaklah menyimpannya untuk dibuat kajian. Kajian ini perlu untuk para doktor bagi menentukan sebab musabab terjadinya batu tersebut dan boleh pula membantu dalam rancangan pengubatan bagi mengelakkan berulang lagi penyakit ini.

Pengubatan telah berjaya didapati untuk menghancurkan batu asid uric dan systine. Dalam kes-kes yang lebih serius, apabila batu itu terlalu besar untuk keluar sendiri dan memudaratkan pesakit, suatu pembedahan adalah perlu. Adalah penting diingatkan bahawa penyakit ginjal ini memerlukan pengubatan sepanjang hayat. Jika ianya tersekat dan perebakan kuman berlaku, maka ginjal atau buah pinggang tidak akan berfungsi lagi.

(petikan dari batukarang.tripod.com)

Wednesday, March 17, 2010

Berkat kerja cikgu kot!

Dalam perjalanan balik dari Muar untuk ke Kuala Kangsar, saya tak melalui lebuhraya PLUS sepenuhnya. Ada tempat-tempatnya saya ikut jalan biasa bagi mengurangkan duit tol.

Nak cerita sikit perihal yang berlaku semasa saya melalui jalan persekutuan tersebut. Saya memang ikut peraturan, tak bawa laju dan tak memotong garis berkembar...

Sampai di satu tempat, sebuah kereta kancil di depan saya jalan sangat perlahan, perlahan bebeno.. hati saya rungut rangat. Nak potong, jalan tu double line. Saya ikut dengan penuh sabar. Tiba-tiba saya nampak garisan itu dah tak berkembar lagi. Saya pun memotong.. Tetapi dari jauh, saya nampak anggota polis trafik menahan dan mengarahkan saya berhenti ke tepi.

Saya pun berhenti dan polis meminta saya keluarkan lesen memandu. Saya tanya dia, apa kesalahan yang saya telah lakukan. Dia kata, encik telah memotong di kawasan tidak boleh memotong. "Haik, kawasan tadi kawasan yang boleh memotong, garis kembar telah tamat", kata saya. Dia kata, kawasan itu masih tak boleh potong, double line!, merbahaya...!

Saya lihat balik, jalanraya di belakang. Memang 'line'nya tak jelas... nak kata garis kembar, garisnya dah putus-putus. memang tak jelas, cat putih di atas jalan tu tak 'clear'. Saya pun cakap dengan polis tu, saya ikut kereta kancil tu dari jauh lagi, tak potong-potong, kerana double line, bila dah habis baru saya potong. Namun polis tetap nak tulis saman kepada saya.

Akhirnya, saya kata, kalau saya bersalah, saya mintak maaflah. Kemudian polis itu tanya saya datang dari mana, saya kata, ' saya dari Kuala Kangsar.. Kemudian dia tanya lagi, "kerja apa?, Saya kata, "Saya cikgu..."

Saya lihat, bila saya kata, saya cikgu, dia tak jadi tulis resit saman tu, dia serahkan lesen memandu saya dan nasihatkan saya berhati-hati ketika memandu. Saya pun ucapkan terima kasih dan mengangkat tangan kepadanya dan berlalu dari situ..

Saya kemudian berfikir, polis ni jenis budak baik, dia hormat cikgu, tak sampai hati nak saman cikgu! Lagi pun saya dah katakan line jalan tu tak jelas, nampak macam dah putus-putus, tetapi rupanya tak putus lagi.... Saya pun terlupa nak lihat nama polis muda yang berjasa pada saya tu... Semoga beliau terus menjalankan tugas dengan dedikasi, murah rezeki dan cepat naik pangkat!

Deme kenai cikgu...

Hari Isnin lepas saya dalam perjalanan ke KL untuk ke Muar Johor pada hari Selasa esoknya. Oleh kerana hari masih awal lagi saya singgah di Tanjung Malim untuk melihat pesta konvo UPSI yang diwar-warkan oleh radio perak fm. Saya lihat taklah meriah benor sebagaimana yang dicanangkan.

Saya singgah di satu gerai menjual mesin urut kesihatan setelah beberapa kali dipelawa oleh jurujualnya. Dia suruh saya mencubanya. Saya pun ikut saja. Saya meletakkan kedua belah kaki di atas mesin itu. Kemudian bila suiznya dipasang, ia pun bergetarlah. Tak lama lepas itu, naiklah nombor dan sebagainya di paparan di sebelah mesin itu. Budak itupun menerangkan makna paparan itu. Katanya, itu bilangan kalori yang telah dipecahkan, kandongan kolesterol dalam badan, kandungan racun di dalam darah dan sebagainya. Saya hanya mendiamkan diri mendengar sahaja penerangannya.

Last-last dia pun bertanya, encik berminatkah dengan mesin ini. Saya tanya berapa harganya. Dia kata harga biasa RM2800, tetapi disebabkan hari konvo ini harganya RM1800 sahaja. Boleh dibayar secara ansuran. Tak lama saya pun minta izin nak bangun dan berlalu dari situ. Dia tanya lagi. Dia kata jika tak beli sekarang, tetapi berminat, boleh tulis nama dulu.

Dengan berkhemah saya katakan saya tak ada duit, tak mampu nak beli dengan harga sebanyak tu.... Da pun kata, encik kerja apa? Saya kata, sata kerja kampung, mana ada duit banyak...

Tiba-tiba dia kata, betul ke? Bukankah encik ni cikgu... nampak macam cikgu, katanya lagi.Eh taklah, saya cuba membuat penafian. Dia kata, saya rasa encik ini cikgu... cara cakap dan cara berpakaian seperti seorang cikgu...., katanya.

Kemudian saya minta izin, dan berlalu dari situ. Semasa di kereta, saya lihat muka saya di cermin, dan berkata dalam hati, "deme kenai kita cikgu, walaupun kita kata bukan...: Saya tersenyum sendirian!

Friday, March 12, 2010

Peratus Lulus Meningkat

Pencapaian sekolah saya di dalam peperiksaan SPM 2009 meningkat berbanding tahun sebelumnya. Dari segi peratusan lulus sekolah ini mencapai 94.16 peratus berbanding 87.91 peratus pada tahun lepas. Manakala dari segi GPS, pencapaian sekolah juga meningkat menjadi 6.15 berbanding 6.39 pada tahun 2008. Hanya terdapat 8 calon yang gagal BM yang bererti tidak memperolehi sijil SPM setelah belajar di sekolah selama 11 tahun.

Zulkarnain b Ahmad Zabidin merupakan calon terbaik dengan pencapaian 5A,4B,1C dan GPK 2.4. Pelajar ini memperolehi A+ dalam mata pelajaran Matematik yang saya mengajarnya.


Kelihatan Zulkarnain sedang berdebar menerima slip keputusannya.

Guru-guru tingkatan menyerahkan slip keputusan kepada calon-calon SPM 2009.

7,987 calon dapat gred A bagi semua mata pelajaran

PUTRAJAYA: Seramai 7,987 calon berjaya mendapat gred cemerlang (A+, A atau A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 berbanding 6,277 pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata, daripada jumlah itu, seramai 214 calon sekolah Kementerian Pelajaran berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Menurut beliau, seramai 41 orang merupakan calon persendirian, sekolah swasta dan sekolah-sekolah tajaan agensi selain kementerian.
"Angka-angka ini menunjukkan peningkatan dari segi kualiti sebanyak 1,710 calon atau 27.24 peratus," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2007, di sini hari ini.

Calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Sarawak, Gladys Tan Yee Kim diumumkan sebagai calon terbaik keseluruhan SPM 2009.
Beliau mendapat keseluruhan gred cemerlang (A+) bagi kesemua 10 mata pelajaran yang didudukinya.

Selain itu, Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan muncul sebagai sekolah terbaik.
Kata Alimuddin lagi, seramai 364,046 calon lulus SPM berbanding 347,443 pada 2008 dengan 199,155 calon atau 49.6 peratus lulus semua mata pelajaran berbanding 181,419 (47.4 peratus) sebelum itu.

"Daripada jumlah itu, seramai 68,131 atau 17 peratus calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam SPM 2009 berbanding 60,902 atau 15.9 peratus pada 2008.

"Peningkatan ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik," katanya.
Bagaimanapun katanya, bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G agak meningkat iaitu seramai 4,626 atau 1.15 peratus pada 2009 berbanding 2,589 atau 0.67 peratus pada 2008.

Katanya lagi, seramai 538 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan menduduki peperiksaan SPM 2009 berbanding 481 calon pada 2008.
"Daripada jumlah itu seramai 251 atau 51.9 peratus calon berjaya mendapat sijil SPM berbanding 208 atau 47.8 peratus pada 2008.

"Seorang calon rabun penglihatan telah berjaya mendapat 4A+, 3A dan 4A- daripada 11 mata pelajaran yang diambil manakala seorang lagi mendapat 4A+, 3A dan 3A- daripada sepuluh mata pelajaran yang mereka ambil," katanya.
Menurutnya lagi, terdapat juga dua orang calon yang mengalami pelbagai kecacatan berjaya memperoleh pencapaian cemerlang.
Kedua-dua mereka mendapat 8A+ dan 2A daripada sepuluh mata pelajaran yang diambil.

Sementara itu, bagi keputusan STAM 2009, jumlah calon yang mendapat pangkat tertinggi iaitu Mumtaz bagi sepuluh mata pelajaran yang diduduki agak menurun iaitu seramai 422 calon atau 9 peratus berbanding 562 calon atau 12 peratus pada tahun sebelumnya.
Penurunan juga dapat dilihat bagi pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik) iaitu seramai 608 calon (13 peratus) pada 2009 berbanding 811 calon (17.3 peratus) pada 2008.
"Bagaimanapun terdapat peningkatan bagi calaon yang mendapat pangkat Jayyid (baik) iaitu 1,407 calon pada tahun 2009 berbanding 994 pada 2008," katanya.

Tuesday, March 9, 2010

Dahsyat Temenggung!

Sudah seminggu blog ini tiada post baru. Bukan apa, keadaan kesihatan tidak mengizinkan saya mengadap notebook lagi. Saya akan tulis cerita ke mana saya pergi selama beberapa hari ini bila keadaan mengizinkan. Tetapi bila melihat 'counter widget' blog ini terus bertambah, saya tahu ada kawan-kawan masih terus membukanya. Terima kasih banyak-banyak.

Hari ini cuma nak cerita, sewaktu saya di Ipoh Specialist Hospital hari ini, saya membeli akhbar Harian Sinar untuk bacaan sementara menunggu giliran temujanji dengan doktor. Belek punya belek, saya jumpa artikel ini... wau dahsyat betul rumah temenggung! Tahniah! Syabas!, Tak salah pihak sekolah pilih ketua rumahnya cikgu Halimhusairy... teruskan usaha begini....
Terima kasih juga ustaz Halim SMK King Edward kerana terus mengeratkan silaturahim dengan kami di Manong ini....

Untuk baca artikel, klik pada gambar, akan dapat paparan besar...

Wednesday, March 3, 2010

Memang Sakit Bebeno...

Hari ini saya tidak ke sekolah. Saya diberi MC oleh Hospital Kuala Kangsar. Malam tadi kira-kira jam 8.00 malam ditakdirkan Allah saya sakit perut yang amat sangat. Sakitnya di bahagian kanan perut. Sejak jam 8.00 malam itu saya menyapu dengan minyak gamat, minyak panas dengan sebagainya. Namun sakitnya tidak berkurangan. Memulas-mulas, ”guling perin” dan serba tak kena rasanya. Saya tidak pernah merasai sakit yang seumpama itu sebelum ini.

Apabila jam 11.00 malam saya menelifon adik saya memintanya menghantarkan ke hospital. Tetapi dia menghantarkan saya ke Klinik Manong sahaja. ”Biar HA tenguk dulu”, katanya. Kira-kira 1 jam di klinik, saya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dengan ambulan. Pengalaman pertama kali menaiki ambulan memang meng’gayat’kan. Berbaring di atas ’stretcher’ ambulan dengan keadaan menahan sakit dan ambulan pula dipandu laju... saya pejamkan mata dan membaca Ayat Kerusi berulang kali.

Sesampai di hospital Kuala Kangsar, saya dibawa masuk Unit Kecemasan dan di’sambut’ oleh doktor, HA dan ramai pelatih jururawat lelaki yang sedang membuat praktikal di situ. Saya serahkan sahaja tubuh saya apa yang mereka mahu. Selepas mereka meminta ’urine’ untuk diuji, kalau tak silap ada 3 kali suntikan dilakukan kepada saya. Pertama untuk memasukkan ’sodium chloride’, kedua untuk mengambil sampel darah dan ketiga untuk suntikan ubat tahan sakit.

Dengan takdir Allah jua, Tak lama lepas itu rasa sakit di perut saya telah berkurang. Menurut HA, kemungkinan saya kena sakit ’batu karang’, sebab sakit itu tak beri amaran awal. Kalau appendix, biasanya ada tanda demam atau muntah-muntah, katanya. Setelah berehat kira-kira 2 jam bagi membolehkan ’sodium chloride’ masuk ke badan saya, saya dibenarkan keluar Unit Kecemasan itu. Saya di suruh datang ke hospital pagi ini untuk mengambil ubat di farmasi dan membuat pemeriksaan x-ray bagi menentukan keadaan ’ginjal’ samada karang atau tidak... Saya sampai di rumah jam telah menunjukkan 2.30 pagi....


Gambar kenangan-kenangan semasa berada di Unit Kecemasan –
masa ini sakitnya telah lega....
.