Tuesday, May 22, 2012

Hari Guru di SMAMAM


Serentak dengan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan, Warga SMA MAM juga menyambut Hari Guru pada tarikh yang sama. Majlis bermula dengan perhimpunan rasmi yang diisi dengan agenda melagukan lagu NegaraKu, Lagu Negeri Perak dan Lagu Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan. Seterusnya disampaikan Tazkirah berkaitan Menghormati Guru-guru dari pespektif Islam.

Setelah bersurai dari perhimpunan rasmi, semua guru dan para belajar mengadakan sukaneka guru-murid. Guru dan murid lelaki di dataran astaka, manakala guru dan murid perempuan di dewan Tn Guru Hj Zakaria.

Jam 10.30 pagi, sekali lagi warga sekolah berkumpul di dewan bagi menyambung program sambutan Hari Guru.... Lihatlah gambar-gambar berikut yang menunjukkan betapa meriahnya sambutan hari guru pada 16 Mei lalu....

Kain Rentang Selamat Hari Guru di Pintu Utama Masuk Ke SMAMAM

Hari ini cikgu-cikgu dan ustaz-ustaz pulak main, anak murid tengoklah gaye mereka....

Bukankah dalam tazkirah tadi, "mesti hormati guru" jadi jangan "lawan betul-betul!"

Dah penat, rehat.... menikmati jamuan....

Seronok tak Sambutan hari guru kali ini?

Kita hentikan acara di dewan sekejap, untuk berlintas langsung menyaksikan ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri di TV1

Sambung balik....,  ni guru-guru berikrar pulak...

Dengarkan persembahan kami, khas untuk warga guru sekelian....

Akhir sekali,  murid dan guru bersalaman....terima kasih cikgu! 

......



Thursday, May 17, 2012

SMS Hari Guru 2012




Berikut antara SMS Ucapan Selamat Hari Guru yang teman terima pada sambutan Hari Guru Tahun ini.....


1.       Selamat Hari Guru
2.       Salam. Selamat Hari Guru. Nak parking kat mana dah penuh!
3.       Salam dan Ucapan Selamat hari Guru dari Saya
4.       Selamat ari cekgu…. Terima kasih cikgu…jasemu akn ku kenang hingga akhir hayatku….
5.       Selamat Haru Guru… agi idup agi ngelaban.. gayu guru gerai nyamai !
6.       Cikgu.. selamat hari Guru. Moga berbakti dgn leluhur budi agar terhitung amal soleh...
7.       Salam. Selamat hari Guru. Semoga sentiasa mendapat keberkatan Allah serta dipermudahkan segala urusan. Amin.
8.       Assalamu alaikum. Segarang-garang guru, dialah yang membetulkan kolar baju muridnya…  sejahat-jahat guru, dialah yang mengusap kepala muridnya… seburuk-buruk guru dialah yang menghiburkan muridnya….secacat-cacat guru dialah yang memimpin tangan muridnya…. Sebusuk-busuk guru, dialah yang membalut luka muridnya…. Semalas-malas guru, dialah yang saban hari mencatat kedatangan muridnya…. Namun, semulia-mulia guru, dialah pemberi paling setia, dalam doanya kejayaan murid didombakan, dalam sujudnya ikhlas mengharap kesejahteraan abadi anak-anak muridnya….Selamat Hari Guru!
9.       Selamat Hari Guru…semoga cikgu diberkati di dunia dan di akhirat…amin….terima kasih di atas nasihat, didikan dan tunjuk ajar cikgu…
10.   Jadilah seorang guru yang hadirnya ditunggu, hilangnya dirindu, ilmunya diburu, nasihatnya diseru, tingkahlakunya ditiru…. Terima kasih cikgu… semoga terus membawa perubahan positif kepada pelajar dan sekolah…. Selamat hari Guru 2012.
11.   Selamat Hari Guru dan Tahniah…
12.   Happy teacher’s Day… thank you for those words you gave, guidance, directly and indirectly lessons…
13. Salam, selamat hari guru buat semua warga pendidik.... jasamu tidak ternilai... Moga Allah sentiasa merahmati kita semua... terima kasih cikgu!
14. Tak kiralah apapun tema nya saban tahun bertukar ganti, jawatannya tetap itu, tugasnya pun itu, ganjaran sebenarnya lebih dari nilai gaji dan imbuhan... hilangnya dicari... datangnya ditunggu, yang datang bersilih ganti,.., panggilan tetap cikgu, dan selamnya cikgu... selamat hari guru...

.........



Pelancaran Hari Guru Di Kuala Kangsar


16 Mei 2012, Bandar Di Raja Kuala Kangsar dikunjungi ribuan warga pendidik dari seluruh pelusuk negara.  Ini kerana Sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan dilancarkan di bandar tersebut.

Sambutan Perayaan Hari Guru  itu telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Hj Mahyuddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran dalam satu majlis penuh gilang gemilang di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar.


Berikut teman kongsikan gambar-gambar suasana di luar dan dalam dewan pada hari itu.
 
Kain rentang dan papan tanda memenuhi kawasan disekeliling Dewan Jubli

"Wall paper" ini menjadi rebutan cikgu-cikgu bergambar kenangan

Kereta VIP terpaksa rapat ke dewan kerana hari hujan

Beg cenderahati (goodie bag) diedarkan kepada semua hadiri terdapat ucapan Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Cikgu.

Botol air mineral juga dilabel dengan Ucapan Selamat Hari Guru

Gambar dalam dewan






Akhirnya .....Ucapan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik.....



.

Friday, May 11, 2012

Terima kasih Cikgu!!!!


Selamat Hari Guru 2012



BERSENJATAKAN PENA KERAMAT
BERBEKALKAN ILMU DI DADA PENUH SARAT
MELANGKAH SANG GURU PENUH SEMANGAT
KE GELANGGANG PENDIDIKAN UNTUK BERKHIDMAT
DENGAN SATU MISI DAN MATLAMAT
SEMOGA  JASA GURU MENDAPAT RAHMAT
DEMIKIAN SIFAT GURU BERKUALITI
KERANA SEMEMANGNYA..
GURU   INOVATIF MELONJAKKAN TRANFORMASI  PENDIDIKAN NEGARA.

Majlis Baca Yassin Sempena Hari Guru







Khutbah Khas Hari Guru




TEKS KHUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI GURU KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TAHUN 2012

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, Tanggal 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru. Guru pasti diingati, dihargai dan diraikan dengan sewajarnya.

Tidak kira siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Merekalah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita ini menjadi insan yang berilmu. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”.

Guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Atas dasar itu, guru haruslah berperanan untuk menggarap elemen-elemen inovasi di dalam melonjak transformasi pendidikan negara melalui idea dan kepakaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasi segala sumber melalui kaedah yang paling kreatif dan berinovasi. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 190:

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal.

Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa ayat ini mengandungi perintah Allah kepada manusia supaya menggunakan akal dan fikiran, untuk melakukan penelitian serta penyelidikan, terhadap dalil kekuasaan Allah di muka bumi. Budaya mengkaji dan bermuhasabah ini diharapkan mampu menjana guru-guru yang berinovasi. Renunglah dengan mata hati terhadap hakikat dan hikmah kejadian segala ciptaan Allah bagi mengukuhkan keimanan kita. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Usaha melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang mudah dan dipandang remeh.

Usaha tersebut memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para guru telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat lelah dan perasaan jemu bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada itu juga para guru berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kejahilan dan kecelaruan yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak didiknya.

Di sini jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh para guru walaupun kita lihat pada hari ini ke mana sahaja mereka dihantar untuk berkhidmat sama ada di bandar-bandar besar, di kampung-kampung, di pedalaman-pedalaman atau di pulau-pulau namun demi menyahut seruan untuk mendidik anak bangsa yang tercinta mereka sanggup dan menerima cabaran tersebut. Dengan berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah para ulama., doktor, jurutera, pensyarah, peguam mahupun usahawan yang tersohor di tengah-tengah masyarakat.

Kita tidak dapat menafikan bahawa guru berperanan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat. Para guru berganding dengan ulama’ dan umara’ terus menerus tanpa putus asa, menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Ini termasuklah membangun minda anak-anak melalui ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sehinggalah kepada ilmu-ilmu kehidupan,

termasuklah ilmu sains dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah guru turut mendidik dan membentuk akhlak-akhlak terpuji. Manakala anak-anak pelajar yang ingin dilahirkan pula bukan sahaja hebat inteleknya, malah berintegriti sebagaimana akhlak baginda Rasulullah s.a.w. Itulah sebenarnya antara perkara yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sidang Jemaah yang dihormati,

Islam menggalakkan kita untuk menuntut ilmu dan mengajarkannya pula kepada insan yang lain. Wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. melalui surah al-’Alaq memberikan penekanan tentang kepentingan membaca dalam usaha melengkapkan diri dengan ilmu. Tambahan pula, kelebihan orang yang berilmu telah dirakamkan melalui firman Allah di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 berbunyi:

“Maksudnya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Imam Shafie pernah berpesan dalam Kitab Diwan Imam Assyafie: “Saudaraku, engkau tidak akan memperolehi ilmu melainkan dengan mempunyai enam perkara: Kecerdikan, minat, kesungguhan, perbelanjaan, mendampingi guru dan masa yang panjang”

Sidang Jumaat yang dihormati, Era globalisasi dan cabaran semasa menyebabkan dunia pendidikan anak-anak kita menjadi lebih terbuka. Penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti penggunaan laman sosial yang tidak terkawal, serta pengaruh negatif media massa mempengaruhi tindakan anak-anak pelajar.

Maka, berleluasalah gejala buli, ponteng, merokok, berzina, pembuangan bayi di dalam kalangan pelajar sekolah serta lain-lain masalah sosial sepertimana yang dilaporkan di dada akhbar. Kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara kolektif.

Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak diberikan kasih sayang dan perhatian secukupnya. Usaha mendidik anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, terutamanya dalam mendirikan solat secara istiqamah, membaca, memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran. Ianya selari dan bertepatan dalam usaha mengukuhkan pelaksanaan program j-QAF dan aktiviti-aktiviti dakwah di sekolah, sekaligus membantu usaha menyemarakkan syiar Islam yang berteraskan kepada al-Quran dan as-sunnah.

Rasulullah s.a.w. bersabda: اُغْدُ عَالِماً أَوْ مُ عَلِّماً اَوْ مُسْ مِعاً اَوْ مُحِبًّا وَلاَ تَكُنِ الْخَامِسَةَ هْلِكْ

Maksudnya: Jadilah kamu orang yang berilmu, atau orang yang mempelajari ilmu, atau orang yang mendengar dalam majlis ilmu, atau

orang yang cintakan ilmu. Dan jangan kamu menjadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa (Riwayat at-Tabrani) Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, Selain daripada ibubapa, masyarakat juga mestilah memainkan peranan yang penting dalam usaha menyokong para guru untuk membentuk dan mendidik generasi muda hari ini. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat ialah mewujudkan kembali budaya tegur menegur dan nasihat menasihati bagi meningkatkan penghayatan nilai murni serta mengurangkan amalan negatif dalam kalangan remaja.

Bagi ibu bapa pula janganlah cepat melatah atau melenting sekiranya anak kita ditegur atau dinasihati oleh ahli masyarakat, sebaliknya ambillah ia sebagai satu teguran yang positif dan membina demi kebaikan bersama. Para pengamal media sama ada media elektronik atau media cetak juga diharapkan dapat memainkan peranan yang lebih besar di dalam menyediakan rancangan dan bahan-bahan yang boleh membina dan membangunkan modal insan. Unsur hiburan secara keterlaluan yang banyak dipaparkan dan dipertontonkan melalui kedua-dua saluran media tadi akan menimbulkan kesan negatif terhadap semua lapisan masyarakat terutama kepada golongan remaja.

Sehubungan itu penguatkuasaan dan tapisan kepada unsur negatif perlulah dipertingkatkan sebagai usaha membendung masalah sosial dalam kalangan anak-anak pelajar. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Suasana harmoni dan hubungan mesra di antara guru-guru, para ibu bapa dan masyarakat perlu diperkukuhkan demi melicinkan proses pendidikan. Untuk tujuan tersebut marilah sama-sama kita membudayakan perkara-perkara berikut:

Pertama : Janganlah diperbesar-besarkan atau disensasikan isu-isu yang remeh temeh sebaliknya selidikilah terlebih dahulu punca asal sesuatu isu tersebut dan selesaikanlah secara bijaksana kerana guru juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sepatutnya kita perlu saling mengukuhkan persefahaman antara satu sama lain.

Kedua : Budayakan amalan perundingan dan perbincangan sepertimana tuntutan Islam dalam menangani sebarang masalah. Ianya bertujuan bagi mengelakkan timbulnya pelbagai kesan yang tidak diingini kepada semua pihak. Akibatnya, anak-anak pelajar juga yang menjadi mangsa keadaan.

Sidang Jumaat yang dihormati; Akhirnya, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru dan berpesan, marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut: Pertama : Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua : Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim. Ketiga : Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan. Keempat : Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru. Kelima : Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita, sehingga kita menjadi siapapun pada hari ini.

Buat para guru pula, teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. TERIMA KASIH CIKGU. Firman Allah dalam surah al-’Alaq ayat 1 – 5:
Maksudnya: Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.

بَارَكَ ااُ لِىْ وَلَكُمْ ىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَ فَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا يْوِ مِنَ الآيَاتِ
وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَ قَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَوُ إِنَّوُ ىُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ
قَ وْلِى ىذَا وَأَسْ غْفِرُ ااَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ،
وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، اسْ غْفِرُوهُ إِنَّوُ ىُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيم.



Friday, May 4, 2012

AlMizan menerima penghargaan GPS Kategori Sekolah Harian Luar Bandar

SMA Maahad Al Mizan menerima anugerah sijil penghargaan Kategori GPS terbaik sekolah harian luar bandar dalam peperiksaan SPM 2011 yang lepas. Anegerah dari Jabatan Pelajaran Perak itu disampaikan dalam Perhimpunan Bulanan April di Dataran Atrium Gemilang JPN baru-baru ini.

Saya mewakili tuan pengetua menerima sijil penghargaan tersebut dari Tuan Timbalan Pengarah Pelajaran Perak.  ....



Thursday, May 3, 2012

Ceramah Aqidah Sohihah

Pada hari Khamis malam Jumaat selepas solat maghrib telah diadakan ceramah agama bertajuk : Aqidah Sohihah Menangani Ajaran Sesat di Sekolah-sekolah di SMA Maahad Al Mizan. Program ini anjuran Pejabat Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar. Ceramah disampaikan oleh Ustaz Hasif bin Ishak dari Unit Kawalan Aqidah Jabatan Agama Islam Perak.



Selepas ceramah diadakan sesi soal jawab. Majlis ini menarik minat para pelajar kerana ceramah itu ditunjukkan slaid dan klip video mengenai ajaran sesat dan sebagainya.


SRAR Jeliang tuan rumah Ihtifal Zon Manong








Surat kepada ibubapa pelajar ting 1


Ibu bapa / Penjaga
Pelajar-pelajar Tingkatan 1
SMA Maahad Al-Mizan

Tuan,

PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH  (PBS)
PELAJAR-PELAJAR TING 1, 2012

Sukacita saya merujuk kepada perkara yang disebutkan di atas.

2.    Dimaklumkan mulai tahun ini, pelajar-pelajar tingkatan 1 akan diuji mengikuti  Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).  Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan program transformasi negara untuk melahirkan modal insan yang bertaraf dunia.  Pentaksiran PBS ini lebih holistik dan memberi penekanan kepada semua aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek,  berbanding pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan.

3.    Sehubungan dengan itu,  selaras dengan keputusan mesyuarat  J/Kuasa  PBS,  ibu bapa para pelajar diminta mengambil maklum bahawa pelajar-pelajar tingkatan 1 tidak akan menduduki ujian bulanan,  peperiksaan pertengahan tahun dan  peperiksaan akhir  tahun sebagaimana menjadi kelaziman sebelum  ini.   Sebaliknya mereka akan melalui satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

4.     Walau bagaimana pun bagi subjek-subjek Azhariah, penilaian dan peperiksaan bagi menguji pencapaian pelajar adalah seperti biasa dan tidak termasuk di dalam PBS di atas.

Sekian terima kasih.


“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,