Sunday, February 26, 2012

Qatar no. 1 , Singapore no. 3 dan Brunei no. 5

.

BANDAR SERI BEGAWAN 25 Feb. - Brunei Darussalam menduduki tangga kelima senarai 182 negara paling kaya di dunia hasil daripada kekayaan sumber minyak dan gas asli negara itu yang menyumbang pendapatan per kapita sebanyak AS$48,000 (RM144,581).


Menurut majalah Forbes menerusi laporan dalam taliannya, kedudukan negara terkaya di dunia dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diselaraskan dengan kuasa beli.


Forbes turut menggunakan data yang dikumpulkan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bermula 2010 hingga yang terbaru.


"Kuasa beli yang disesuaikan dengan KDNK digunakan oleh pakar ekonomi ketika membuat perbandingan antarabangsa kerana ia mengambil kira perbezaan kos sara hidup dan kadar inflasi berbanding hanya membuat perbandingan kadar pertukaran asing yang memutarbelit perbezaan sebenar dalam nilai," lapor majalah itu.


Awal bulan ini, Jabatan Pembangunan dan Perancangan Ekonomi (JPKE) melaporkan, indeks harga pengguna Brunei meningkat 1.8 peratus dari 2010 ke 2011, manakala purata pertumbuhan negara itu kurang daripada satu peratus setiap tahun.


Menurut JPKE, purata tahunan Indeks Harga pengguna (CPI) Brunei pada 2011 adalah 106.9 berbanding 104.8 pada 2010, dengan kadar inflasi dua peratus sepanjang tahun lalu.


Ekonomi Brunei didominasi oleh industri minyak dan gas dengan 90 peratus daripada eksportnya dan lebih separuh daripada KDNK negara itu datang daripada sektor tersebut.


Qatar dinamakan negara terkaya di dunia dengan jumlah KDNK per kapita lebih AS$88,000 (RM265,065) pada 2010, sementara Luxembourg di tangga kedua dengan KDNK per kapita lebih AS$81,000 (RM243,980) hasil daripada menjadi negara hab kewangan.


Singapura berada di tangga ketiga dengan KDNK per kapita hampir AS$56,700 (RM243,980), manakala Norway di kedudukan keempat dengan jumlah KDNK per kapita AS$52,000 (RM156,629). - AGENSI


.


1 comment: